Translate

Saturday 13 December 2008

MUZAKARAH FATWA PERLU RUJUK MAJLIS RAJA-RAJA - RAJA NAZRIN SHAH


RAJA DR. NAZRIN SHAH - RAJA MUDA PERAK

1. Ketika mempengerusi Persidangan Ke-164 Majlis Agama Islam Perak pada 9 hb Disember 2008, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah menitahkan supaya Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak supaya tidak membuat sebarang kenyataan mengenai isu agama Islam sebelum mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang merupakan Yang Dipertua majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIP). Baginda menitahkan sebarang perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam hendaklah dipersembahkan bagi mendapat perkenan Sultan Perak terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan mengenainya dikeluarkan ( lihat Utusan Malaysia - 10 Disember 2008 ).

2. Dalam perkembangan berkaitan, Raja Nazrin bertitah bahawa apa yang berlaku pada masa ini ialah satu forum yang dikenali sebagai Muzakarah Jawatankuasa Fatwa telah mengumumkan sesuatu fatwa tanpa terlebih dahulu menyembahkannya kepada Majlis Raja-Raja. Baginda juga memperingatkan bahawa JAKIM tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan untuk memberi arahan kepada pentadbiran agama Islam negeri-negeri. Ini kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan di bawah Perkara (11(a) Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ( MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Perkara 14 di bawah peraturan itu menetapkan bahawa tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Titahnya lagi, bahawa Jawatankuasa fatwa ini hendaklah mengemukakan pendapat kepada MKI , yang akan menghantarkannya bersama dengan pengesyoran kepada majlis Raja-Raja Melayu.

3. Dalam hal ini, baginda juga menegaskan bahawa bukan sahaja sebarang keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu terlebih dahulu dipersembahkan kepada majlis Raja-Raja malah proses permulaan untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa hendaklah terlebih dahulu dirujuk bagi mendapat perkenan majlis Raja-Raja.

4. Pada pandangan saya, titah ucapan dan pandangan Raja Dr. Nazrin ini ada kebenarannya. Ini bermakna bahawa struktur Jawatankuasa fatwa selama ini yang diletakkan di bawah MKI adalah tidak tepat. Justeru, JAKIM harus bertindak segera bagi memperbetul semula persepsi ini. Yang menjadi masalahnya nanti ialah masyarakat Islam. Hukum fatwa dah dikeluarkan, tetapi negeri-negeri tidak mahu menerima dan menguatkuasakannya.

5. Saya ada cadangan kepada JAKIM, disyorkan supaya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ini diletakkan terus di bawah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Ini kerana Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ini akan bertindak serta mengumumkan bagi pihak Raja-Raja Melayu. Ianya sama seperti pengumuman melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal. Lihatlah betapa hebatnya kuasa yang ada pada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam TV ketika mengumumkan hari Raya Puasa :" Menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya selaku Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan ini mengisytharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi seluruh negeri di Malaysia ialah pada 1 hb OKtober 2008". Dengan pengiytiharan ini, saya rasa tidak ada satu negeri ataupun seorang sultanpun yang membantah tentang tarikh penetapan hari raya di negeri-negeri berkenaan. Semuanya bersetuju untuk berhari raya pada tarikh yang ditetapkan. Dan tidak perlu nak dipersembahkan kepada setiap Sultan dan Raja di negeri-negeri tentang tarikh raya selepas mufti-mufti melihat anak bulan di seluruh tempat. Kalau nak tunggu mengadap sultan dulu, baru nak isytihar raya, maka nampaknya terpaksalah tertangguh hari raya selama dua tiga hari lagi.

6. Sama juga dengan Jawatankuasa Fatwa ini jika diletakkan di bawah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan bukanya di bawah JAKIM ataupun MKI. Bila dapat sahaja keputusan mengenai sesuatu hukum yang telah difatwakan, maka serahkan sahaja pada penyimpan mohor Besar Raja-raja Melayu untuk membuat pengumuman dalam TV secara langsung. Umpamanya seperti pengharaman YOGA : " Menjunjung titah perintah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya selaku Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan ini mengisytiharkan bahawa senaman YOGA adalah diharamkan amalannya diseluruh negara". Saya yakin ianya lebih efektif dan berkesan. Tak perlu nak diwartakan di negeri-negeri, cukup dengan pengumuman melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ini seperti pengisytiharan Hari raya.


7. Satu lagi pandangan saya. Memandangkan Raja-Raja Melayu ataupun Sultan di negeri-negeri ini berperanan sebagai Ketua Agama Islam. Maka saya cadangkan kepada JAKIM agar dapat mempersembahkan kepada Majlis Raja-Raja supaya Tengku/Raja Muda yang bakal menaiki takhta sebagai Sultan di seluruh negara dapat diwajibkan untuk mengikuti Diploma Pengajian Islam / Tahfiz Al-Quran bagi memberi pendedahan dan juga penghayatan kepada Raja-Raja Muda / Tengku Mahkota ini tentang ilmu-ilmu usuluddin dan syariah. Ini penting kerana mereka ini bakal menjadi ketua agama Islam dan wajib mengetahui sesuatu hukum hakam secara lebih dalam menerusi pengajian formal. Nanti, bila sesuatu fatwa mengenai Islam nak dipersembahkan kepada Raja/Sultan, maka mudahlah Raja/Sultan ini nak memahaminya sama ada untuk menolak ataupun untuk menerimanya.

8. Saya rasa idea ini tak jadi keberatan kepada Sultan/Raja untuk menerimanya. Ini kerana apa yang dipraktikkan selama ini bahawa semua Raja Muda/tengku mahkota telah dihantar untuk menuntut di Kolej ataupun di pusat-pusat latihan ketenteraan sama ada di dalam ataupun di luar negara. Ini bagi membolehkan puteta-putera raja ini terlatih dalam disiplin serta ilmu ketenteraan kerana semua raja akan dilantik sebagai Kolonel yang Dipertua kepada Rejimen ataupun Kor sesuatu angkatan bersenjata seperti Navy, Air Force, Askar Melayu, Artileri, Armor dan yang paling penting sekali ialah Yang diPertuan Agong bertindak sebagai Marshall Angkatan Tentera. Kalau di bidang ketenteraan ini menjadi keutamaan putera-putera raja, maka lebih-lebih lagi dalam bidang agama Islam ini. Memang sepatutnya setiap putera raja mesti belajar ilmu di bidang pengajian Islam kerana mereka bakal jadi Ketua Agama Islam suatu hari nanti.

9. Siapa dan Jabatan Mana agaknya yang berani nak bawa idea ini kepada majlis Raja-Raja..? Saya sebagai Bloggger dah lontarkan idea ini untuk difikir bersama. Barulah berkat dan makmur negara dan negeri-negeri kita bila ketua agama kita dari kalangan raja-raja ini orang yang berpengetahuan dalam bidang agama dan menjadi raja/sultan yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. ( BALDATUN TOIYIBATUN WARABBUN GHAFUR )