Translate

Thursday 11 December 2008

TAZKIRAH JUMAAT : HUKUM MERAYAKAN HARI KEBESARAN AGAMA ORANG BUKAN ISLAM

Khalid Buat Apa Itu?

Assalamualaikum Warahmarullahi Wabarakatuh. Amma Ba'du.

1. Secara amnya terdapat dua pandangan berbeza dari sudut hukum tentang orang Islam yang turut merayakan hari perayaan atau kebesaran agama orang bukan Islam, iaitu :

a. Pandangan Yg Membenarkan (Mengharuskan ).
b. Pandangan Yg Tidak Membenarkan (mengharamkan).

2. Pandangan Yang Membenarkan:

a. Dr. Yusof al-Qaradawi berkata : " Adalah menjadi hak setiap kaum merayakan hari kebesaran mereka selama mana tidak menyakiti kaum lain, begitu juga menjadi hak kaum lain untuk mengucapkan tahniah kepada kaum lain yang merayakan hari kebesaran mereka. Tidaklah menjadi halangan bagi orang-orang Islam untuk mengucapkan tahniah kepada jiran dan warga negara Nasrani yang menyambut perayaan mereka, ia termasuk dalam kebaikan sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu)...". Bagaimanapun DR. Yusof al-Qaradawi menjelaskan pula bahawa umat Islam tidak boleh bersekongkol dalam upacara yang melibatkan upacara keagamaan yang khusus untuk orang kristian.

b. Dr. Abdul Hayei Abd Shukur ( Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya) pula berpendapat bahawa merayakan hari kebesaran agama lain-lain kaum dengan cara mengikut serta berhari raya sesama mereka dengan merelakan kekufuran orang bukanIslam dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama mereka adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Sebaliknya jika merayakan hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan sesama manusia, maka ia adalah di luar daripada konteks meraikan akidah mereka atau merelakan agama mereka

3. Pandangan Yang Mengharamkan :

a. Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya 'Ahkam Ahl al-Zimmah' telah menyatakan bahawa haram memberi ucapan tahniah kepada orang bukan Islam yang menyambut perayaan mereka. Pada pandangan beliau perbuatan mengucapkan tahniah kepada syiar-syiar kafir secara khusus hukumnya adalah haram dengan kesepakatan para ulama. Ibn Qayyim memberikan perumpamaan ucapan tahniah seperti menyatakan " Selamat Hari Raya ke atas kamu" atau "Semoga bergembira dengan perayaan ini", atau seumpama dengannya adalah jelas haram hukumnya.

b. Abu al-Qasim Hibbatullah Bin al-Hussain Bin mansur al-Tabari pula berkata : " Tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka.

4. PANDANGAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Ugama Islam dalam muzakaranya kali ke-12 pada 21 - 22 Januari 1985 telah mengeluarkan fatwa bahawa :

" Pemimpin-pemimpin masyarakat sama ada di pihak atasan atau bawahan dan juga pihak-pihak berkuasa yang berkenaan adalah diminta supaya berhati-hati sebelum meluluskan permohonan untuk membina gereja, kuil, candi dan tokong serta hendaklah juga tidak menghadiri atau merasmikan upacara-upacara agama bagi kaum yang bukan Islam".

Sementara itu, dalam Muzakarah Fatwa kali ke-63 yang bersidang pada 18 Mei 2004 pula telah membincangkan masalah " Hukum orang Islam yang turut merayakan hari-hari kebesaran Agama Orang Bukan Islam". Walau bagaimanapun Muzakarah telah bersetuju agar keputusan ditangguhkan dan meminta Bahagian Penyelidikan JAKIM mengemukakan garis panduan.

Maka di dalam Muzakarah Fatwa kali ke-64, pada 14 April 2005 ; satu garis panduan telah diputuskan sebagai syarat yang mengharuskan umat Islam menyertai majlis perayaan orang bukan Islam. Garis panduan berkenaan adalah seperti berikut :

a. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam seperti adanya simbol-simbol agama (salib), memasang lilin, pokok krismas dan sebagainya- menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama berkenaan - meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh - memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam - tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

b. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti memakai pakaian berwarna merah macam santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama berkenaan - menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan - mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, poko krismas, kuil atau memecah kelapa - mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

c. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di Malaysia - yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan ahli Sunnah wal jamaah.

d. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

KESIMPULAN : Jika dilihat secara tersirat, Muzakarah Fatwa Kebangsaan bersetuju membenarkan orang Islam menghadiri perayaan hari kebesaran agama lain tetapi mestilah berhati-hati dan mendapat nasihat para alim ulama sekiranya terdapat perkara-perkara yang meragukan sebelum hadir ke majlis tersebut.

1 comment:

Mrkolumpo said...

nampaknya saya tak salah pilih...abang sudin lah yang selayak-layaknya menjadi imam pilihan saya..berbekalkan ilmu yang tinggi jikan nak dibandingkan dengan saya..harap boleh baca blog terbaru saya "mencari kebenaran" dan pertimbangkan dan jika sudi..luangkan masa kite bersama2 menunaikan cabaran itu