Translate

Friday 11 July 2008

BENARKAH PAK LAH AKAN SERAH KUASA PADA DS NAJIB PADA JUN 2010..?

ASSALAMUALAIKUM..!

1. YAB Dato' Seri Abdulah Ahmad Badawi telah mengisytiharkan pada 10 Julai baru-baru ini di PWTC bahawa beliau bercadang untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO kepada Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak pada pertengahan ataupun Jun 2010. Ini satu proses peralihan kuasa di dalam UMNO dan juga kepimpinan negara yang harus dinilai secara objektif dan juga positif.


2. Dato' Sri Mohd Najib tentunya berasa lega dan selesa dengan keterbukaan bosnya iaitu Pak Lah yang memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara dalam masa dua tahun dari sekarang. Ini satu jaminan politik yang berasaskan kepada sejarah peralihan kuasa dalam UMNO dan kerajaan yang sebelum ini juga dilakukan oleh Tun Dr Mahathir kepada Dato' Seri Abdullah pada 31 hb Oktober 2003.

3. Namun senario yang pada peralihan kuasa daripada Tun Dr M kepada Pak Lah pada tahun 2003 yang lalu adalah amat berbeza dengan apa yang ingin dilaksanakan oleh Pak Lah kepada DS Mohd Najib pada kali ini. Tun DrM sebenarnya telah mengejutkan ribuan perwakilan UMNO di perhimpunan Agong UMNO pada bulan Jun 2002 dengan mengisytiharkan perletakan jawatan. Beliau mengisytiharkan di dalam majlis rasmi perwakilan Agong UMNO, yang mana beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menerimanya secara sah di sisi Perlembagaan dan Peraturan UMNO. Namun demikian, semua MT UMNO pada ketika itu termasuk Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan Ketua kepada Ketiga-Tiga sayap UMNO telah merayu kepada TUN DRM agar beliau menarik semula perletakan jawatannya. Dewan hampir gamat dan gawat buat beberapa jam pada ketika itu untuk memujuk TUN DRM agar terus memimpin UMNO dan kerajaan.

4. Akhirnya, TUN DRM akur dengan kehendak MT UMNO dan perwakilan pada ketika itu untuk meneruskan kepimpinannya bagi membolehkan Pak Lah cukup bersedia untuk mengambilalih pucuk kepimpinan negara dan parti pada suatu tarikh yang sesuai, iaitu selepas selesai Persidangan OIC pada 31 Oktober 2003. Perletakan jawatan TUN DRM ditangguhkan atas sebab untuk membolehkan TUN DRM mengetuai persidangan OIC yang mana Malaysia telah terpilih sebagai tuan rumah dan Pengerusi pada persidangan tersebut. Kepakaran dan juga pengalaman TUN DRM amat diperlukan pada ketika itu. Pada prinsipnya TUN DRM ingin melepaskan jawatan serta merta pada mesyuarat perwakilan UMNO 2002 tersebut, tetapi dibantah oleh MT UMNO dan perwakilan UMNO.


5. Berlainan dengan senario peralihan kuasa yang dicadangkan oleh Pak Lah kepada DS Mod Najib pada kali ini. Ianya dilakukan di dalam majlis perjumpaan biasa dengan hanya Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan juga Ketua-Ketua Sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO. Ianya tidak dlakukan di dalam perhimpunan perwakilan tahunan UMNO. Jadi, pengumuman tersebut tidak dapat dijadikan sebagai suatu pengumuman yang rasmi yang dipersetujui oleh para perwakilan UMNO. Tambahan pula, dalam kenyataan yang dipetik dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai 2008 , Pak Lah mengungkapkan dengan perkataan : " Saya bercadang untuk menyerahkan jawatan kepada DS Mohd Najib pada pertengahan tahun 2010". Ini cuma cadangan sahaja dan masih lagi belum suatu keputusan yang muktamad. Jangkamasa dua tahun adalah terlalu lama bagi proses peralihan kuasa.

