Islam Hadhari : Suatu Pendekatan Pembangunan
Dan Kesederhanaan
Sebab itulah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menjelaskan dengan jujur dan telus tentang konsep dan falsafah Islam Hadhari ini dengan mengutarakan bahawa:
Justeru , dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan Islam Hadhari maka pembangunan negara harus dicanai ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat. Inilah apa yang hendak diaplikasikan oleh Perdana Menteri yang terkandung di dalam ucapan dasarnya ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO ke-55 iaitu:
“Islam Hadhari memberi penekanan kepada pembangunan – pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan . Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik. . Pembanguanan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global”
Sesungguhnya dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan kita adalah amat konsisten dalam hal membina tamadun ini. Sejak kita mula merdeka hinggalah ke hari ini, berbagai-bagai dasar telah digubal dan dilaksanakan dengan mengambil kira strategi memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat. Antara dasar-dasar utama seperti Dasar Pendidikan, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pertanian, Dasar Penswastaan, Dasar Sains dan Teknologi, Dasar Kependudukan, Dasar Belia dan banyak lagi semuanya mempunyai matlamat yang sama untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat. Demikian juga dalam hal-hal pentadbiran dan pengurusan, seperti Dasar Bersih, Cekap dan Amanah, Penerapan Nilai-Nilai Islam, Kepimpinan Melalui Teladan dan TQM, telah menjelaskan betapa kerajaan amat prihatin terhadap hal pentadbiran yang berkesan. Ini semua telah menjadi asas dan ramuan yang amat penting ke arah merealisasikan hasrat kita mencapai matlamat bernegara berasaskan konsep Islam Hadhari.
UMNO memilih pendekatan yang tidak mengamalkan kekerasan. Di sebaliknya, kekuatan UMNO terbukti dilandaskan kepada pendekatan perjuangan penuh berhikmah ( bil-hikmah ). Perjuangan yang berasaskan tamadun bangsa yang mementingkan kebijaksanaan akal dan pemikiran rasional. Perjuangan berpandukan budi pekerti tinggi dan jiwa yang tenang. Ianya selaras dengan firman Allah s.w.t. :
ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن ، إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين.
Bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk” ( Al-Quran - Surah an-Nahl : Ayat 125 )