Translate

Sunday 13 April 2014

BERSATUKAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA UNTUK MENDAULATKAN UNDANG2 SYARIAH


HUDUD: ANTARA POLITIK DAN MASLAHAH UMMAH DI MALAYSIA

Apabila usul Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Hudud dikemukakan, maka berlakulah pelbagai reaksi secara impulsif daripada berbagai-bagai pihak, sama ada atas nama pertubuhan, kumpulan, parti atau orang-perseorangan.

            Sedekad yang lalu, dalam realiti politik tanah air UMNO tidak berkecenderungan untuk menyambut baik usul ini. Isu tadarruj (beransur-ansur), mekanisme sokongan, pragmatisme dalam hal-hal kenegaraan, diplomasi dan kesempurnaan dalam pelaksanaan telah dibangkitkan pada ketika itu, yang pada kaca mata PAS, ia hanya helah bagi menghalang pelaksanaannya. Juga sebagai tabir bagi menutup kebimbangan yang tidak pasti sekiranya undang-undang hudud digubal. Maka, apabila rang undang-undang ini dikemukakan di dalam Dewan Rakyat, rata-rata orang PAS menjangkakan bahawa orang-orang UMNO akan bersikap defensif.  

            Artikel ini ditulis bukan untuk mewakili suara mana-mana parti yang ada dalam negara ini. Tetapi, ia wakil kepada sebahagian besar suara rakyat Malaysia yang beragama Islam. Terutamanya dalam kalangan yang tidak mempunyai ilmu Syariah atau Undang-undang Islam secara mendalam. Tidak mempunyai ilmu sekurang-kurangnya pada tahap sederhana. Untuk menentangnya pula bimbang tergelincir dalam kancah dosa. Untuk menyokongnya pula, bimbang jika ada pelbagai kekurangan, kelompangan (lacuna) dan kelemahan. Tujuan pelaksanaan hudud ialah maqasid al-Shariah. Iaitu pemeliharaan maslahah umat manusia dari aspek agama, nyawa, diri, harta, keturunan dan kehormatan. Dengan maqasid yang amat unggul ini, ia harus dilaksanakan dengan cermat supaya keadilan itu bukan hanya berbentuk teori dan berdiam dalam  falsafah perundangan Islam, tetapi juga terbukti adil secara yang dapat dilihat oleh masyarakat.

Kalau di dunia barat, masyarakat Islam di sana kerap menjadi mangsa fenomena Islamophobia, tetapi di negara kita pula berlaku fobia terhadap hudud. Bukan sahaja dalam kalangan masyarakat bukan Islam, malahan juga oleh orang-orang Islam sendiri. Sedangkan Islam bukan hanya sebagai agama rasmi, tetapi merupakan agama negara. Hatta pemandu teksi Cina mempunyai stigma, jika hudud dilaksanakan di Kelantan, maka banyaklah orang Kelantan yang akan kena potong tangan. Persoalan kita di sini, mengapa “hudud” menjadi sesuatu yang ditakuti oleh masyarakat?
           
Memang benar bahawa hudud itu adalah dalil-dalil daripada ayat-ayat al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW yang diterjemahkan dalam bentuk kodifikasi undang-undang. Dan proses pengkanunannya ini dilakukan oleh manusia. Bagi mencapai kesempurnaannya, kami fikir apa yang diperlukan demi kesejahteraan masyarakat keseluruhannya, bukan sekadar undang-undang substantif. Adakah Undang-undang Prosedur dan Undang-undang Keterangan Islam sudah bersedia untuk mengambil giliran masing-masing? Yang pada kami, pelaksanaan undang-undang yang unggul perlu datang secara berpakej. Pada kami Undang-undang Prosedur Jenayah Syariah dan Undang-undang Keterangan Islam yang sedia ada masih mempunyai banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi menjadikan kedua-dua undang-undang ini mempunyai wibawa yang sama sebagaimana undang-undang substantif hudud.

Undang-undang yang tidak teguh akan memberi pelbagai implikasi negatif, keadilan yang dihasratkan sukar untuk dicapai dan seterusnya akan menggugat kesejahteraan umat dan ketenteraman negara. Hudud itu sendiri akan menjadi mangsa kepada tanggapan buruk masyarakat awam tanpa mengira sama ada dalam kalangan orang Islam, apatah lagi orang bukan Islam.

Menyuarakan kebimbangan bukan bermaksud menentang usaha penguatkuasaannya. Malah undang-undang yang berwibawa dan kompeten adalah sebahagian daripada aspirasi Syariah yang diturunkan oleh Allah SWT, yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW. Jika sedekad yang lampau, barangkali kebimbangan masyarakat termasuk masyarakat Islam sendiri terhadap hudud adalah disebabkan stigma dan persepsi yang  mengatakan hudud ini undang-undang yang kejam. Namun disebabkan jenayah yang dilakukan oleh manusia pada era milenium ini juga melampaui kekejamannya, maka kami berasakan ia ibarat “buku” sudah memulakan langkah untuk bertemu “ruas”. Untuk mengajar “ruas” tentang erti keadilan yang sebenar dan menginsafkan “ruas” bahawa masyarakat di negara ini sudah begitu lama mengimpikan kesejahteraan dalam setiap aspek kehidupan. Jika selama ini masyarakat Islam hanya mendengar kisah-kisah dahulu bahawa tiada sesiapa yang akan mencuri barang yang tertinggal atau tercicir, malah diusahakan untuk mencari tuan punya barang, maka pada hari ini masyarakat di Malaysia ingin menikmati suasana yang penuh amanah dan keimanan itu. Kami tidak menafikan bahawa masanya sudah (lama) tiba.

Maka menjadi tanggungjawab kepada setiap individu Islam di negara ini untuk menyokong usaha ini. Memberi sumbangan menurut kudrat dan keupayaan masing-masing. Sekurang-kurangnya tidak menghalang atau menyempitkan laluannya. Itu sudah cukup baik di samping mendoakan agar ia dapat dilaksanakan agar setiap individu yang menjadi subjek undang-undang menikmati keadilannya, hatta kepada si pesalah pun.

Begitu pun, tentangan daripada bukan Islam memang sudah dijangka. Sama ada daripada MCA ataupun DAP. Amat luar biasa jika mereka bersikap positif terhadap rang undang-undang ini. Juga luar biasa jika mereka mempunyai sangkaan yang baik dan memberi peluang kepada rang undang-undang ini untuk berperanan sebagai mekanisme yang dapat menggapai keadilan buat umat manusia sejagat.

Dalam hal ini, mata kita seharusnya benar-benar celik kerana kita pasti dalam kalangan ahli-ahli MCA, DAP dan apa juga parti yang didukung atau didominasi oleh bukan Islam, tentunya kalangan yang terpelajar tidak sedikit bilangannya. Malah, yang bukan calang-calang dalam bidang perundangan juga tentu ada dalam setiap pertubuhan atau parti politik. Umat Islam di Malaysia tidak mampu untuk menerima alasan, hanya disebabkan mereka kalangan bukan Islam maka mereka tidak seharusnya menjadi subjek kepada perundangan Islam. Individu yang mencintai ilmu, terpelajar dan bersikap terbuka tidak akan mudah melatah apabila sebarang isu timbul. Hudud adalah perkara yang telah lebih sedekad menjadi isu sama ada sebagai polemik politik ataupun perbahasan secara ilmiah. Tempoh sedekad sudah lebih daripada cukup untuk memahami dan mempelajari apa-apa perkara yang berkaitan dengan perundangan Islam. Bermula dari aspek falsafah perundangan itu sendiri sehinggalah kepada kemampuan undang-undang itu untuk mendidik jiwa setiap warga masyarakat sama ada yang bersalah, yang teraniaya ataupun orang awam.

Nilai-nilai dan elemen-elemen dalam Islam yang boleh memberi keuntungan dalam bentuk wang ringgit begitu rakus diambil. Maka institusi kewangan yang ada di negara ini berlumba-lumba untuk mewujudkan sistem perbankan Islam bagi “memakmurkan” lagi institusi kewangan masing-masing. Ironinya, sebahagian nilai dan elemen dalam Islam yang berperanan penting demi memelihara kesejahteraan masyarakat ditentang sebegitu hebat sekali. Sedangkan, nilai dan elemen ini selari dengan tindakan, contohnya, tidak meluluskan operasi judi atau kasino. Ia adalah tindakan pencegahan yang disebut sebagai sad dal-zara’i (menutup kemudaratan). Sementara perundangan Islam melalui hudud lebih kepada pengurusan masalah jenayah yang telah dilakukan oleh pesalah. Kedua-duanya berada dalam ruang lingkup perlindungan maslahah dan konsep maqasid al-Shariah.

