Translate

Sunday 2 March 2014

MENJIWAI RUH PERJUANGAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA MENURUT PERLEMBAGAAN


MENJIWAI RUH PERJUANGAN  AGAMA, BANGSA DAN NEGARA
MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
  
PENDAHULUAN

1. Ramai di kalangan kita yang menyebut soal perjuangan ’Agama, Bangsa dan Negara’ dalam setiap ucapan dan juga dalam meletakkan matlamat hala tuju perjuangan mereka. Tetapi berapa ramai yang faham dan menjiwai tentang apakah yang dimaksudkan dengan ’Agama, Bangsa dan Negara menurut takrifan serta hak-hak yang kita perjuangkan menurut Perlembagaan Negara.

2. Satu syarahan khas yang disampaikan oleh Y.Bhg Dato’ Mohd Nor bin Abdullah, Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia pada 1 Mac 2014 telah membongkar segala rahsia yang tersurat dan tersirat dengan kata-kata keramat ’Agama, Bangsa dan Negara’ ini menurut Perlembagaan Malaysia.

3. Saya sempat untuk mencatatkan beberapa perkara penting apa yang telah disampaikan oleh Dato’ Mohd Nor bin Abdullah ini sewaktu mengikuti syarahan beliau tempohari. Di sini saya ingin kongsikan beberapa maklumat dan juga kupasan ilmiah yang tidak pernah disampaikan oleh beliau secara terbuka di mana-mana media ataupun pentas-pentas ceramah yang dibentangkan oleh beliau sebelum ini.

HURAIAN DAN PENERANGAN

AGAMA:


 4.    Artikel 3 (1), Perlembagaan Persekutuan: ” Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”. Ini menjelaskan bahawa Islam adalah teras dan tunjang kepada sistem pemerintahan negara ini tanpa menyekat kebebasan hak penganut agama-agama lain untuk mengamalkan agama mereka. Kebebasan beragama ini pula hanya terhad kepada penganut-penganut agama lain sahaja; ianya tidak termasuk orang yang beragama Islam seperti yang termaktub dalam  Artikel 11 (1): ”Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi tertaktuk kepada Fasal (4), mengembangkannya di mana Undang-Undang Negeri dan Persekutuan boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

5.    Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan ataupun sebagai agama Negara ini diperkukuhkan lagi dengan Artikel 12: ”... adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyelenggara atau membantu dalam menubuhkan atau menyelenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud berkenaan”. Jelas kepada kita bahawa perjuangan untuk memartabatkan Islam di Malaysia merupakan satu hak dan juga kedudukan istimewa bagi umat Islam yang dibenarkan mengikut Perlembagaan Negara. Ini bertepatan dengan kedudukan Seri Paduka Yang DiPertuan Agong selaku Ketua Negara yang secara tradisi dan lazimnya adalah seorang Sultan/Raja yang  beragama Islam menurut artikel  32 :” Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong”. Peranan utama SPB Yang di-Pertuan Agong seperti yang diikrarkan dalam Sumpah Jawatan Baginda adalah untuk memelihara pada sebilang masa kedudukan Islam sebagai agama Negara seperti dalam Jadual Keempat (Perkara 37): ”...Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri”. 

6.    Inilah asas dan teras kepada perjuangan kita bila menyebut soal memartabatkan perjuangan agama dalam ruang lingkup yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. SPB Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara sendiri berikrar untuk memelihara Agama Islam, maka sudah tentulah Islam merupakan satu-satunya agama yang dijunjung dan wajib dimartabatkan kedudukannya sepanjang masa. Dalam erti kata lain kita mesti berjuang untuk menyekat sebarang ancaman yang boleh menggugat kesucian Agama Islam.

BANGSA:

7.    Bila kita menyebut soal perjuangan bangsa maka bangsa yang dinyatakan di sini merujuk kepada bangsa apa? Adakah ianya merujuk kepada tiga kaum/bangsa utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India sahaja ? Hakikatnya bila kita menyebut bangsa maka ianya adalah merujuk kepada Orang Melayu, Orang Asli di Semenanjung, Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak. Kaum cina dan India tidak termasuk dalam takrifan bangsa menurut Perlembagaan Persekutuan kerana kaum Cina akan merujuk satu bangsa yang asalnya di Negara China dan kaum India adalah merujuk kepada bangsa asalnya di Negara India. Tidak ada takrifan secara khusus dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan siapakah bangsa Cina dan India. Hatta satu patah perkataan pun tidak ada menyebut soal bangsa Cina maupun India. Yang ada cuma pernyataan mengenai kepentingan sah ”kaum-kaum lain” seperti yang tertulis dalam Artikel 153 (1) Perlembagaan Persekutuan.

8.    Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tentang tafsiran keempat-empat bangsa yang menjadi penduduk asal di Semenanjung Tanah Melayu dan juga Sabah dan Sarawak:

”Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

”Orang Asli” ertinya orang asli Semenanjung Tanah Melayu.

Bagi maksud tafsiran mengenai anak negeri Negeri Sabah dan Sarawak adalah seperti dinyatakan dalam Artikel 161A, (6) dan (7):

”Anak Negeri Sarawak” seseorang yang merupakan warganegara yang tergolong sebagai ras asli bagi Negeri itu atau yang berketurunan campuran yang berasal daripada ras-ras tersebut, iaitu Bukitan, Bisayah, Dusun, Dayak, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kelabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melano, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit.

”Anak Negeri Sabah”, seseorang yang merupakan warganegara, iaitu anak atau cucu kepada seorang daripada suatu ras asli Sabah, dan telah lahir (sama ada atau tidak pada atau selepas Hari Malaysia) sama ada di Sabah atau dengan bapanya berdomisil di Sabah pada masa kelahiran itu.

