Translate

Thursday 8 October 2009

PAS TIADA TARING PEJUANGKAN SUARA ISLAM DAN ORANG MELAYU

Artikel ini adalah sumbangan Gerakan Media Baru.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dilihat paling mengancam untuk jadi wadah politik alternatif untuk orang Melayu selain Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Setakat ini keanggotaannya solid untuk orang Melayu – Islam, saling tak tumpah seperti parti UMNO iaitu satu-satunya parti dan parti asal orang Melayu yang kemudiannya melahirkan PAS.

Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) adalah parti campuran. Walaupun setakat ini pendukung utama ialah orang Melayu, tidak mustahil ia bakal diketuai oleh orang bukan Islam di masa hadapan.

Parti Tindakan Demokratik (DAP), walaupun ada orang Melayu yang sudah tersesat jauh menganggotainya, sudah tentu langsung tiada harapan perjuangkan Islam kerana sentiasa menentang segala yang bersangkutan dengan Islam. Kita tidak akan melupakan amaran pengerusinya Karpal Singh bahawa kena langkah mayatnya jika mahu menubuhkan negara Islam. Padahal negara Islam – Malaysia sudahpun tertubuh.

Walaupun Pakatan Rakyat belum ditubuhkan secara rasmi, PAS lah nampaknya harapan orang Islam / Melayu untuk memperjuangkan nasib mereka di dalam pakatan ini. Orang Melayu tidak boleh meletakkan harapan pada PKR apatah lagi DAP yang asyik bercakap tentang kesamarataan dan mahu menghapus hak-hak istimewa Melayu.

Dalam Barisan Nasional sudah jelas UMNO adalah parti yang dominan malah secara adil dan bijaksana dapat menyeimbangkan pengagihan kuasa antara parti-parti komponen dalam barisan tersebut. Suara UMNO adalah suara yang mendukung Islam selaras dengan Perlembagaan Artikel 3 – Islam agama rasmi Persekutuan dan orang Melayu meliputi Artikel 153 – Perezaban kuota menginai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu. Setakat ini suara UMNO masih dihormati malah dituruti oleh rakan-rakan komponen.

PAS Lemahkan Syiar Islam

Maka apakah PAS boleh mendukung dan mempertahankan syiar Islam serta hak-hak orang Melayu? Sebenarnya PAS tidak mampu ibarat harimau yang sudah dicabut taringnya oleh DAP dan PKR. Kita ambil negeri Selangor secara perbandingan kerana inilah komposisi bilangan kemenangan dan pengagihan kuasa paling hampir untuk menggambarkan kerusi Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan (parlimen) dan jika mereka memerintah Malaysia.

Pergolakan dan corak pentadbiran di Selangor menggambarkan PAS hanya mampu berkokok tetapi hampas dan tidak berdaya untuk mempertahankan imej dan menjulang syiar Islam. Hakikat ini dapat diamati dari kesimpulan-kesimpulan berikut:

Pertama: PAS hanya ’kuda tunggangan demokrasi’ dalam Pakatan Rakyat. Komposisi kerusi kerajaan campuran Pakatan Rakyat di Selangor ialah PKR – 15, DAP – 13 dan PAS – 8. Kerusi PAS adalah paling kecil dan senario yang hampir sama di peringkat Parlimen iaitu PKR – 31, DAP – 28 dan PAS – 23. Dalam konteks demokrasi, minoriti kena akur kehendak majoriti. Dalam konteks ’kuda tunggangan demokrasi’ pula majoriti akan menunggang yang minoriti atau PAS sebenarnya kena patuh dan kerap dibuli oleh rakan-rakan pakatan lain. PAS bertanggungjawab menjadikan suara Islam dan orang Melayu lemah di negeri Selangor kerana bergabung dengan parti-parti yang kuat. Ini menyebabkan imej Islam kelihatan teruk dan terjejas di negeri Selangor.

Kedua: Suara PAS Tenggelam dalam Pakatan. Kedudukan PAS yang kerdil dalam pakatan menyebabkan suaranya tenggalam malah diperkotak-katikkan oleh rakan-rakan lain. Terbaru apabila YB Dato’ Dr. Hasan Ali (PAS), EXCO negeri dari PAS lantang mengkritik SELCAT kerana mendakwa sesi pendengar yang baru lepas telah memalukan penjawat awam, beliau telah dibidas dari kiri-kanan oleh rakan-rakannya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (DAP) anggap seolah-olah Dr. Hasan tidak faham peranan beliau sebagai EXCO iaitu dia sepatutnya tidak boleh masuk campur dengan urusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ini termasuk Selcat yang ditubuhkan di bawah undang-undang DUN.