Persoalannya, mengapa MCA dan DAP menentang hudud? Sedangkan sebelum kedatangan penjajah, mekanisme inilah yang menjadi sebahagian daripada sistem hidup dalam masyarakat di Tanah Melayu. Yang ternyata mampu menguruskan kehidupan rakyat dan juga orang luar yang bertandang di negeri ini. Kes bunuh seorang Cina yang berlaku pada tahun 1888 di Pahang cuba dipertahankan oleh istana Pahang daripada pihak British, supaya ia dibicarakan di bawah kategori “Qisas dan Diat”. Maka, waris yang kena bunuh akan mendapat pampasan daripada pihak yang membunuh, tanpa mengira si pembunuh itu Islam ataupun bukan Islam. Adakah ia ditentang kerana puak-puak ini membenci agama Islam? Atau mereka sebenarnya sangat alergi dengan apa-apa sahaja yang dibawa oleh orang Melayu?

Yang sangat luar biasa juga apabila PKR tidak bersetuju dengan usul rang undang-undang berkenaan. Malah, sikap empatinya juga amat tinggi terhadap golongan bukan Islam di negara ini. Masyarakat Islam di luar sana tentunya berasa amat hairan dengan sikap ini. Tentunya Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang secara personel menyokong Anwar Ibrahim sebagai individu yang paling layak memimpin negara ini juga akan tersentak dengan sikap pemimpin PKR yang cuba menjadi hero kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia. Atas tujuan apa PKR berhasrat untuk menyampaikan rasa bimbang masyarakat bukan Islam? Apakah motifnya Anwar Ibrahim bersuara bagi pihak mereka?

Jenayah semakin bermaharajalela dan berleluasa. Barangkali ia disebabkan undang-undang ciptaan manusia yang selama ini digunakan, belum lagi disuntik dengan roh Syariat. Undang-undang yang berada dalam kategori takzir, jika ia sudah cukup cantik biarlah  ia terus melaksanakan fungsinya. Contohnya, undang-undang yang menguruskan kesalahan pemerdagangan manusia dan pengedaran dadah. Tinggal sahaja lagi kesalahan-kesalahan hudud sudah sampai masanya untuk mengambil tempat duduk mereka. Peranan kita adalah menyokong, menyumbang pemikiran dan kemahiran, serta menambah baik pada setiap yang kurang dan lemah. Hujung usaha ialah tawakal selepas mendoakan yang terbaik. Kita tidak perlu apologetik demi menegakkan syiar Islam kerana Islam itu sendiri rahmat untuk umat manusia sejagat. Hatta kucing di jalanan juga akan menerima tempias kebaikan dan sifat ihsan Islam.

Sekretariat Penyelidikan Islam
Biro Hal Ehwal Islam Perkasa


Saturday 12 April 2014

DERAF MEMORANDUM PERPADUAN NASIONAL BAGI MENDAULATKAN ISLAM DI MALAYSIA


Perpaduan Menurut Perspektif Islam

Islam amat menitik beratkan soal perpaduan. Ini kerana Islam itu sendiri adalah agama fitrah dan telah menjadi fitrah atau tabiat semulajadi manusia inginkan perpaduan tidak kira apa kaum atau bangsa mereka. Tiada manusia dari apa kaum atau bangsa sekali pun yang sukakan perpecahan. Lebih-lebih lagi kalau perpecahan itu membawa kepada permusuhan dan seterusnya kepada perbalahan, pergaduhan dan peperangan.

Oleh itu, perpecahan adalah musuh kepada manusia. Sebab itu manusia tidak mahu dan tidak suka kepada perpecahan. Fitrah semulajadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situlah letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia tidak kira apa etnik dan bangsanya. Firman Allah S.W.T:

“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”
                                                                                             (Al-Quran: Surah Al-Hujurat, ayat 13)

Ini bermakna bahawa Allah S.W.T amat menitik beratkan soal perpaduan nasional di kalangan hamba-hambaNya tanpa mengira bangsa dan juga suku puak. Ini kerana tujuan dan juga rahsia Allah menciptakan manusia di dunia ini berbagai bangsa dan juga suku puak adalah agar manusia dapat saling kenal mengenal dan juga bermuamalah secara mahabbah dalam membina kehidupan yang harmoni di muka bumi ini.