9.    Jelas kepada kita bahawa  kaum pribumi di Semenanjung Tanah Melayu terdiri daripada Orang Melayu dan Orang Asli. Sementara kaum pribumi di Sabah adalah ’anak negeri Sabah’ dan di Sarawak adalah ’anak negeri Sarawak’. Inilah saja empat kaum terbesar yang diiktiraf mengikut takrifan dalam Perlembagaan Persekutuan bila kita menyebut soal penduduk pribumi di Malaysia. Bagaimana pula dengan kedudukan kaum Cina dan India ? Mungkin kedua-dua kaum ini bolehlah kita namakan mereka sebagai ’bangsa Malaysia’ atau ’komuniti Malaysia’ yang termasuk dalam istilah ’kaum-kaum lain’ yang dinyatakan dalam Artikel 153 (1).

10.Justeru, apakah yang hendak kita perjuangkan dan kita pertahankan untuk mempastikan hak-hak kaum pribumi ini terus terpelihara tidak terabai oleh setiap pemerintah di negara ini dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan :

Pertama: Mempertahankan serta memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 : ”Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen”.

Kedua: Mempastikan perizaban kuota berkenaan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri di Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Artikel 153 (1). Ianya menjadi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Perizaban kuota ini berkaitan dengan perjawatan-perjawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan kedudukan tempat di universiti dan kolej, serta peluang-peluang dalam perniagaan dan pemilikan equiti.

Ketiga: Mempastikan terpeliharanya Tanah Simpanan Melayu dan mewujudkan lebih banyak lagi tanah-tanah Simpanan Melayu untuk masa depan Orang Melayu seperti yang termaktub dalam Artikel 89 (1): ” Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang merupakan tanah Simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu..” dan Artikel 89 (2) : ” Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini bukan tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada dan yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam boleh diistiharkan sebagai tanah simpanan Melayu..”

Keempat: Memperjuangkan hak serta melindungi kepentingan Orang Asli. Artikel 8 (5),(c) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan tiada undang-undang yang boleh menidakkan atau melarang apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah ) atau perizaban bagi orang asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam. Perkara ini perlu dirancang dan diperjuangkan bersama oleh orang Melayu agar kedudukan orang asli terus terbela dan terpelihara sebagai sebahagian daripada penduduk pribumi di negara ini.

NEGARA:

11.Apakah yang dimaksudkan dengan negara menurut tafsiran Perlembagan Persekutuan? Menurut tafsiran undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 1 (1); negara yang dimaksudkan di sini adalah Persekutuan Malaysia : ” Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris. Menurut wasiat Raja-Raja Melayu sewaktu negara nak mencapai kemerdekaan 1957: ” Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA).

12. Walaupun Persekutuan Tanah Melayu telah bertukar namanya kepada Malaysia sejak penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, tetapi nama Malaysia berasal daripada perkataan bahasa Inggeri yang kata terbitannya ’Malay’ bermakna Melayu. Penambahan ’sia’ kepada perkataan ’Malay’ membawa maksud bahawa Melayu ini adalah rumpun bangsa yang dari geografinya berjiran dengan Indonesia yang juga ada ’sia’ di hujung namanya, dan begitu juga ’sia’ pada nama Malaysia ini menisbahkan bahawa negara Melayu ini berada di kawasan bumi Asia Tenggara di Benua Asia. Jelas kepada kita bahawa kata terbitan ’Malay’ dalam bahasa Inggeris yang bermaksud ’Melayu’ pada nama Malaysia tetap merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu. 

13. Ini diperkukuhkan lagi dengan tafsiran dalam Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan, iaitu ”Persekutuan” ertinya  Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Ini bermakna bahawa sebutan Persekutuan Tanah Melayu masih kekal dalam Perlembagaan Malaysia. Begitu juga bila kita mentafsirkan siapa dia orang asli di dalam Perlembagaan menurut Artikel 160, yang mana ”Orang Asli” ertinya orang asli Semenanjung Tanah Melayu. Yang mana Semenanjung Tanah Melayu ini dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai ’Malaya’. Ini bermakna bahawa pernyataan nama Semenanjung Tanah Melayu masih kekal dalam Perlembagaan Negara.

14. Justeru, bila kita menyebut apa-apa perkara yang berkaitan dengan perjuangan untuk negara ataupun Malaysia maka ianya merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu dan juga Negeri-Negeri di Sabah dan Sarawak. Jangan pula kita beranggapan bahawa istilah ’Tanah Melayu’ sudah tidak wujud dalam Perlembagaan Negara dan juga dalam soal mentakrifkan negara kita ini sebagai bumi milik asal Orang Melayu.

PENUTUP

 Inilah hakikat yang harus kita hayati dan kita jiwai bila kita melaung-laungkan slogan untuk perjuangan ’Agama, Bangsa dan Negara’. Ianya tidak boleh lari daripada memartabatkan serta memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Negara, memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu, orang asli, anak negeri Sabah dan anak negeri Sarawak dan seterusnya mempastikan kedaulatan bumi yang kita pijak dan langit yang kita junjung ini terus kekal di bawah teraju kepimpinan politik kaum pribumi melayu kerana negara ini adalah Tanah Melayu.


SHAMSUDDIN BIN MONER
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia

Sumber Rujukan :

1.    Syarahan Dato’ Mohd Nor Abdullah, Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, anjuran Perkasa Malaysia di IBBM, Hulu Kelang, 1 Mac 2014.
2.     Perlembagaan Persekutuan.

No comments: