Translate

Saturday, 20 December 2008

TOLERANSI SOSIAL MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Khalid Buat Apa Itu?
( Sekadar gambar Hiasan )

1. Toleransi Sosial sangat penting diketahui oleh semua kaum dan juga semua penganut agama di negara ini. Satu hakikat yang mungkin tidak diketahui oleh non-muslim di negara ini dan mungkin juga oleh sebahagian daripada umat Islam ialah tentang wujudnya falsafah dan amalan toleransi sosial dalam ajaran Islam yang terkandung di dalam Quran.

2. Dalam perkara ini Islam telah memberikan garis panduan yang jelas di dalam menjaga serta menjalinkan hubungan kekeluargaan sesama muslim dan juga kepentingan menjaga hubungan sosial antara muslim dan non-muslim. Perkara ini telah digariskan oleh Allah menerusi firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat, yang bermaksud :

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu kaum memperolokkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka (yang diperolokkan) itu lebih baik daripada mereka (yang memperolokkan), dan jangan pula wanita-wanita memperolokkan wanita-wanita yang lain, (kerana) boleh jadi (yang diperolokkan itu) lebih baik dari wanita (yang memperolokkan), dan janganlah kamu mencela sesama muslim dan janganlah kamu panggil-memanggil sesama kamu dengan gelaran yang buruk sesudah (mereka) beriman, dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".

3. Menerusi ayat di atas terdapat 4 perkara pokok yang digariskan oleh Allah s.w.t sebagai panduan kepada umat Islam di dalam menghayati toleransi sesama kaum dan sesama muslim, iaitu:

PERTAMA : Dilarang kita mencaci dan mencari keburukan kaum lain ataupun orang lain, mungkin dengan perbuatan itu pada hakikatnya diri kita yang sebenarnya lebih keji dan hina daripada pihak yang kita burukkan. Seperti pepatah " Paku serpih, mengata orang aku yang lebih".

KEDUA : Dilarang kaum wanita memperolokkan ataupun mengeji dan mempersendakan wanita lain yang tidak setaraf dengannya sama ada dari segi darejat, pangkat, rupa paras dan juga taraf kehidupan. Allah memperingatkan secara khusus kepada kaum hawa (wanita) kerana kejadian ini banyak berlaku ke atas mereka disebabkan oleh emosinya yang sentiasa bergelora, hingga sukar membedakan mana yang baik dan mana yang boleh membinasakan dirinya. Kes-kes yang sedemikian banyak berlaku pada wanita-wanita yang dimadukan serta wanita-wanita yang memandang rendah pada bakal besannya yang tidak setaraf dengan kedudukannya.

KETIGA : Dilarang kita memanggil dengan gelaran yang menyakiti hati orang lain dengan gelaran yang tidak baik. Perkara seumpama ini sering membawa pertengkaran dan perselisihan dan selalunya berlaku di kalangan rakan sekerja, jiran tetangga, sesama kaum kerabat, yang akhirnya membawa kepada permusuhan.

KEEMPAT : Dilarang juga kita mencaci sesama Mukmin dan muslim. Ini kerana perbuatan mencaci dan mencela ini adalah perbuatan syaitan dan iblis. Memang kerja ini menjadi amalan harian iblis dan syaitan. Bagi mereka yang sering melakukan perbuatan ini biasanya menganggap bahawa dirinya terlepas daripada sifat-sifat keji berkenaan, sedangkan apa yang dilakukannya itu adalah satu langkah mengikuti jejak langkah iblis dan syaitan. Perbuatan ini kebiasaannya sering dilakukan oleh orang-orang politik di Parlimen dan di ceramah-ceramah politik . Tidak terkecuali juga di zaman siber ini, perbuatan dan tingkahlaku syaitan ini sering dilakukan oleh penulis-penulis blog dan juga para pembaca blog yang begiti ghairah mengeluarkan kata-kata caciannya kepada orang lain atas nama hak asasi dan hak mereka untuk bersuara. Tapi, mereka tak faham adab serta etika menyuarakan pendapat menurut Islam.

4. Diakhir ayat di atas Allah telah memberi amaran keras kepada keempat-empat jenis manusia yang melakukan perbuatan ini, iaitu barang siapa yang tidak bertaubat (meninggalkan keempat-empat perbuatan haram ini) maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Ramai yang tak sedar bahawa bukan sahaja Raja ataupun pemimpin sahaja berpotensi untuk melakukan kezaliman, tetapi orang biasa seperti kita juga mungkin setiap hari terdedah kepada perbuatan zalim seperti ini.

5. Justeru, Allah s.w.t telah memperingatkan orang-orang yang beriman ( sesiapa yang tidak beriman tidak perlu mendengar peringatan Allah ini ) di dalam firman-Nya dalam surah al-Hujurat, ayat 12, yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang BERIMAN, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati..? Maka tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Maha Penyayang "



( GAMBAR HIASAN )

(GAMBAR HIASAN )

6. Nampaknya ketiga-tiga larangan Allah dalam ayat di atas ( prasangka buruk, mencari-cari kesalahan orang lain dan mengumpat ) telah menjadi trend ataupun sejenis penyakit dan wabak dalam masyarakat Islam masa kini, khanya di kalangan ahli-ahli politik dan juga penulis-penulis blog ( Maksud saya bukan semua - ada juga sebahagian Bloggers yang beretika dan beradab seperti saudara/saudari yang menjadi pembaca setia Blog saya ini ).

Friday, 19 December 2008

TAZKIRAH JUMAAT : JALAN-JALAN TAQWA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 'Amma ba'du.

1. Bagi setiap muslim (lelaki) memang sudah sering diperingatkan oleh para khatib di mimbar-mimbar Jumaat pada setiap minggu di dalam khutbah Jumaat supaya hendaklah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Tetapi, tidak ramai di kalangan kita yang faham ataupun mengetahui bagaimana jalan-jalan ataupun kaedah untuk menjadikan diri kita sebagai hamba Allah yang benar-benar bertaqwa. Maka. Tazkirah Jumaat pada kali ini akan memberi fokus kepada permasalahan ini.

2. Di antara Jalan-Jalan yang menjadi penyuluh dan pendorong kepada seseorang itu menjadi insan yang bertaqwa adalah seperti berikut :

JALAN PERTAMA :

Tilawatul Quran. Melazimkan diri dengan membaca al-Quran serta sentiasa bertadabbur dengan memahami dan menghayatinya. Firman Allah
s.w.t, bermaksud : " Demikianlah telah kami turunkan akan dia berupa al-Quran dalam bahasa Arab dan kami menerangkan berulangkali di dalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa, atau al-Quran itu dapat menimbulkan pengajaran bagi mereka " ( Surah Taha : Ayat 113 )

JALAN KEDUA :

Mendapatkan Hidayah dan bermujahadah. Firman Allah s.w.t, bermaksud:" Mereka yang mendapat hidayah akan ditambahi hidayah dan diberikan ketaqwaan kepada mereka". ( Surah Muhammad : Ayat 17 ). Firman Allah s.w.t dalam ayat yang lain, bermaksud: "Sesiapa yang bermujahadah pada (keredaan) kami sesungguhnya akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang yang berbuat ihsan".

JALAN KETIGA :

Ibadah Puasa.

JALAN KEEMPAT :

Beribadah dan mengabdi diri kepada Allah dalam pengertian yang umum dan luas iaitu dengan menjadikan setiap perbuatan, pekerjaan dan juga aktiviti harian hidup kita di dunia ini sebagai ibadah - berniat dengan 'lillahi ta'ala'.

Saturday, 13 December 2008

MUZAKARAH FATWA PERLU RUJUK MAJLIS RAJA-RAJA - RAJA NAZRIN SHAH


RAJA DR. NAZRIN SHAH - RAJA MUDA PERAK

1. Ketika mempengerusi Persidangan Ke-164 Majlis Agama Islam Perak pada 9 hb Disember 2008, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah menitahkan supaya Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak supaya tidak membuat sebarang kenyataan mengenai isu agama Islam sebelum mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang merupakan Yang Dipertua majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIP). Baginda menitahkan sebarang perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam hendaklah dipersembahkan bagi mendapat perkenan Sultan Perak terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan mengenainya dikeluarkan ( lihat Utusan Malaysia - 10 Disember 2008 ).

2. Dalam perkembangan berkaitan, Raja Nazrin bertitah bahawa apa yang berlaku pada masa ini ialah satu forum yang dikenali sebagai Muzakarah Jawatankuasa Fatwa telah mengumumkan sesuatu fatwa tanpa terlebih dahulu menyembahkannya kepada Majlis Raja-Raja. Baginda juga memperingatkan bahawa JAKIM tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan untuk memberi arahan kepada pentadbiran agama Islam negeri-negeri. Ini kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ditubuhkan di bawah Perkara (11(a) Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ( MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Perkara 14 di bawah peraturan itu menetapkan bahawa tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Titahnya lagi, bahawa Jawatankuasa fatwa ini hendaklah mengemukakan pendapat kepada MKI , yang akan menghantarkannya bersama dengan pengesyoran kepada majlis Raja-Raja Melayu.

3. Dalam hal ini, baginda juga menegaskan bahawa bukan sahaja sebarang keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu terlebih dahulu dipersembahkan kepada majlis Raja-Raja malah proses permulaan untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa hendaklah terlebih dahulu dirujuk bagi mendapat perkenan majlis Raja-Raja.

4. Pada pandangan saya, titah ucapan dan pandangan Raja Dr. Nazrin ini ada kebenarannya. Ini bermakna bahawa struktur Jawatankuasa fatwa selama ini yang diletakkan di bawah MKI adalah tidak tepat. Justeru, JAKIM harus bertindak segera bagi memperbetul semula persepsi ini. Yang menjadi masalahnya nanti ialah masyarakat Islam. Hukum fatwa dah dikeluarkan, tetapi negeri-negeri tidak mahu menerima dan menguatkuasakannya.

5. Saya ada cadangan kepada JAKIM, disyorkan supaya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ini diletakkan terus di bawah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Ini kerana Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ini akan bertindak serta mengumumkan bagi pihak Raja-Raja Melayu. Ianya sama seperti pengumuman melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal. Lihatlah betapa hebatnya kuasa yang ada pada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam TV ketika mengumumkan hari Raya Puasa :" Menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya selaku Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan ini mengisytharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi seluruh negeri di Malaysia ialah pada 1 hb OKtober 2008". Dengan pengiytiharan ini, saya rasa tidak ada satu negeri ataupun seorang sultanpun yang membantah tentang tarikh penetapan hari raya di negeri-negeri berkenaan. Semuanya bersetuju untuk berhari raya pada tarikh yang ditetapkan. Dan tidak perlu nak dipersembahkan kepada setiap Sultan dan Raja di negeri-negeri tentang tarikh raya selepas mufti-mufti melihat anak bulan di seluruh tempat. Kalau nak tunggu mengadap sultan dulu, baru nak isytihar raya, maka nampaknya terpaksalah tertangguh hari raya selama dua tiga hari lagi.

6. Sama juga dengan Jawatankuasa Fatwa ini jika diletakkan di bawah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan bukanya di bawah JAKIM ataupun MKI. Bila dapat sahaja keputusan mengenai sesuatu hukum yang telah difatwakan, maka serahkan sahaja pada penyimpan mohor Besar Raja-raja Melayu untuk membuat pengumuman dalam TV secara langsung. Umpamanya seperti pengharaman YOGA : " Menjunjung titah perintah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya selaku Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan ini mengisytiharkan bahawa senaman YOGA adalah diharamkan amalannya diseluruh negara". Saya yakin ianya lebih efektif dan berkesan. Tak perlu nak diwartakan di negeri-negeri, cukup dengan pengumuman melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ini seperti pengisytiharan Hari raya.


