Translate

Friday, 7 November 2008

HAWA NAFSU DAN KESAN BURUKNYA

TAZKIRAH JUMAAT UNTUK DIRI SAYA DAN SIDANG PEMBACA..!

1. Jika dicari asal makna 'hawa' dalam bahawa Arab maka ia merujuk kepada pengertian 'suka' ataupun 'cinta'. Menurut ahli bahasa, 'hawa' ialah kesukaan manusia kepada sesuatu yang dapat menggembirakan serta memenangkan hatinya. Sedangkan 'nafsu' ianya merupakan suatu dorongan dalaman yang menjadi fitrah jiwa manusia untuk mencapai pelbagai jenis keinginan dan keseronokan di dalam kehidupannya.

2. Firman Allah s.w.t, bermaksud :
" Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini; iaitu kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)."
( Surah Ali Imran : Ayat 14 )

3. Hikmah Allah menciptakan nafsu keinginan dalam diri manusia ialah dengan tujuan untuk mendorong manusia mendapatkan apa juga perkara yang menjadi kemaslahatan dirinya atau kesinambungan zuriatnya. Keadaan nafsu yang menginginkan pelbagai perkara ini bukanlah satu kesalahan. Yang dicela dan salah ialah jika seseorang itu berusaha untuk mendapatkan keinginannya menerusi jalan yang tidak disyariatkan, atau menyebabkannya berpaling daripada mentaati perintah Allah s.w.t.

4. Imam al-Ghazali rahimahullah pernah berkata: " Sesungguhnya hawa nafsu ialah suatu bentuk keinginan yang tidak terpuji. Adapun keinginan yang terpuji adalah datangnya daripada panduan Allah s.w.t, yakni kekuatan ataupun dorongan yang menyebabkan manusia mahu menggerakkan dirinya untuk mendapat sesuatu perkara yang bermanfaat, sama ada untuk dirinya, keturunannya ataupun kedua-duanya sekali".

5. Rasulullah s.a.w menerusi hadisnya telah mengkategorikan kehendak hawa nafsu yang buruk ini kepada salah satu daripada tiga perkara yang membinasakan seseorang, iaitu :

" Ada Tiga perkara yang membinasakan, iaitu bakhil yang dituruti, hawa nafsu yang dituruti, dan kekaguman seseorang kepada dirinya. Dan ada tiga perkara pula yang membebaskan: takut kepada Allah dalam keadaan bersunyi-sunyi atau terang-terangan, berniat untuk menjadi fakir dan kaya, dan kalimat yang benar bagi orang yang marah atau suka".
( Riwayat Baihaqi )

6. Menerusi hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga sifat mazmumah (tercela) yang mesti kita singkirkan dalam diri kita dan terdapat tiga pula sifat mahmudah (terpuji ) yang mesti menjadi pakaian dan juga amalan dalam kehidupan kita. Ketiga-tiga sifat mazmumah yang tercela itu ialah sifat bakhil yang melampaui batas, terlalu menuruti tuntutan hawa nafsu sehingga menjadikan nafsu sebagai Tuhan dalam segala tindak tanduk kita, dan terlalu kagum ('ujub ) dengan kehebatan dan juga pangkat darejat yang ada pada diri kita sehingga sampai ke tahap bongkak dan takabbur seperti Iblis.

7. Di samping itu, Rasulullah s.a.w di dalam hadis di atas telah memberi panduan kepada kita agar menghiasi diri kita dengan tiga sifat terpuji seperti berikut: iaitu takut untuk melakukan kemungkaran dan taat melaksanakan perintah Allah sama ada di hadapan manusia ataupun ketika bersendirian, bersifat 'qana'ah ataupun berpada dengan apa sahaja pemberian Allah dan berazam untuk menjadi senang dan kaya demi untuk berbakti kepada agama Allah, dan seterusnya menyampaikan nasihat serta pandangan yang baik dan benar samada pihak yang menerimanya suka ataupun tidak suka dengan nasihat yang diberi. Inilah tiga prinsip yang boleh menyelamatkan diri kita daripada keburukan hawa nafsu di dunia ini.

