HUDUD: ANTARA POLITIK DAN MASLAHAH UMMAH DI MALAYSIA
Apabila usul Rang Undang-undang Persendirian berkaitan
Hudud dikemukakan, maka berlakulah pelbagai reaksi secara impulsif daripada
berbagai-bagai pihak, sama ada atas nama pertubuhan, kumpulan, parti atau
orang-perseorangan.
Sedekad
yang lalu, dalam realiti politik tanah air UMNO tidak berkecenderungan untuk
menyambut baik usul ini. Isu tadarruj (beransur-ansur),
mekanisme sokongan, pragmatisme dalam hal-hal kenegaraan, diplomasi dan
kesempurnaan dalam pelaksanaan telah dibangkitkan pada ketika itu, yang pada
kaca mata PAS, ia hanya helah bagi menghalang pelaksanaannya. Juga sebagai
tabir bagi menutup kebimbangan yang tidak pasti sekiranya undang-undang hudud
digubal. Maka, apabila rang undang-undang ini dikemukakan di dalam Dewan
Rakyat, rata-rata orang PAS menjangkakan bahawa orang-orang UMNO akan bersikap
defensif.
Artikel
ini ditulis bukan untuk mewakili suara mana-mana parti yang ada dalam negara
ini. Tetapi, ia wakil kepada sebahagian besar suara rakyat Malaysia yang
beragama Islam. Terutamanya dalam kalangan yang tidak mempunyai ilmu Syariah
atau Undang-undang Islam secara mendalam. Tidak mempunyai ilmu sekurang-kurangnya
pada tahap sederhana. Untuk menentangnya pula bimbang tergelincir dalam kancah
dosa. Untuk menyokongnya pula, bimbang jika ada pelbagai kekurangan,
kelompangan (lacuna) dan kelemahan. Tujuan
pelaksanaan hudud ialah maqasid al-Shariah.
Iaitu pemeliharaan maslahah umat
manusia dari aspek agama, nyawa, diri, harta, keturunan dan kehormatan. Dengan maqasid yang amat unggul ini, ia harus
dilaksanakan dengan cermat supaya keadilan itu bukan hanya berbentuk teori dan
berdiam dalam falsafah perundangan
Islam, tetapi juga terbukti adil secara yang dapat dilihat oleh masyarakat.
Kalau di dunia barat, masyarakat Islam di sana kerap
menjadi mangsa fenomena Islamophobia,
tetapi di negara kita pula berlaku fobia terhadap hudud. Bukan sahaja dalam
kalangan masyarakat bukan Islam, malahan juga oleh orang-orang Islam sendiri.
Sedangkan Islam bukan hanya sebagai agama rasmi, tetapi merupakan agama negara.
Hatta pemandu teksi Cina mempunyai stigma, jika hudud dilaksanakan di Kelantan,
maka banyaklah orang Kelantan yang akan kena potong tangan. Persoalan kita di
sini, mengapa “hudud” menjadi sesuatu yang ditakuti oleh masyarakat?
Memang benar bahawa hudud itu adalah dalil-dalil daripada
ayat-ayat al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW yang diterjemahkan dalam bentuk
kodifikasi undang-undang. Dan proses pengkanunannya ini dilakukan oleh manusia.
Bagi mencapai kesempurnaannya, kami fikir apa yang diperlukan demi
kesejahteraan masyarakat keseluruhannya, bukan sekadar undang-undang
substantif. Adakah Undang-undang Prosedur dan Undang-undang Keterangan Islam
sudah bersedia untuk mengambil giliran masing-masing? Yang pada kami,
pelaksanaan undang-undang yang unggul perlu datang secara berpakej. Pada kami
Undang-undang Prosedur Jenayah Syariah dan Undang-undang Keterangan Islam yang
sedia ada masih mempunyai banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi menjadikan
kedua-dua undang-undang ini mempunyai wibawa yang sama sebagaimana
undang-undang substantif hudud.
Undang-undang yang tidak teguh akan memberi pelbagai
implikasi negatif, keadilan yang dihasratkan sukar untuk dicapai dan seterusnya
akan menggugat kesejahteraan umat dan ketenteraman negara. Hudud itu sendiri
akan menjadi mangsa kepada tanggapan buruk masyarakat awam tanpa mengira sama
ada dalam kalangan orang Islam, apatah lagi orang bukan Islam.
Menyuarakan kebimbangan bukan bermaksud menentang usaha
penguatkuasaannya. Malah undang-undang yang berwibawa dan kompeten adalah
sebahagian daripada aspirasi Syariah yang diturunkan oleh Allah SWT, yang
disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW. Jika sedekad yang lampau, barangkali
kebimbangan masyarakat termasuk masyarakat Islam sendiri terhadap hudud adalah
disebabkan stigma dan persepsi yang
mengatakan hudud ini undang-undang yang kejam. Namun disebabkan jenayah
yang dilakukan oleh manusia pada era milenium ini juga melampaui kekejamannya,
maka kami berasakan ia ibarat “buku” sudah memulakan langkah untuk bertemu
“ruas”. Untuk mengajar “ruas” tentang erti keadilan yang sebenar dan
menginsafkan “ruas” bahawa masyarakat di negara ini sudah begitu lama
mengimpikan kesejahteraan dalam setiap aspek kehidupan. Jika selama ini
masyarakat Islam hanya mendengar kisah-kisah dahulu bahawa tiada sesiapa yang
akan mencuri barang yang tertinggal atau tercicir, malah diusahakan untuk
mencari tuan punya barang, maka pada hari ini masyarakat di Malaysia ingin
menikmati suasana yang penuh amanah dan keimanan itu. Kami tidak menafikan
bahawa masanya sudah (lama) tiba.
Maka menjadi tanggungjawab kepada setiap individu Islam
di negara ini untuk menyokong usaha ini. Memberi sumbangan menurut kudrat dan
keupayaan masing-masing. Sekurang-kurangnya tidak menghalang atau menyempitkan
laluannya. Itu sudah cukup baik di samping mendoakan agar ia dapat dilaksanakan
agar setiap individu yang menjadi subjek undang-undang menikmati keadilannya,
hatta kepada si pesalah pun.
Begitu pun, tentangan daripada bukan Islam memang sudah
dijangka. Sama ada daripada MCA ataupun DAP. Amat luar biasa jika mereka
bersikap positif terhadap rang undang-undang ini. Juga luar biasa jika mereka
mempunyai sangkaan yang baik dan memberi peluang kepada rang undang-undang ini
untuk berperanan sebagai mekanisme yang dapat menggapai keadilan buat umat
manusia sejagat.
Dalam hal ini, mata kita seharusnya benar-benar celik
kerana kita pasti dalam kalangan ahli-ahli MCA, DAP dan apa juga parti yang
didukung atau didominasi oleh bukan Islam, tentunya kalangan yang terpelajar
tidak sedikit bilangannya. Malah, yang bukan calang-calang dalam bidang
perundangan juga tentu ada dalam setiap pertubuhan atau parti politik. Umat
Islam di Malaysia tidak mampu untuk menerima alasan, hanya disebabkan mereka
kalangan bukan Islam maka mereka tidak seharusnya menjadi subjek kepada
perundangan Islam. Individu yang mencintai ilmu, terpelajar dan bersikap
terbuka tidak akan mudah melatah apabila sebarang isu timbul. Hudud adalah perkara
yang telah lebih sedekad menjadi isu sama ada sebagai polemik politik ataupun
perbahasan secara ilmiah. Tempoh sedekad sudah lebih daripada cukup untuk
memahami dan mempelajari apa-apa perkara yang berkaitan dengan perundangan
Islam. Bermula dari aspek falsafah perundangan itu sendiri sehinggalah kepada
kemampuan undang-undang itu untuk mendidik jiwa setiap warga masyarakat sama
ada yang bersalah, yang teraniaya ataupun orang awam.
Nilai-nilai dan elemen-elemen dalam Islam yang boleh
memberi keuntungan dalam bentuk wang ringgit begitu rakus diambil. Maka
institusi kewangan yang ada di negara ini berlumba-lumba untuk mewujudkan sistem
perbankan Islam bagi “memakmurkan” lagi institusi kewangan masing-masing.
Ironinya, sebahagian nilai dan elemen dalam Islam yang berperanan penting demi
memelihara kesejahteraan masyarakat ditentang sebegitu hebat sekali. Sedangkan,
nilai dan elemen ini selari dengan tindakan, contohnya, tidak meluluskan
operasi judi atau kasino. Ia adalah tindakan pencegahan yang disebut sebagai sad dal-zara’i (menutup kemudaratan).
Sementara perundangan Islam melalui hudud lebih kepada pengurusan masalah
jenayah yang telah dilakukan oleh pesalah. Kedua-duanya berada dalam ruang
lingkup perlindungan maslahah dan
konsep maqasid al-Shariah.
Persoalannya, mengapa MCA dan DAP menentang hudud?
Sedangkan sebelum kedatangan penjajah, mekanisme inilah yang menjadi sebahagian
daripada sistem hidup dalam masyarakat di Tanah Melayu. Yang ternyata mampu
menguruskan kehidupan rakyat dan juga orang luar yang bertandang di negeri ini.
Kes bunuh seorang Cina yang berlaku pada tahun 1888 di Pahang cuba
dipertahankan oleh istana Pahang daripada pihak British, supaya ia dibicarakan
di bawah kategori “Qisas dan Diat”. Maka, waris yang kena bunuh akan mendapat
pampasan daripada pihak yang membunuh, tanpa mengira si pembunuh itu Islam
ataupun bukan Islam. Adakah ia ditentang kerana puak-puak ini membenci agama
Islam? Atau mereka sebenarnya sangat alergi dengan apa-apa sahaja yang dibawa
oleh orang Melayu?
Yang sangat luar biasa juga apabila PKR tidak bersetuju
dengan usul rang undang-undang berkenaan. Malah, sikap empatinya juga amat
tinggi terhadap golongan bukan Islam di negara ini. Masyarakat Islam di luar
sana tentunya berasa amat hairan dengan sikap ini. Tentunya Sheikh Yusuf
al-Qaradawi yang secara personel menyokong Anwar Ibrahim sebagai individu yang
paling layak memimpin negara ini juga akan tersentak dengan sikap pemimpin PKR
yang cuba menjadi hero kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia. Atas tujuan
apa PKR berhasrat untuk menyampaikan rasa bimbang masyarakat bukan Islam?
Apakah motifnya Anwar Ibrahim bersuara bagi pihak mereka?
Jenayah semakin bermaharajalela dan berleluasa.
Barangkali ia disebabkan undang-undang ciptaan manusia yang selama ini digunakan,
belum lagi disuntik dengan roh Syariat. Undang-undang yang berada dalam
kategori takzir, jika ia sudah cukup cantik biarlah ia terus melaksanakan fungsinya. Contohnya,
undang-undang yang menguruskan kesalahan pemerdagangan manusia dan pengedaran
dadah. Tinggal sahaja lagi kesalahan-kesalahan hudud sudah sampai masanya untuk
mengambil tempat duduk mereka. Peranan kita adalah menyokong, menyumbang
pemikiran dan kemahiran, serta menambah baik pada setiap yang kurang dan lemah.
Hujung usaha ialah tawakal selepas mendoakan yang terbaik. Kita tidak perlu
apologetik demi menegakkan syiar Islam kerana Islam itu sendiri rahmat untuk
umat manusia sejagat. Hatta kucing di jalanan juga akan menerima tempias
kebaikan dan sifat ihsan Islam.
Sekretariat Penyelidikan Islam
Biro Hal Ehwal Islam Perkasa
1 comment:
Brovo...
Post a Comment