7. Satu lagi pandangan saya. Memandangkan Raja-Raja Melayu ataupun Sultan di negeri-negeri ini berperanan sebagai Ketua Agama Islam. Maka saya cadangkan kepada JAKIM agar dapat mempersembahkan kepada Majlis Raja-Raja supaya Tengku/Raja Muda yang bakal menaiki takhta sebagai Sultan di seluruh negara dapat diwajibkan untuk mengikuti Diploma Pengajian Islam / Tahfiz Al-Quran bagi memberi pendedahan dan juga penghayatan kepada Raja-Raja Muda / Tengku Mahkota ini tentang ilmu-ilmu usuluddin dan syariah. Ini penting kerana mereka ini bakal menjadi ketua agama Islam dan wajib mengetahui sesuatu hukum hakam secara lebih dalam menerusi pengajian formal. Nanti, bila sesuatu fatwa mengenai Islam nak dipersembahkan kepada Raja/Sultan, maka mudahlah Raja/Sultan ini nak memahaminya sama ada untuk menolak ataupun untuk menerimanya.

8. Saya rasa idea ini tak jadi keberatan kepada Sultan/Raja untuk menerimanya. Ini kerana apa yang dipraktikkan selama ini bahawa semua Raja Muda/tengku mahkota telah dihantar untuk menuntut di Kolej ataupun di pusat-pusat latihan ketenteraan sama ada di dalam ataupun di luar negara. Ini bagi membolehkan puteta-putera raja ini terlatih dalam disiplin serta ilmu ketenteraan kerana semua raja akan dilantik sebagai Kolonel yang Dipertua kepada Rejimen ataupun Kor sesuatu angkatan bersenjata seperti Navy, Air Force, Askar Melayu, Artileri, Armor dan yang paling penting sekali ialah Yang diPertuan Agong bertindak sebagai Marshall Angkatan Tentera. Kalau di bidang ketenteraan ini menjadi keutamaan putera-putera raja, maka lebih-lebih lagi dalam bidang agama Islam ini. Memang sepatutnya setiap putera raja mesti belajar ilmu di bidang pengajian Islam kerana mereka bakal jadi Ketua Agama Islam suatu hari nanti.

9. Siapa dan Jabatan Mana agaknya yang berani nak bawa idea ini kepada majlis Raja-Raja..? Saya sebagai Bloggger dah lontarkan idea ini untuk difikir bersama. Barulah berkat dan makmur negara dan negeri-negeri kita bila ketua agama kita dari kalangan raja-raja ini orang yang berpengetahuan dalam bidang agama dan menjadi raja/sultan yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. ( BALDATUN TOIYIBATUN WARABBUN GHAFUR )

Thursday, 11 December 2008

TAZKIRAH JUMAAT : HUKUM MERAYAKAN HARI KEBESARAN AGAMA ORANG BUKAN ISLAM

Khalid Buat Apa Itu?

Assalamualaikum Warahmarullahi Wabarakatuh. Amma Ba'du.

1. Secara amnya terdapat dua pandangan berbeza dari sudut hukum tentang orang Islam yang turut merayakan hari perayaan atau kebesaran agama orang bukan Islam, iaitu :

a. Pandangan Yg Membenarkan (Mengharuskan ).
b. Pandangan Yg Tidak Membenarkan (mengharamkan).

