Berikut adalah sedutan Ucaptama Datuk Mohd Nakhaie Ahmad - Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) di Muktamar MAIM yang dirasmikan oleh SPB Yang DiPertuan Agong di PICC, Putrajaya pada 13 Januari 2009.
1. Setelah setengah abad negara ini mencapai kemerdekaan, cita-cita menjadikannya sebuah negara di mana rakyatnya bersatu padu, tidak menampakkan sinar yang jelas. Sebaliknya perkauman membara dan mengeluarkan asap tebal, yang mengaburi pandangan terhadap perpaduan yang hendak dicapai. Apakah bentuk dan corak perpaduan itu, bagaimana perpaduan itu hendak diwujudkan dan bagaimanakah kedudukan hak dan status pelbagai kaum yang hendak disatukan dalam adunan bangsa Malaysia.
2. Bara perkauman yang mengeluarkan asap tebal itu, cuba ditiup oleh sebahagian orang. Mereka bukan sahaja menyebabkan sinar perpaduan bertambah malap. Bahkan berusaha mengaburi pandangan terhadap sejarah. Mereka mengandaikan negara ini bukan milik sesiapa. Semua penduduknya adalah pendatang. Tiada sesiapa yang mempunyai hak ke atasnya. Justeru, semua rakyat adalah sama rata, sama rasa.
3. Hakikatnya, ketika orang-orang Inggeris membawa masuk orang-orang Cina dan India ke negara ini, Tanah Melayu bukan tanah kosong tiada bertuan. Ia bukan tanah gersang tanpa penduduk. Ia bukan bumi kontang tanpa sistem pemerintahan. Ia bukan negeri tanpa raja dan rakyat, tanpa budaya dan ketamadunan, tanpa tradisi ilmu pengetahuan dan adat istiadat. Ia bukan negara tanpa undang-undang dan hukum, tanpa sejarah jatuh bangun dalam peredaran masa dan zaman.
4. Kedatangan orang-orang Barat bermula dengan Portugis, Belanda dan Inggeris adalah sebagai penjajah yang mengalahkan empayar Islam global yang sedang mengalami keruntuhan. Bukannya menakluki sebuah tanah gersang dan gugusan kepulauan kosong tanpa penghuni, tanpa peradaban dan sejarah. Hanya bara perkauman yang mengeluarkan asap tebal, ditiup oleh politik perkauman, cuba menutup pandangan terhadap hakikat sejarah yang nyata ini. Penjajah yang mempunyai kekuatan besar turut mengakui hakikat sejarah itu. Hanya pendatang yang dahulunya merempat, cuba menafikan hakikat sejarah ini, apabila merasakan diri mereka sedikit kuat setelah berjaya menguasai sebahagian besar kekayaan ekonomi negara ini.
5. Penjajah yang menakluki negara ini dan membawa masuk orang-orang Cina dan India yang beragama Buddha dan Hindu, mengakui negara ini adalah negara Melayu, negara Islam yang mengamalkan hukum-hukum Islam dan adat istiadat Melayu sejak dulu. ”Adat (sistem) bersendikan syarak dan syarak bersendikan kitabullah dan sunnah Rasul-Nya.” Negara ini berada dalam rangkaian tamadun Melayu/Islam yang mempunyai hasil-hasil ilmu pengetahuan dan falsafah hidup tersendiri. Negara ini pernah menjadi pusat tamadun besar. Ia bukan tanah kosong yang tidak punyai apa-apa yang hanya didiami orang-orang primitif yang tidak punya peradaban dan tamadun.
6. Tidak ada penghinaan paling besar dan paling memalukan terhadap umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini selain daripada penafian terhadap sejarahnya, menidakkan tamadunnya, memperkecil dan mempersendakan hak-haknya dan menganggapnya pendatang di negara sendiri oleh keturunan kaum-kaum pendatang yang dibawa masuk oleh penjajah.
