Translate

Wednesday, 9 July 2008

Islam Hadhari : Pendekatan Pembangunan dan Kesederhanaan

Islam Hadhari : Suatu Pendekatan Pembangunan

Dan Kesederhanaan

Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah . Hal ini bukanlah satu perkara yang baru kerana agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah ‘Hadhari’ telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya ‘Al-Muqaddimah’ dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah ‘hadhara’ yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual.

Sebab itulah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menjelaskan dengan jujur dan telus tentang konsep dan falsafah Islam Hadhari ini dengan mengutarakan bahawa:

Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas – kepada fundamental. Asas dan fundamental menurut yang terkandung dalam al-Quran dan Hadith yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas- jika difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas aqidah”.

Islam Hadhari’ sebenarnya satu pendekatan baru yang berkonsepkan kepada kemajuan dan pembangunan yang seimbang antara keperluan fizikal dan rohani (dunia dan akhirat) dalam usaha untuk membina semula keagungan tamadun umat Islam dalam era globalisasi masa kini. Ianya berasaskan kepada prinsip ‘Siasah Syar’iyyah’ dalam ruang lingkup menjaga dan memartabatkan kelima-lima Maqasid As-Syariah : Memelihara kesucian agama, memelihara kemuliaan akal, menjaga kesejahteraan nyawa, menjaga hak pemilikan harta dan menjaga kemurnian keturunan. Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kini ialah dengan menjadikan pendekatan Islam Hadhari sebagai keutamaan ( aulawiyat ) di dalam pengurusan dan pembangunan negara.

Justeru , dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan Islam Hadhari maka pembangunan negara harus dicanai ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat. Inilah apa yang hendak diaplikasikan oleh Perdana Menteri yang terkandung di dalam ucapan dasarnya ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO ke-55 iaitu:

Islam Hadhari memberi penekanan kepada pembangunan – pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan . Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik. . Pembanguanan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global”

Sesungguhnya dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan kita adalah amat konsisten dalam hal membina tamadun ini. Sejak kita mula merdeka hinggalah ke hari ini, berbagai-bagai dasar telah digubal dan dilaksanakan dengan mengambil kira strategi memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat. Antara dasar-dasar utama seperti Dasar Pendidikan, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pertanian, Dasar Penswastaan, Dasar Sains dan Teknologi, Dasar Kependudukan, Dasar Belia dan banyak lagi semuanya mempunyai matlamat yang sama untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat. Demikian juga dalam hal-hal pentadbiran dan pengurusan, seperti Dasar Bersih, Cekap dan Amanah, Penerapan Nilai-Nilai Islam, Kepimpinan Melalui Teladan dan TQM, telah menjelaskan betapa kerajaan amat prihatin terhadap hal pentadbiran yang berkesan. Ini semua telah menjadi asas dan ramuan yang amat penting ke arah merealisasikan hasrat kita mencapai matlamat bernegara berasaskan konsep Islam Hadhari.

Dalam hubungan ini, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO menjelaskan bahawa : “Sebagai parti yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam dan memastikan umat Islam tanpa tergelincir akidahnya serta dapat menghadapi cabaran dan realiti semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang diwarisi dapat dikaitkan dengan bentuk dan corak pembangunan mengikut masa – mengikut tempat “. Ini adalah sebahagian daripada konsep dan falsafah Islam Hadhari dalam usaha kepimpinan negara untuk memajukan umat Islam di Malaysia ini agar berkeupayaan berhadapan dengan cabaran dan realiti semasa dalam pembangunan negara menjelang tahun 2020.

Kejayaan UMNO yang menjadi tunjang kepada kerajaan Malaysia adalah kejayaan perjuangan yang mengamalkan kesederhanaan – perjuangan yang mengutamakan kemajuan. Perjuangan yang insaf dan sedar bahawa umat Islam perlu menjadi umat yang maju. Untuk maju, umat Islam perlu mencipta kejayaan di dunia ini di samping membekalkan diri untuk menghadapi alam akhirat.

UMNO memilih pendekatan yang tidak mengamalkan kekerasan. Di sebaliknya, kekuatan UMNO terbukti dilandaskan kepada pendekatan perjuangan penuh berhikmah ( bil-hikmah ). Perjuangan yang berasaskan tamadun bangsa yang mementingkan kebijaksanaan akal dan pemikiran rasional. Perjuangan berpandukan budi pekerti tinggi dan jiwa yang tenang. Ianya selaras dengan firman Allah s.w.t. :

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن ، إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين.

Bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk” ( Al-Quran - Surah an-Nahl : Ayat 125 )

No comments: