Translate

Sunday 16 November 2008

PERISYTIHARAN PRIBUMI PERKASA 16 NOV 2008

Pada 16 hb Nov 2008 , jam 0.800 pagi - 1.00 tengahari di Memorial Tun Hussein Onn, Bukit Perdana, Kuala Lumpur ; saya telah berkesempatan menghadiri satu majlis Wacana Perkasa anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA ) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia. Ucaptama wacana ini telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia. Di akhir wacana ini, satu deklarasi yang dinamakan PERISYTIHARAN PERKASA MENGENAI HAK-HAK PRIBUMI DALAM PERLEMBAGAAN telah disepakati. Teks kepada Pengisytiharan tersebut adalah seperti berikut:

BISMILLAHIR-RAHMANIR-RAHIM.

1) MENGINSAFI BAHAWA kelangsungan dan kejayaan Persekutuan Malaysia akan sentiasa bergantung kepada kejayaan sebenar usaha-usaha pengisian Kedaulatan Melayu dan Pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia;

2) MENYEDARI BAHAWA sebarang usaha untuk menafikan kedudukan, kuasa, wibawa, kepentingan dan peranan Kedaulatan Melayu dan Pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia akan menghasilkan ketidaktentuan kepimpinan negara dan amalan politik yang tidak terarah danb lemah;

3) MENYEDARI BAHAWA ancaman-ancaman terhadap kelangsungan dan kejayaan Persekutuan Malaysia yang berteraskan kepada Kedaulatan Melayu dan pribumi, telah dan sedang berlaku dengan hebat, tersusun dan menyeluruh, yang menuntut perjuangan dan tindakan-tindakan penentangan dari bangsa Melayu dan pribumi, serta masyarakat terbanyak;

4) MENGETAHUI BAHAWA kaum bukan Melayu di Malaysia memiliki jaminan hak dan kepentingan sah pada tahap paling tinggi di bawah perlindungan Seri PadukanBaginda Yang DiPertuan Agong;

MAKA dengan berpandu kepada fakta-fakta yang benar, bukti-bukti sejarah dan bukti-bukti terkini dan hujah-hujah yang sah, KAMI Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dengan kerjasama Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang bersidang pada hari ini, 16 November 2008 bersamaan 18 Dzulkaedah 1429H, dalam wacana Hak-Hak Pribumi dalam Perlembagaan di Auditorium Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, dengan tegas dan lantang menyatakan bahawa :

SATU - MENGGESA pihak kerajaan (persekutuan dan negeri ) agar sentiasa mendapatkan restu dan perkenan DYMM Raja-Raja Melayu bagi apa jua tindakan pentadbiran yang menyentuh atau berkaitan dengan hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Pribumi di Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain;

KEDUA - MENGGESA semua pihak supaya menghormati semangat perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan yang secara langsung atau tidak langsung menjejas dan menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Di atas semangat yang sama, kami menuntut dilaksanakan penggunaan sepenuhnya Bahasa Melayu dalam urusan perundangan dan kehakiman negara;

KETIGA - MENGINGATKAN bahawa peruntukkan asas perlembagaan adalah suatu piagam yang tidak boleh sama sekali di ubah, dipinda, dibuang, dimansuh atau dicabar secara sewenang-wenangnya. Ini kerana peruntukkan-peruntukkan asas tersebut bukan sekadar suatu dokumen undang-undang, tetapi ia mencatatkan dan melambangkan semangat permuafakatan dan kerjasama pelbagai pihak dan kepentingan;

KEEMPAT - MENCADANGKAN agar kedudukan tanah rezab Melayu dan regimen askar Melayu dimasukkan di bawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan kepada perkara 159 Fasal (5) dan perkaras 10 fasal (4). Ini berdasarkan hakikat bahawa perlembagaan adalah suatu piagam yang di dalamnya terjamin maktub struktur asas Negara bangsa Malaysia ;

KELIMA - PERCAYA bahawa faham ketuanan Melayu sering disalah tafsir sedangkan ianya adalah satu hakikat sejarah bahawa orang Melayu dan pribumi lainnya adalah tuan rumah asal negara ini. Pembuktian mengenai faham ketuanan ini secara langsung telah dilambangkan melalui institusi Raja-Raja Melayu melalui ketuanan berhemah seperti yang terjamin maktub di dalam perlembagaan persekutuan. Justeru, itulah seluruh peruntukkan dalam perlembagaan Raja Melayu dan pribumi tidak boleh dipertikaikan;

KEENAM - MENGUSULKAN agar beberapa peruntukkan khas perlu diadakan dan dilindungi di bawah perlembagaan bagi memelihara dan memajukan kedudukan dan kepentingan golongan yang daif dan miskin secara saksama tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama;

KETUJUH - MENGGESA agar semua rakyat, terutamanya generasi muda serta pemimpin semua peringkat, wajib memahami isi kandungan serta peranan perlembagaan dalam menjamin ketenteraman dan keharmonian Malaysia sebagai sebuah Negara bangsa. Untuk itu kerajaan pusat dan negeri harus mewajibkan kefahaman ini kepada kumpulan sasar melalui sistem pendidikan atau kursus-kursus khas seperti pusat latihan khidmat Negara ;

KELAPAN - MENGGESA agar semua parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar mengakui dan menerima peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan hak-hak keistimewaan kaum melayu dan bumiputra serta kepentingan-kepentingan sah kaum lain serta tidak mengeksploitasi peruntukan di atas bagi maksud-maksud sempit sehingga menggugat keharmonian dan kestabilan Negara bangsa.

Menginsafi dan menyedari bahawa perjuangan mempertahankan yang hak dan benar dan memperkasakan Kedaulatan melayu dan pribumi memerlukan beberapa tindakan segera, maka KAMI mengesyorkan :

(i) Supaya dirangka dan dilaksanakan satu program raksasa memberi pendidikan dan memasyarakatkan, berdasarkan kumpulan sasaran yang ditetapkan akan kedudukan, kuasa, wibawa, kepentingan dan peranan Kedaulatan melayu dan pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia, di mana Institusi Raja-Raja Melayu mohon Menjungjung Kasih akan berperanan sebagai Penaung dan Penasihat;

(ii) Supaya diambil tindakan menyusun kurikulum program pemasyarakatan ini secara lengkap dan kaedah penyampaiannya ditentukan supaya berkesan ditahap di mana kumpulan sasaran berupaya menjiwainya;

(iii) Supaya disusun strategi yang menyeluruh dan bertindak secara bijaksana dan berkesan bagi mengalahkan peperangan psikologi dan saraf, usaha-usaha halus dan terang-terangan penghakisan dan pengkhianatan terhadap asas-asas, struktur-struktur dan kekuatan Kedaulatan Melayu;

(iv) Menggesa pihak yang bertanggungjawab agar merangka pelan-pelan dan jangkamasa tindakan serta pengukuran kejayaan terhadap usaha-usaha memperkasakan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan pribumi serta mendapatkan pandangan dan maklum balas dari Duli-Duli Yang Maha MUlia Raja-Raja Melayu selaku Penaung dan Penasihat, dan melaksanakan semua pelan-pelan tindakan ini sehingga berjaya.


KUALA LUMPUR
16 November 2008/ 18 Dzulkaedah 1429H