Translate

Friday 25 July 2008

APA BEZA ANTARA MUZAKARAH DAN MUQABALAH

1. Presiden UMNO Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan sebelum ini bahawa beliau telah berjumpa dan bermuzakah dengan pemimpin tertinggi PAS sebanyak tiga kali sejurus sahaja selepas PRU ke-12 yang lalu demi untuk membincangkan masa depan umat melayu dan Islam di Malaysia. Dalam kenyatan tersebut, Pak Lah telah secara terbuka mendedahkan bahawa Tuan Guru Nik Aziz tidak terlibat dalam pertemuan tersebut, sebaliknya ia dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, YB. Nasharuddin Mat Isa, YB Ir Khalid Samad dan Pengarah Pilihanraya PAS, Hj Mustapha Ali.

2. Tuan Guru NIk Aziz terdahulu daripada ini telah membuat kenyataan bahawa PAS sedia bermuzakarah dengan UMNO dengan syarat bahawa ahli-ahli UMNO perlu membuat usul dalam semua Mesyuarat Agong Cawangan UMNO seluruh negara untuk meluluskan ketetapan di pihak UMNO untuk bermuzakarah. Kalau usul daripada cawangan UMNO ini telah dipersetujui , maka barulah PAS sedia untuk bermuzakarah

3. Sebaliknya, dalam pertemuan dan mesyuarat tertinggi pemimpin tertinggi PAS di Kediaman Rasmi MB Kelantan baru-baru ini telah membuat keputusan bahawa PAS tidak mahu mengadakan muzakarah dengan UMNO kerana muzakarah bermakna suatu perdebatan. Justeru, PAS telah memutuskan hanya untuk mengadakan 'Muqabalah' dengan UMNO mengikut keperluan dan bergantung kepada perkembangan semasa yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.

4. Kenapa PAS memesongkan pengertian uslub bahasa Arab daripada 'Muzakarah' kepada 'Muqabalah'? Apa bezanya pengertian muzakarah dan muqabalah ini. Sebetulnya bagi yang memahami uslub bahasa Arab, muzakarah adalah satu perbincangan secara tertib dan ilmiah yang disertai dengan fakta-fakta dan ditentukan tajuk serta persoalan pokok dalam perbincangan terlebih dahulu. Manakala 'muqabalah' ini hanyalah sekadar satu pertemuan biasa yang setiap pemimpin PAS sebelum inipun memang setiap hari bertemu dan berjumpa para pemimpin UMNO di Parlimen. Pertemua biasa inilah dipanggil dengan istilah 'muqabalah'. Apakah pertemuan biasa seperti ini yang dimaksudkan oleh PAS? Muqabalah ini adalah satu pertemuan yang tidak formal dan bertemu hanya sekadar beramah mesra seperti majlis jamuan teh dan majlis makan malam. Tetapi, muzakarah ini adalah satu perbincangan khusus yang lebih serius dan ianya akan membawa kepada satu titik pertemuan dan penyatuan, yang akhirnya akan melahirkan satu resolusi untuk dilaksanakan bagi keperluan umum.

5. Yang dimaksudkan dengan 'muzakarah' yang membawa pengertian kepada perdebatan seperti yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi Awang dalam kenyataannya tempohari sebenarnya bukanlah satu istilah yang tepat dan muktabar. Kalau membawa kepada perdebatan, maka ianya dalam uslub bahasa Arab dipanggil 'Mujadalah". Mungkin apa yang dimaksudkan oleh pemimpin PAS ini ialah 'mujadalah' dan bukannya muzakarah. Jadi, saya ingin membantu mereka untuk menggunakan istilah yang tepat.

6. Sebenarnya, apa istilahpun yang kita pakai bagi maksud mengadakan pertemuan serta perbincangan bukanlah persoalan pokok yang ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah. Dalam al-Quranpun ada menyebut perkataan 'mujadalah' ini di mana Allah menyuruh kita supaya serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah, mau'izatul hasanah dan bermujadalah dengan cara yang lebih baik. Yang penting, pertemuan itu mesti dilakukan dengan hikmah, mau'izatul hasanah dan bermujadalah dengan cara yang sebaik-baiknya. Dan yang terpenting sekali ialah dengan hati yang tulus ikhlas. Persoalan sama ada nak gunakan istilah 'muzakarah' ataupun 'muqabalah' bukanlah menjadi isu pokok.

7. Sayugia ingin saya memperingatkan kepada PAS supaya di lain masa jangan lagi bersandiwara dengan memutarbelitkan persoalan-persoalan istilah ini. Sama juga dengan sebelum ini, yang mana PAS menolak penggunaan kalimah 'Islam hadhari' dan hanya menerima istilah yang betulnya 'hadharah Islamiah'. Bila nak selesai dengan polimik 'istilah' ini. Nampaknya sayapun terpaksa terbabit sama dengan membuang masa dalam tulisan ini bagi menghuraikan kekusutan para pemimpin PAS dalam membincangkan istilah-istilah ini. Ini satu pandangan peribadi saya. Semua orang boleh terima atau boleh juga menolaknya. Apa komen..?