Translate

Tuesday 8 July 2008

Kes Liwat Anwar: Mahkamah atau Mubahalah?

1. Minggu lepas, Mufti Perlis DR. Mohd Asri Zainul Abidin telah mencadangkan agar Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan (mangsa liwat) membuat satu ikrar sumpah menerusi kaedah 'mubahalah'. Dalam masa yang sama pihak polis masih lagi menyiasat kes tuduhan liwat ini ke atas saksi-saksi yang boleh membantu keterangan Mohd Saiful Bukhari dan juga membantu pihak polis di dalam menentukan sama ada kes tuduhan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim ini ada 'prima fasy'.

2. Ada yang menyokong pandangan daripada Mufti Perlis ini agar sipetuduh dan juga orang yang kena tuduh dalam kes liwat ini melakukan mubahalah agar kes ini dapat diselesaikan.Namun terdapat juga di antara tokoh-tokoh agamawan serta ulama di negara ini yang berpendapat bahawa mubahalah ini tak perlu. Antaranya yang berpendapat sedemikian ialah Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria, Ketua Pengarah JAKIM dan yang terbaru ialah Tuan Guru HJ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dalam kenyataan di Utusan Malaysia hari ini, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan bahawa mubahalah tidak perlu dilakukan sekarang kerana ianya adalah jalan penyelesaian yang terakhir sekali kerana kes ini masih dalam siasatan dan ianya perlulah melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Jika proses mahkamah menjadi buntu, barulah mencari jalan terakhir dengan dilakukan proses mubahalah.

3. Saya amat bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Nik Abd Aziz ini, kerana ianya adalah bertepatan dengan prinsip-prinsip Kanun Prosedur Jenayah Di Dalam Islam. Ini kerana sebahagian ulamak Fiqh telah mengkategorikan kes liwat ini sebagai kes ta'zir dan bukannya kes hudud (had). Dalam kes yang berkaitan dengan hudud Zina, maka syarat 4 orang saksi yang adil (shahadah) adalah diperlukan bagi mendakwa serta mensabitkan sesuatu kesalahan zina itu. Tidak seperti di dalam kes liwat yang mana ianya adalah termasuk dalam kes jenayah ta'zir. Empat orang shahadah tidak menjadi syarat mutlak di dalam pensabitan kes. Sama juga seperti dalam kes rogol, mana ada saksi yang pernah nampak mangsa rogol dirogol oleh perogol. Yang berlaku selama ini adalah mangsa rogol akan membuat laporan perubatan dan kemudiannya melaporkan kejadian rogol itu kepada polis. Ini bermakna bahawa kes liwat ini sama sahaja prosedur pendakwaan dan juga kaedah-kaedah pembuktiannya kes-kes rogol yang berlaku di negara ini.

4. Kalau kita nak berpegang kepada dakwaan Anwar Ibrahim dan juga para penyokong ta'asubnya yang bertegas bahawa perlu ada empat orang saksi untuk mensabitkan tuduhan liwat ke atasnya, maka semua kes-kes rogol yang diadili di mahkamah sivil selama ini adalah tidak sah kerana telah menghukum pesalah rogol yang semua kes ini tiada didatangkan empat orang saksi. Akibatnya, selepas ini akan ramailah wanita-wanita muslimah di negara ini yang akan dirogol oleh kaum lelaki dan juga berlakunya 'haruan makan anak' (sumbang mahram) yang mana ke semua kes ini akan terlepas begitu sahaja tanpa pembelaan kepada simangsa kerana ketiadaan empat orang saksi.

5. Sebenarnya, ramai yang terkeliru dengan syarat empat orang saksi ini. Ulama mazhab yang Empat telah sepakat mengatakan bahawa syarat empat saksi ini hanya diperlukan untuk mensabitkan hukuman hudud sahaja. Jika tidak cukup empat orang saksi maka seseorang yang dituduh melakukan jenayah ini boleh didakwa di bawah undang-undang ta'zir. Di mana dalam kes-kes ta'zir, syahadah tidak menjadi syarat mutlak. Pembuktian juga boleh dilakukan dengan adanya 'Qarinah', iaitu bukti-bukti lain yang boleh diterima pakai secara sainstifik seperti ujian DNA, cap jari dan sebagainya. Umpamanya dalam kes rogol yang berlaku sebelum ini, iaitu seorang pemandu Bas Kilang telah merogol seorang pekerja kilang di dalam bas yang dipandunya. Dalam bas berkenaan tiada seorang saksipun yang ada dan ternampak. Tetapi, ada bukti daripada majikannya bahawa pada masa kejadian itu BAS Kilang berkenaan dipandu oleh perogol berkenaan dan siperogol tidak dapat membuktikan bahawa pada masa kejadian itu beliau berada ditempat lain. Kalau nak pakai empat orang saksi dalam kes ini, maka terlepaslah sipemandu bas tadi, dan mangsa rogol tadi tidak dapat pembelaan yang seadilnya.

6. Berbalik kepada kes tuduhan liwat ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim, benarlah seperti yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz bahawa Anwar perlu menjalani proses keadialan dan penghakiman di mahkamah terlebih dahulu bagi membuktikan dianya tidak berasalah. Mubahalah tidak perlu didahulukan buat masa ini. Kita serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan selanjutnya. Janganlah lagi ada di kalangan kita yang terlampau emosi dengan mendakwa bahawa ada konspirasi pihak kerajaan di dalam kes ini. Contohilah sikap profesional yang telah diutarakan oleh Tok Guru Nik Aziz. Dalam hal ini saya amat tabik dan sanjung pendapat Tok Guru kerana beliau telah memberikan pandangan tanpa berasaskan kepada sentimen politik. Alllahu Akbar..Allahu Akbar...Allahu Akbar...