Translate

Sunday 18 October 2009

SANGGUPKAH PAS MEWUJUDKAN KONTRAK SOSIAL DENGAN DAP DAN PKR SEPERTIMANA UMNO, MCA DAN MIC SEWAKTU NAK MENCAPAI KEMERDEKAAN 1957..?

1. Sewaktu negara nak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pihak British telah membuat syarat kepada UMNO yang mewakili umat melayu bahawa kemerdekaan hanya akan diberikan kepada Malaya jika umat Melayu yang diwakili oleh UMNO sanggup menerima kaum Cina dan India sebagai warganegara dan berkongsi kuasa dengan mereka ini.

2. Bagi merealisasikan kemerdekaan tanahair ini daripada penjajahan Inggeris, maka Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO telah mengadakan perbincangan dan juga permuafakatan dengan wakil-wakil kaum Cina (MCA) dan India (MIC) menerusi satu deklarasi yang disebut sebagai 'KONTRAK SOSIAL". Menerusi kontrak sosial ini, TUnku Abdul Rahman telah meminta kaum Cina dan India untuk menerima 4 perkara asas yang perlu dijadikan sebagai tunjang kepada pembentukan sebuah negara merdeka yang mesti direalisasikan persetujuan ini dalam Perlembagaan negara, iaitu : Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja melayu, hak keistimewaan orang melayu/bumiputra dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai ganjarannya, maka orang Melayu bersedia untuk memberikan taraf kerakyatan pada kaum-kaum Cina dan India yang berstatus imigran.

3. KOntrak Sosial ini yang seakan-akan seperti Piagam Madinah telahpun dipersetujui oleh ketiga-tiga parti terbesar di Tanah melayu ketika itu iaitu UMNO, MCA dan MIC. Akhirnya ketika Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk membuat deraf Perlembagaan Persekutuan untuk sebuah negara merdeka di Tanah melayu ini telah mengambil kira perkara-perkara pokok yang dipersetujui dalam 'Kontrak Sosial' ini, dan pendetailan mengenai kontrak sosial ini telahpun dimasukkan butirannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah kehebatan pakatan antara kaum dan agama di tanah air kita ketika itu yang diterajui oleh UMNO sehingga terbentuknya sebuah 'PERIKATAN".

4. Hari ini muncul pula sebuah lagi pakatan antara kaum dan agama yang terdiri daripada 3 buah parti pembangkang terbesar di negara ini setelah lebih 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Pakatan ini yang dinamakan sebagai 'PAKATAN RAKYAT' yang masih lagi belum didaftarkan secara sah, terdiri daripada PAS, DAP dan PKR. Pakatan ini telah menjadi saingan kepada Perikatan yang kini dinamakan BN untuk memerintah dan mentadbir negara ini menerusi sistem demokrasi berparlimen.

5. Tetapi, sehingga kini apa yang dinamakan Pakatan Rakyat ini masih lagi belum didaftarkan dan masih belum lagi ada persetujuan dan juga ikatan yang sah untuk diterjemahkan sebagai satu pilihan alternatif kepada rakyat pelbagai kaum dan agama untuk memerintah negara ini. Setakat ini, PAS yang merupakan parti yang tertua dan paling lama penubuhannya berbanding DAP dan PKR masih belum berani untuk mengemukakan bentuk kerajaan dan juga sistem pemerintahan negara jika pakatan ini memenangi pilihanraya umum akan datang. Apakah dasar undang-undang dan juga prinsip hubungan antara kaum dan agama yang ingin dilaksanakan oleh pakatan ini jika diberi mandat oleh rakyat dalam PRU-13 nanti. PAS masih tidak berani untuk menzahirkan perjuangan dan juga aspirasi Islam yang didokongnya.

6. Tegasnya, sehingga kini masih belum ada 'kontrak sosial' antara PAS, DAP dan PKR di dalam membentuk pakatan sesama mereka dan juga di dalam menterjemahkan bentuk pemerintahan yang bakal mereka laksanakan jika diberi mandat oleh rakyat di peringkat pusat pada PRU-13 nanti.

7. Di sini saya nak cabar para pemimpin tertinggi PAS, kalau benar PAS nak perjuangkan Islam menerusi slogan Pembentukan Sebuah negara Islam dan Melaksanakan Undang-Undang Syariah sepenuhnya ( Hudud, Qisas dan Ta'zir ) di negara ini; maka beranikah PAS mendesak parti-parti komponen dalam PR supaya menerima konsep penubuhan sebuah negara Islam, menerima pelaksanaan hukuman hudud dan Qisas berasaskan al-Quran dan As-Sunnah dan meletakkan syarat kepada DAP dan PKR supaya meminda perlembagan persekutuan dengan meletakkan fasal yang menyatakan 'al-Quran dan As-Sunnah' adalah undang-undang tertinggi perlembagan negara..? UMNO dahpun menterjemahkan konsep ini menerusi 'KOntrak Sosial' dengan MCA dan MIC pada tahun 1956, walaupun tidak seradikal PAS tetapi ruh dan semangat Islam itu termaktub juga dalam 'kontrak Sosial'.

8. JIka PAS mampu lakukan ini dan ianya diterima oleh DAP dan PKR sepertimana MCA dan MIC menerima kontrak sosial yang diterajui oleh UMNO dahulu; maka saya dengan ini akan mengisytiharkan diri bersama-sama dengan isteri dan anak-anak saya untuk menyertai PAS. Saya sanggup menjadi benteng barisan hadapan kepada PAS untuk menentang UMNO dan berkempen ke seluruh negara secara sukarela bagi memperjelaskan kepada rakyat dan umat Islam betapa perlu dan wajibnya kita menyokong PAS bagi menggantikan UMNO. Tolong sampaikan kepada para pemimpin tertinggi PAS mengenai cabaran saya ini. Kalau PAS tak berani lakukan, dan kalau boleh lakukan tetapi ditentang oleh DAp dan PKR; maka jelaslah bahawa PAS tersilap pilih kawan dan PAS diibaratkan seperti 'TERSUNGKUR DI PINTU SYURGA'.