2. Pandangan Yang Membenarkan:

a. Dr. Yusof al-Qaradawi berkata : " Adalah menjadi hak setiap kaum merayakan hari kebesaran mereka selama mana tidak menyakiti kaum lain, begitu juga menjadi hak kaum lain untuk mengucapkan tahniah kepada kaum lain yang merayakan hari kebesaran mereka. Tidaklah menjadi halangan bagi orang-orang Islam untuk mengucapkan tahniah kepada jiran dan warga negara Nasrani yang menyambut perayaan mereka, ia termasuk dalam kebaikan sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu)...". Bagaimanapun DR. Yusof al-Qaradawi menjelaskan pula bahawa umat Islam tidak boleh bersekongkol dalam upacara yang melibatkan upacara keagamaan yang khusus untuk orang kristian.

b. Dr. Abdul Hayei Abd Shukur ( Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya) pula berpendapat bahawa merayakan hari kebesaran agama lain-lain kaum dengan cara mengikut serta berhari raya sesama mereka dengan merelakan kekufuran orang bukanIslam dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama mereka adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Sebaliknya jika merayakan hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan sesama manusia, maka ia adalah di luar daripada konteks meraikan akidah mereka atau merelakan agama mereka

3. Pandangan Yang Mengharamkan :

a. Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya 'Ahkam Ahl al-Zimmah' telah menyatakan bahawa haram memberi ucapan tahniah kepada orang bukan Islam yang menyambut perayaan mereka. Pada pandangan beliau perbuatan mengucapkan tahniah kepada syiar-syiar kafir secara khusus hukumnya adalah haram dengan kesepakatan para ulama. Ibn Qayyim memberikan perumpamaan ucapan tahniah seperti menyatakan " Selamat Hari Raya ke atas kamu" atau "Semoga bergembira dengan perayaan ini", atau seumpama dengannya adalah jelas haram hukumnya.

b. Abu al-Qasim Hibbatullah Bin al-Hussain Bin mansur al-Tabari pula berkata : " Tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka.

4. PANDANGAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Ugama Islam dalam muzakaranya kali ke-12 pada 21 - 22 Januari 1985 telah mengeluarkan fatwa bahawa :

" Pemimpin-pemimpin masyarakat sama ada di pihak atasan atau bawahan dan juga pihak-pihak berkuasa yang berkenaan adalah diminta supaya berhati-hati sebelum meluluskan permohonan untuk membina gereja, kuil, candi dan tokong serta hendaklah juga tidak menghadiri atau merasmikan upacara-upacara agama bagi kaum yang bukan Islam".

Sementara itu, dalam Muzakarah Fatwa kali ke-63 yang bersidang pada 18 Mei 2004 pula telah membincangkan masalah " Hukum orang Islam yang turut merayakan hari-hari kebesaran Agama Orang Bukan Islam". Walau bagaimanapun Muzakarah telah bersetuju agar keputusan ditangguhkan dan meminta Bahagian Penyelidikan JAKIM mengemukakan garis panduan.

Maka di dalam Muzakarah Fatwa kali ke-64, pada 14 April 2005 ; satu garis panduan telah diputuskan sebagai syarat yang mengharuskan umat Islam menyertai majlis perayaan orang bukan Islam. Garis panduan berkenaan adalah seperti berikut :

a. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam seperti adanya simbol-simbol agama (salib), memasang lilin, pokok krismas dan sebagainya- menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama berkenaan - meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh - memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam - tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

b. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti memakai pakaian berwarna merah macam santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama berkenaan - menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan - mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, poko krismas, kuil atau memecah kelapa - mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

c. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di Malaysia - yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan ahli Sunnah wal jamaah.

d. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

KESIMPULAN : Jika dilihat secara tersirat, Muzakarah Fatwa Kebangsaan bersetuju membenarkan orang Islam menghadiri perayaan hari kebesaran agama lain tetapi mestilah berhati-hati dan mendapat nasihat para alim ulama sekiranya terdapat perkara-perkara yang meragukan sebelum hadir ke majlis tersebut.

