Translate

Thursday, 11 November 2010

WASATHIYAH DALAM KONTEKS 1MALAYSIA

WASATHIYAH

DALAM KONTEKS 1MALAYSIA

Oleh: Kapt. Dr Shamsuddin Moner (B)

Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang digagaskan oleh Perdana Menteri,YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd. Razak telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak kalangan dalam masyarakat kita, dan masing-masing mula membuat pentafsiran sendiri terhadap gagasan tersebut. Menyentuh secara menyeluruh, pelaksanaan gagasan ini dari perspektif Islam; ianya bertepatan dengan frasa “rahmatan lil ‘alamiin” dan juga salah satu daripada ciri-ciri keistimewaan syariat Islam itu sendiri iaitu ’wasathiyah’ (kesederhanaan/pertengahan).

Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107: ”Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (wahai muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.Apakah pengertian “rahmatan lil ‘alamiin” dan bagaimanakah ia boleh dikaitkan dengan konsep ’wasathiyah’ dalam konteks Gagasan 1Malaysia ?

Pendekatan Gagasan 1Malaysia tidak bercanggah dengan semangat kesatuan yang menjadi unsur utama kandungan Piagam Madinah yang dibangunkan pada tahun pertama penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah yang juga berasaskan kepada pendekatan “rahmatan lil ‘alamiin”. Ianya juga bertepatan dengan ’Kontrak Sosial’ yang menjadi asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan ketika negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogso 1957.

Dato’ Sri Mohd. Najib Razak di dalam ucapan terakhirnya sebagai Timbalan Presiden UMNO ketika merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 24 Mac 2009 telah menyatakan: “Sejarah turut membuktikan apabila orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam, kita akan menjadi bangsa yang dihormati… orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaharuan transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu”.

Inilah batu asas kepada transformasi yang hendak dilakukan oleh Dato’ Sri Najib menjelang peralihan kuasa sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Tegasnya untuk menjadi bangsa yang dihormati maka orang Melayu wajib berpegang teguh kepada ajaran Islam. Mesej jelas kepada seluruh umat Melayu di negara ini bahawa beliau tidak mengambil mudah tentang ruh dan agenda perjuangan Islam. Seterusnya, beliau meletakkan syarat wajib untuk menjayakan misi perpaduan kebangsaan di negara ini dengan memulakan perpaduan di kalangan orang Melayu. Dalam erti kata lain, usaha untuk membentuk perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini menerusi gagasan ‘1Malaysia’ mestilah didahulukan dengan perpaduan kukuh dan erat di kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini. Tanpa perpaduan Melayu, maka usaha untuk menyatupadukan bangsa dan kaum pelbagai agama di negara ini akan menghadapi masalah. Ini membuktikan bahawa Dato’ Sri Najib Tun Razak adalah seorang pemimpin dan pemikir yang berfahaman sederhana (moderate) yang memahami falsafah syariat Islam itu sendiri yang bersifat ‘wasathiyah’ di mana beliau menitikberatkan soal perpaduan dan kesatuan antara kaum dan agama di Negara ini.

Wasathiyah atau dengan ungkapan lainnya, at-tawazun (keseimbangan) adalah merupakan keseimbangan di antara dua jalan atau dua arah yang saling berhadapan atau bertentangan, di mana salah satu daripada dua keadaan tadi tidak boleh menentukan arahnya sendiri tanpa mengambil kira faktor kecenderungan arah yang satu lagi. Contoh-contoh dua arah serta kehendak yang saling bertentangan adalah seperti:

· Ruhhiyah (spiritual) dengan maddiyah (material).

· Fardiyah (individu ) dengan jama’iyah (kolektif/kumpulan ).

· Waqi’iyah (kontekstual ) dengan mitsaliyyah ( idealisme ).

· Tsabat (konsisten ) dengan taghayyur (transformasi).

Pengertian dari tawazun (keseimbangan) di antara kedua arah seperti dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan di atas adalah ianya saling memberi hak dan juga keperluan yang sepatutnya akan hak yang bertentangan tadi sehingga ianya dapat memenuhi tuntutan secara adil dan saksama tanpa berlakunya penyimpangan. Dalam erti kata lain, ianya suatu keseimbangan yang selamat dari kekurangan atau berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara di dalam melaksanakan syariat Islam. Di sinilah letaknya konsep ’wasathiyah’ di dalam memberi keadilan dan hak kepada semua kaum dan bangsa di negara ini menerusi Gagasan 1Malaysia.

Karakteristik dari sudut al-wasthiyyah ini diibaratkan juga sebagai batu sempadan bagi membezakan antara ajaran syariat Islam dengan ajaran agama-agama lain ciptaan manusia di dunia ini. Allah menjelaskan dalam firman-Nya, Surah al-Baqarah, Ayat 143 :“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), ummat pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan)mu”.

Apa yang dimaksudkan dengan konsep ‘ummatan wasyatan’ (ummat pertengahan) di dalam ayat di atas adalah umat Nabi Muhammad s.a.w yang melaksanakan perintah Allah berdasarkan kepada ketentuan-ketentuan hukum-Nya dan juga berasaskan kepada keseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani, individu dan masyarakat, fizikal dan mental serta keseimbangan antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Ianya bertepatan dengan Kelapan-lapan Nilai 1Malaysia seperti yang diutarakan oleh Dato’ Sri Najib Razak untuk menjayakan visi Negara kea rah menjadi Negara maju yang progresfi menjelang tahun 2020; iaitu (1) Budaya Kecemerlangan, (2)Ketabahan, (3) Rendah Hati, (4) Penerimaan, (5) Kesetiaan, (6) Meritokrasi, (7)Pendidikan dan (8) Integriti.

