Translate

Friday 14 August 2009

KENANGAN MENGUSIK JIWA BERSAMA UST. ASRI RABBANI

1. Al-fatihah buat arwah Ust Asri Ibrahim. Saya amat terkejut dengan berita kematian beliau akibat serangan sakit jantung pada hari semalam. Terima kasih banyak atas berita yang disampaikan oleh kawan beliau Ust Ahmad Shukri (YADIM) kepada saya pada jam 11.30 pagi semalam. Masa tu saya dalam perjalanan ke KLIA untuk pergi ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menghadiri forum perdana sempena Festival KOnvokesyen UniMAP Ke-4.

ASRI RABBANI & EL-ASKAREY
Saya bersama Ust Asri sewaktu majlis raptai penuh untuk persembahan di Majlis pelancaran Bulan Dakwah Kebangsaan pada 19 Feb 2009 di PICC, Putrajaya.

2. Ust Shukri pula mendapat berita daripada sahabat baiknya Amy Search pada pagi semalam. sebaik sahaja beliau mendapat telefon daripada Amy Search, maka Ust Shukripun terus menelefon saya. Hampir 1 minit saya terkedu dan bersedih di atas pemergian Allahyarham Ust Asri. Apa yang menyedihkan saya ialah kerana saya tidak berkesempatan untuk menziarahi jenazah beliau dan bersama-sama rakan-rakan lain menyembahyangkan jenayahnya. Saya terpaksa ke Perlis kerana majlis sudah diatur.

3. Saya amat terkilan dan rasa dukacita juga kerana tidak berkesempatan untuk merakamkan lagu Bulan Dakwah yang dicadangkan dinyanyikan oleh Ust Asri dan Kumpulan Rabbani. Sebelum ini saya selaku Ketua Sekretariat Bulan Dakwah telah mengaturkan gandingan persembahan Rabbani dan Amy Search sempena dengan sambulan Bulan Dakwah Kebangsaan yang telah diadakan pada bulan Feb dan Mac lalu. Kali terakhir saya bertemu dan bersama-sama dengan Ust Asri, Rabbani bersama-sama dengan Amy Search ialah pada 1 Mac 2009 yang lalu ketika kami mengaturkan pertunjukan khas Rabbani & Amy di Majlis Pelancaran Bulan Dakwah Negeri Kelantan yang dihadiri oleh Al-Sultan Kelantan dan Tuan Guru Nik Aziz.

4. Saya sempat berbual dan berbincang dengan Allahyarham Ust Asri tentang cadangan saya untuk menjadikan lagu tema bulan Dakwah " Wahdah Pemangkin Khaira Ummah" sebagai lagu yang akan dirakamkan oleh Rabbani dalam albumnya jika dipersetujui nanti. Pada dasarnya beliau bersetuju. Malangnya kami tak sempat nak berbincang dengan lebih lanjut tentang bila lagu bulan dakwah ni nak dirakamkan serta dinyanyikan oleh Rabbani. Dengan pemergian Allahyarham, maka hasrat dan juga cadangan saya untuk menjadikan lagu bulan dakwah sebagai lagu yang didendangkan oleh Ust Asri tidak kesampaian.

5. Apapun, semuanya telah ditakdirkan oleh Allah yang beliau terpaksa menemui Allah dengan selamatnya. Yang penting, saya mendoakan ruhnya dirahmati oleh Allah. Satu kehilangan besar buat negara kerana beliau adalah di antara pelopor dan juga penggerak kepada muzik nasyid kontemporari di negara ini yang telah menarik minat anak-anak remaja kepada lagu-lagu irama nashid sekitar pertengahan tahun 1990-an hingga kini.

1 comment:

Mrkolumpo said...

Al-Fatihah....La tahzan ya akhi....