Translate

Sunday 8 March 2009

PPSMI- KE MANA TERAS PERJUANGAN UMNO..?



1. Fasal 3 : Asas dan Tujuan penubuhan UMNO telah dengan jelas dan tegas memperincikan bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara ; termasuk fasal ceraian 3.5: iaitu menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

2. Berapa ramai para pemimpin UMNO khasnya di peringkat MKT, Exco Pemuda,Wanita dan Puteri UMNO yang memahami serta menghayati Fasal 3.5, Perlembagaan UMNO ini. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada perhimpunan rakyat di Masjid Negara dan berarak menuju ke Istana Negara pada Sabtu lalu ( 7 Mac 2009). Mana dia jaguh dan pejuang bahasa Melayu di kalangan pemimpin UMNO. Yang kita nampak ke hadapan ialah Datuk Dr. Hasan Ahmad, Bekas Ketua Pengarah DBP dan Sasterawan Negara, A.Samad Said. ( Lihat Gambar di bawah )


3. Syabas juga kepada Presiden PAS , Tuan Guru Hj Hadi Awang dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa yang turut serta dalam perhimpunan ini bagi menyokong suara rakyat melayu bagi memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. ( Lihat Gambar di bawah )

4. Nampaknya isu-isu mengenai Melayu dan ketuanan Melayu seperti mendaulat Bahasa Melayu di negara ini, ada kalanya rakyat tidak boleh mengharapkan sangat para pemimpin tertinggi UMNO untuk memperjuangkannya. Kenapa jadi begini..?

5. Sedarkah kita bahawa kalau matlamat kerajaan nak mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Melayu, maka kaedah yang sepatutnya dilakukan ialah dengan cara merombak sistem pembelajaran dan juga kaedah pengajaran subjek Bahasa Inggeris itu sendiri. Bukannya kita membebankan pula anak-anak Melayu di luar bandar dengan mempelajari Sains dan matematik dalam BI. Tegasnya kalau nak suruh anak kita pandai BI, maka kita kena mantapkan sistem pengajaran BI di sekolah-sekolah dan bukannya seperti melaksanakan PPSMI ini.

6. Bagaimanapun, saya ada satu pandangan yang positif dengan PPSMI ini. Ianya boleh dilaksanakan hanya dengan memperkenalkan PPSMI ini kepada pelajar-pelajar di Asrama Penuh dan juga MRSM serta sekolah-sekolah bestari yang terpilih sahaja. Barulah ianya tidak mebebankan semua pelajar melayu di luar bandar.

7. Apapun, persoalan pokoknya pada hari ini ialah bukan masalah bandar atau luar bandar, tetapi kedaulatan Bahasa Melayu ini telah termaktub pada fasal 152, Perlembagaan Malaysia dan juga bagi pejuang-pejuang UMNO ianya dah termaktub dalam matlamat asas perjuangan UMNO itu sendiri pada fasal 3.5. Kalau bukan UMNO yang nak memartabatkan bahasa Melayu,
maka parti mana lagi yang nak kita harapkan..? DAP..? MCA..? MIC..? GERAKAN...? Tak ada makna kita ada ramai menteri kabinet dari kalangan pemimpin UMNO tetapi gagal untuk memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu ini..!