Dr. Yusof al-Qardhawi di dalam menghuraikan Karakteristik Syariat Islam telah memperincikan prinsip-prinsip ‘wasthiyyah’ ataupun tawazun ini kepada beberapa cirri ataupun prinsip seperti berikut :

· Al-Wasthiyah Bermakna Adil. Iaitu duduk di pertengahan antara dua sisi yang berlawanan, yang mana ianya tidak condong ataupun cenderung kepada salah satu keadaan yang bertentangan. Dengan kata lain, adil di dalam memberi hak masing-masing tanpa mengurangi atau melebihkan antara kedua pihak. Seperti firman Allah s.w.t di dalam ayat di atas ( Surah Al-Baqarah ; Ayat 143 ). Prinsip ’adil’ dalam wasatyiah ini bertepatan dengan Prinsip Nilai 1Malaysia yang ke-6, iaitu Meritokrasi.

· Al-Wasthiyyah Bermakna Istiqamah . Bererti istiqamah dari manhaj yang jauh dari kecenderungan dan penyimpangan , yang disebut di dalam al-Quran sebagai manhaj ’shirathal mustaqim’ . Seperti firman Allah s.w.t Surah al-Fatihah, Ayat 6-7:“(Ya Allah) tunjukkan kami ke jalan yang lurus. Iaitu jalan mereka yang Engkau beri nikmat, bukan (jalan) mereka yang engkau murkai dan bukan pula jalan mereka yang tersesat”. Prinsip ’istiqamah’ dalam wasatyiah ini bertepatan dengan Prinsip Nilai 1Malaysia yang ke-2 dan ke-8, iaitu ’Ketabahan’ dan ’Integriti’.

· Al-Wasthiyyah Sebagai Bukti Kebaikan. Ianya sebagai bukti untuk menjelaskan ataupun menyatakan sesuatu yang terpilih dan juga terbaik. Kata-kata pujangga Arab : ” Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan”. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah , Ayat 143 di mana Ibnu Kathir telah mentafsirkan kalimah ”Ummatan Wasathan” di dalam ayat ini sebagai ummat yang terpilih dan terbaik. Umat yang terpilih dan terbaik tentulah umat yang menguasai ilmu pengetahuan serta kemajuan di bidang pendidikan, sains dan teknologi. Di samping itu juga umat yang terbaik adalah umat yang memiliki sifat rendah hati dan tidak bongkak serta takbur. Prinsip ’kebaikan’ dalam wasatyiah ini bertepatan dengan Prinsip Nilai 1Malaysia yang ke-3 dan ke-7, iaitu ’Rendah Hati’ dan ’Pendidikan’.

· Al-Wasthiyyah Mencerminkan Keamanan. Ianya mencerminkan sebuah tempat yang aman, jauh dari ancaman bahaya dan kekacauan. Daerah yang terpencil biasanya sering terdedah kepada ancaman binatang buas dan juga lanun. Manakala daerah di kota-kota besar biasanya sering diancam dengan jenayah rompak dan juga pembunuhan. Sebaliknya daerah yang pertengahan, berada di antara tempat terpencil dan juga kota ; kebiasaannya lebih selesa dan aman berbanding dengan kedua-dua daerah yang bertentangan di atas. Kebiasaan kawasan ini dihuni oleh mereka yang memiliki sifat tolak ansur dan juga penerimaan antara satu pihak dengan pihak yang lain sehingga lahirnya keamanan dan kesejahteraan dalam komuniti dan masyarakat. Prinsip ’keamanan’ dalam wasatyiah ini bertepatan dengan Prinsip Nilai 1Malaysia yang ke-4, iaitu ’Penerimaan’.

· Al-Wasthiyyah Adalah Bukti Kekuatan dan Kecemerlangan. Sebagai bukti kekuatan dan kecemerlangan, di mana pada kebiasaannya daerah yang paling tengah biasanya akan dijadikan markas (pusat) kekuatan bagi sesuatu misi dan agenda penting. Sama juga seperti umur pertengahan antara kanak-kanak dan juga umur dewasa . Umur dalam usia dikatakan peringkat pemuda adalah suatu zaman di mana manusia itu memiliki segala kekuatan sama ada fizikal maupun mental. Prinsip ’kekuatan dan kecemerlangan’ dalam wasatyiah ini bertepatan dengan Prinsip Nilai 1Malaysia yang pertama, iaitu Budaya Kecemerlangan’.

· Al-Wasthiyyah Adalah Pusat Kesatuan. Pusat daerah selalu berada di tengah-tengah. Setiap garis yang datang dari sekelilingnya akan bertemu di titik pertengahan. Di sinilah kebiasaannya diadakan pusat bandar, pusat pelabuhan , tempat pertemuan dan juga berbagai perkara lagi yang menjadi pusat kesatuan untuk pelbagai aktiviti sosial, pendidikan, perdagangan dan sebagainya. Prinsip ’Pusat Kesatuan’ dalam wasatyiah ini bertepatan dengan Prinsip Nilai 1Malaysia yang ke-5, iaitu ’Kesetiaan’.

Demikianlah antara konsep wasthiyyah (keseimbangan) yang menjadi teras kepada Gagasan 1Malaysia yang bertepatan dengan prinsip-prinsip kesyumulan Islam, di mana ianya dapat membedakan keistimewaan ajaran Islam berbanding dengan ajaran-ajaran agama ciptaan manusia di dunia ini. Ianya merupakan satu keseimbangan yang diperakui oleh seluruh umat dan masyarakat antarabangsa di dunia ini untuk memberi hak-hak individu dan juga masyarakat pelbagai kaum dan agama tanpa mengurang dan juga melebihkan kepentingan antara keperluan individu dan kolektif.