Translate

Tuesday 31 March 2009

TRANSFORMASI UMNO ERA DS NAJIB

1. Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada 24-28 Mac yang lalu telah memberi nafas dan semangat baru kepada pendokong-pendokong UMNO di seluruh negara. Ini kerana Presiden UMNO yang baru dinobatkan iaitu DS Mohd Najib Tun Razak telah berjanji akan membuat perubahan dan juga tranformasi secara efektif dan juga drastik di dalam UMNO dan kerajaan tidak lama lagi, katanya tidak sampai 100 hari.

2. Benarlah seperti teori 'RAHMAN' yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar nujum politik tanahair sebelum ini yang mana kepimpinan DS Najib telah melengkapkan teori ini bermula dengan Rahman, Abdul Razak, Hussein, Mahathir, Abdullah dan Najib. Najib telah melengkapkan teori 'rahman' ini. Wajarlah bagi DS Najib untuk melakukan transformasi secara drastik dalam UMNO dan kerajaan dalam masa kurang daripada 100 hari.

3. Antara transformasi yang ditunggu-tunggu ialah :

a. Membuat rombakan kabinet secara total dan melantik para pemimpin yang benar-benar berkeupayaan untuk mentadbir negara sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan PM daripada Pak Lah.

b. Mempastikan Rakyat dan Parti menguasai kerajaan, dan bukannya kerajaan yang menguasai rakyat dan parti.

c. Meminda Perlembagan UMNO yang antaranya untuk menghapuskan sistem kuota pencalonan untuk pemilihan parti dan juga memberi hak memilih MT UMNO kepada lebih 60,000 perwakilan di setiap bahagian di seluruh negara secara serentak.

4. Belumpun sampai 5 minit Dato' Sri Najib dinobatkan sebagai Presiden UMNO, beliau telah memulakan langkah berani dengan memberi peringatan dan juga nasihat kepada dua orang negarawan negara iaitu Tun mahathir dan Pak Lah agar dapat duduk semeja dengannya bagi membantu UMNO dan kerajaan membangunkan negara dan rakyat. Alhamdulillah TUN Mahathir telah naik ke pentas Utama sebaik sahaja selesai ucapan penggulungan DS Najib untuk bersalaman dengan Pak Lah dan DS Najib. Ini petanda awal bahawa DS Najib mampu menyatukan pemimpin dan seluruh rakyat di negara ini.

5. Cuma saya rasa agak sangsi sedikit dengan ketegasan DS Najib untuk membanteras Politik Wang dalam UMNO. Ini kerana politik wang tidak boleh dibenteras hanya semata-mata dengan penghapusan sistem kuota dalam pemilihan UMNO dan juga memberi hak memilih kepada hampir 60,000 perwakilan di setiap bahagian UMNO. Jika diberi kuasa kepada 60,000 perwakilan untuk memilih maka sudah tentu di masa akan datang hanya orang-orang ataupun pemimpin yang berstatus jutawan sahaja yang mampu untuk bertanding MT UMNO. Bagi yang tak berduit dan tak berkemampuan untuk menjelajah ke seluruh negara maka sama sahaja nasib mereka seperti hari ini.

6. Lihatlah bagaimana pilihanraya pemilihan Presiden di Amerika yang mana setiap rakyat diberi kuasa untuk memilih dalam pilihanraya presiden ini. Lebih 100 juta pengundi yang layak mengundi untuk memilih presiden. Oleh sebab itu seseorang calon Presiden Amerika mestilah dari kalangan mereka yang bergelar jutawan dan kalau tak jutawanpun mereka perlu mendapat sokongan kewangan daripada korporat-korporat YAHUDI. ini kerana seseorang calon itu perlu berbelanja sekurang-kurang US 60 Juta untuk berkempen. Kalau umno pula lakukan transformasi pemilihannya untuk membolehkan 60,000 perwakilan memilih MT UMNO, maka sudah tentu seseorang calon MT itu terpaksa berbelanja sebanyak RM 30 juta seorang jika berbelanja sebanyak RM 500 untuk belanja seorang perwakilan bagi 60,000 orang.

7. Pada pandangan saya, yang penting bukannya sistem kouta ataupun jumlah perwakilan yang mengundi menjadi penentu kepada terhindarnya politik wang - yang lebih utama dan juga terlebih penting ialah dengan menanamkan kefahaman akidah dan juga penghayatan Islam yang mantap di kalangan pemimpin-pemimpin UMNo itu sendiri. Kita tidak perlu memperbanyakkan kursus kepada ahli-ahli UMNO yang berjumlah 3.7 juta itu. Sukar untuk menjadikan semua ahli faham akan perjuangan. Kita pastikan semua MT UMNO, Exco Puteri, Exco Wanita, Exco Pemuda yang baru terpilih ini mendapat latihan serta suntikan penghayatan Islam yang sebenarnya dari semasa ke semasa. Tidak ada orang lain yang bertanding ke jawatan tinggi parti 3 tahun lagi kecuali dari kalangan pemimpin-pemimpin ini. Kursuskan mereka ini, insya Allah gejala politik wang ini dapat dikurangkan di kalangan mereka. Kalau mereka semua bersepakat tidak menghulurkan wang dalam pertandingan nanti, maka sudah tentu para perwakilan tidak boleh berbuat apa-apa.