7. Mereka yang bersuara sumbang menafikan sejarah negara ini, dilahirkan di Malaysia, mewakili mentaliti orang-orang seperti mereka daripada keturunan kaum pendatang. Sebahagian mereka bertanding dalam pilihan raya di kawasan majoriti Melayu dan menang dengan undi orang-orang Melayu. Walaupun dilahirkan di Malaysia, tetapi tebal dengan semangat perkauman. Tidak kedengaran daripada nada suara mereka semangat kemalaysiaan yang cuba dipupuk dan dibelai selama setengah abad ini. Walaupun sebahagian mereka menumpang di kawasan Melayu sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi-pengundi Melayu, tetapi semangat chauvinism terus menebal. Tiada sedikit pun perasaan untuk membalas budi kepada orang-orang Melayu yang memberi undi untuk mewakili mereka dan tiada sedikit pun tanda mereka memiliki semangat kemalaysiaan. Jika mereka bersemangat Malaysia, tentunya semangat itu terpancar daripada kefahaman terhadap sejarah. Tidak mungkin semangat kemalaysiaan itu tumbuh dalam jiwa orang-orang yang jahil mengenai sejarah negara ini.
8. Di mana salahnya? Orang-orang seperti ini yang lahir di sini dan sudah beberapa generasi menjadi rakyat negara ini, masih tidak bersedia meninggalkan semangat perkauman dan menggantikannya dengan semangat kemalaysiaan. Sedangkan orang-orang Melayu yang sebati dengan sejarah awal tamadun Melayu/Islam dan menjadi sebahagian daripada budaya dan tamadun alam Malayu, sanggup bertolak ansur dan menerima semangat kemalaysiaan itu. Mereka memberi undi sehingga banyak di kalangan orang-orang Cina dan India, menang di kawasan majoriti orang-orang Melayu. Tetapi tolak ansur orang-orang Melayu itu seolah-olah tidak dihargai oleh mereka.
...... Peruntukan perlembagaaan negara ini yang memberikan hak-hak istimewa kepada bumiputera, kedudukan Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, kedaulatan raja-raja Melayu dan hak kewarganegaraan kaum bukan bumiputera serta hak kebebasan beragama, adalah asas-asas penting bagi pembentukan negara ini yang menjadi acuan tamadunnya. Inilah negara Malaysia dan acuan pembentukan masa hadapannya. Malaysia bukannya, Amerika Syarikat, bukan negara Inggeris, bukan negara Cina dan bukan India. Malaysia adalah Malaysia yang mempunyai sejarah dan ketamadunannya yang tersendiri. Kita telah membuat pilihan ini. Inilah kita dan kita ingin membina kemajuan dan tamadun mengikut acuan kita sendiri. Jika sesiapa yang tidak suka dengan acuan ini dan lebih menyukai cara Amerika Syarikat, atau England atau Cina atau India, pergilah ke sana dan jadilah imigran di sana.
9. Negara kita bukan negara sekular seperti Amerika Syarikat, India dan Turki. Negara kita ialah negara beragama. Agama negara ini ialah Islam. Islam menjadi agama negara ini, bukan bermula dengan pengisytiharan kemerdekaan. Ia menjadi agama negara ini sejak dahulu lagi, sebelum kemerdekaan dan sebelum penjajah menakluki negara ini. Raja-raja Melayu adalah pelindung agama Islam dan kuasa mengenai Islam menjadi tanggungjawab mereka. Bolehkah, hakikat ini dinafikan dengan begitu mudah, sehingga semua agama di negara ini hendak disamaratakan?
10. Bagaimanapun, penganut agama lain, bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing dan mengembangkan agama itu di kalangan mereka. Tetapi amalan itu hendaklah dilakukan secara aman. Amalan agama yang tidak menghiraukan keamanan dan keselamatan, tidak dibenarkan oleh perlembagaan. Apakah sekatan syarat ini tidak adil? Siapakah yang tidak inginkan keselamatan dan keamanan? Sesiapa sahaja yang mengamalkan ajaran agama, secara melampau sehingga menggugat keamanan dan keselamatan, termasuk penganut agama Islam, tidak dibenarkan. Tidak sesiapa pun yang diberikan kebebasan untuk melakukan kekacauan dan kegiatan yang merosakkan keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Apakah sekatan ke atas kebebasan untuk melakukan kejahatan dan kekacauan, melanggar hak asasi manusia?
