Translate

Tuesday 11 December 2012

KEBEBASAN BERAGAMA DI MALAYSIA : WAJARKAH MELAYU DITENTUKAN AKIDAHNYA ?


Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang bersendikan Raja Berperlembagaan. Ketua Negara bagi Malaysia tidak dipilih oleh rakyat menerusi pilihanraya umum, sebaliknya Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Raja bagi Sembilan buah negeri dari Negeri Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Trengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis akan memilih seorang Ketua Negara yang digelar Yang DiPertuan Agong dari kalangan mereka secara bergilir-gilir setiap lima tahun sekali dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Bersesuaian dengan kedudukan Raja-Raja Melayu ini yang menjadi Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang diperintahnya, dan Yang DiPertuan Agong pula adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan; maka selayaknya bangsa Melayu yang sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi (abad ke-14) yang menganuti agama Islam terus kekal dengan identiti keislamannya menurut agama anutan Raja-Raja Melayu yang menjadi payung dan simbol kepada bangsa Melayu dan juga agama Islam di Negara ini.

Kewajaran dan kemutlakan bangsa Melayu mesti memilih agama Islam sepertimana agama anutan Ketua Negara (Yang DiPertuan Agong) serta Raja-Raja Melayu yang sejak turun temurun beragama Islam telah terpahat dalam Perkara 160 Perlembagaan Malaysia : “ Melayu ertinya seseorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu”. Jelas bahawa bangsa Melayu itu telah ditentukan akidahnya secara undang-undang dalam Perlembagaan Negara dengan menyatakan bahawa melayu mesti beragama Islam.

Kita agak terperanjat dengan kenyataan yang dilontarkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB. Nurul Izzah Anwar dalam satu forum mengenai Negara Islam anjuran sebuah gereja di Subang Jaya, Selangor pada 3 November yang lalu ( petikan kenyataannya dimuatkan dalam Malaysiakini): “ When you ask me there is no compulsion in religion, how can anyone say sorry, this (religious freedom) only applies to non-malays, it has to apply equally”. Terjemahan dalam Bahasa Melayunya adalah seperti berikut :

“ Apabila anda bertanya saya tiada paksaan dalam beragama, mengapa setengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya digunapakai secara sama rata”.

Apa yang dapat kita fahami maksud yang tersurat dan tersirat daripada kenyataan Nurul Izzah ini ialah beliau mempersoalkan kenapa hanya kaum bukan Melayu saja yang bebas memilih agamanya di Negara ini, sepatutnya kaum Melayu juga hendaklah diberi pilihan yang sama rata dengan kaum-kaum lain untuk bebas memilih agama anutan mereka. Ini bermakna bahawa Nurul Izzah mahu membuka ruang kepada orang Melayu supaya tidak dipaksa di sisi undang-undang Negara untuk menganuti agama Islam. Dalam erti kata lain bahawa beliau mahu membuka ruang kepada segelintir kaum Melayu yang berfikiran ‘liberalisme agama’ dan ‘pluralisme agama’ untuk murtad.

YB. Nurul Izzah telah menggunakan dalil ayat al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud : “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)”.  Beliau telah menjadikan ayat ini bagi merungkaikan persoalan bahawa tiada paksaan dalam memilih agama termasuk di kalangan umat Islam sendiri, khasnya kaum Melayu bahawa Allah tidak pernah memaksa hambaNya untuk memilih agama Islam. Sebenarnya beliau terkeliru dan jahil dalam mentafsirkan zahir ayat ini secara sahih. Tiada paksaan dalam memilih agama Islam ini hanyalah ditujukan kepada orang-orang kafir (non-muslim) sahaja. Mereka ini boleh kekal dengan agama mereka ataupun memilih agama-agama lain yang mereka fikir sesuai. Tetapi tidak kepada orang Islam (muslim); seseorang muslim itu bila menjadi muslim maka tidak dibenarkan lagi keluar dari agama Islam (murtad). Dalam undang-undang jenayah Islam, seseorang yang keluar daripada agama Islam (murtad) maka ianya hendaklah dipaksa bertaubat, kemudian dipenjarakan dalam sesuatu tempoh tertentu supaya boleh kembali kepada Islam. Jika enggan juga bertaubat dan kembali kepada Islam maka hukuman had (hudud) boleh dilaksanakan ke atasnya ( hukuman pancung sampai mati ).

Mungkin YB. Nurul Izzah keliru dengan peruntukan khas mengenai kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan Negara, Perkara 11 (1): “ Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal 4”. Memang jelas bahawa setiap rakyat di Malaysia adalah berhak dan bebas menganuti serta mengamalkan agama masing-masing. Bagaimanapun ianya tertakluk kepada fasal (4) di mana undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.

Jelas kepada kita Perkara 11 dalam Perlembagaan Negara ini telah dengan nyatanya memberi ruang dan hak kepada kaum-kaum lain serta penganut agama-agama lain (selain bangsa Melayu dan Islam) untuk mengamalkan agama masing-masing. Sementara penyebaran agama selain agama Islam dalam bentuk apa cara sekalipun kepada bangsa Melayu dan umat Islam di Negara ini adalah ditegah dan dikawal. Ini merupakan satu perlindungan akidah kepada bangsa Melayu yang menganuti agama Islam di Negara ini supaya akidah mereka tetap terpelihara seperti yang termaktub dalam Perkara 160 ( Melayu mesti beragama Islam).

Mahu tidak mahu, sama ada kita suka ataupun tidak; maka bangsa Melayu telah diikat akidahnya di sisi Perlembagaan Negara dengan menganuti ajaran agama Islam. Tiada pilihan bagi bangsa Melayu untuk menukar agamanya atau dengan sesuka hatinya boleh memilih agama lain selain daripada agama Islam. Sejak lahir lagi bayi yang dilahirkan dari perut ibunya yang muslim dan ayahnya yang muslim telah diazan dan diiqamahkan. Kemudian diberikan nama-nama ‘Islam’ yang tercatat dalam Sijil Kelahiran. Bagi yang mampu akan mengadakan majlis bercukur rambut yang dianjurkan oleh sunnah Rasulullah serta sembelihan aqiqah tanda syukur atas kelahiran anak. Ini semua dilakukan sebagai manifestasi kepada kelahiran seorang bayi dari ibu bapa yang muslim. Anak yang non-muslim tidak diperlakukan sedemikian. Bagaimana pulak seorang intelek dan seorang pemimpin seperti Nurul Izzah boleh menganjurkan supaya orang melayu boleh bebas memilih agamanya selain Islam..?