Translate

Thursday 4 December 2008

LEBIH 20 KALIMAH ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN - KHAS BUAT MR. KOLUMPO






kaaba004.jpg

Assalamualaikum..! Allahu Akbar..Allahu Akbar...Allahu Akbar.. Walillahiil hamd. Sempena dengan Musim Haji pada tahun ini, saya dan seisi keluarga ingin mengucapkan selamat Idul Adha ( Hari Raya Haji ) kepada sekalian umat Islam, khasnya kepada rakan-rakan Bloggers dan para pembaca setia blog saya. Semoga apa yang kita korbankan selama ini dari segi tenaga, masa, buah fikiran, harta benda dan wang ringgit untuk diri kita, keluarga, masyarakat, agama dan negara tercinta akan diredhai oleh Allah s.w.t. Dengan ibadah wukuf di Padang Arafah di musim haji ini akan memberi keinsafan serta kepengajaran kepada seluruh umat Islam di negara ini betapa pentingnya kita bersatu dan berpadu demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

KALIMAH ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Sebelum ini saya telah menulis satu rencana bertajuk “ Terdapat 54 Kalimah Melayu dalam Perlembagaan”. Ekoran daripada tulisan saya tersebut, maka seorang sahabat Blogger saya yang bernama pena Mr Kolumpo telah bertanyakan kepada saya tentang adakah kalimah “ISLAM” dalam Perlembagaan..! Beliau menyatakan satu lagi persoalan bahawa siapakah yang telah menggubal Perlembagaan Malaysia..?

Bagi menjawab persoalan daripada MR KOLUMPO dan juga mungkin maklumat ini juga berguna kepada para pembaca blog sekelian, maka di sini saya senaraikan lebih daripada 20 kalimah “ISLAM” yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia. Saya senaraikan satu persatu mengikut fasal-fasal yang berkenaan. Renung-renungkanlah..!

KALIMAH ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

1. PERKARA 3(1) : Ugama bagi Persekutuan

Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.

2. PERKARA 3 (2) : “ Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu..”

3. PERKARA 3 (2) : sambungan - “…dan juga tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat..”

4. PERKARA 3 (2), sambungan – “..tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang di Pertuan Agong mewakilinya.”

5. PERKARA 3 (3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada yang di Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.”

6. PERKARA 3 (5): “ Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, yang di Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan..”

7. PERKARA 3 (5), sambungan – “… dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal ehwal ugama Islam…”

8. PERKARA 3 (5) , sambungan – ”...dan bagi menubuhkan suatu majlis untuk menasihatkan Yang di Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.”

9. PERKARA 11(4) : Kebebasan ugama. ” Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan antara orang-orang yang menganuti ugama Islam ”.

10. PERKARA 12 (2): Hak-hak Berkenaan dengan pelajaran, ”...tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam..”

11. Perkara 12 (2) , sambungan – ”...atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam ugama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlu bagi maksud itu.”

12. PERKARA 34 (1) : ” Yang di Pertuan Agong tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya sebagai Raja Negerinya kecuali tugas-tugasnya sebagai Ketua Ugama Islam.”

13. PERKARA 42 (10) : ”Walau apapun yang tersebut dalam Perkara ini, kuasa bagi mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman atau meremit, menggantung atau mengurangkan hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang yang mengawal hal ehwal ugama Islam di Negeri atau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan hendaklah dijalankan oleh Yang di Pertuan Agong sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu”.

14. PERKARA 96 (3) : ” Jika mengikut undang-undang negeri atau mengenai wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, mengikut undang-undang Persekutuan apa-apa zakat, Fitrah, BaitulMal atau hasil agama Islam, yang seumpamanya adalah didapatkan, maka hasil itu hendaklah dibayar masuk ke dalam suatu kumpulanwang yang berasingan dan tidak boleh dikeluarkan kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri atau undang-undang persekutuan, mengikut mana yang berkenaan.”

15. PERKARA 145 (3): ”Peguam Negara adalah mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budibicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa perbicaraan mengenai sesuatu kesalahan, lain daripada pembicaraan di hadapan mahkamah syariah, mahkamah bumiputra atau mahkamah tentera.”

16. PERKARA 160 (Tafsiran) : ” Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu..”

17. JADUAL KEEMPAT (Sumpah Jawatan Yang di Pertuan Agong):

Imej:Yang di-pertuan agong ke-13.PNG

” Kami......ibni....Yang di Pertuan Agong bagi malaysia bersumpah dengan melafazkan: Wallahi; Wabillahi; Watallahi; maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia... Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Ugama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri. ”

18. JADUAL KELAPAN (Peruntukan Tetap : Raja bertindak atas nasihat) (2): Raja boleh bertindak menurut budibicaranya pada menjalankan tugas-tugas yang berikut (selain daripada tugas-tugas yang pada menjalankannya ia boleh bertindak menurut budibicaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu : (d) ” apa-apa tugas sebagai Ketua Ugama Islam atau mengenai adat istiadat Melayu ”.

19. JADUAL KESEMBILAN (4),(e), (ii) : ”Perkara-perkara yang tersebut dalam perenggan (i) tidak termasuk undang-undang diri orang Islam berhubung dengan perkahwinan, perceraian, penjagaan anak, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, undang-undang keluarga, pemberian atau pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat.”

20. JADUAL KESEMBILAN – SENARAI 2; SENARAI NEGERI: (1) ” Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut ugama Islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; wakaf Islam dan ta’arif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat ugama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian ugama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat, dan yayasan khairat yang dijalankan, ke semuanya sekali dalam Negeri; adat isti’adat Melayu: zakat fitrah dan BaitulMal atau hasil ugama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutua; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah syariah, yang akan mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut ugama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut ugama Islam; menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan ’adat isti’adat Melayu ”

21. JADUAL KESEPULUH- BAHAGIAN 3 (Sumber-Sumber Hasil Yang diserahkan Kepada Negeri ) : (13) ” Zakat, Fitrah dan BaitulMal dan hasil ugama Islam yang seumpamanya”.

KESIMPULAN : Pada pendapat saya, peruntukan-peruntukan berkenaan dengan ugama Islam serta hal-hal yang berkaitan dengan hukum-hukum syarak yang termaktub peruntukannya dalam Perlembagaan Malaysia cukup banyak ; yang inipun kita tak mampu nak melaksanakannya. Buatlah mengikut keutamaan dan juga mengikut kemampuan. Janganlah ada di kalangan kita yang hanya semangat saja yang lebih, tetapi dari segi penghayatan dan perlaksanaannya macam 'ketuk tin kosong'.