Translate

Wednesday 5 November 2008

PULAPOL : PELANGAI MEMBANGUN 2020

1. Al Hamdulillah...DUN Pelangai di Daerah Bentong akan menjadi kawasan membangun dan maju menjelang tahun 2020. Inilah tuah dan juga keberkatan para penduduk di kawasan DUN Pelangai apabila ADUN yang mewakili mereka adalah seorang Menteri Besar Pahang dan Ahli Parlimen mereka ( Parlimen Bentong ) adalah seorang Menteri di Pusat.

2. Pengumuman yang dibuat oleh YAB Dato' Sri Adnan Yaakob, Ketua UMNO Bahagian Bentong selaku ADUN Pelangai ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO Bentong pada 2 November yang lalu tentang kelulusan pembinaan sebuah kompleks Pusat Latihan Polis ( PULAPOL ) yang terbesar di negara ini, telah membuatkan rakyat di kawasan DUN Pelangai merasa cukup bertuah dan berpuas hati.

3. Dengan pembinaan kompleks PULAPOL ini nanti yang melibatkan kawasan seluas 1000 ekar di kawasan Simpang Pelangai, maka ianya akan membawa pulangan penjanaan ekonomi serta industri-industri sokongan yang berkaitan dengannya di kawasan berkenaan. Sudah tentulah jalan utama dari Karak ke Pelangai dan terus ke Kuala Pilah akan di"up gred" (naik taraf ) dan ianya akan memajukan kawasan-kawasan sekitarnya.

4. Tercapailah impian rakyat Pelangai selama ini yang inginkan kemajuan di kawasan mereka kerana Pelangai merupakan satu-satunya kawasan DUN yang diwakili oleh wakil rakyat daripada UMNO. Pelangai tidak akan dapat projek besar seperti pembinaan Kompleks PULAPOL ini jika wakil rakyatnya bukan Menteri Besar. Inilah tuah dan rezeki orang Pelangai kerana mendapat pemimpin kawasannya bertaraf Menteri Besar. Dalam masa yang sama wakil rakyat Parlimennya juga adalah seorang Menteri yang mewakili MCA di Pusat. Bolehlah pula mereka desak pula Ahli Parlimen mereka untuk merancang apa-apa projek kerajaan pusat yang boleh dibangunkan di kawasan DUN Pelangai.

5. Orang Pelangai kena bersiap sedia daripada sekarang untuk merebut peluang ekonomi menerusi Pelangai Maju dan Membangun menjelang 2020 nanti. Perlu ada di kalangan anak-anak tempatan yang berkeupayaan untuk membuka bengkel-bengkel servise kereta dan motosikal. Begitu juga dengan peluang untuk membuka sebuah stesyen Minyak dan Mini Market, kedai dobi, kedai jahitan (taylor), kedai menjual peralatan pakaian latihan Polis, membekal makanan basah dan kering serta pelbagai jenis perniagaan serta perusahaan kecil yang bakal dijana menerusi pembinaan kompleks ini nanti.

6. Di samping itu, kompleks PULAPOL ini nanti bakal menyediakan peluang-peuang pekerjaan kepada anak-anak Pelangai dan di daerah Bentong. Sama ada peluang pekerjaan semasa proses pembinaannya, lebih-lebih lagi peluang pekerjaan sebagai pekerja-pekerja sokongan di dalam kompleks PULAPOL itu setelah ianya beroperasi nanti.

7. Janganlah nanti orang-orang di Pelangai hanya menjadi pemerhati dan hanya mampu melihat sahaja pembangunan yang ada tanpa mengambil kesempatan dan peluang yang ada. Kita tak mahu orang-orang di Pelangai ni hanya sibuk dan berdegar-degar inginkan pembangunan di kawasan mereka. Macam-macam yang mereka minta dan desak pihak kerajaan untuk memajukan tempat mereka. Tapi, bila dah sampai projek dan pembangunan di Pelangai, mereka hanya melihat dan masih lagi hidup dengan cara lama dan pada takuk yang lama. Siapa yang salah dalam hal ini nanti. Jadi, anak-anak muda di Pelangai hari ini perlu berubah dan tukarlah minda agar menjadi golongan masyarakat yang berminda kelas pertama.

8. Kita doakan agar YAB Dato' Sri Adnan Yaakob, ADUN Pelangai akan kekal sebagai Menteri Besar Pahang untuk sepenggal lagi bagi meneruskan agenda pembangunan Pelangai Membangun dan Maju menjelang tahun 2020.