Translate

Monday, 14 July 2008

LAYAKKAH UMNO MENJADI PEJUANG MELAYU DAN PEMBELA ISLAM..?

1. Keahlian UMNO kini dilaporkan melebihi 3.5 juta orang di seluruh negara , kecuali di Sarawak. Dengan jumlah sebanyak 191 Bahagian dan jumlah cawangan sebanyak hampir 20,000 maka sudah tentulah UMNO merupakan sebuah Parti Orang Melayu yang terbesar di negara ini. Daripada jumlah cawangan dan bahagian ini, dapatlah kita membuat anggaran kasar bahawa sekurang-kurangnya UMNO dipimpin oleh pemimpin-pemimpin kecil di peringkat cawangan termasuk Ketua dan Ahli Jawatankuasanya dengan jumlah seperti berikut :

a. Kepimpinan Cawangan ( 20,000 x 20 orang ) = 400,000 org
b. Kepimpinan Pemuda Cawangan ( 20,000 x 15 org ) = 300,000 org
c. Kepimpinan Wanita Cawangan ( 20,000 x 15 org ) = 300,000 org
d. Kepimpinan Puteri Cawangan ( 10,000 x 15 org ) = 150,000 org
________________
JUMLAH KESELURUHAN = 1,150,000 org
________________

2. Bayangkan UMNO di semua peringkat telah memiliki kepimpinan 'grass root' melebihi 1 juta orang di seluruh negara . Jumlah yang sebegini ramai adalah sesuatu yang cukup baik dan amat strategik di dalam usaha UMNO untuk menguasai politik di peringkat akar umbi. Namun demikian, adakah jumlah pemimpin yang begitu ramai dilahirkan oleh UMNO menerusi 20,000 cawangannya di seluruh negara, boleh melayakkan mereka untuk diiktiraf oleh masyarakat rumpun Melayu sebagai pejuang Melayu dan Pembela Islam..?

3. Cuba kita tanya kepada kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian dan juga Majlis Tertinggi UMNO, adakah kebanyakan daripada mereka ini memahami dan menghayati asas dan agenda perjuangan UMNO seperti yang telah digubal dan diperjuangkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu seperti Allahyarham Dato' Onn Jaafar, Almafhum Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Razak..? Berapa orang yang faham tentang agenda Melayu dan Islam dalam Matlamat dan Tujuan UMNO ditubuhkan. Jangankan kepimpinan peringkat cawangan, kalau kita tanya pada kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO sendiripun, mungkin sebahagian besar daripadanya tidak menghayati agenda Melayu dan Islam ini. Kebanyakan mereka hanya mewarisi kepimpinan UMNO , dan tidak mewarisi perjuangan UMNO.

4. Layakkah mereka ini menjadi pemimpin kepada sebuah parti terbesar umat Melayu sekiranya mereka tidak faham tentang asas dan tujuan penubuhan UMNO itu sendiri. Fasal 3 (Asas dan Tujuan ) dalam Perlembagaan UMNO menjelaskan :

"UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
3.1 Mempetahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri
dan Raja Berperlembagaan.

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta
menghormati prinsip kebebasan beragama.

3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan sistem
pemerintahan demokrasi berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan
bumiputra khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5 Menjamin kedudukan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang
tunggal dan kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa malaysia yang kuat
dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi manusia dan hak-hak istimewa orang
Melayu dan Bumiputera.

5. T
erdapat 6 asas dan tujuan UMNO itu ditubuhkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO di atas. Daripada keenam-enam asas dan tujuan tersebut, adakah seluruh kepimpinan UMNO memahami serta menghayatinya untuk direalisasikan dalam perjuangan mereka demi untuk kepentingan agama, bangsa dan negara?

6. Sebaliknya, UMNO yang telah diberi mandat oleh orang Melayu selama lebih 50 tahun sebagai parti pemerintah di peringkat Kerajaan Pusat dan sebahagian besar kerajaan-kerajaan negeri selama ini masih gagal untuk memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub dalam asas perjuangan UMNO, iaitu :

a. Pegangan Ekuti Melayu dan Bumiputera sebanyak 30 peratus masih belum tercapai. Kini cuma dianggarkan sekitar 15 - 18 Peratus sahaja. Itupun setelah diambil kira aset serta pegangan ekuti anak-anak syarikat kerajaan (GLC ). Kalau berdasarkan kepada pegangan individu, cuma mungkin tidak sampai 3 peratus.

b. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Bahasa Inggeris masih lagi menjadi bahasa utama dalam sistem kehakiman dan perundangan dan juga dalam urusan perniagaan. Umpamanya perjanjian jual beli bahasa Inggeris masih lagi digunakan secara meluas.

