Translate

Saturday 22 November 2008

WASIAT RAJA-RAJA MELAYU 51 TAHUN LALU



Assalamualaikum. Untuk makluman tuan/puan, saya berkesempatan pada pagi tadi menghadiri suatu Persidangan Meja Bulat anjuran Gabungan Graduan Muda Melayu di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Dalam persidangan tersebut satu ucaptama telah disampaikan oleh Y.Arif Dato' Mohd Noor bin Abdullah, iaitu Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia. Apa yang disampaikannya mengenai Hak Mutlak dan Kedudukan Istimewa Kaum Melayu tidak dapat diperolehi menerusi mana-mana pensyarah ataupun para pengamal undang-undang di negara ini. Begitu juga tidak dapat diperolehi maksud serta tafsiranya secara tersurat menerusi pembelajaran formal di universiti-universiti. Saya bersama-sama dengan 200 orang peserta yang mengikuti ucaptama daripada seorang bekas Hakim ini amat bertuah dapat mengikutinya. Justeru, saya ingin menyampaikan serta memanjangkan perkara ini kepada tuan/puan sekelian untuk kita kongsi bersama. Ikutilah seterusnya di bawah ini..

1. Yang Arif Dato' Mohd Noor Abdullah ( Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia ) menceritakan bahawa beliau telah membaca WASIAT RAJA-RAJA MELAYU dan PEMIMPIN MELAYU yang diperbuat 51 tahun dahulu ketika negara kita mencapai kemerdekaan, iaitu :

" KAMI WASIATKAN kepada zuriat keturunan kami 7 PERKARA yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.

7 PERKARA ITU IALAH :

Pertama - Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU ( sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA )

Kedua - Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain,

Ketiga - Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hakmilik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara,

Keempat - Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini,

Kelima - Kami isytiharkan ISLAM ialah agama persekutuan,

Keenam - Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU dan,

Ketujuh - Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. ( kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak ).

2. Demikianlah tujuh wasiat yang telah diceritakan oleh Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia ini di Persidangan Meja Bulat anjuran Gabungan Graduan Muda Melayu ( GGMM ) pada hari ini 22 hb November 2008 di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

3. Huraian mengenai ketujuh-tujuh wasiat Raja-Raja Melayu ini tidak dapat nak saya tulis serta gambarkan di sini kerana ianya lebih banyak bersifat tafsiran yang tersirat berasaskan kepada Perlembagaan Malaysia. Saya terpaksa mendengar dengan teliti selama hampir 3 jam bagi memahaminya. Kalau saya tulis ringkasannya di sini, dibimbangi ada di kalangan pembaca sekelian yang tidak dapat memahaminya secara objektif dan komprehensif. Ianya perlu difahami satu persatu berasaskan beberapa artikel (Fasal ) yang berkaitan dengannya di dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Sebagai rujukan dan makluman terperinci, sila lihat Perlembagaan Persekutuan mengenai fasal-fasal berikut :

Perkara 3 (1), (2), (3) dan (5)
Perkara 11.
Perkara 12.
Perkara 38 (5).
Perkara 152.
Perkara 153.
Perkara 181 (1).

5. Jika tuan/puan nak dapatkan kefahaman mendalam sebagaimana yang saya perolehi menerusi persidangan ini, tuan/puan bolehlah menghimpunkan beberapa orang kawan ataupun kumpulan sekitar 10-20 orang dalam satu bengkel khas yang akan saya sampaikan selama 3 jam. Saya sedia untuk memberikan penjelasan secara detail bagi memberi semangat dan kefahaman kepada tuan/puan mengenai kepentingan agenda Melayu dan Islam berasaskan kepada ketujuh-tujuh wasiat ini. Perkhidmatan saya adalah berbentuk 'AMAL JARIAH' ( Tiada bayaran dikenakan demi Melayu dan Islam ).

6. Justeru, sebagai pejuang Melayu serta para pemikir Melayu sekelian; saya ingin bertanya..! Adakah selama ini para pemimpin Melayu tidak kira sama ada dari kalangan parti UMNO ataupun PAS telah melaksanakan ketujuh-tujuh wasiat seperti yang tertera di atas. Kenapa kaum Melayu dan umat Islam di Malaysia pada hari ini dicemuh, diperlekeh, dicabar serta diperalatkan oleh kaum-kaum lain yang anti Melayu dan Islam.? Tolong hebahkan wasiat ini kepada mereka agar mereka insaf dan kembali kepangkal jalan.




“Sudah tiba masanya untuk orang Melayu mengambil sikap 'menyerang' bagi memastikan hak-hak yang dinikmati selama ini dapat dipertahankan. .