Translate

Friday, 7 March 2014

JAUHILAH PIMPINAN YANG BERSIFAT RIAK DAN SOMBONG - YANG MUDAH DIDAMPINGI IBLIS

(Titah Ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Persidangan Ke-186, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, Perak - 6 Mac 2014)
 
Pemerintahan Islam pertama telah dirintis penubuhannya di Madinah daripada susulan peristiwa Hijrah. Antara tindakan awal yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk. Bancian yang dilaksanakan tidak hanya terbatas kepada membanci bilangan penduduk dari segi pecahan jantina, kaum dan usia, tetapi merangkumi aspek-aspek guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi dan pegangan agama. Data-data yang dikumpulkan, lalu dijadikan asas untuk merancang dan membangunkan sistem dan corak pemerintahan sebuah negara Kota Madinah atau The City State of Medina.

Dalam merangka formula sesebuah pemerintahan, maklumat yang tepat lagi terperinci, terutama mengenai profil penduduk merupakan komponen penting, demi memastikan program yang diformulasikan menepati keperluan serta bersesuaian dengan budaya, komposisi serta taburan penduduk setempat dan semasa. Nyatalah, Baginda Rasulullah SAW membangunkan pemerintahan dan mengolah kerangka urus tadbir negara berpaksikan ummah ataupun berkonsepkan people-centric .

Ketika sampai di Madinah, daripada jumlah 10,000 penduduk Madinah, bilangan umat Islam, kombinasi kaum Ansar Madinah berserta kaum Muhajirin Mekah hanya sekitar ratusan orang . Hampir 50 peratus penduduk Madinah ketika itu terdiri daripada keturunan Yahudi yang terpecah kepada 10 puak; sementara penduduk keturunan Arab terbahagi kepada 12 kabilah . Keadaan penduduk Arab di Madinah pula tidak segagah Arab Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan, serta mempunyai struktur politik yang tersusun.

Pada hakikatnya, negara Islam pertama di Kota Madinah dibangunkan atas dukungan rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai puak, pelbagai kabilah dengan kumpulan minoriti Islam diberikan kepercayaan berada di puncak sistem pemerintahan. Ia diperoleh melalui kebijaksanaan Rasulullah SAW merangkaikan kerjasama, menyatukan penduduk daripada pelbagai pegangan dan fahaman agama, latar belakang sejarah, status ekonomi serta kaum dan kabilah. Baginda berjaya memupuk hubungan harmoni, menyemaikan sifat saling menghormati, mempamerkan sifat toleransi, merangkaikan hubungan kerja yang produktif serta merangka strategi tanggungjawab pertahanan untuk menghadapi musuh.

Perlembagaan Madinah adalah Perlembagaan bertulis yang pertama di dunia; mengandungi 52 Perkara, berteraskan prinsip ‘Satu Pemerintahan - Satu Perundangan’, menempatkan Rasulullah SAW sebagai kuasa tertinggi kehakiman, perundangan dan eksekutif, sementara Rasulullah meletakkan diri Baginda sebagai seorang hamba dan pesuruh Allah, teguh berpegang kepada prinsip, hanya Allah yang memiliki sumber kuasa.

Para ilmuwan merumuskan bahawa Perlembagaan Madinah terbahagi kepada dua komponen. Komponen pertama: mengenai hubungan di antara umat Islam sesama Islam yang berjaya dicapai dalam tahun pertama berlakunya Hijrah, terkandung dalam Perkara 1 sehingga Perkara 23; sementara komponen kedua: menyusul selepas kejayaan tentera Islam dalam Peperangan Badar, mengenai prinsip hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi. Peperangan Badar disifatkan sebagai faktor yang melakarkan imej kekuatan umat Islam, meletakkan umat Islam berada dalam status yang disegani, digeruni lantas dihormati.

