Translate

Tuesday, 31 March 2009

TRANSFORMASI UMNO ERA DS NAJIB

1. Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada 24-28 Mac yang lalu telah memberi nafas dan semangat baru kepada pendokong-pendokong UMNO di seluruh negara. Ini kerana Presiden UMNO yang baru dinobatkan iaitu DS Mohd Najib Tun Razak telah berjanji akan membuat perubahan dan juga tranformasi secara efektif dan juga drastik di dalam UMNO dan kerajaan tidak lama lagi, katanya tidak sampai 100 hari.

2. Benarlah seperti teori 'RAHMAN' yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar nujum politik tanahair sebelum ini yang mana kepimpinan DS Najib telah melengkapkan teori ini bermula dengan Rahman, Abdul Razak, Hussein, Mahathir, Abdullah dan Najib. Najib telah melengkapkan teori 'rahman' ini. Wajarlah bagi DS Najib untuk melakukan transformasi secara drastik dalam UMNO dan kerajaan dalam masa kurang daripada 100 hari.

3. Antara transformasi yang ditunggu-tunggu ialah :

a. Membuat rombakan kabinet secara total dan melantik para pemimpin yang benar-benar berkeupayaan untuk mentadbir negara sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan PM daripada Pak Lah.

b. Mempastikan Rakyat dan Parti menguasai kerajaan, dan bukannya kerajaan yang menguasai rakyat dan parti.

c. Meminda Perlembagan UMNO yang antaranya untuk menghapuskan sistem kuota pencalonan untuk pemilihan parti dan juga memberi hak memilih MT UMNO kepada lebih 60,000 perwakilan di setiap bahagian di seluruh negara secara serentak.

4. Belumpun sampai 5 minit Dato' Sri Najib dinobatkan sebagai Presiden UMNO, beliau telah memulakan langkah berani dengan memberi peringatan dan juga nasihat kepada dua orang negarawan negara iaitu Tun mahathir dan Pak Lah agar dapat duduk semeja dengannya bagi membantu UMNO dan kerajaan membangunkan negara dan rakyat. Alhamdulillah TUN Mahathir telah naik ke pentas Utama sebaik sahaja selesai ucapan penggulungan DS Najib untuk bersalaman dengan Pak Lah dan DS Najib. Ini petanda awal bahawa DS Najib mampu menyatukan pemimpin dan seluruh rakyat di negara ini.

5. Cuma saya rasa agak sangsi sedikit dengan ketegasan DS Najib untuk membanteras Politik Wang dalam UMNO. Ini kerana politik wang tidak boleh dibenteras hanya semata-mata dengan penghapusan sistem kuota dalam pemilihan UMNO dan juga memberi hak memilih kepada hampir 60,000 perwakilan di setiap bahagian UMNO. Jika diberi kuasa kepada 60,000 perwakilan untuk memilih maka sudah tentu di masa akan datang hanya orang-orang ataupun pemimpin yang berstatus jutawan sahaja yang mampu untuk bertanding MT UMNO. Bagi yang tak berduit dan tak berkemampuan untuk menjelajah ke seluruh negara maka sama sahaja nasib mereka seperti hari ini.

6. Lihatlah bagaimana pilihanraya pemilihan Presiden di Amerika yang mana setiap rakyat diberi kuasa untuk memilih dalam pilihanraya presiden ini. Lebih 100 juta pengundi yang layak mengundi untuk memilih presiden. Oleh sebab itu seseorang calon Presiden Amerika mestilah dari kalangan mereka yang bergelar jutawan dan kalau tak jutawanpun mereka perlu mendapat sokongan kewangan daripada korporat-korporat YAHUDI. ini kerana seseorang calon itu perlu berbelanja sekurang-kurang US 60 Juta untuk berkempen. Kalau umno pula lakukan transformasi pemilihannya untuk membolehkan 60,000 perwakilan memilih MT UMNO, maka sudah tentu seseorang calon MT itu terpaksa berbelanja sebanyak RM 30 juta seorang jika berbelanja sebanyak RM 500 untuk belanja seorang perwakilan bagi 60,000 orang.

7. Pada pandangan saya, yang penting bukannya sistem kouta ataupun jumlah perwakilan yang mengundi menjadi penentu kepada terhindarnya politik wang - yang lebih utama dan juga terlebih penting ialah dengan menanamkan kefahaman akidah dan juga penghayatan Islam yang mantap di kalangan pemimpin-pemimpin UMNo itu sendiri. Kita tidak perlu memperbanyakkan kursus kepada ahli-ahli UMNO yang berjumlah 3.7 juta itu. Sukar untuk menjadikan semua ahli faham akan perjuangan. Kita pastikan semua MT UMNO, Exco Puteri, Exco Wanita, Exco Pemuda yang baru terpilih ini mendapat latihan serta suntikan penghayatan Islam yang sebenarnya dari semasa ke semasa. Tidak ada orang lain yang bertanding ke jawatan tinggi parti 3 tahun lagi kecuali dari kalangan pemimpin-pemimpin ini. Kursuskan mereka ini, insya Allah gejala politik wang ini dapat dikurangkan di kalangan mereka. Kalau mereka semua bersepakat tidak menghulurkan wang dalam pertandingan nanti, maka sudah tentu para perwakilan tidak boleh berbuat apa-apa.

1 comment:

Jamaludin Buyong said...

Saya amat menantikan perubahan yang akan dibawa oleh DS Najib. Ianya penting bagi memastikan UMNO untuk terus relevan kepada rakyat.