Translate

Monday, 14 September 2009

DAH SAMPAI KE TAHAP UMNO DAN PAS WAJIB BERSATU DAN BERPADU

1. Sehingga ke hari ini saya menjadi keliru dan menjadi buntu memikirkan nasib masa depan melayu dan Umat Islam di Malaysia. Apalah agaknya yang menyebabkan kedua-dua pemimpin tertinggi dari UMNO dan PAS susah sangat nak duduk semeja bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam. Yang herannya, pemimpin PAS boleh berpeluk dan bermuzakarah dengan DAP (yang anti melayu/Islam). Begitu juga dengan pemimpin UMNO, mereka boleh pula berunding dan duduk semeja serta menyambut kongsi raya bersama-sama dengan MIC, MCA, Gerakan dan PBS. Apa nak jadi dengan nasib umat Islam di Malaysia ni di masa akan datang. Adakah ianya bergantung kepada UMNO dan PAS sahaja.

2. Sedang saya duduk-duduk di rumah selepas solat tarawikh malam tadi, saya tersentuh hati dengan dua potong ayat al-Quran dalam Surah Al-Hujurat, ayat 9 (Juzuk 26), yang bermaksud: "Dan apabila ada dua golongan orang mukmin yang bersengketa, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali kepada perintah Allah maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil".

3. Dalam ayat berikutnya (ayat 10), Allah seterusnya berfirman, bermaksud: "SEsungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat".

4. Menerusi kedua-dua ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa jika berlaku persengketaan dan pertelingkahan antara dua golongan kaum muslimin, maka wajiblah ada satu golongan lain iaitu pihak ketiga yang bertindak sebagai pendamai antara kedua-dua golongan ini. Setelah diajukan perdamaian dan jalan penyelesaian tetapi terdapat pihak yang lain menzalimi pihak yang satu lagi maka Alllah memerintahkan kepada pihak ketiga (pendamai) tadi supaya memerangi golongan yang ingkar dengan perdamaian ini.

5. Persoalannya sekarang ialah, antara UMNO dan PAS yang telah bersengketa lebih 50 tahun yang lalu. Siapakah pihak ketiga yang wajar dan wajib menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertelingkahan ini ? Adakah saya ataupun tuan/puan sekelian..? Pada hemat saya pihak yang amat wajar campurtangan bagi menyelesaikan perbalahan antara UMNO dan PAS ialah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menerusi Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu. Siapa yang nak menasihatkan Raja-Raja Melayu ini supaya bertindak sebagai pendamai dan orang tengah..? Nampaknya tiada orang lain yang layak dan sesuai kecuali Sohibus Samahah Mufti-Mufti Kerajaan Negeri.

6. Sudah sampai masanya mufti-mufti mempersembahkan perkara ini kepada Sultan/Raja di negeri masing-masing agar bertindak sebagai pendamai antara UMNO dan PAS. Apa yang berlaku hari ini, kita lihat Majlis Raja-Raja macam tidak kisah dan tidak tahu tentang peranan dan kuasa yang ada pada mereka sebagai Ketua negara dan Ketua Negeri bagi mengeluarkan titah perintah agar UMNO dan PAS mesti duduk semeja bagi mengadakah muzakarah dan muqabalah. Saya rasa bila penyimpan mohor besar Raja-Raja Melayu mengisytiharkan tarikh puasa dan hari raya puasa, setakat ini semua ahli parti samada UMNO ataupun PAS akan akur dengan pengisytiharan ini termasuk semua kerajaan-kerajaan negeri (BN/Pakatan Rakyat) - semuanya akan berpuasa dan ber hari raya mengikut tarikh yang dititah dan diperintahkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu.

7. Jadi, saya cadangkan agar dalam bulan Syawal nanti supaya Majlis Raja-Raja Melayu menitahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja supaya mengisytiharkan bahawa Duli-Duli Yang maha Mulia Raja-Raja Melayu telah menitahkan UMNO dan PAS supaya duduk bersama bagi berbincang dan bermuzakarah tentang kepentingan Melayu dan Islam di negara ini. Saya yakin, kalau Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengiystiharkannya secara langsung di TV, maka UMNO dan PAS akan patuh dengan titah perintah ini sebagaimana mereka taat dan patuh kepada pengumuman tarikh puasa dan hari raya.