Translate

Sunday, 23 August 2009

TAZKIRAH RAMADHAN HARI KE-2 : KENALI IBLIS (BHG 2)

1. Bagaimana dengan pengalaman anda mengharungi hari pertama ramadhan pada hari semalam. Sempat ke bersolat tarawikh malam tadi. Saya yakin bahawa kebanyakannya dapat melalui hari pertama ramadhan dengan penuh keinsafan dan kebanyakan surau dan masjid penuh sesak dengan jemaah. Ini menandakan bahawa iblis dan syaitan telah berjaya kita kekang dan ikatnya dengan kemas.

2. Namun begitu, ramai yang bersemangat berbuka puasa, kemudian solat tarawikh dan seterusnya bangun tengah malam untuk bersahur tetapi akhirnya kecundang dengan Iblis apabila berhadapan dengan panggilan Ilahi di waktu Subuh. Waktu Subuh ni nampaknya amat ramai yang kecundang dan Iblis berpeluang mempengaruhi kita. Ini kerana Iblis dan syaitan akan mengikat dan menyelimutkan manusia dengan sekemas-kemasnya ketika manusia tidur. Iblis akan mengikat manusia dengan 3 tali ikatan. Inilah antara sebab yang menyebabkan manusia rasa malas dan letih untuk bangun pagi bersolat subuh. Memang Iblis suka kita untuk bangun sahur dan dia tak akan ganggu kita ketika sahur. Ini kerana Iblis mencari peluang untuk makan bersama-sama orang yang tidak membaca 'Bismillah'. Dengan makan sahur bersama orang yang tidak membaca bismillah ini, Iblispun dapat mengalas perutnya pada siang hari untuk mengganggu manusia yang berpuasa daripada jauh dan secara bisikan. Sebab itu kita rasa begitu ringan badan dan tulang sera bersemangat bangun sahur. Tapi, berapa ramai di kalangan kita yang ambil kesempatan untuk berwuduk dan tunaikan solat tahajjud semasa bangun sahur ni. Di sinilah terletaknya kelemahan kita kerana lebih mengejar makanan jasad (makan sahur) daripada mendahulukan makanan ruh (solat tahajud).

3. Sebagai panduan kepada kita yang berpuasa di bulan Ramadhan ni supaya mudah untuk bangun solat Subuh, maka di sini saya perturunkan beberapa garis panduan dan juga petua bagaimana nak menghalang hasutan Iblis di subuh hari. Sebelum tidur hendaklah kita berwuduk terlebih dahulu dan kalau ada masa bacalah Surah Al-Mulk. Semasa di tempat tidur, angkat tangan seperti berdoa dan baca al-fatihah, ayat kursi dan 3 Kul (Kul huwallah, Kul A'uzubirabil Falaq dan Kul a'uzubirabbinnas ), kemudian tiup pada tangan dan gosoklah ke seluruh anggota tubuh agar Iblis dan syaitan tak ganggu kita.

4. Harus diingat bahawa Iblis masih berpeluang mengikat tubuh badan kita dengan 3 simpulan ikatan semasa kita tidur. UNtuk mebuka 3 tali ikatan yang telah disimpulkan oleh Syaitan ini ketika tersedar di waktu subuh - maka bacalah 'Bismillah' dan ucaplah 'alhamdulillah'. Insya Allah tali ikatan pertama akan terbuka. Untuk membuka tali ikatan kedua, maka kita kena berwudhuk dan seterusnya untuk membuka tali ikatan ketiga maka kita kena tunaikan solat subuh. Dengan cara ini sahaja ikatan tali yang diikat oleh Iblis pada tubuh badan kita dapat dibuka dan diuraikan.

5. Itulah sebabnya mereka yang liat untuk bangun subuh adalah terdiri dari kalangan mereka yang telah diikat kemas oleh Iblis dan Syaitan. Bagaimana kita nak menentang nafsu syahwat di siang hari bulan Ramadhan jika sejak awal-awal lagi kita sudah dikuasai oleh Iblis diwaktu subuh. Semoga tuan/puan dapat mengamalkan petua dan panduan ini.

SUMBER RUJUKAN : MENGENALI MAKHLUK ALLAH BERGELAR JIN - Tulisan Ustaz Dato' HJ Ismail Kamus, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd, cetakan Pertama 2006.

No comments: