Translate

Sunday, 30 August 2009

MIMPI SELEPAS SOLAT TAHAJJUD- DATIN SERI ROSMAH MOHON PETUNJUK DAN BIMBINGAN


1. Sudah 8 malam Ramadhan berlalu, tetapi saya tak pernah bermimpi yang seindah dan seasing ini. Alhamdulillah pada malam kesembilan Ramadhan (malam tadi ) dinihari Ahad, saya telah bermimpi selepas selesai menunaikan solat Tahajut. Selesai solat sunat tahajud dan solat sunat hajat pada jam 3.30 pagi, saya tidur semula sebelum tiba waktu subuh.

2. Dalam masa tidur saya antara jam 3.30 pagi - 5.00 pagi, saya telah bermimpi yang begitu asing bagi saya. Mimpinya bermula di sini, saya dan isteri saya (zakiah Yunus) telah berkunjung ke Rumah Dato' Seri Dr. Rais Yatim untuk menemui isteri beliau Datin Seri Masnah Ahmad. Entah macam mana Datin Masnah telah membuka bicaranya dengan memohon pada saya agar sudilah kiranya jika saya dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri YAB. Perdana Menteri. Kemudian, sayapun telah dipertemukan oleh Datin masnah dengan datin Rosmah mansor.

3. Alangkah terkejutnya saya bila mendapati datin Seri Rosmah Mansor telah menitiskan air mata di hadapan saya dan menangis teresak-esak. Saya hanya memerhatikan sahaja dan menunggu apakah kata-kata yang keluar dari mulut. Dalam hati sayapun berbisik dan berkata-kata: ' Apakah ini Datin Seri Rosmah mansor.?'

4. Lalu beliau membuka bicaranya dengan memohon jasa baik saya agar dapat membimbingnya dan juga menunjukkannya jalan yang diredhai Allah dan menasihatkannya bagaimana untuk menjadi seorang wanita muslimah yang solehah. Sayapun menjawab bahawa saya bukan orang yang layak untuk membimbing beliau dan sayapun belum tentu lagi menjadi seorang muslim yang lebih baik daripada beliau. Lalu beliau dan datin Masnah merayu sekali lagi pada saya bahawa beliau berniat ikhlas dan benar-benar dahagakan ilmu agama dan juga ingin memperpetulkan amalan ibadahnya kepada Allah s.w.t.

5. Melihatkan kesungguhan dan juga keikhlasan yang lahir dari raut wajahnya, maka sayapun menjawab dengan penuh tertib dan secara terhormat dengan mengatakan bahawa Insya Allah saya akan bantu sekadar yang mampu dan sekadar ilmu yang ada pada saya. Lepas tu, saya terjaga dari tidur dan jam menunjukkan jam 5.00 pagi. Lantas saya mengucapkan 'astaghfirullahil'azim'. Dan terus termenung sejenak memikir serta mengingatkan semula kronologi mimpi saya sebentar tadi. Demikianlah, sedikit pengalaman mimpi saya yang benar-benar berlaku dalam tidur saya pada tengah malam tadi, Wallahi, wabillahi, watallahi. Ia semuanya adalah mimpi yang mungkin ada maslahah dan juga rahsia di sebalik mimpi tersebut. Atau mungkin mimpi ini hanya mainan tidur sahaja yang tidak membawa apa-apa dalam kehidupan realiti. Semoga Allah memberi rahmat dan keampunan ke atas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

6. Mungkin ada di kalangan sahabat-sahabat yang membaca blog ini yang mempunyai tok-tok guru yang boleh mentafsir serta mentadbirkan mimpi saya ini. Ataupun mungkin ada yang boleh mentafsirkannya secara objektif dan positif. Sama-samalah kita berkongsi menerusi ruangan komen di bawah ini. Wassalam.