Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang mengamalkan
sistem demokrasi berparlimen yang bersendikan Raja Berperlembagaan. Ketua
Negara bagi Malaysia tidak dipilih oleh rakyat menerusi pilihanraya umum,
sebaliknya Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Raja bagi Sembilan buah
negeri dari Negeri Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Trengganu,
Kelantan, Kedah dan Perlis akan memilih seorang Ketua Negara yang digelar Yang
DiPertuan Agong dari kalangan mereka secara bergilir-gilir setiap lima tahun
sekali dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.
Bersesuaian dengan kedudukan Raja-Raja Melayu ini
yang menjadi Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang diperintahnya, dan Yang
DiPertuan Agong pula adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak
beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan;
maka selayaknya bangsa Melayu yang sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi
(abad ke-14) yang menganuti agama Islam terus kekal dengan identiti
keislamannya menurut agama anutan Raja-Raja Melayu yang menjadi payung dan
simbol kepada bangsa Melayu dan juga agama Islam di Negara ini.
Kewajaran dan kemutlakan bangsa Melayu mesti memilih
agama Islam sepertimana agama anutan Ketua Negara (Yang DiPertuan Agong) serta
Raja-Raja Melayu yang sejak turun temurun beragama Islam telah terpahat dalam Perkara
160 Perlembagaan Malaysia : “ Melayu ertinya seseorang yang menganut agama Islam,
lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu”. Jelas bahawa
bangsa Melayu itu telah ditentukan akidahnya secara undang-undang dalam
Perlembagaan Negara dengan menyatakan bahawa melayu mesti beragama Islam.
Kita agak terperanjat dengan kenyataan yang
dilontarkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB. Nurul Izzah
Anwar dalam satu forum mengenai Negara Islam anjuran sebuah gereja di Subang
Jaya, Selangor pada 3 November yang lalu ( petikan kenyataannya dimuatkan dalam
Malaysiakini): “ When you ask me there is
no compulsion in religion, how can anyone say sorry, this (religious freedom)
only applies to non-malays, it has to apply equally”. Terjemahan dalam
Bahasa Melayunya adalah seperti berikut :
“ Apabila anda bertanya saya tiada paksaan dalam
beragama, mengapa setengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan
beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya digunapakai
secara sama rata”.
Apa yang dapat kita fahami maksud yang tersurat dan
tersirat daripada kenyataan Nurul Izzah ini ialah beliau mempersoalkan kenapa
hanya kaum bukan Melayu saja yang bebas memilih agamanya di Negara ini,
sepatutnya kaum Melayu juga hendaklah diberi pilihan yang sama rata dengan
kaum-kaum lain untuk bebas memilih agama anutan mereka. Ini bermakna bahawa
Nurul Izzah mahu membuka ruang kepada orang Melayu supaya tidak dipaksa di sisi
undang-undang Negara untuk menganuti agama Islam. Dalam erti kata lain bahawa
beliau mahu membuka ruang kepada segelintir kaum Melayu yang berfikiran ‘liberalisme agama’ dan ‘pluralisme agama’ untuk murtad.
YB. Nurul Izzah telah menggunakan dalil ayat
al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud : “Tiada paksaan dalam agama
(Islam), kerana telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)”. Beliau telah menjadikan ayat ini bagi
merungkaikan persoalan bahawa tiada paksaan dalam memilih agama termasuk di
kalangan umat Islam sendiri, khasnya kaum Melayu bahawa Allah tidak pernah
memaksa hambaNya untuk memilih agama Islam. Sebenarnya beliau terkeliru dan
jahil dalam mentafsirkan zahir ayat ini secara sahih. Tiada paksaan dalam
memilih agama Islam ini hanyalah ditujukan kepada orang-orang kafir
(non-muslim) sahaja. Mereka ini boleh kekal dengan agama mereka ataupun memilih
agama-agama lain yang mereka fikir sesuai. Tetapi tidak kepada orang Islam
(muslim); seseorang muslim itu bila menjadi muslim maka tidak dibenarkan lagi
keluar dari agama Islam (murtad). Dalam undang-undang jenayah Islam, seseorang
yang keluar daripada agama Islam (murtad) maka ianya hendaklah dipaksa
bertaubat, kemudian dipenjarakan dalam sesuatu tempoh tertentu supaya boleh
kembali kepada Islam. Jika enggan juga bertaubat dan kembali kepada Islam maka
hukuman had (hudud) boleh dilaksanakan ke atasnya ( hukuman pancung sampai mati
).
Mungkin YB. Nurul Izzah keliru dengan peruntukan
khas mengenai kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan
Negara, Perkara 11 (1): “ Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan
mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal 4”. Memang jelas bahawa setiap
rakyat di Malaysia adalah berhak dan bebas menganuti serta mengamalkan agama
masing-masing. Bagaimanapun ianya tertakluk kepada fasal (4) di mana
undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa
iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.
Jelas kepada kita Perkara 11 dalam Perlembagaan
Negara ini telah dengan nyatanya memberi ruang dan hak kepada kaum-kaum lain
serta penganut agama-agama lain (selain bangsa Melayu dan Islam) untuk
mengamalkan agama masing-masing. Sementara penyebaran agama selain agama Islam
dalam bentuk apa cara sekalipun kepada bangsa Melayu dan umat Islam di Negara
ini adalah ditegah dan dikawal. Ini merupakan satu perlindungan akidah kepada
bangsa Melayu yang menganuti agama Islam di Negara ini supaya akidah mereka
tetap terpelihara seperti yang termaktub dalam Perkara 160 ( Melayu mesti
beragama Islam).
Mahu tidak mahu, sama ada kita suka ataupun tidak;
maka bangsa Melayu telah diikat akidahnya di sisi Perlembagaan Negara dengan
menganuti ajaran agama Islam. Tiada pilihan bagi bangsa Melayu untuk menukar
agamanya atau dengan sesuka hatinya boleh memilih agama lain selain daripada
agama Islam. Sejak lahir lagi bayi yang dilahirkan dari perut ibunya yang
muslim dan ayahnya yang muslim telah diazan dan diiqamahkan. Kemudian diberikan
nama-nama ‘Islam’ yang tercatat dalam Sijil Kelahiran. Bagi yang mampu akan
mengadakan majlis bercukur rambut yang dianjurkan oleh sunnah Rasulullah serta
sembelihan aqiqah tanda syukur atas kelahiran anak. Ini semua dilakukan sebagai
manifestasi kepada kelahiran seorang bayi dari ibu bapa yang muslim. Anak yang
non-muslim tidak diperlakukan sedemikian. Bagaimana pulak seorang intelek dan
seorang pemimpin seperti Nurul Izzah boleh menganjurkan supaya orang melayu
boleh bebas memilih agamanya selain Islam..?
1 comment:
Salam dr...satu kupasan yg cukup padat dan tepat.Ayahnya seorang yg desperate,ibunya juga sama dan anaknya juga seorang yg desperate.Kenyataan yang kurang siuman itu perlu ditolak olih seluruh orang melayu dan islam.Pastikan dlm pru nanti kita menolak PKR.
Post a Comment