8 Khalifah yang terkenal adil, Umar bin Abdul Aziz berkata : " Janganlah menjadi pengikut kebenaran hanya apabila sesuai dengan selera hawa nafsumu dan menentang kebenaran jika ia tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsumu, kerana engkau tidak akan mendapat pahala dari melakukan kebenaran dengan cara seperti itu; sedangkan engkau tetap diseksa (berdosa) dengan menentangnya kerana kedua-duanya dianggap sebagai amal yang mengikut kehendak hawa nafsu".

9. Justeru, untuk mengelakkan hawa nafsu kita daripada bersekongkol dengan Iblis dan Syaitan ke arah menjerumuskan diri kita ke lembah kebinasaan dan keburukan, maka kita perlu menerima tunjuk ajar dan juga nasihat oleh diri kita sendiri menerusi 'HATI" dan "TELINGA" yang Allah anugerahkan kepada setiap insan di dunia ini. Hati inilah yang sepatutnya menjadi raja dan juga Penasihat kepada diri kita dan TELINGA untuk menyaring segala maklumat yang kita terima bagi menangkis segala bisikan jahat hawa nafsu dan memberi pedoman kepada kita untuk menuruti akal dan keimanan kita berpandukan kepada wahyu Ilahi. Firman Allah s.w.t, bermaksud :

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai HATI yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai TELINGA yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada".
( Surah al-Haj : Ayat 46 )

SEMOGA SAYA DAN SIDANG PEMBACA SEKELIAN TERMASUK DALAM GOLONGAN HAMBA-HAMBA ALLAH YANG MEMILIKI HATI YANG TIDAK BUTA TERHADAP TAUFIQ DAN HIDAYAH ALLAH S.W.T.

2 comments:

putrarahman said...

Assalamualaikum Ustaz, minta komen sikit.

Kebelakang ini kita dapati bahawa, pelbagai pihak terutama pemimpin-pemimpin politik samada dari Pembangkang ataupun dari kalangan parti pemerintah samada Melayu dan Bukan Melayu telah berani menyentuh berkenaan hak istimewa orang Melayu. Walaupun UMNO pada dasarnya merupakan parti yang berjaya untuk memastikan hak keistemewaan orang Melayu dicatat dalam Perlembagaan, tetapi disebabkan agenda tertentu para pemimpinnya kebelakang ini, sedikit demi sedikit hak-hak istemewa ini terhakis. Bermula dengan Bahasa Melayu, diikuti dengan istitusi Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Biasiswa, Meritokrasi, DEB, hak istemewa orang melayu ini dinafikan. Malah ada pemimpin Melayu yang berani menyatakan bahawa hak istemewa orang Melayu ini menjadi punca kemajuan dan kejayaan orang Melayu. Jika perkara ini tidak diambil satu langkah pencegahan, dikhuatiri hak istemewa orang melayu hanyalah dicatat dalam lipatan sejarah tanahair sahaja.

Bagi memastikan hak-hak orang Melayu ini terus terpelihara dan dipertahankan, maka satu langkah yang bijaksana perlu dilakukan oleh mereka yang berada diluar parti politik. Penubuhan satu Suruhanjaya khusus yang fungsinya untuk menjaga hak-hak Istemewa orang melayu ini difikirkan satu langkah tepat sebelum terlambat. Suruhanjaya yang dihubungkan secara langsung dengan Institusi Raja-Raja Melayu hendaklah memainkan peranan untuk memantau segala yang menyentuh hak istemewa orang Melayu termasuk dasar-dasar diwujudkan oleh kerajaan, peraturan-peraturan dan langkah-langkah yang diambil oleh sesiapa sahaja di Negara ini. Jika didapati ada yang menyentuh berkaitan hak istemewa orang Melayu seperti Dasar penggunaan Bahasa Inggeris dalam bidang-bidang akademik, penggunaan papantanda, dan lain-lainnya, suruhanjaya yang ditubuhkan itu hendaklah memainkan peranan untuk mengkaji dan mencadangkan suatu tindakan kepada Raja-raja Melayu.