Sunday 8 March 2009

PPSMI- KE MANA TERAS PERJUANGAN UMNO..?



1. Fasal 3 : Asas dan Tujuan penubuhan UMNO telah dengan jelas dan tegas memperincikan bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara ; termasuk fasal ceraian 3.5: iaitu menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

2. Berapa ramai para pemimpin UMNO khasnya di peringkat MKT, Exco Pemuda,Wanita dan Puteri UMNO yang memahami serta menghayati Fasal 3.5, Perlembagaan UMNO ini. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada perhimpunan rakyat di Masjid Negara dan berarak menuju ke Istana Negara pada Sabtu lalu ( 7 Mac 2009). Mana dia jaguh dan pejuang bahasa Melayu di kalangan pemimpin UMNO. Yang kita nampak ke hadapan ialah Datuk Dr. Hasan Ahmad, Bekas Ketua Pengarah DBP dan Sasterawan Negara, A.Samad Said. ( Lihat Gambar di bawah )


3. Syabas juga kepada Presiden PAS , Tuan Guru Hj Hadi Awang dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa yang turut serta dalam perhimpunan ini bagi menyokong suara rakyat melayu bagi memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. ( Lihat Gambar di bawah )

4. Nampaknya isu-isu mengenai Melayu dan ketuanan Melayu seperti mendaulat Bahasa Melayu di negara ini, ada kalanya rakyat tidak boleh mengharapkan sangat para pemimpin tertinggi UMNO untuk memperjuangkannya. Kenapa jadi begini..?

5. Sedarkah kita bahawa kalau matlamat kerajaan nak mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Melayu, maka kaedah yang sepatutnya dilakukan ialah dengan cara merombak sistem pembelajaran dan juga kaedah pengajaran subjek Bahasa Inggeris itu sendiri. Bukannya kita membebankan pula anak-anak Melayu di luar bandar dengan mempelajari Sains dan matematik dalam BI. Tegasnya kalau nak suruh anak kita pandai BI, maka kita kena mantapkan sistem pengajaran BI di sekolah-sekolah dan bukannya seperti melaksanakan PPSMI ini.

6. Bagaimanapun, saya ada satu pandangan yang positif dengan PPSMI ini. Ianya boleh dilaksanakan hanya dengan memperkenalkan PPSMI ini kepada pelajar-pelajar di Asrama Penuh dan juga MRSM serta sekolah-sekolah bestari yang terpilih sahaja. Barulah ianya tidak mebebankan semua pelajar melayu di luar bandar.

7. Apapun, persoalan pokoknya pada hari ini ialah bukan masalah bandar atau luar bandar, tetapi kedaulatan Bahasa Melayu ini telah termaktub pada fasal 152, Perlembagaan Malaysia dan juga bagi pejuang-pejuang UMNO ianya dah termaktub dalam matlamat asas perjuangan UMNO itu sendiri pada fasal 3.5. Kalau bukan UMNO yang nak memartabatkan bahasa Melayu,
maka parti mana lagi yang nak kita harapkan..? DAP..? MCA..? MIC..? GERAKAN...? Tak ada makna kita ada ramai menteri kabinet dari kalangan pemimpin UMNO tetapi gagal untuk memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu ini..!

Saturday 7 March 2009

2009 TAHUN MELAWAT MAHKAMAH

1. Suatu masa dahulu kerajaan Malaysia telah memperkenalkan TMM iaitu Tahun Melawat Malaysia untuk menggalakkan sektor pelancongan di negara ini. Alhamdulillah dengan kempen-kempen serta promosi yang berkesan daripada kementerian pelancongan maka jumlah pelancong asing ke negara ini telah mencecah 20 juta orang.

2. Pada Tahun 2009 ini pula, TMM telah bertukar wajah kepada satu lagi tarikan tempat untuk dilawati oleh para pelancong asing dan tempatan iaitu Pakej Tahun Melawat Mahkamah (TMM). Banyak pertunjukan-pertunjukan menarik dalam kalendar TMM ini, antaranya :

Speaker Perak, V. Sivakumar saman Penasihat Undang-Undang Negeri Perak - YB. Nizar, Bekas MB Perak saman Datuk Dr. Zambry Kadir- Datuk Dr. Zambry kadir saman Speaker Perak - Dua bekas Exco Perak didakwah rasuah di mahkamah- Teressa Kock saman Dr. Khir Toyo dan Utusan Melayu - Beberapa kes rasuah politik pemimpin UMNO yang didakwa oleh SPRM - Dato' Mazlan Harun dan Dato' Kadar Shah mohon perintah injuksi mahkamah untuk menghalang Perhimpunan Agong UMNO- Anwar fail rayuan untuk membatalkan perintah mahkamah Tinggi kes tuduhan liwatnya dengan saiful- dan banyak lagi kes-kes artis mengenai perceraian, khalwat dan sebagainya.

3. Kalau nak dikumpulkan nanti, malaysia boleh dianugerahkan Guinness record tentang kes-kes mahkamah ini pada tahun 2009. Jadi saya cadangkan kepada YB. Dato' seri Azalina othman Said, Menteri pelancongan Malaysia agar menyenaraikan mahkamah-mahkamah di negara ini sebagai tempat-tempat yang menarik untuk dilawati oleh para pelancong asing. Insya Allah jumlah pelancong akan meningkat.