Tuesday, 9 December 2008

RINTIHAN PENDUDUK DI BUKIT ANTARABANGSA


[Banglow+2.jpg]

1. Kejadian tanah runtuh di Taman Mewah, Bukit Antarabangsa Sabtu lalu (6 hb Disember 2008) telah mengundang berbagai persoalan dan juga rintihan di kalangan penduduk yang telah lama menghuni dan memiliki rumah sendiri di kawasan berkenaan.

2. Persoalan pertama, wajahkah pihak Polis mengeluarkan arahan kepada penduduk di sekitar berkenaan yang berjumlah hampir 5000 orang untuk berpindah serta merta. Tragedi tanah runtuh yang terlibat hanya membabitkan kediaman rumah banglo sekitar 20 buah rumah. Dan jika diambil kira daripada faktor struktur tanah yang memungkinkan berlakunya lagi tanah runtuh, kemungkinan melibatkan hampir 100 buah rumah kediaman di sekitar tragedi berkenaan.

3. Pihak manakah yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan arahan kepada penduduk untuk berpindah serta merta. Adakah pihak Polis, pihak Majlis Perbandaran (MPAJ) ataupun Kerajaan Negeri Selangor. Kalau semua penduduk mengambil keputusan untuk berpindah atas nasihat polis, maka siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap ganti rugi kemusnahan harta benda mereka..? Kalau polis dah sahkan bahawa kawasan itu tidak selamat untuk didiami, apakah jaminan daripada pihak kerajaan negeri kepada para penghuni kediaman sendiri yang terpaksa meninggalkan tanah serta rumah mereka yang telah dibeli secara sah melalui Pemaju dan diluluskan oleh kerajaan negeri selangor selama ini.

4. Saya sempat membantu para penduduk di sana pada hari Sabtu yang lalu. Terdapat salah seorang penduduk yang berkata bahawa kami sedia berpindah, tetapi nak pindah ke mana. Kalau orang yang meneroka tanah haram (setinggan) di tanah kerajaan, apabila diarah berpindah maka kerajaan akan memberi pampasan sebanyak RM 7,000 dan akan menyediakan lot tanah ataupun rumah yang baru kepada setinggan ini. Bagaimana nasib kami yang terang-terang menjadi pemilik hakiki (sah) kepada rumah serta tanah yang didiami di Bkt Antabangsa ini. Boleh kah kerajaan negeri selangor memberi tanah lot baru di negeri selangor sebagai ganti kepada tanah dan rumah yang terpaksa kami tinggalkan. Tak kan kami nak tinggalkan begitu saja.

5. Cuba lihat semula Apartment Highland Tower yang tumbang pada tahun 1993 yang lalu, iaitu genap 15 tahun dahulu. Pihak MPAJ , JKR dan IKRAM telah membuat kajian struktur tanah dua buah Blok berkenaan yang belum tumbang. Mereka melaporkan bahawa kedua-dua blok Apartment H.Tower yang tinggal itu tidak selamat lagi untuk diduduki dan boleh tumbang pada bila-bila masa. Terpaksalah penghuni kedua-dua blok berkenaan mengosongkannya. SAampai sekarang, kedua-dua blok berkenaan masih tegap dan berdiri teguh. Tak pulak runtuh-runtuh. Akhirnya, jadi sarang penagih dadah dan jadi pusat hiburan liar dan maksiat pada malam minggu. Cuba tak pindah dulu, sampai sekarang penghuni kedua-dua blok berkenaan masih selamat. Kalau dah tak selamat, sepatutnya pijhak MPAJ mesti merobohkan kedua-dua blok bangunan tersebut. Sampai sekarangpun tak buat apa-apapun pada bangunan berkenaan.

6. Yang ini pulak, nak arahkan ke semua hampir 5000 penduduk di Bukit Antarabangsa untuk mengosong serta meninggalkan rumah kediaman mereka. Katanya, pihak polis akan mengawal keselamatan harta benda penduduk. Hai..! sampai bila pihak polis sanggup tunggu dan berkawal di sana untuk menjaga harta benda penduduk. Lepas tu, polispun meninggalkan kawasan berkenaan, akhirnya ke semua kawasan rumah yang tinggal itu akan jadi sarang penagih dadah, tempat ular bersarang dan mungkin tempat pendatang tanpa izin untuk bersembunyi ataupun mungkin jadi macam-macam tempat lagi yang tidak kita ingini.