Mungkin ada pihak yang mempersoalkan kenapa perlunya penubuhan Suruhanjaya ini sedang diketika yang sama telah banyak pertubuhan-pertubuhan yang membela nasib orang melayu termasuk UMNO yang kononnya menjadi pembela utama orang Melayu. Memang tidak dinafikan, telah banyak pertubuhan-pertubuhan yang digambarkan menjadi pembela hak istemewa orang Melayu, akan tetapi kebanyakan daripadanya adalah badan-badan yang mana dilihat tidak berupaya untuk menghalang pemimpin-pemimpin Melayu dan pemimpin bukan Melayu dari terus menggunakan hak istemewa orang Melayu untuk kepentingan politik mereka. Dalam pada itu, para ahli-ahli akademik hanya memberikan pandangan-pandangan mereka hanya apabila mereka merasakan perlu untuk berbuat demikian ataupun setelah sesuatu dasar itu telah dilaksanakan. Itu hanya dikalangan mereka yang berani dan berasa bertaqnggungjawab untuk bersuara. Jika dirasakan tidak perlu , mereka hanya membincangkannya dalam ruang lingkup mereka sahaja.

Diharapkan apabila tertubuhnya satu Suruhanjaya yang khusus menjaga kepentingan hak istemewa orang Melayu ini, maka tidak tanduk pemimpin-pemimpin politik dan badan-badan NGO dapat dipantau oleh satu badan bebas. Mereka yang mengangotai Suruhanjaya ini hendaklah terdiri daripada mereka yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam politik dan yang penting keputusan-keputusan yang diambil oleh mereka hendaklah jangan dipolitikkan.

Saya percaya, jika ada satu suruhanjaya yang menjaga kepentingan dan hak istimewa orang Melayu yang digariskan dalam Perlembagaan, maka tidak ada pihak-pihak dengan sewenang-wenangnya memperkotak-katik Hak-Hak Orang Melayu tanpa dikenakan sebarang tindakan yang wajar mengikut Akta-Akta yang tertentu.

SHAMSUDDIN MONER EL-ASKAREY said...

Assalamualaikum.. Saudara Putrarahman. Terma kasih atas pandangan yang panjang lebar daripada saudara. Syabas di atas keprihatinan dan kebimbangan saudara di atas masa depan hak dan ketuanan melayu di masa depan.

Pada pandangan saya cadangan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Melayu bagi mempertahankan hak dan ketuanan melayu tidak perlu buat masa ini. Ini kerana Perkara 153 (1) Perlembagaan Malaysia telah memperuntukkan seperti berikut :

" Adalah menjadi tanggungjawab Yang DiPertuan Agung memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Peruntukan Perkara ini "

Manakala Yang DiPertuan Agung pula akan bertindak menjaga kepentingan umat Melayu dan Islam di negara ini menerusi Majlis Raja-Raja melayu yang diberi kuasa menurut Perkara 38, Perlembagaan malaysia. Ini bermakna bahawa institusi majlis Raja-Raja Melayu ini sudah cukup kuat dan ampuh untuk melaksanakan peranan yang berkesan bagi menjaga kepentingan Islam dan hak-hak Melayu di negara ini.

Cuma para pemimpin UMNO sahaja yang tidak memainkan peranan selama ini secara efektif dan bersungguh-sungguh bagi menasihatkan Majlis Raja-Raja Melayu serta Yang DiPertuan Agung untuk mempertahankan sebarang perlanggaran terhadap hak serta keistimewaan umat Melaytu di Negara ini. Para pemimpin UMNO akan bertindak hanya apabila kuasa politik mereka terancam ataupun melibatkan kepentingan peribadi.