Bagaimanapun ikatan jiwa di kalangan umat Islam diikat oleh aqidah atau iman yang satu. Itulah dia yang dikatakan kesatuan atau perpaduan jiwa. Perpaduan jiwa dengan Tuhan tidak ada kepentingan dunia. Oleh itu penyakit pecah-belah tidak akan wujud kerana penyakit pecah-belah hanya akan hidup subur jika ada kepentingan dunia. Apabila penyakit pecah-belah tidak wujud, maka perpaduan umat Islam akan selamat dari bahaya pecah-belah kerana yang memecah-belahkan manusia itu ialah dunia dan mata bendanya dan nafsu yang rakus yang tidak terkawal. Perkara ini ditegaskan oleh Allah S.W.T dalam Firman-Nya:

Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam)..”
                                                                                        (Al-Quran: Surah Ali-Imran, ayat 103 )

Justeru, sesuatu perpaduan dan juga sesuatu kerjasama sosial dalam masyarakat Muslim dan juga masyarakat majmuk di dunia ini mestilah berteraskan kepada “Tali Allah” iaitu agama Islam yang mana Islam itu sendiri mengiktiraf kewujudan bangsa dan juga kaum di dunia ini sebagai satu keistimewaan untuk membentuk kesatuan ummah dan juga kerjasama (ta’aruf) dalam membangunkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni.

CADANGAN DAN USUL MEMORANDUM PERPADUAN NASIONAL
DARI ASPEK AGAMA DAN SOSIAL

1.      Perlembagaan Persekutuan Fasal 43 (2 (a), yang berkaitan dengan perlantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong  hendaklah dipinda dengan menyatakan syarat bahawa Perdana Menteri yang dilantik itu mestilah seorang berbangsa Melayu yang beragama Islam. Syarat ini penting supaya tugas Ketua Eksekutif untuk menjaga perpaduan kaum dan agama di Negara ini mestilah seorang pemimpin yang ada akauntabiliti kepada agama Islam yang menjadi agama kepada persekutuan seperti termaktub dalam Fasal 3(1), Perlembagaan Peresekutuan.  

2.      Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah Suruhanjaya Perpaduan Nasional yang diletakkan secara terus di bawah Majlis Raja-Raja. Ianya bertepatan dengan fungsi Majlis Raja-Raja seperti termaktub dalam Fasal 38 (2) (b), iaitu Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan fungsinya bagi mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh. Ini bagi menjamin supaya apa-apa persetujuan bersama antara kaum dan agama di Negara ini tidak menyentuh hak dan bidang kuasa fungsi Majlis Raja-Raja.

3.      Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara hendaklah dijadikan asas dan juga rujukan dalam menggubal sesuatu dasar Negara yang berkaitan dengan Perpaduan Nasional.

4.      Setiap warganegara yang mencapai umur 18 tahun semasa memohon pertukaran Kad Pengenalan dan juga Pasport Antarabangsa hendaklah diwajibkan menandatangani Surat Aku Janji dan Akuan Bersumpah sebagai satu Kontrak Sosial untuk menghormati Islam sebagai agama Persekutuan, menghormati agama-agama lain, taat dan setia kepada Raja-Raja Melayu serta berjanji tidak mempertikaikan hak istimewa kaum Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Jika mereka ingkar dan melanggar Aku Janji ini maka mereka bersedia untuk dilucutkan kerakyatan kewarganegaraannya sebagai Rakyat Malaysia.

5.      Pembinaan rumah-rumah ibadat. Selama ini pembinaan rumah-rumah ibadat orang Islam dikawal dengan begitu ketat dengan perlu mendapat kebenaran daripada Majlis-Majlis Agama Islam negeri dan juga pihak berkuasa kerajaan tempatan. Sedangkan rumah-rumah ibadat bukan Islam telah dibina tanpa kawalan dan tanpa mengikut keperluan dan nisbah penduduk sesuatu kelompok penganut sesuatu agama berkenaan. Justeru dicadangkan supaya mana-mana rumah ibadat bukan Islam yang hendak dibina di seluruh Negara perlu mendapat pesetujuan dan perkenan Majlis Raja-Raja seperti yang termaktub dalam Fasal 38 (2) (b), Perlembagan Persekutuan mengenai fungsi Majlis Raja-Raja untuk mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa amalan agama di seluruh Persekutuan.

 Deraf Memorandum Perpaduan Nasional
Untuk Dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja

Mohon beri cadangan dan penambahbaikan untuk Deraf Memorandum ini.

SHAMSUDDIN MONER
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia