PENGUMUMAN PENTING- PENDUDUK PELANGAI:
" CERAMAH PERDANA MA'AL HIJRAH"
" CERAMAH PERDANA MA'AL HIJRAH"
Semua para penduduk di kawasan Kg. Shafie, Kg. Semerting, Kg. Baru, Rumah Murah Pelangai, Spg Pelangai, Kg. Lembah Jaya, Kg. Hayat, Kg Bukit Gajah, Kg. Jawi-Jawi, Kg. Baris serta yang berhampiran dengannya adalah dijemput untuk hadir beramai-ramai ke majlis Ceramah Perdana Ma'al Hijrah pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:
Tarikh : 7 hb Januari 2009 (Rabu)
Masa : Mulai Jam 0900 Malam.
Tempat : Dataran Balai Raya Kg Baru
Simpang Pelangai, Bentong ( Hadapan Taman Pelangai Raya )
Penceramah undangan ialah
DR. ABDUL GHAFAR BIN SURIP
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM )
________________________________________
WASIAT RASULULLAH S.A.W.
1. Rasulullah s.a.w ketika menjejakkan kakinya ke Kota Madinah di dalam perjalanan hijrahnya dari Mekah di suatu tempat bernama Quba' telah berwasiat kepada seluruh penduduk Madinah dari kalangan Ansar dan juga Muhajirin yang baru tiba ke Madinah dengan sabdanya :
" Wahai sekelian manusia! sebarkanlah salam, hulurkanlah bantuan makanan, sambunglah tali silatur rahim dan solatlah pada malam hari tatkala semua orang sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan damai"
( Hadis Sahih : Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah )2. Inilah Perutusan Khas Tahun Baru Hijrah yang telah disampaikan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w sewaktu berlakunya peristiwa hijrah baginda serta para sahabat dari Mekah ke Madinah 1430 tahun yang lalu. Ada 4 perkara utama yang telah dianjurkan oleh Rasulullah dalam hadis di atas, iaitu:
PERTAMA : Sebarkan salam bagi menandakan perdamaian dan kesejahteraan.
KEDUA : Memberi bantuan makanan ataupun bantuan kemanusiaan kepada golongan fakir miskin dan juga bagi yang memerlukannya.
KETIGA : Mempereratkan tali silatur-rahim sesama muslim agar ukhuwah Islamiah terus terpelihara untuk menjamin kekuatan ummah.
KEEMPAT : Mengamalkan ibadah solat sunat tahajjud di pertengahan malam bagi mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan jiwa daripada sifat-sifat mazmumah.
3. Walaupun Allah s.w.t adalah Tuhan pencipta dan memiliki sekelian alam,dan kita sebagai hambanya memang dituntut pada setiap masa untuk tunduk dan patuh kepada perintah-Nya; namun dalam konteks kehidupan di dunia ini Allah itu maha adil dan maha bijaksana. Tegasnya, dalam keempat-empat wasiat yang disampaikan oleh Rasulullah dalam peristiwa hijrah sejak 1430 tahun yang lalu, tiga daripadanya adalah suruhan dan gesaan supaya manusia menjaga hubungan sosial sesama insan ( hablum-minannas), dan hanya satu perkara sahaja yang dipohon oleh Allah kepada kita agar bangun tengah malam untuk bermunajat kepadanya ( hablum-minallah).
4. Bermakna bahawa kalau kita nak cemerlang dan terpuji dalam menjaga hubungan kita dengan Allah s.w.t, maka kita mesti menjadikan diri kita cemerlang terlebih dahulu di dalam menjaga hubungan sesama insan. Barulah Rasulullah menjelaskan dalam hadis di atas bahawa kita akan masuk syurga dengan tenang dan damai.
5. Oleh itu, berhijrah dan berazamlah kita pada tahun baru hijrah 1430 dan tahun baru masihi 2009 ini untuk mempastikan agar bakti dan sumbangan kita kepada masyarakat adalah yang terbaik dan begitu jugalah hendaknya hubungan kita dengan Allah s.w.t mestilah bertambah dekat dengan menghampiri-Nya pada setiap pertengahan malam dengan solat sunat tahajjud. Dengan solat tahajjud ini segala sifat buruk dan keji yang ada dalam diri kita akan terhindar. Inilah matlamat kita mengharungi sambutan Tahun Baru pada setiap tahun iaitu untuk masuk ke syurga dengan damai. Kalau tidak ada cita-cita nak masuk syurga dengan damai pada azam tahun baru ini, maka sia-sialah umur kita. Wassalam.
No comments:
Post a Comment