11. Inilah acuan non-sekular bagi negara ini, yang sekali gus tidak pula sebuah negara teokrasi sebagaimana negara teokrasi dalam sejarah peradaban Barat. Negara ini bukan sebuah negara di bawah penguasaan kelompok teologis yang memonopoli pentafsiran mengenai agama dan mengaplikasikan pentafsiran mereka dalam kehidupan masyarakat dan negara. Negara ini mengamalkan demokrasi yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan. Acuan negara kita ialah negara beragama yang demokratik yang berpegang kepada prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk rakyat.
12. Adalah jelas kemunculan negara kita berteraskan kemelayuan dan keislaman. Hak-hak istimewa orang-orang Melayu, kedaulatan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, adalah kerangka kepada kemelayuan dan keislaman negara ini. Ada orang berkata bahawa hak istimewa orang Melayu perlu dihapuskan suatu hari nanti supaya orang Melayu mampu bersaing. Tetapi, bukankah peningkatan keupayaan orang-orang dan kemajuannya yang dicapai sekarang ini berkat adanya hak-hak istimewa itu? Bukankah keupayaan orang Melayu bersaing di peringkat global dalam industri petroleum kerana adanya hak istimewa itu? Adanya hak istimewa orang-orang Melayu, sebenarnya, menjamin kemajuan mereka dan membantu mereka untuk memiliki daya saing.
13. Kita mengharapkan rakyat bukan beragama Islam, turut mendokong acuan pembentukan negara ini dan kerangka kemajuan dan peradabannya, dengan penuh kesedaran bahawa acuan kemajuan dan tamadun yang dibentuk itu, tidak sedikit pun mengurangkan peluang mereka untuk maju dan berjaya. Mereka seharusnya menerima hakikat bahawa mereka menjadi rakyat sebuah negara yang sudah pun mempunyai acuan peradaban dan tamadun yang tersendiri. Mereka seharusnya berusaha menyesuaikan diri dengan bentuk dan corak kehidupan dalam negara ini yang bersumberkan sejarah dan peradaban Melayu/Islam yang tidak mungkin mampu dipinda oleh mereka untuk memuaskan keinginan golongan ekstrem di kalangan mereka. Orang-orang Hindu di negara ini tidak boleh berlagak seperti orang-orang Hindu di India dan orang-orang Buddha tidak boleh berlagak seperti orang-orang Buddha di Cina atau di Thailand.
14. Saya yakin bahawa Badan-badan Amal Islami yang hadir pada hari ini bersependapat dengan saya bahawa kepentingan Islam dan umat Islam tidak akan terbela melainkan di tangan orang-orang Islam sendiri dan acuan kenegaraan dan ketamdunan negara ini, tidak akan dipedulikan melainkan umat Islam sendiri menjadi tonggak kekuatan yang mendokong dan menggerakkannya ke hadapan. Justeru, mereka perlu memperkasakan diri dan perjuangan, dengan pengukuhan jati diri mereka sebagai Muslim yang beriltizam kepada ajaran Islam dan perjuangan menegakkannya, dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan dan dengan kesedaran mendalam bahawa Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Keadilan yang hendak ditegakkan oleh Islam bukan hanya untuk orang Islam, tetapi untuk manusia keseluruhannya. Bagi menegakkan keadilan sejati masyarakat Islam yang beriman dan bertaqwa mestilah berada di tempat kepimpinan dan mempunyai kekuatan yang mampu membela kebenaran dan keadilan. Keunggulan sahsiah umat Islam adalah senjata penting untuk memartabatkan Islam dan meletakkan umatnya sebagai pemimpin yang sebenarnya.