YB Teng Chang Kim (DAP) Speaker Dewam paling keras mengkritik beliau dengan berkata – ”Beliau berkata saya menuduh pegawai daerah berkenaan sebagai tidak efektif dan tidak cekap pada sidang media yang diadakan selepas pendengaran awam tersebut.” ”Ini merupakan penipuan secara terang-terangan oleh Hasan. Sekarang beliau cuba untuk melindungi penipuannya. Hasan sering kali tidak konsisten dalam kenyataannya.”” Dari hari pertama, Hasan mencadangkan penukaran pegawai daerah dan Yang Dipertua Majlis tempatan. Saya juga pernah melihat senarai cadangan pertukaran berkenaan.” ”Tetapi secara tiba-tiba beliau menjadi pelindung kepada mereka. Saya memberi peluang kepadanya untuk bertaubat. Bertaubatlah.”

Adalah suatu yang malang dan pelik di peringkat tertinggi pakatan kerajaan yang memerintah, seorang bukan Islam mengatakan seorang Islam itu penipu malah digesa bertaubat. Di manakah maruah dan martabat orang Islam di Selangor, adakah sama dengan munafik penipu?

Ketiga: PAS Tak Boleh Buat Apa-apa Hal Penjualan Arak. Sewaktu kempen PRU-12 PAS lah yang beria-ia mahu menutup kilang arak di Selangor. Tatapi sudah berkuasa tiada apa yang berlaku. Kemudian YB Tuan Ronnie Liu Tian Khiew sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan campur tangan dan menyuruh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan rampasan 70 tin dan botol minuman keras daripada sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Seksyen 8. Padahal mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Shah Alam telah menghalang penjualan arak di kawasan majoriti Islam.

Dato’ Dr. Hasan Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Islam buat sidang akhbar membidas tindakan tersebut dan kemudiannya hanya mampu tampal stiker di premis-premis perniagaan sekitar Shah Alam tentang larangan penjualan arak tersebut.

Keempat: PAS Tiada Inisiatif Banteras Masalah Sosial. YB Dr. Halimah EXCO Pendidikan Selangor pernah menggelar Selangor sewaktu pemerintahan Barisan Nasional sebagai Darul Maksiat dan Darul Mungkar kerana masalah sosial dengan merujuk pada data masalah sosial. Tetapi kini mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdapat lebih daripada lebih 4,000 tempat judi, hiburan dan spa beroperasi secara haram sejak pakatan pembangkang memerintah, sedang sewaktu BN lesen pusat hiburan, judi dan spa dihadkan kepada 700 sahaja.

Nampaknya Selangor lebih Darul Maksiat dan Darul Mungkar dari yang sebelumnya. Sehingga kini EXCO PAS atau PAS sendiri tidak jelas apa yang hendak dilakukan dalam konteks ’amar makruf dan nahi mungkar’ ini. Dr. Hasan Ali pernah berkata untuk mengkaji pasukan Badar yang pernah dibubarkan dahulu, tetapi sehingga kini masih tiada apa-apa inisiatif yang konkrit. Mereka tenggelam dalam retorik yang seronok didengar.

Kelima: PAS Tak Respons Usul Wang Zakat Untuk Bukan Islam. Dalam persidangan DUN 2008, ADUN Kota Damansara Y.B. Mohd Nasir Hashim (PKR), ada mengusulkan agar wang zakat diagih kepada orang bukan Islam katanya – Kita dapat banyak duit zakat. Adakah peruntukan untuk memberi mereka yang bukan Islam, yang miskin kerana mereka juga adalah makhluk Allah juga. Kerana kalau duit banyak tu kita “share” sikit lah”.

Usul pertanyaan ini tidak diberi penjelasan sewajarnya oleh EXCO-EXCO PAS ataupun PAS Selangor. Sewajarnya ada penerangan atau bantahan tentang usul ini yang menunjukkan orang Melayu sendiri yang menusulkan tidak faham tentang zakat dan pengagihannya. Mungkin PAS nak jaga hati kawan-kawan dalam pakatan hingga melupakan tanggungjawab menegur dan membetulkan keadaan.

Keenam: PAS Tak Respons Usul Hendak Guna Wang Zakat / Baitulmal Untuk Pembangunan. YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dengan penuh gaya persilatan cuba menjelas dan mengusulkan agar wang zakat atau tabung seumpama Baitulmal digunakan bagi tujuan pentadbiran dan pembangunan negeri kerana kerajaan kekurangan dana. Kata beliau di persidangan DUN semua rakyat Selangor membayar cukai …membayar zakat baitulmal perniagaan. Yang dikhaskan dalam satu baitulmal. Satu baitulmal…yang mana di masuk…. Dan duit tu..akan 100% diamanahkan untuk pembangunan, ee..negeri Selangor.”

