Translate

Thursday 10 July 2008

ETIKA AHLI UMNO ( PANDUAN PEMILIHAN UMNO 2008 )

ETIKA AHLI UMNO

PERKARA 1

1. Mukadimah

1.1 Bahawasanya bagi memelihara kekuatan dan maruah UMNO daripada sebarang anasir salahlaku dan kemungkaran;

1.2 Bahawasanya bagi menguatkan keazaman memperjuangkan martabat dan maruah bangsa melalui wadah UMNO dengan terus memperkukuhkan dan memberikan semangat perjuangan menentang Rasuah/Sogokan Politik;

1.3 Bahawasanya bagi menghendaki Ahli UMNO mentaati Perlembagaan dan Peraturan UMNO sepenuhnya, bagi membanteras segala bentuk penyelewengan, salahlaku, penyalahgunaan kuasa dan penggunaan wang serta gejala negative yang boleh meluntur dan melemahkan UMNO;

1.4 Maka dengan itu, menurut kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO, Majlis Tertinggi membuat tataetika Ahli UMNO ini seperti tersebut di bawah.

PERKARA 2

2. Tafsiran

2.1 Dalam Tataetika Ahli ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:-

2.1.1 “Ejen” ertinya Ahli-Ahli parti atau mana-mana orang perseorangan atau kumpulan yang digunakan sebagai pengantara bagi melakukan apa-apa salahlaku di bawah tataetika Ahli UMNO ini untuk kepentingan Ahli itu;

2.1.2 “Tempoh Pemilihan” ertinya waktu yang bermula enam (6) bulan sebelum tempoh proses pemilihan yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi di semua peringkat parti yang berkenaan sehinggalah enam (6) bulan selepas tamat pemilihan tersebut. Tanpa menjejaskan apa-apa maksud di atas, perbuatan-perbuatan yang dilakukan sebelum atau selepas Tempoh Pemilihan itu akan diambilkira untuk menentukan niat perlakuan itu ;

2.1.3 “Balasan” termasuklah apa-apa pemberian termasuk wang ringgit, saham-saham, konsesi, hadiah, pakej percutian, makanan/jamuan, tambang, gelaran / anugerah dan perkara-perkara lain yang dinyatakan di dalam Tataetika ini.

2.2 Jika berbangkit sebarang perselisihan di atas tafsiran Tataetika Ahli UMNO ini yang dibuat di bawah kuatkuasa Majlis Tertinggi UMNO, maka tafsiran yang diberikan oleh Majlis Tertinggi UMNO adalah muktamad.

2.3 Senarai contoh-contoh yang terkandung di dalam Tataetika Ahli UMNO ini adalah hanya sebagai penerangan lanjut dan tidaklah boleh dianggap sebagai menghadkan jenis-jenis salahlaku.

PERKARA 3

3. Kesetiaan

3.1 Sebagai tambahan dan bukan menghadkan Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO, semua Ahli-Ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan :-

3.1.1 Patuh kepada Perlembagaan dan tataetika Ahli ;

3.1.2 Mengikut perintah-perintah parti;

3.1.3 Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti (termasuk keputusan disiplin parti);

3.1.4 Menjalankan dasar-dasar parti;

3.1.5 Menjaga rahsia-rahsia parti;

3.1.6 Memelihara nama baik dan maruah parti;

3.1.7 Menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib bersesuaian dengan tanggungjawab sebagai Ahli UMNO.

Contoh:

(a) Ahli mempertikaikan atau mengkritik keputusan Lembaga Disiplin secara terbuka tanpa mengikut saluran parti yang sedia ada;

(b) Ahli enggan memohon maaf dan tidak hadir apabila dipanggil atau diminta menjelaskan mengapa tindakan disiplin tidak patut diambil terhadap Ahli tersebut oleh Lembaga Disiplin;

(c) Tidak menjaga nama baik dan maruah parti dengan bergaduh atau tumbuk-menumbuk antara Ahli di sesuatu mesyuarat bahagian/cawangan atau apa jua mesyuarat yang lain;

(d) Menjadi calon pembangkang, pencadang atau penyokong borang pencalonan atau melakukan perbuatan yang boleh ditafsir telah menyokong calon parti lawan;

(e) Membawa hal ehwal parti ke mahkamah;

(f) Mengkritik pemimpin-pemimpin parti tanpa melalui saluran yang betul/sedia ada; atau

(g) Mengeluarkan kenyataan-kenyataan dan mengkritik keputusan-keputusan parti di dalam media cetak dan elektronik yang mengakibatkan parti dilihat rendah.

