Translate

Monday 10 November 2008

RAIS YATIM ANAK DIDIK TUN RAZAK

1. Seramai 8 orang tokoh pemimpin UMNO telahpun layak untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada Pemilihan Agung UMNO Mac 2009 nanti. Mereka ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ( Johor ), Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Perak), Dato' Seri Mohd Khaled Nordin (Johor), Dato' Mohd Shafei Afdhal (Sabah), Datuk Seri Syed Hamid Albar (Johor), Tan Sri Mohd Isa Samad ( N.Sembilan), Dato' Seri Dr. Rais Yatim (N.Sembilan)dan Dato' Seri Dr Jamaluddin Jarjis (Pahang).

2. Siapakah tiga orang dari kalangan 8 orang calon-calon Naib Presiden ini akan menjadi pilihan para perwakilan UMNO pada bulan Mac tahun 2009 nanti. 6 orang daripada calon-calon ini adalah berjawatan Menteri dan terdapat 2 orang merupakan bekas Menteri ( Dato' Seri JJ dan Tan Sri Isa Samad ). Jika perwakilan memilih mengikut keutamaan daripada kalangan mereka yang berjawatan Menteri dan sentimen mewakili negeri dan wilayah, maka terdapat 4 orang tokoh yang menjadi pilihan iaitu :

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein ( Johor )
Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ( Perak )
Datuk Seri Dr. Rais Yatim ( Negeri Sembilan )
Dato' Seri Mohd Shafei Afdhal ( Sabah )

3. Ramai generasi muda dalam UMNO hari ini yang tidak mengenali 'track record' ke semua calon-calon ini. Salah seorang calon Naib Presiden ini iaitu Datuk Seri Dr. Rais Yatim adalah satu-satunya Menteri Kanan hari ini yang paling lama sekali berkhidmat di dalam Kerajaan BN. Bermula pada tahun 1974 sebagai Setiausaha Parlimen, 1976 sebagai Timbalan Menteri, 1978 sebagai Menteri Besar, 1982 - 1987 sebagai Menteri Penuh dan dilantik semula sebagai Menteri Penuh pada tahun 1999 hingga kini. Ini bermakna bahawa beliau telah berkhidmat di bawah kepimpinan 4 orang Perdana Menteri , iaitu pada zaman Allahyarham Tun Razak, Tun Hussein Onn ,Tun Dr. Mahathir, Dato' Seri Abdullah . Insya Allah pada bulan Mac tahun 2009 nanti, Datuk Seri Dr. Rais Yatim akan berkhidmat pula dibawah Perdana Menteri yang baru YAB Dato' Sri Mohd Naib Razak. Ini bermakna bahawa beliau telah dan akan berkhidmat di bawah 5 orang Perdana Menteri Malaysia. Beliau hanya tidak berkesempatan berkhidmat di bawah kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman seorang sahaja.

4. Bayangkan kehebatan Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang boleh bertahan dalam politik UMNO sejak tahun 1974 hingga kini. Berbanding beliau dengan Perdana Menteri hari ini ( Pak Lah) yang bermula karier politinya pada tahun 1978 dan begitu juga dengan Dato' Seri Mohd Najib yang memulakan karier politiknya pada tahun 1976, ternyata bahawa Datuk Seri Dr Rais lebih 'senior' daripada mereka berdua. Kalau di Singapura, sudah tentu Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah dilantik sebagai Menteri Mentor sepertimana bekas Presiden Singapura, Lee Kuan Yew.

5. Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebenarnya adalah anak didik Allahyarham Tun Razak. Beliau adalah satu-satunya tokoh muda yang diberi kepercayaan oleh Tun Razak untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1974 di Parlimen Jelebu dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan. Pada masa itu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang Pengarah Belia di Kementerian berkenaan.

6. Sekarang Allah telah menentukan bahawa seorang tokoh muda yang dididik oleh Tun Razak pada tahun 1974, kini akan menjadi orang penting dalam kabinet YAB Dato' Seri Mohd Najib Razak pada bulan Mac 2009 nanti. Amat tepat sekali jika para perwakilan UMNO di seluruh negara memilih Dato' Seri Dr. Rais Yatim sebagai salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden di dalam Pemilihan UMNO Mac tahun depan. Ini kerana pengalaman beliau bersama Allahyarham Tun Razak sejak tahun 1974 dahulu boleh digunakan oleh beliau untuk memperkasakan UMNO dan perjuangan memartabatkan perjuangan Melayu di bawah kepimpinan anak kepada Allahyarham Tun Razak iaitu Dato' Sri Mohd Najib.

7. Hanya YB Datuk Seri Dr. Rais Yatim seorang sahaja di kalangan 8 orang calon-calon Naib Presiden yang layak bertanding pada bulan Mac tahun depan yang merupakan Menteri paling kanan dan senior. Kita kena memanfaatkan pengalaman serta kebolehan beliau agar dapat menyumbang buah fikiran secara efektif dan berkesan sebagai salah seorang Naib Presiden di bawah kepimpinan Dato' Sri Mohd Najib nanti. Amat rugi jika UMNO tidak memilih pemimpin yang banyak pengalaman seperti Dato' Seri Dr. Rais Yatim demi untuk meremajakan semula UMNO dan memperkukuhkan semula keyakinan rakyat kepada UMNO.

8. Dua orang calon Naib Presiden lagi tu, pandai-pandailah kita membuat keputusan bagi memilih tokoh yang benar-benar boleh membawa perubahan serta menjiwai kehendak golongan muda dan juga bertepatan dengan selera golongan yang inginkan nilai-nilai kekuatan agama dalam kepimpinan UMNO masa kini dan masa depan..