Dalam konteks zaman kegemilangan Islam dahulu, dana baitulmal memang digunakan untuk pelbagai tujuan pentadbiran dan pembangunan di mana bukan Islam turut membayar dalam bentuk cukai kepala. Tetapi Baitulmal dalam konteks sekarang adalah dana untuk umat Islam sahaja.

Peliknya EXCO PAS dan PAS sendiri tidak bersuara sehingga DYMM Tuanku Sultan Selangor dengan tegas menyatakan wang zakat tidak akan digunakan untuk tujuan pembangunan negeri. Sewajarnya PAS nyatakan teguran, pandangan dan cuba memberikan input yang boleh membantu kepeningan Dato’ Menteri Besar untuk menambah hasil negeri.

Ketujuh: PAS Tidak Layak Beri Komen Tentang Islam. Melihatkan kecelaruan dalam soal memberikan pernyataan dalam menegakkan syiar Islam, akhirnya PAS bukan sahaja rompong kehilangan taring, malah seolah-olah lidahnya turut dicabut. Terbaru Pengerusi MAIS, Datuk Seri Mohamad Adzib Mohd. Isa menyatakan hanya lima pihak berkuasa dibenarkan mengeluarkan kenyataan melibatkan isu-isu agama Islam di negeri itu bagi memastikan maklumat disiarkan media adalah tepat.

Lima pihak berkenaan ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, MAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Ketua Hakim Syarie dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Malang sekali senarai tersebut tidak menamakan YB Dato’ Dr. Hassan selaku ahli Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam di Selangor.

Sudah tentu arahan ini mendapat perkenan sultan – ketua agama, jika tidak masakan Pengerusi MAIS boleh mengeluarkan pernyataan tersebut. Maknanya suara PAS menerusi EXCO YB Dato’ Dr. Hasan secara rasminya tidak boleh dipakai dan disiarkan bila berhubungan dengan isu-isu agama Islam. Maka PAS tidak layak dan bagaimana mereka mahu mempertahankan maruah Islam dan orang Melayu?

Kesimpulan

PAS sebenarnya telah tersasar jauh sebagai sebuah wadah yang mampu mempertahankan orang Islam / Melayu. PAS tidak mampu malah melemahkan kekuatan Islam dan orang Melayu yang sedia ada di tangan UMNO.

Ini semua bertolak dari fakwa atau petua pelik dan songsang Mursyidul Am PAS – Dato’ Nik Aziz Nik Mat iaitu:

1. "Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram" - Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1963.

  1. "PAS Sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa..." - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 25 Jun 1999.

3. "Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang, kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS, asalkan tidak mendirikan negara Islam" - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian 12 Mei 1999.

4. "PAS boleh terima pemimpin DAP jadi Perdana Menteri, tidak ada apa, asalkan dia terima syarat yang ditetapkan oleh Barisan Alternatif." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 6 November 1999.


5. "Ini penting kerana kita juga mahukan sokongan dan undi bukan Islam dalam usaha memenangi pilihanraya umum akan datang" - Nik Aziz Nik Mat, Ucapan di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-31, Petaling Jaya, 24 Mei 2004.

6. “Jika Nabi Muhammad boleh menandatangani perjanjian dengan musuh tradisi Islam, iaitu kaum Yahudi, sebaik tiba di Madinah, PAS juga sanggup bekerjasama dengan DAP.” – Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 12 Mei 1999.

Ada DUA pemerhatian dari fatwa yang diberi dengan senario yang berlaku di negeri Selangor.

Pertama, PAS tidak konsisiten dalam penyataan dan penerapan dasar mereka tentang Islam. Mereka terperangkap di antara perkara agama dengan permainan politik. Akhirnya “matlamat menghalalkan cara” menjadi pegangan dan agama akan digunakan untuk mengharamkan tindakan orang lain dan menjustifikasikan apa juga tindakan mereka yang suci dan kudus.

Kedua, perkiraan politik PAS untuk bekerjasama dengan PKR dan terutamanya DAP memakan diri dan merugikan orang Islam / Melayu. Mendapatkan sedikit kuasa tetapi terlepas banyak perkara. Jika bekerjasama dengan syaitan dibolehkan, ingatlah situasinya kita (Islam) mesti menguasai, bukan dikuasai. Itulah ibaratnya kerjasama dan ketaatan semua makhluk termasuk jin dan syaitan di bawah pemerintahan Nabi Allah Sulaiman. Baginda dominan memimpin dan memerintah bukan ditunggangi. Akibatnya maruah Islam tercemar dan syiar Islam makin pudar.