Senario tersebut berperanan mendorong kaum Yahudi untuk menandatangani perjanjian kerjasama, menjalinkan perikatan dan persetujuan perlindungan dengan umat Islam. Perlembagaan Madinah turut memberi jaminan bahawa kalangan bukan Islam diberikan kebebasan beragama. Bagi sebuah negara Kota (City State) dengan 10,000 penduduk, dan secara relatif tidak berhadapan dengan isu-isu yang terlalu kompleks pada era tersebut, Perlembagaan Madinah yang mengandungi 52 Perkara, adalah sebuah Perlembagaan yang sangat terperinci lagi komprehensif. Terkandung di dalamnya semangat-semangat kesetiaan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati, serta jaminan keadilan dan perlindungan saksama kepada setiap penduduk meskipun berlainan agama, kaum dan kabilah.

Senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah, adalah kajian kes yang menarik untuk dibandingkan dengan senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu :

Pertama: Rakyat di Tanah Melayu terdiri dari pelbagai penganut agama serta berlatar belakang pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Kedua: Tanah Melayu terdiri dari lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan empat Negeri Melayu Bersekutu di bawah pemerintahan sembilan Raja Melayu, serta dua Negeri Selat di bawah kuasa Gabenor Jeneral.

Ketiga: Tahap pencapaian ekonomi serta tahap penguasaan literasi yang berbeza di kalangan penduduk.

Keempat: Tercapai persefahaman antara penduduk pelbagai negeri, pegangan agama dan kaum untuk bekerjasama dan bersatu membina dan membangunkan sebuah negara merdeka.

Kelima: Orang Melayu meskipun penduduk majoriti, tetapi paling tertinggal dan berada di belakang dari segi literasi, pencapaian pendidikan, bilangan profesional, juga penguasaan eko­nomi. Namun orang Melayu diberikan sokongan untuk memimpin perjuangan kemerdekaan dan seterusnya pim­pinan Melayu diberikan kepercayaan untuk memimpin se­buah Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, selanjutnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Keenam: Pimpinan Melayu Islam memperlihatkan dan mengamalkan keadilan dengan memberikan hak dan perlindungan kepada bukan Islam dan bukan Melayu dari segi kebebasan beragama, budaya dan bahasa, berkonsepkan semangat Satu Negara - Satu Pemerintahan, dan setiap penduduk wajib membuktikan kesetiaan dalam semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang berjaya digubal adalah antara Perlembagaan bertulis yang disifatkan sangat komprehensif. Tun Mohamed Suffian (Allahyarham), mantan Ketua Hakim Negara dalam tulisannya mencatatkan:

Petikan:
"For such a small country Malaysia has a fearfully long and elaborate Constitution and the visitor from Mars may be forgiven for thinking that our Constitution must have been devised by a mad professor of constitutional law."

Terdapat beberapa unsur persamaan di antara senario dan semangat di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah dengan senario dan semangat di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Rakyat di Tanah Melayu, disusuli kemudiannya dengan rakyat di Sabah dan Sarawak ketika mencapai kata persetujuan penubuhan Malaysia, turut dirahmati Ilahi dengan barisan pemimpin yang ikhlas dan berwawasan jauh.

Di dalam hati dan jiwa Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra serta rakan-rakan pimpinan seangkatan, Allah telah memancarkan cahaya keikhlasan kepimpinan hingga segala kelemahan bangsa Melayu ketika itu, tidak menghalang untuk pemimpin Melayu Islam diberikan kepercayaan, diangkat untuk memimpin negara dan rakyat.

Apakah DNA kekuatan yang ada pada pimpinan Melayu Islam pada era pra dan pasca merdeka, begitu juga pada era pra dan pasca penubuhan Malaysia? Jawapannya terletak kepada kepercayaan rakyat akan sifat ikhlas dan kesungguhan pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat hingga ke peringkat mengorbankan diri masing-masing seperti yang dibuktikan oleh Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail, terus mengabadikan perkhidmatan kepada negara dan rakyat meskipun menanggung keuzuran penyakit yang berat.