c. Kebudayaan Kebangsaan hendaklah berteraskan kepada kebudayaan Melayu. setakat mana UMNO telah mempertahankan kebudayaan kebangsaan di negara ini agar ianya berkonsepkan serta berteraskan kepada kebudayaan Melayu. Lihatlah corak dan jenis hiburan yang dipertontonkan oleh Media elektronik arus perdana masa kini, termasuk media rasmi kerajaan seperti RTM - ianya masih tidak menggambarkan kebudayaan Melayu sebagai terasnya. Apakah peranan Menteri-Menteri UMNO yang memimpin kementerian berkenaan bagi memartabatkan kebudayaan Melayu di negara ini..?

d. Hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Bagaimana Menteri Kabinet daripada kalangan pemimpin UMNO boleh terlepas pandang dan menutup sebelah mata apabila JPA telah meluluskan Biasiswa Pelajaran ke luar negara kepada pelajar Melayu dan Bumiputera hanya 55 peratus. Sepatutnya kuota untuk melayu dan bumiputra mesti dikekalkan sebanyak 90 peratus. Kenapa kita agihkan kuota kepada bukan bumiputera sehingga 45 peratus ? Tak faham aspirasi perjuangan Melayu ke..?

6. Pada pandangan dan hemat saya, kebanyakan kepimpinan kecil UMNO di peringkat cawangan yang berjumlah lebih 1 juta orang yang telah saya perkatakan tadi memang faham serta menghayati asas dan perjuangan UMNO itu. Mereka memang sentiasa prihatin terhadap perjuangan melayu dan Islam. Cubalah perhatikan setiap usul dan juga perbahasan yang telah mereka lakukan di peringkat cawangan pada setiap kali/tahun mesyuarat cawangan UMNO diadakan. Kebanyakannya cukup prihatin dengan perjuangan melayu dan agenda Islam dalam perjaungan mereka.

7. Walaupun kebanyakan mereka ini amat komited dan beriltizam dari segi perjuangannya untuk mempertahankan ketuanan melayu dan kesucian Islam, namun mereka tidsak bijak untuk memilih pemimpin tertinggi di peringkat Bahagian serta Pusat ( majlis tertinggi ) bagi melaksanakan serta meneruskan perjuangan ini. Kebanyakan yang mengkhianati serta menghancurkan perjuangan melayu serta agenda Islam ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO adalah terdiri daripada kalangan mereka yang berkuasa di peringkat tertinggi yang dilantik menjadi Menteri-Menteri dan juga Exco-Exco di peringkat negeri. Mereka inilah kebanyakannya yang tidak memiliki ruh kemelayuan dan keislaman yang tulin. Salah siapa? Ini semua adalah kesilapan pemimpin-pemimpin kecil di peringkat cawangan yang terpengaruh dengan kepimpinan politik berasaskan kepada wang ringgit. Mereka langsung tidak pandai menilai kaedah memilih kepimpinan berasaskan kepada perjuangan dan juga keperibadian (akhlak).

8. Itulah sebabnya mengapa pada Pilihanraya Ke-12 yang lalu orang-orang Melayu yang tidak mempunyai kuasa di dalam UMNO telah menghukum UMNO menerusi demokrasi pilihanraya, yang mengakibatkan UMNO telah menjadi pembangkang di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

9. Justeru, saya menyeru kepada ahli-ahli UMNO, para pemimpin kecil peringkat cawangan UMNO di seluruh negara pada kali ini agar bijak untuk membuat pilhan tentang siapakah yang layak dan patut menjadi pemimpin mereka. Jangan lagi budaya sogokan ataupun rasuah politik wang menjadi satu budaya yang tebal dalam setiap pemilihan UMNO. Pecahkanlah tradisi buruk dan hina ini agar parti UMNO akan menjadi parti yang terunggul di kalangan parti-parti melayu di negara ini. Jika tidak sedar dan insaf pada kali ini, saya yakin dan percaya bahawa Pilihanraya Ke-13 akan datang bukan lagi menjadi milik UMNO dan BN.

10. UMNO akan layak menjadi pejuangan kepada bangsa Melayu dan juga sebagai pembela kepada Ugama Islam di negara ini, jika keenam-enam asas dan tujuan penubuhan UMNO seperti yang termaktub dalam Perlembagan UMNO di hayati oleh kepimpinan Tertinggi UMNO dan semua peringkat termasuk bahagian dan cawangan.Ini pandangan ikhlas daripada saya. Bukan nak mengata dan bukan nak mencerca. Terimalah hakikat dan kenyataan. Hidup Melayu... Hidup Melayu...Hidup Melayu.!