Translate

Friday, 2 January 2009

AKAL TAK BERPANDUKAN WAHYU

1. Hari ini Jumaat 2 hb Januari 2009, saya berkesempatan solat maghrib di Surau Al-Mawaddah, Taman Mutiara B.B.Bangi. Al-Hamdulilllah selepas solat maghrib ada Kuliah maghrib yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd. Kamal Hasan, mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM). Kalau nak tahu lebih lanjut apa isi penting kuliah Prof. Kamal, sila baca selanjutnya di bawah ini..!

2. Beliau telah mentela'ah Kitab Ihya' Ulumuddin, karya Imam al-Ghazali. Prof Kamal telah memfokuskan pengajian kepada perbahasan mengenai kepentingan AKAL di dalam menjana kekuatan berfikir. Akal yang boleh memberi kekuatan berfikir adalah akal yang menggunakan sentuhan dan bisikan lubuh hatinya dalam menilai sesuatu perkara yang berasaskan kepada pedoman wahyu Ilahi dan Sunnah Nabi. Akal yang dicerna hanya melalui ilmu duniawi semata-mata tidak boleh memberi manfaat kepada manusia dan juga kepada alam sejagat.

3. Prof. Kamal telah menjelaskan lagi bahawa apa yang berlaku hari ini ialah manusia yang berakal dan berpengetahuan tinggi dewasa ini hanya menggunakan kekuatan akal mereka semata-mata untuk menilai sesuatu kejadian ataupun kesan buruk yang berlaku di dalam sesuatu negara sama ada dari segi ekonomi, sosial, politik dan juga soal kehidupan harian manusia. Mereka langsung tidak melihat ataupun mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dengan pedoman wahyu Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Itu sebabnya apabila berlaku sahaja kejadian buruk ataupun impak sosial dalam masyarakat, termasuk kesan malapetaka alam semulajadi maka mereka akan sentiasa merujuk kepada hukum akal dan juga pakar-pakar sains moden untuk membuat sesuatu rumusan dan juga jalan penyelesaian. Ternyata ianya tidak boleh menyelesaikan masalah.

4. Sebab itulah Imam al-Ghazali dalam kitabnya ini telah menegaskan bahawa Akal itu hanya boleh berperanan dan juga berfungsi dengan baik apabila ianya didasarkan kepada pedoman al-Quran dan al-Hadis. Ini kerana akal hanya boleh menjangkau dan menjangkakan tentang perkara-perkara zahir yang boleh dirasa, yang boleh dikesan, yang boleh diukur dan boleh di nilai oleh pancaindera sahaja. Sebaliknya, akal yang berpandukan kepada al-Quran dan Hadis, ianya boleh menjangkakan sesuatu yang di luar batas-batas tersebut yang tidak diketahui oleh ilmu sains moden.

5. Prof. Kamal telah membawa satu contoh di mana masyarakat dunia dan sebahagian penduduk di negara kita sekarang ini terlalu vokal di dalam membiacrakan tentang hak-hak asasi manusia (human right ). Mereka sering menggunakan alasan dan juga sandaran betapa perlunya dunia hari ini mengutamakan kepentingan hak-hak individu yang perlu dihormati oleh sesuatu masyarakat dalam dunia moden. Dalam pada sebenarnya mereka lupa dan juga mengenepikan pula tentang hak-hak Allah. Sebenarnya Islam memang mengiktiraf hak-hak asasi manusia itu, tetapi ianya haruslah tidak mengabaikan kepentingan hak-hak Allah. Ramai yang menjadi jaguh dalam memperjuangkan hak asasi manusia tetapi tidak ramai yang ingin ke hadapan di dalam memperjuangkan hak-hak Allah.

6. Apa yang dapat saya simpulkan daripada kuliah Maghrib ini ialah, amat ramai para cendikiawan dan juga para intelek muda hari ini yang sibuk bercakap soal demokrasi, keadilan sejagat, hak asasi manusia, hak-hak wanita dan juga hak-hak individu dalam negara ini - sehingga mereka merasakan bahawa diri mereka bebas untuk bersuara dan bercakap apa sahaja di dalam mana-mana media dan laman-laman blog; kononnya ini adalah hak asasinya untuk bersuara dan mengemukakan pendapat berdasarkan akal fikiran dan nafsu sempit semata-mata. Sedangkan mereka langsung tidak merujuk kepada panduan Ilahi yang berpandukan al-Quran dan Hadis. Allah membenarkan kita bersuara tetapi harus menjaga adab dan juga batas-batas yang telah disyariatkan. Akhirnya akal yang ada pada diri mereka telah disalahgunakan untuk melawan dan menentang hak-hak Allah.

7. Akibatnya kemampuan akal untuk berfikir selama ini hanya digunakan untuk mera'ikan hak-hak manusia semata-mata dengan mengenepikan hak-hak yang sepatutnya ditunaikan kepada Allah s.w.t. Ingat..! Apa yang kita perkatakan, apa yang kita tulis, apa yang kita lakukan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan nanti di hadapan Allah di hari Akhirat. Sama-samalah kita renungkan. Wassalam