Apakah serapah kekuatan yang ada pada orang Melayu Islam pada era pra dan pasca merdeka, begitu juga pada era pra dan pasca penubuhan Malaysia? Dalam kedua-dua era tersebut orang Melayu, meskipun berlainan kabilah politik, kekal bersatu dalam perkara-perkara prinsip menyentuh martabat dan maruah bangsa, dan umat Islam bersatu teguh mempertahankan perkara-perkara pokok menyentuh kesucian Islam. Di samping itu orang Melayu Islam ketika itu, turut bersedia menerima kepelbagaian serta menghormati perbezaan. Orang Melayu dan umat Islam ketika itu, berjiwa besar, terbuka sifatnya, luas pandangannya, lebih yakin pada dirinya lalu mencerminkan sifat kesederhanaan (moderation), menolak suara-suara ekstrem dan tidak akan mensensasikan perkara-perkara remeh. Melayu Islam ketika itu bersedia menerima kepelbagaian, menghormati perbezaan dan tidak bersifat homogenik.

Umat Islam dan orang Melayu yang berlainan pandangan dibawa berdiskusi dan berdialog secara rasional lagi bertamadun selaras dengan sifat ilmuwan yang berusaha untuk membantu ummah menemui cahaya kebenaran. Umat Islam dan orang Melayu hari ini, jangan tersalah sukat, jangan tersilap bacaan, merasakan diri mereka sudah terlalu kuat. Umat Islam dan orang Melayu muncul sebagai tenaga pimpinan yang kuat di bumi ini pada era pra dan pasca merdeka, kerana mereka ketika itu menyedari kelemahan dan kekurangan ummah dan bangsanya, lalu majoriti mereka mengambil pendirian, berusaha mengumpul dan menggabungkan setiap kekuatan yang ada sesama mereka,

‘... menjemput yang jauh
menghimpun yang dekat
kalau alim hendakkan doanya
kalau kaya hendakkan emasnya
kalau buta penghembus lesung
kalau pekak pembakar bedil ...’

Falsafah perpaduan yang digambarkan melalui perbilangan Adat Perpatih itu diadaptasi oleh orang Melayu, lalu terbina satu tenaga atau force yang dihormati, memiliki kegagahan mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa, berupaya menyebarkan syiar Islam dan mengangkat martabat bangsa.

Kini, sumber kekuatan ummah dan bangsa kelihatan semakin diruntuhkan berpunca daripada pelbagai kemungkaran. Umat Islam dan orang Melayu ketika ini pula semakin berlumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukiskan wajah Melayu mana yang lebih hodoh. Jika keadaan ini terus berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan bangsa Melayu di bumi ini.

Ketika bangsa tersilap anggapan bahawa dirinya telah begitu ke hadapan dalam era modenisasi dan globalisasi, ada baiknya diingatkan kembali, pesanan orang tua-tua, ‘buat baik berpada-pada - buat jahat jangan sekali’, ‘jika tersesat di hujung jalan - segera balik ke pangkal jalan’, agar bangsa tidak akan berakhir dengan senario menang sorak - kampung tergadai, bernasib setinggan di bumi sendiri.

Semoga Allah SWT mengamanahkan tangungjawab pimpinan negara dan pimpinan ummah di kalangan hambanya yang memiliki sifat-sifat tawaduk dan takwa, memiliki kekuatan membela nasib bangsanya serta ketegasan mempertahankan kesucian Islam, dan turut berjaya membawa ummah dan watan mencapai nikmat kesejahteraan di bawah naungan pemerintahan yang senantiasa mendapat rahmat Ilahi. Jauhilah pimpinan ummah dan negara daripada terlepas ke tangan orang-orang bersifat riak dan sombong hingga mereka begitu mudah didampingi Iblis untuk melakukan kerosakan di bumi ini. 

Semoga Allah SWT menganugerahkan taufik dan hidayah kepada Beta serta ahli-ahli Majlis untuk dapat membangunkan ummah dan watan menurut yang diredai oleh Mu Ya Allah. Amin, Ya Rabul ‘Alamin.