1. Adakah anda mengenali ciri-ciri dan juga pemikiran seseorang yang dirasuk dengan fahaman liberal (liberalisme) ? Liberalisme merupakan satu penyakit kanser pemikiran yang secara senyap boleh menghancurkan aqidah dan membunuh iman seseorang intelektual muslim.
2. Seseorang yang telah menghidap penyakit kanser liberalisme ini kebiasaan pemikirannya telah dijangkiti oleh EMPAT jenis virus yang boleh membunuh benih-benih iman dan Islam dalam pegangan hidupnya, iaitu:
Pertama: RELATIVISME - iaitu virus liberal yang memandang semua kebenaran adalah relatif (tidak pasti), sehingga tidak ada kebenaran mutlak, termasuk kebenaran agama. Virus ini akhirnya akan menimbulkan penyakit PLURALISME yang memandang semua agama sama dan benar, sehingga tidak boleh suatu umat beragama di dunia ini mendakwa hanya agamanya saja yang paling benar, sebaliknya perlu mengakui kebenaran agama lain.
Kedua: SKEPTISISME - iaitu Virus Liberal yang meragukan kebenaran agama dan menolak keuniversalan dan komprehensifnya agama yang mencakupi semua sektor kehidupan, sehingga agama hanya mengatur urusan ritual ibadah saja dan bukannya agama itu sebagai 'Addin' ataupun sebagai 'Nizamul Hayat'. Virus ini menimbulkan penyakit SEKULARISME yang memisahkan urusan agama dari semua urusan Negara, baik yang bersangkutan dengan politik dan siasah, ekonomi, sosial dan budaya, pendidikan, industri maupun sains dan teknologi.
Ketiga: AGNOSTISISME - iaitu Virus Liberal yang melepaskan diri dari kebenaran agama dan bersikap tidak tahu menahu tentang kebenaran agama, sehingga agama tidak lagi menjadi sukatan dan rujukan dalam mengukur sesuatu kebenaran dan haq. Virus ini menimbulkan penyakit MATERIALISME yang mengukur segala sesuatu dengan kebendaan (materialistik), termasuk dalam soal mengamalkan sesuatu perkara yang bersangkutan dengan agama dengan sentiasa menghitung keuntungan dan rugi di dunia.
Keempat: ATHEISME - iaitu Virus Liberal yang menolak semua kebenaran, khususnya kebenaran agama dan memandang Tuhan hanya sebagai 'Faith Identity' (Identiti Kepercayaan) yang menjadi mitos (Takhayyul). Berfikiran bahawa agama itu harus dirumus dan dipegangi keyakinannya berdasarkan kepada rasional akal semata-mata. Virus ini menimbulkan penyakit RASIONALISME iaitu segala sesuatu hanya diukur dengan akal semata-mata, sehingga akal dijadikan Tuhan dalam semua perkara yang difikirkan rasional.
3. Ini bermakna bahawa seorang yang LIBERAL adalah orang yang pemikirannya sudah terserang dan dihinggapi Empat Virus yang dinyatakan di atas iaitu Virus Relativisme yang menimbulkan penyakit pluralisme, Virus Skeptisisme yang menimbulkan penyakit Sekularisme, Virus Agnostisisme yang menimbulkan penyakit materialisme dan Virus Atheisme yang menimbulkan penyakit rasionalisme.
4. Jelas kepada kita bahawa kaum Liberal ini adalah kelompok anarki pemikiran, perosak agama dengan meletakkan pemikiran dan juga kefahaman mereka mengatasi doktrin agama wahyu. Mereka ini sebenarnya adalah musuh Islam sehingga wujudnya gerakan-gerakan memperjuangkan hak asasi manusia di kalangan mereka yang menolak segala bentuk formalisasi dan juga undang-undang syariat Islam. Liberalisme ini adalah musuh besar Islam, dan musuh paling berbahaya hingga ianya boleh dikatakan lebih berbahaya daripada segala kemungkaran dan kesesatan yang ada.
