Perpaduan Menurut Perspektif Islam
Islam amat menitik beratkan soal
perpaduan. Ini kerana Islam itu sendiri adalah agama fitrah dan telah menjadi
fitrah atau tabiat semulajadi manusia inginkan perpaduan tidak kira apa kaum
atau bangsa mereka. Tiada manusia dari apa kaum atau bangsa sekali pun yang
sukakan perpecahan. Lebih-lebih lagi kalau perpecahan itu membawa kepada
permusuhan dan seterusnya kepada perbalahan, pergaduhan dan peperangan.
Oleh itu, perpecahan adalah musuh kepada manusia. Sebab itu manusia tidak mahu dan tidak suka kepada perpecahan. Fitrah semulajadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situlah letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia tidak kira apa etnik dan bangsanya. Firman Allah S.W.T:
“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu
dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak
supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di
antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu (bukan
yang lebih keturunan atau bangsanya).”
(Al-Quran: Surah Al-Hujurat, ayat 13)
Ini bermakna bahawa Allah S.W.T amat
menitik beratkan soal perpaduan nasional di kalangan hamba-hambaNya tanpa
mengira bangsa dan juga suku puak. Ini kerana tujuan dan juga rahsia Allah
menciptakan manusia di dunia ini berbagai bangsa dan juga suku puak adalah agar
manusia dapat saling kenal mengenal dan juga bermuamalah secara mahabbah dalam
membina kehidupan yang harmoni di muka bumi ini.
Bagaimanapun ikatan jiwa di kalangan
umat Islam diikat oleh aqidah atau iman yang satu. Itulah dia yang dikatakan
kesatuan atau perpaduan jiwa. Perpaduan jiwa dengan Tuhan tidak ada kepentingan
dunia. Oleh itu penyakit pecah-belah tidak akan wujud kerana penyakit
pecah-belah hanya akan hidup subur jika ada kepentingan dunia. Apabila penyakit
pecah-belah tidak wujud, maka perpaduan umat Islam akan selamat dari bahaya
pecah-belah kerana yang memecah-belahkan manusia itu ialah dunia dan mata
bendanya dan nafsu yang rakus yang tidak terkawal. Perkara ini ditegaskan oleh
Allah S.W.T dalam Firman-Nya:
“Dan
berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah
kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara
hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam)..”
(Al-Quran: Surah Ali-Imran,
ayat 103 )
Justeru, sesuatu perpaduan dan juga
sesuatu kerjasama sosial dalam masyarakat Muslim dan juga masyarakat majmuk di
dunia ini mestilah berteraskan kepada “Tali Allah” iaitu agama Islam yang mana
Islam itu sendiri mengiktiraf kewujudan bangsa dan juga kaum di dunia ini
sebagai satu keistimewaan untuk membentuk kesatuan ummah dan juga kerjasama
(ta’aruf) dalam membangunkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni.
CADANGAN DAN USUL MEMORANDUM PERPADUAN NASIONAL
DARI ASPEK AGAMA
DAN SOSIAL
1. Perlembagaan
Persekutuan Fasal 43 (2 (a), yang berkaitan dengan perlantikan Perdana Menteri
oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah
dipinda dengan menyatakan syarat bahawa Perdana Menteri yang dilantik itu
mestilah seorang berbangsa Melayu yang beragama Islam. Syarat ini penting
supaya tugas Ketua Eksekutif untuk menjaga perpaduan kaum dan agama di Negara
ini mestilah seorang pemimpin yang ada akauntabiliti kepada agama Islam yang
menjadi agama kepada persekutuan seperti termaktub dalam Fasal 3(1),
Perlembagaan Peresekutuan.
2. Kerajaan
hendaklah menubuhkan sebuah Suruhanjaya Perpaduan Nasional yang diletakkan
secara terus di bawah Majlis Raja-Raja. Ianya bertepatan dengan fungsi Majlis
Raja-Raja seperti termaktub dalam Fasal 38 (2) (b), iaitu Majlis Raja-Raja
hendaklah menjalankan fungsinya bagi mempersetujui atau tidak mempersetujui
supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan
secara menyeluruh. Ini bagi menjamin supaya apa-apa persetujuan bersama antara
kaum dan agama di Negara ini tidak menyentuh hak dan bidang kuasa fungsi Majlis
Raja-Raja.
3. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara hendaklah dijadikan
asas dan juga rujukan dalam menggubal sesuatu dasar Negara yang berkaitan
dengan Perpaduan Nasional.
4. Setiap warganegara yang mencapai umur 18 tahun semasa memohon pertukaran
Kad Pengenalan dan juga Pasport Antarabangsa hendaklah diwajibkan
menandatangani Surat Aku Janji dan Akuan Bersumpah sebagai satu Kontrak Sosial untuk
menghormati Islam sebagai agama Persekutuan, menghormati agama-agama lain, taat
dan setia kepada Raja-Raja Melayu serta berjanji tidak mempertikaikan hak
istimewa kaum Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Jika mereka ingkar dan melanggar Aku Janji ini maka mereka bersedia untuk
dilucutkan kerakyatan kewarganegaraannya sebagai Rakyat Malaysia.
5. Pembinaan rumah-rumah ibadat. Selama ini pembinaan rumah-rumah ibadat
orang Islam dikawal dengan begitu ketat dengan perlu mendapat kebenaran
daripada Majlis-Majlis Agama Islam negeri dan juga pihak berkuasa kerajaan
tempatan. Sedangkan rumah-rumah ibadat bukan Islam telah dibina tanpa kawalan
dan tanpa mengikut keperluan dan nisbah penduduk sesuatu kelompok penganut
sesuatu agama berkenaan. Justeru dicadangkan supaya mana-mana rumah ibadat
bukan Islam yang hendak dibina di seluruh Negara perlu mendapat pesetujuan dan
perkenan Majlis Raja-Raja seperti yang termaktub dalam Fasal 38 (2) (b),
Perlembagan Persekutuan mengenai fungsi Majlis Raja-Raja untuk mempersetujui
atau tidak mempersetujui apa-apa amalan agama di seluruh Persekutuan.
Deraf Memorandum Perpaduan Nasional
Untuk Dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja
Mohon beri cadangan dan penambahbaikan untuk Deraf Memorandum ini.
SHAMSUDDIN MONER
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
1 comment:
terbaik.setuju sangat
Post a Comment