7. Itu pasal para penduduk di Bukit Antarabangsa yang berjumlah hampir 5000 orang ni naik berang bila diarahkan berpindah, walaupun kawasan mereka tidak terlibat dengan tragedi tanah runtuh berkenaan. Tak boleh ke cari jalan bagaimana nak membuat tembok penghalang ataupun cerucuk bagi menguatkan struktur tanah yang berisiko tinggi untuk runtuh..? Datin Siti Nurhaliza dan Datuk K pun duduk di kawasan berkenaan. Nyayalah kak siti yang terpaksa meninggalkan rumah banglo mewahnya nanti.

8. Apapun, saya berharap agar pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri dapat mencari jalan penyelesaian secepat mungkin sama ada nak arahkan penduduk berpindah ataupun sebaliknya. Kalau berpindah, apa bantuan dan juga pampasan yang boleh diberi oleh kerajaan pusat dan negeri kepada mereka yan terlibat..?

Thursday, 4 December 2008

LEBIH 20 KALIMAH ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN - KHAS BUAT MR. KOLUMPO






kaaba004.jpg

Assalamualaikum..! Allahu Akbar..Allahu Akbar...Allahu Akbar.. Walillahiil hamd. Sempena dengan Musim Haji pada tahun ini, saya dan seisi keluarga ingin mengucapkan selamat Idul Adha ( Hari Raya Haji ) kepada sekalian umat Islam, khasnya kepada rakan-rakan Bloggers dan para pembaca setia blog saya. Semoga apa yang kita korbankan selama ini dari segi tenaga, masa, buah fikiran, harta benda dan wang ringgit untuk diri kita, keluarga, masyarakat, agama dan negara tercinta akan diredhai oleh Allah s.w.t. Dengan ibadah wukuf di Padang Arafah di musim haji ini akan memberi keinsafan serta kepengajaran kepada seluruh umat Islam di negara ini betapa pentingnya kita bersatu dan berpadu demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

KALIMAH ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Sebelum ini saya telah menulis satu rencana bertajuk “ Terdapat 54 Kalimah Melayu dalam Perlembagaan”. Ekoran daripada tulisan saya tersebut, maka seorang sahabat Blogger saya yang bernama pena Mr Kolumpo telah bertanyakan kepada saya tentang adakah kalimah “ISLAM” dalam Perlembagaan..! Beliau menyatakan satu lagi persoalan bahawa siapakah yang telah menggubal Perlembagaan Malaysia..?

Bagi menjawab persoalan daripada MR KOLUMPO dan juga mungkin maklumat ini juga berguna kepada para pembaca blog sekelian, maka di sini saya senaraikan lebih daripada 20 kalimah “ISLAM” yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia. Saya senaraikan satu persatu mengikut fasal-fasal yang berkenaan. Renung-renungkanlah..!

KALIMAH ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

1. PERKARA 3(1) : Ugama bagi Persekutuan

Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.

2. PERKARA 3 (2) : “ Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu..”

3. PERKARA 3 (2) : sambungan - “…dan juga tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat..”

4. PERKARA 3 (2), sambungan – “..tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang di Pertuan Agong mewakilinya.”

5. PERKARA 3 (3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada yang di Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.”

6. PERKARA 3 (5): “ Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, yang di Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan..”

7. PERKARA 3 (5), sambungan – “… dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal ehwal ugama Islam…”

8. PERKARA 3 (5) , sambungan – ”...dan bagi menubuhkan suatu majlis untuk menasihatkan Yang di Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.”

9. PERKARA 11(4) : Kebebasan ugama. ” Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan antara orang-orang yang menganuti ugama Islam ”.

10. PERKARA 12 (2): Hak-hak Berkenaan dengan pelajaran, ”...tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam..”

11. Perkara 12 (2) , sambungan – ”...atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam ugama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlu bagi maksud itu.”

12. PERKARA 34 (1) : ” Yang di Pertuan Agong tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya sebagai Raja Negerinya kecuali tugas-tugasnya sebagai Ketua Ugama Islam.”

13. PERKARA 42 (10) : ”Walau apapun yang tersebut dalam Perkara ini, kuasa bagi mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman atau meremit, menggantung atau mengurangkan hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang yang mengawal hal ehwal ugama Islam di Negeri atau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan hendaklah dijalankan oleh Yang di Pertuan Agong sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu”.

14. PERKARA 96 (3) : ” Jika mengikut undang-undang negeri atau mengenai wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, mengikut undang-undang Persekutuan apa-apa zakat, Fitrah, BaitulMal atau hasil agama Islam, yang seumpamanya adalah didapatkan, maka hasil itu hendaklah dibayar masuk ke dalam suatu kumpulanwang yang berasingan dan tidak boleh dikeluarkan kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri atau undang-undang persekutuan, mengikut mana yang berkenaan.”

15. PERKARA 145 (3): ”Peguam Negara adalah mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budibicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa perbicaraan mengenai sesuatu kesalahan, lain daripada pembicaraan di hadapan mahkamah syariah, mahkamah bumiputra atau mahkamah tentera.”

16. PERKARA 160 (Tafsiran) : ” Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu..”

17. JADUAL KEEMPAT (Sumpah Jawatan Yang di Pertuan Agong):

Imej:Yang di-pertuan agong ke-13.PNG

” Kami......ibni....Yang di Pertuan Agong bagi malaysia bersumpah dengan melafazkan: Wallahi; Wabillahi; Watallahi; maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia... Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Ugama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri. ”

18. JADUAL KELAPAN (Peruntukan Tetap : Raja bertindak atas nasihat) (2): Raja boleh bertindak menurut budibicaranya pada menjalankan tugas-tugas yang berikut (selain daripada tugas-tugas yang pada menjalankannya ia boleh bertindak menurut budibicaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu : (d) ” apa-apa tugas sebagai Ketua Ugama Islam atau mengenai adat istiadat Melayu ”.

19. JADUAL KESEMBILAN (4),(e), (ii) : ”Perkara-perkara yang tersebut dalam perenggan (i) tidak termasuk undang-undang diri orang Islam berhubung dengan perkahwinan, perceraian, penjagaan anak, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, undang-undang keluarga, pemberian atau pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat.”

20. JADUAL KESEMBILAN – SENARAI 2; SENARAI NEGERI: (1) ” Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut ugama Islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; wakaf Islam dan ta’arif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat ugama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian ugama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat, dan yayasan khairat yang dijalankan, ke semuanya sekali dalam Negeri; adat isti’adat Melayu: zakat fitrah dan BaitulMal atau hasil ugama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutua; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah syariah, yang akan mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut ugama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut ugama Islam; menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan ’adat isti’adat Melayu ”

21. JADUAL KESEPULUH- BAHAGIAN 3 (Sumber-Sumber Hasil Yang diserahkan Kepada Negeri ) : (13) ” Zakat, Fitrah dan BaitulMal dan hasil ugama Islam yang seumpamanya”.

KESIMPULAN : Pada pendapat saya, peruntukan-peruntukan berkenaan dengan ugama Islam serta hal-hal yang berkaitan dengan hukum-hukum syarak yang termaktub peruntukannya dalam Perlembagaan Malaysia cukup banyak ; yang inipun kita tak mampu nak melaksanakannya. Buatlah mengikut keutamaan dan juga mengikut kemampuan. Janganlah ada di kalangan kita yang hanya semangat saja yang lebih, tetapi dari segi penghayatan dan perlaksanaannya macam 'ketuk tin kosong'.