5. Di Malaysia, gerakan-gerakan liberal ini telah mula menular di kalangan intelektual Islam yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang hak asasi manusia yang bersekutu dengan puak-puak liberalisme agama-agama lain. Kemungkinan individu-individu muslim yang berfahaman sedemikian bergerak aktif dalam Majlis Peguam Malaysia (Bar Council), COMANGO, SIS dan juga gerakan mempromosi 'Seksualiti Merdeka' (LGBT). Kemungkinan juga kelompok ini wujud dan diberi ruang dalam mengembangkan pemikiran mereka dalam satu institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan iaitu 'Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN).
6. Di bawah ini dipetik beberapa siri ucapan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang comfirm dijangkiti Virus Liberal ini semasa dialog “Religion and Pluralisme in a Divided
World” pada 18 Mac 2010, di London School of Economic (LSE):
" Golongan-golongan agama tertentu yang menganggap hanya satu ajaran asasi tetentu saja yang membawa ke jalan keselamatan / syurga adalah pandangan yang silap dan tertutup. Agama-agama lain juga benar.."
"Semua agama mempunyai pertanyaan yang sama iaitu dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya ? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia ? Yang bermaksud persamaan universal antara semua agama adalah untuk mencari kebenaran, keadilan dan sifat keunggulan".
"Pada hari ini wujud kebebasan beragama tetapi mengenepikan Pluralisme Agama yang sepatutnya kedua-duanya diperteguhkan sebagai konsep kebebasan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi.Memihak kepada satu agama dan mengenepikan agama-agama lain adalah bertentangan dengan semangat Pluralisme Agama".
" Al-Quran sendiri menganjurkan Pluralisme Agama seperti dalam firman Allah s.w.t, 'Tidak ada paksaan dalam agama'; maka mestilah perbuatan memaksakan kepercayaan seseorang ke atas orang lain bukan bersifat Islamik. Jika ayat ini ditolak, maka kenyataan Al-Quran itu tidak mempunyai apa-apa erti".
7. Telitilah ucapan-ucapan pemimpin yang saya nyatakan di atas. Adakah ianya selari dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan juga prinsip-prinsip Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri. Justeru, jauhilah dan marilah kita membenteras puak-puak yang beramal dengan fahaman-fahaman liberal yang sedemikian yang bakal membunuh keimanan generasi 'Y' kita di masa hadapan.
KEPUTUSAN MUZAKARAH FATWA KEBANGSAAN MENGENAI
ALIRAN PEMIKIRAN LIBERAL DI MALAYSIA
KEPUTUSAN MUZAKARAH FATWA KEBANGSAAN MENGENAI
ALIRAN PEMIKIRAN LIBERAL DI MALAYSIA
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25
-27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan
Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan
bahawa:
Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:
1. Aspek Akidah.
a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme - Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama
dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa
setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri
terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama
tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
b. Akal Manusia Adalah Wahyu - Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori
iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis
adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis
adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks
al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
c. Meragui Ketulinan Al-Quran - Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi
dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu,
tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga
terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah
tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message
budaya Arab.
2. Aspek Syariah.
a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith - Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau
methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan
“membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini
menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran
al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan
psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan
sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu
tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat - Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan
membebaskan' tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat
Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses
dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian - Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat
Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak
lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas
manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai
sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang
baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai
bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut
baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak
terjadi di alam realiti.
d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam - Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul
al-Fiqh, Usul alH-adith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah
secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik
oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang
telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai
semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam
melalui tafsiran semula ajaran Islam.
e. Sikap Terhadap Hukum - Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang
tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil
tujuan hukum bukan bentuk hukum.
KEPUTUSAN :
BERDASARKAN KEPADA CIRI-CIRI PENYELEWENGAN TERSEBUT, MUZAKARAH MEMUTUSKAN BAHAWA ALIRAN PEMIKIRAN LIBERAL ADALAH AJARAN SESAT DAN MENYELEWENG DARIPADA SYARIAT ISLAM.