PERKARA 4

4. Pengaruh Tidak Wajar

Ahli parti adalah dilarang pada setiap masa secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui pihak lain bagi dirinya, melakukan, menggunakan manipulasi atau tiupuhelah bagi menghalang, memaksa, mengancam, mendorong, mengganggu atau mendesak seseorang Ahli UMNO yang lain melakukan sesuatu atau tidak menjalankan tugasnya atau menghalang perlaksanaan haknya di dalam parti dengan bebas atau menafikan hak seseorang Ahli.

Contoh:

(a) Jika seseorang Ahli tidak mengundi mana-mana pihak tertentu, tiada bantuan akan diberikan kepada beliau;

(b) Jika seseorang Ahli enggan mengundi mana-mana pihak tertentu, beliau tidak akan dilantik kepada mana-mana jawatan.

PERKARA 5

5. Salahlaku

Ahli parti dilarang daripada melakukan perkara-perkara berikut :

5.1 Rasuah / Sogokan Politik

5.1.1 Menyalahgunakan apa jua kuasa secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya dengan tujuan mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

Contoh:

(a) Menggunakan kedudukan atau kuasanya secara salah dengan membuat janji-janji memberi pangkat, anugerah / gelaran, peluang perniagaan, bagi mendapatkan undi.

5.1.2 Memberi, meminjam, meminta, atau bersetuju untuk memberi atau meminjam atau meminta, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai untuk seseorang Ahli atau untuk seseorang yang lain, dengan tujuan mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

Contoh :

(a) Memberi wang atau imbuhan untuk tidak menyokong atau mengundi pihak lawan atau pihak lain;

(b) Mengguna wang untuk mendapatkan undi.

5.1.3 Memberi atau menerima atau membenarkan Ahli keluarganya atau mana-mana orang untuk memberi atau menerima bagi pihaknya, secara langsung atau secara tidak langsung, kepada atau daripada mana-mana Ahli UMNO yang lain apa-apa jua hadiah, benda atau faedah sama ada secara zahir atau sebaliknya bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

Contoh:

Menerima sebarang bentuk hadiah atau benda sebagai imbuhan misalnya:-

· Tambang percuma,

· Kemudahan perjalanan,

· Perkhidmatan,

· Saham-saham,

· Konsesi,

· Kontrak,

· Hiburan,

· Gelaran atau anugerah.

5.2 Mengguna Kekerasan dan Ugutan

Mengguna atau mengancam untuk mengguna apa-apa jua bentuk kekerasan sama ada secara fizikal atau bukan fizikal, paksaan, ugutan atau halangan secara langsung atau tidak langsung, dengan sendirinya atau melalui seseorang lain bagi pihaknya, dengan tujuan untuk membawa atau mengakibatkan kecacatan, kerosakan atau kerugian ke atas mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa mana-mana Ahli UMNO atau keluarga agar mengundi atau tidak mengundi mana-mana Ahli UMNO lain dalam mana-mana Pemilihan parti.

Contoh :

(a) Mengancam dan terlibat dengan pergaduhan, bertumbuk, membaling objek atau seumpamanya;

(b) Mengguna ugutan untuk tidak memberi peruntukan dan projek kepada suatu pihak;

(c) Mengancam untuk menarikbalik perlantikan ke sesuatu jawatan.

5.3 Penerbitan dan Penggunaan Media Massa Elektronik Atau Internet

Menerbit, menyiar atau menulis apa-apa risalah, majalah, makallah, buku atau lain-lain karya secara langsung atau tidak langsung, yang mempunyai unsur-unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana-mana Ahli parti yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan untuk mengelirukan seseorang berkenaan Ahli UMNO yang lain, mempengaruhi atau mendapat undi atau sokongan bagi pihaknya atau orang lain dalam mana-mana Pemilihan parti.

Contoh:

(a) Menulis dalam apa juga media cetak atau elektronik terhadap mana-mana calon yang akan bertanding;

(b) Membuat sebarang poster atau kad nama yang menunjukkan janji-janji dan sebagainya;

(c) Mencela atau memfitnah mana-mana Ahli dengan tujuan untuk memburukkan namanya supaya Ahli tidak mengundi Ahli yang difitnah tersebut;

(d) Membuat aduan bertulis, tuduhan, tohmahan, kenyataan atau apajua bentuk penulisan atau lisan dengan pengetahuan bahawa ianya adalah palsu atau tidak berasas.

5.4 Fitnah

Mana-mana Ahli yang mengeluarkan sesuatu kenyataan tentang seseorang Ahli yang lain yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindarinya atau mengelaknya maka telah melakukan perbuatan fitnah di bawah Perkara 5.7 tataetika ini yang boleh mengakibatkan Ahli tersebut diambil tindakan disiplin.