6. Kenapa terlalu lama sangat untuk melatih DS Mohd Najib..? Bukankah beliau sudah hampir 5 tahun berpengalaman memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sama juga dengan Pak Lah dulu, pegang jawatan TPM pada tahun 1999 dan dilantik PM pada tahun 2003, iaitu dalam jarak masa hampir 4 tahun lebih. Apakah DS Mohd Najib akan selesa dan bersabar dengan penantian selama dua tahun ini..? Pada pandangan saya, Pak Lah sebaik-baiknya mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada bulan Disember ini dan menyerahkan kepada ahli-ahli perwakilan UMNO di cawangan dan bahagian seluruh negara untuk menentukan siapakah penggantinya sebagai Presiden UMNO melalui proses demokrasi dalam UMNO. Dalam masa yang sama memberi sokongan penuh kepada DS Mohd najib sebagai calon Presiden bagi menggantikannya. Barulah ianya dapat memperkukuhkan UMNO menerusi suara akar umbi dan kehendak rasmi parti.


7. Seperkara lagi, harus diingat bahawa MT UMNO telah mengedarkan buku Kod Etika Ahli UMNO kepada Ketua-Ketua cawangan UMNO di seluruh negara mulai awal Julai 2008 baru-baru ini. Cuba lihat Teks Tataetika Ahli UMNO yang telah saya salin semula untuk paparan saudara sekalian di laman blog saya ini (Rujuk di bawah artikel ini nanti ). Perkara 5.1 dalam Tataetika Ahli UMNO menjelaskan :

"5.1 Rasuah / Sogokan Politik : 5.1.1 menyalahgunakan apa jua kuasa secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya.... Contoh : (a) menggunakan kedudukan atau kuasanya secara salah dengan membuat janji-janji memberi pangkat, anugerah / gelaran, peluang perniagaan, bagi mendapatkan undi "

8. Lihat pula Perkara 11 ( Hukuman ) : " Mana-mana Ahli yang didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO ini bolehlah dikenakan mana-mana hukuman seperti yang termaktub di dalam Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO ".

9. Fasal 20.9: Perlembagaan UMNO pula menjelaskan : "mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagan ini atau Tataetika Ahli UMNO boleh dikenakan mana-mana hukuman yang tersebut di bawah : -
(a) Diberi amaran;
(b) Digantung hak-haknya dalam parti;
(c) Dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam
Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis tertinggi;
(d) Dipecat daripada parti;
(e) Dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.

10. Apakah pengumuman Pak Lah untuk memberikan jawatan Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO kepada DS Mohd Najib menjelang pemilihan UMNO nanti boleh dikategorikan sebagai suatu rasuah/ sogokan politik. Kalau semua yang membaca tulisan saya ini berpendapat bahawa ianya satu rasuah/sogokan politik yang dilakukan oleh Pak Lah kepada Timbalannya DS Mohd Najib agar timbalannya tidak menetangnya untuk jawatan Presiden UMNO, maka apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang turut hadir di majlis berkenaan. Kalau ianya tidak termasuk ke dalam kategori rasuah /sogokan politik, maka apa perlunya diadakan Kod Tataetika Ahli UMNO. Adakah Kod Etika tersebut hanya dikuatkuasakan kepada ahli-ahli ikan bilis di peringkat cawangan dan bahagian sahaja..? Terserahlah kepada pembaca dan juga pemimpin-pemimpin UMNO sekalian untuk menilainya.


11. Apa akan terjadi dengan Pelan Peralihan Kuasa yang dijanjikan oleh Pak Lah kepada DS Mohd Najib sekiranya Tg. Razaleigh Hamzah berganding bahu dengan Tan Sri Muhyidin Yasin untuk pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan bulan Disember nanti. Katakanlah Tengku Razaleigh (KULI) akan mendapat cukup kuota pencalonan dan sewaktu pemilihan nanti akan terpilih sebagai Presiden UMNO yang baru. Jangan pandang mudah dengan kemampuan KULI dan jangan kita beranggapan bahawa Tan Sri Muhyidin tak akan bergabung dengan KULI. Dalam politik, semuanya boleh berlaku.

12. Kita kena ingat dan insaf semula bahawa dalam PRU-12 tempohari telah berlaku tsunami besar dalam politik pilihanraya di Selangor, Perak, P.Pinang Kedah dan sebahagian kawasan di N. Sembilan dan Melaka. Saya yakin dan optimis bahawa ahli-ahli dan perwakilan UMNO di mesyuarat Agong Cawangan, Bahagian dan juga di peringkat pusat nanti akan dilanda satu lagi tsunami politik. Kali ini mungkin lebih dahsyat dan tidak dijangka oleh sesiapa yang leka dan lalai. KENAPA...TAK PERCAYA KE..?