5.5 Ejen, Pelobi, Pengurus Kempen atau Perayu Undi

5.5.1 bagi peringkat majlis tertinggi, kecuali untuk majlis penerangan dan / atau kempen yang dianjurkan di bawah seliaan Ibu Pejabat UMNO malaysia, Ahli-Ahli parti dilarang daripada berkempem bagi pihak dirinya dan / atau menjadikan dirinya sebagai ajen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak mana-mana calon untuk mana-mana peringkat Pemilihan parti.

5.5.2 Bagi peringkat Bahagian, kecuali untuk majlis penerangan dan / atau kempen yang dianjurkan di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri masing-masing, Ahli-Ahli parti dilarang daripada berkempen bagi pihak dirinya dan / atau menjadikan dirinya sebagai ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak mana-mana calon untuk mana-mana peringkat Pemilihan parti.

Contoh :

(a) Mengguna ejen, pelobi, syarikat pengurus kempen, untuk berkempen bagi mana-mana calon; walaupun begitu, calon-calon dibenar berkempen di perhimpunan yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Negeri bagi tujuan berkempen.

5.6 Majlis dan Pertemuan

5.6.1 Kecuali untuk perhimpunan, pertemuan atau majlis yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan / atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan Negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahli-Ahli parti dilarang di dalam Tempoh Pemilihan menganjurkan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebarang perhimpunan, pertemuan jamuan atau apa-apa majlis yang membabitkan Ahli-ahli bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana calon bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain bagi mana-mana peringkat Pemilihan parti.

Contoh :

(a) Calon menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh atau dihadiri Ahli-Ahli UMNO dan berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen bagi pihaknya sendiri.

(b) Ahli UMNO menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh atau dihadiri Ahli-ahli UMNO dan berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen bagi pihak lain bagi mana-mana peringkat pemilihan parti.

5.7 Majlis Tertinggi berkuasa menetapkan dari masa ke semasa bentuk dan jenis penyalahgunaan kuasa, wang, sogokan dan sebagainya yang dimaksudkan di dalam sub-perkara 5.1 hingga 5.6 di atas.

PERKARA 6

6. Derma / Bantuan Kepada Parti

6.1 Ahli-ahli parti adalah dilarang, s ama ada secara langsung atau tidak langsung, memberi sebarang bentuk derma, bantuan atau peruntukan atas kapasiti persendirian atau melalui orang lain dengan tujuan untuk mendapatkan undi atau sokongan atau mempengaruhi Ahli di dalam mana-mana pemilhan parti bagi pihak sendiri atau bagi pihak lain.

6.2 mana-mana Ahli yang ingin memberi derma atau sebarang bentuk pemberian lain hendaklah disalurkan menerusi Majlis Tertinggi atau Badan Perhubungan Negeri yang berkenaan.

6.3 Mana-mana pemberian yang tidak melalui saluran yang tersebut dalam Perkara 6.2 adalah dianggap sebagai melanggar Perkara 6.1

Contoh :

(a) mana-mana Ahli menerima wang yang dikatakan duit minyak atau sedekah setelah menghadiri suatu majlis kempen anjuran badan Perhubungan UMNO Negeri tanpa menyebutkan penderma berkenaan dan Ahli itu akan mengambil bahagian dalam Perwakilan, Ahli itu dianggap telah melanggar Perkawa 6.1

PERKARA 7

7. Pernyataan Akhbar atau Awam

7.1 Ahli-ahli parti dilarang, samada secara langsung atau tidak langsung, membuat apa-apa pernyataan akhbar atau awam secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara sekalipun dan / atau menyebarkan pernyataan akhbar atau awam berhubungan dengan apa-apa dasar atau keputusan Parti termasuk keputusan disiplin parti yang boleh merosakkan imej dan keluhuran keputusan parti.

7.2 Mana-mana Ahli parti yang melanggar Perkara 7.1 Tataetika Ahli ini boleh dikenakan mana-mana satu hukuman di bawah fasal 20.9 Perlembagaan UMNO kerana menghina parti.

Contoh :

(a) Ahli A mempertikaikan keputusan-keputusan Majlis Tertinggi parti, Ahli A di sini melakukan perbuatan menghina parti.

(b) Ahli A mempertikaikan dan membuat kenyataan akhbar tentang prosiding disiplin parti dengan menuduh keputusan tak adil. Ahli A di sini melakukan perbuatan menghina parti.

PERKARA 8

8. Tingkahlaku Sewaktu Menjawat Jawatan Dalam Parti

8.1 Tingkahlaku Sewaktu Menjalankan Pentadbiran Parti

8.1.1 Ahli-ahli parti yang memegang sebarang jawatan dalam parti adalah dilarang sama sekali daripada menyalahgunakan apa jua kuasa atau apa-apa yang bersamaan dengannya yang ada pada mereka bagi tujuan persendirian di dalam menjalankan pentadbiran parti dan hendaklah sentiasa menjalankan dasar-dasar parti.

Contoh :

(a) Tidak mahu menerima permohonan Ahli baru di peringkat cawangan / Bahagian ;

(b) Tidak mahu menerima yuran Ahli;

(c) Memberi projek atau sumbangan kewangan secara terpilih dan pilih kasih dan tidak meliputi semua cawangan;

(d) Tidak jujur dan telus dalam menjalankan hal ehwal kewangan (seperti menggunakan wang parti dan wang peribadi dianggap serupa );

(e) Memindahkan Ahli ke Bahagian lain tanpa Ahli sendiri itu sendiri yang memohon atau bersetuju;

(f) Tidak menerima Ahli berpindah ke bahagian atau cawangan lain;

(g) Tidak memberitahu Majlis Tertinggi jika telahjatuh muflis atau gugur jawatan;

(h) Tidak mahu memanggil mesyuarat walaupun korum telah mencukupi kerana kepentingan dirinya sendiri atau pihak lain.

8.2 Tingkahlaku Sewaktu Menjalankan Mesyuarat Parti

8.2.1 Ahli-ahli parti yang diberikan kuasa menjalankan mesyuarat di perhimpunan tahunan Cawangan, Bahagian atau Majlis Tertinggi adalah dilarang daripada menyalahgunakan apa jua kuasa atau apa-apa yang bersamaan dengannya yang ada pada mereka dengan tujuan bagi manfaat pihak sendiri atau bagi pihak lain dan hendaklah sentiasa menjalankan dasar-dasar parti dan mengikut perintah-perintah parti.

Contoh :

(a) menjalankan mesyuarat tanpa notis yang munasabah;

(b) tidak menjalankan mesyuarat mengikut peraturan mesyuarat;

(c) menjalankan mesyuarat tidak cukup korum;

(d) menjalankan mesyuarat di tempat yang tidak ditetapkan ( contohnya di dalam bas dan di luar kawasan );

(e) menjalankan mesyuarat dengan cukup korum dengan hanya Ahli terpilih sahaja;

(f) berkempen sewaktu membuka majlis atau perasmian bagi calon-calon tertentu;

(g) menghalang hak mana-mana Ahli menghadiri mesyuarat (contoh Ahli ada resit membayar yuran tetapi tidak ada nama dalam senarai cawangan ) ;

(h) menukar agenda mesyuarat tanpa mendapat persetujuan Ahli mesyuarat;(contoh; pengundian dilakukan apabila ramai Ahli meninggalkan majlis) ;

(i) membuat minit mesyuarat palsu sedangkan mesyuarat tidak pun dijalankan (wujudnya cawangan hantu).

PERKARA 9

9. Bahan Bukti

Mana-mana Ahli yang merasakan bahawa hak mereka telah dinafikan di dalam apa juga keadaan bolehlah mengadu kepada Majlis Tertinggi atau Badan Perhubungan Negeri atau Lembaga Disiplin supaya hak mereka dapat didengar dan diadili dengan mengemukakan bahan-bahan bukti yang munasabah seperti saksi-saksi, bahan-bahan bercetak atau elektronik atau apa juga bahan yang lain yang menyokong aduan mereka tersebut.

PERKARA 10

10. Anggapan Kebersalahan Pihak Ketiga

10.1 Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah melanggar mana-mana peruntukan Tataetika Ahli UMNO ini, maka Lembaga Disiplin UMNO bolehlah menganggap, setelah ia berpuashati daripada keterangan-keterangan dan / atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan / atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.

10.2
Bilamana seseorang pengadu yang telah membuat aduan dan / atau saksi yang telah memberikan keterangannya di dalam perbicaraan prosiding Lembaga Disiplin menarik balik aduannya atau keterangan asalnya, maka Lembaga Disiplin UMNO boleh, setelah ia berpuashati bahawa aduan atau keterangan itu adalah benar, menganggap pengadu itu atau saksi itu telah menarik balik aduan atau keterangan tersebut dengan adanya imbuhan, ganjaran atau janji berbentuk material oleh tertuduh dan melakukan kesalahan menerima imbuhan, ganjaran atau janji berbentuk material daripada tertuduh dan kedua-dua pengadu / saksi atau tertuduh itu bolehlah dihukum mengikut peruntukan tataetika Ahli ini.

PERKARA 11

11. Hukuman

11.1 Mana-mana Ahli yang didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO ini bolehlah dikenakan mana-mana hukuman seperti yang termaktub di dalam Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

PERKARA 12

12. Pindaan

12.1 Majlis Tertinggi berkuasa meminda Tataetika ini dari semasa ke semasa.



( VERSI 2008 – Dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Pada 27 Mac 2008 )