Translate

Saturday, 19 July 2008

Karakteristik dan Keunggulan Syariat Islam

KARAKTERISTIK

DAN KEUNGGULAN SYARIAT ISLAM

Pendahuluan

Peristiwa pengeboman di London pada 7 Julai 2005, terus-terusan memberikan ‘nilai muka’ kepada dunia Barat moden dalam pandangan mereka terhadap Islam dan umatnya. Selepas Amerika, kini England selain Perancis dan Jerman tersentak dengan ’Islam’. Selepas suatu tempoh kefahaman Islam atau lebih tepatnya salah faham terhadap Islam yang didominasi oleh kerangka orientalisme. Terkini, tidak ada suatu istilah lain yang lebih tepat menggambarkan Islam di Barat selain’terrorist’. Akibatnya, ’Islamiphobia’ bertambah meluas dalam konsepsi dunia Barat moden terhadap Islam. 7

Peristiwa global tersebut, selain faktor-faktor dalaman mendorong umat Islam kembali mempersoalkan identiti jati diri dan imej tersendiri. Malaysia turut tidak terlepas daripada perhatian umum dunia. Selama ini gerakan kefahaman masyarakat Islam telah berjaya mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara sekular ketika dimerdekakan kepada status sebuah negara Islam yang terisytihar dan dijadikan contoh. Walaupun ini dianggap hanya suatu tafsiran, tetapi tidak dapat dinafikan peranan dan desakan suatu aliran pemikiran Islam, yang digelar oleh dunia Barat moden sebagai Islam Politik dalam menjayakan keadaan ini.

Di Malaysia, Pendekatan Islam Hadhari diangkat sebagai wajah Islam yang baru, yang ’moderate’ dan diperjuangkan pula oleh golongan berpendidikan asas Islam, yang sedar pula tentang keagungan Islam. Ianya adalah merupakan suatu polisi awam yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi untuk memajukan negara dan ummah berdasarkan nilai-nilai ajaran Islam. Sebelum kita membicarakan serta menghuraikan tentang apa itu ’Islam Hadhari’, maka di sini penulis akan membentangkan terlebih dahulu tentang asas dan ciri-ciri (karakteristik) Islam itu. Tanpa memahami terlebih dahulu tentang karakteristik Islam dalam perbincangan ini, maka kefahaman kita terhadap konsep Islam Hadhari akan terpesong dan meragukan.

Keunggulan Syariat Islam

Di antara ciri-ciri khusus ajaran Islam yang unggul dan memiliki karakteristiknya tersendiri untuk dijadikan sebagai asas perbincangan kita di dalam bab ini adalah seperti berikut : 8

  1. Rabbaniyah ( Ketuhanan ).

ii. Insaniah ( Kemanusiaan ).

iii. Syumul ( Universal ).

iv. Al-Wasthiyyah ( Keseimbangan ).

v. Al-Waqi’iyyah ( Kontekstual ).

vi. Al-Wudhuh ( Jelas ).

vii. Keseimbangan antara Tathawwur (Transformasi) dan Tsabat (konsistensi), iaitu ’fleksibeliti’.

Huraian lanjut mengenai ketujuh-tujuh Karakteristik Islam yang dinyatakan di atas akan dikupas satu persatu bagi memudahkan kita untuk memahami ruh dan intipati sebenar ajaran Islam itu sendiri agar ianya dapat mengharmonikan semula pandangan negatif dunia Barat terhadap ajaran Islam. Ianya juga dapat memberi petunjuk dan petanda aras kepada dunai Barat tentang perbedaan antara ajaran suci Islam dan tabiat buruk masyarakat Islam. Yang buruk dan negatif itu bukannya ajaran Islam, tetapi kefahaman dan perilaku penganutnya.

1. Rabbaniyah ( Ketuhanan ).

Rabbaniyah ( ketuhanan ) ini meliputi dua kriteria utama iaitu pertamanya rabbaniyyah dari sudut tujuan dan matlamat dan keduanya rabbaniyyah dari sudut manhaj ataupun sistem kehidupan.

a. Rabbaniyyah dari Sudut Tujuan dan Matlamat. Ianya bermaksud bahawa Islam itu menjadikan tujuan akhir dan sasaran hidup manusia di dunia ini dalam konteks menjaga hubungan dengan Allah ( pencipta ) secara baik untuk mendapatkan keredhaan-Nya semata-mata .

Tidak dapat dimungkiri bahawa Islam itu mempunyai tujuan-tujuan dan sasaran-sasaran lain yang bersifat ’social humanity’ (kemanusiaan) dan sosial kemasyarakatan , namum sasaran dan matlamat pokok yang lebih utama ialah untuk mendapatkan ’mardhatillah’(mengharap keridhaan Allah) dan pahala (balasan ) baik dari Allah s.w.t. demi untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Kenyataan ini dipertegaskan oleh Allah melalui firman-Nya :

ما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون (56) ما أريد منهم من رزق وما أريد أن يطعمون (57( إن الله هوالرزاق ذوالقوة المتين (58)

Bermaksud : ”Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dia-lah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan yang sangat kukuh ”. 9

Jadi, manusia itu tidak diciptakan untuk memperturutkan kemahuan sesuka hatinya di dunia ini tanpa ada pertanggungjawaban kepada penciptanya, iaitu Allah s.w.t.

b. Rabbaniyyah dari Sudut Manhaj dan Sistem Kehidupan. Ianya bermaksud bahawa setiap sistem dan juga peraturan hidup manusia di dunia ini mestilah tunduk dan juga mengikut sistem aturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t menerusi sumber wahyu-Nya ( Al-Quran ) dan menerusi pesuruh-Nya Nabi Muhammad s.a.w. ( as-Sunnah ). Ianya terkandung dalam firman Allah s.w.t. :

يأيها الناس قد جاءكم برهان من ربكم وأنزلنا إليكم نورا مبينا (174)

Bermaksud : ”Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Rabbmu (Muhammad dan Mukjizatnya) dan telah Kami turunkan kepadamu nur (cahaya) yang terang benderang (al-Quran )”. 10

Sesungguhnya Islam adalah manhaj Rabbani murni yang secara totalnya tiada sebarang kekurangan dan kecelaan, baik dari segi akidah, ibadah, akhlak serta segala sistem peraturan hidup di dunia ini. Sebab itulah Islam itu difahami secara praktikalnya sebagai ‘ad-deen’ (suatu cara hidup ) ataupun ‘nizamul hayat’. Syari’at Islam datang untuk mengatur kehidupan individu, keluarha, masyarakat dan Negara. Ini adalah keistimewaan pertama yang dimiliki syarikat Islam yang tidak dimiliki oleh syariat-syariat lain baik dulu maupun sekarang, tidak di Barat maupun di Timur, liberalisme atau sosialisme. Syariat Islam yang terkandung dalam konsep manhaj Rabbaniyah ini adalah syariat tunggal di dunia yang asasnya adalah wahyu Allah yang terpelihara dari kesilapan dan juga ketidakadilan, seperti firman-Nya :


وتمت كلمت ربك صدقا وعدلا لا مبدل لكلماته وهو السميع العليم (115)

Bermaksud : “Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil, tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui”. 11

Oleh kerana itu, menerusi manhaj Rabbaniyyah ini dalam prinsip Islam ditetapkan bahawa satu-satunya yang menetapkan serta menentukan syariat (al-musyarri ) di dunia ini adalah Allah s.w.t. Sebab itulah Allah selaku pencipta berhak memerintah, melarang, menghalalkan, mengharamkan, memberikan kewajiban ; dalam kapasiti-Nya sebagai Rabb dan Ilah yang menguasai makhluk-Nya. Dia adalah Rabb, Raja dan Ilah manusia. Bagi-Nya segala penciptaan dan semua perkara serta semua kuasa kerajaan. Bagi-Nya segala puji di dunia maupun akhirat, yang berhak memerintah, dan kepada-Nya semua makhluk akan dikembalikan.

Selain-Nya, tidak seorangpun yang memiliki hak mutlak untuk membuat syariat, kecuali bila diizinkan Allah dalam hal yang tidak tertera dan terkandung di dalam nas-Nya (al-Quran ). Yang diberi hak dan izin oleh Allah untuk berbuat demikian hanyalah seorang mujtahid, mustambith (pengambil hukum) atau yang melakukan kompilasi hukum ; yang mana mereka bukan diberi hak sebagai pembuat dan menetapkan syariat. Peranannya hanyalah sebagai penjelas dan juga memberi petunjuk kepada maksud sebenar sesuatu hukum dan syariat.

2. Insaniyah ( Kemanusiaan ).

Islam itu memiliki keistimewaan kerana adanya falsafah dengan kecenderungan kemanusiaannya yang jelas, tetap dan ketelusan yang nyata dalam akidah, ibadah, syariat dan juga dalam peraturan-peraturan kehidupan harian manusia. Ianya memberi maksud bahawa Islam itu adalah agama yang berteraskan kepada kemanusiaan. Tegasnya, manusia itu tidak akan dapat menghayati dan berpegang kepada Karakteristik Islam yang pertama, iaitu Rabbaniyah tanpa mereka terlebih dahulu menjadi manusia yang benar-benar bersifat dengan kemanusiaan (insaniyah ).

Sebenarnya manusia itu adalah makhluk milik Allah yang diberi keistimewaan dan juga berbagai kehebatan oleh Allah s.w.t. berbanding dengan makhluk-makhluk lain yang dijadikan Allah di alam ini. Ianya diberikan oleh Allah dengan segala bakat (kreativiti ), kekuatan ruhiyah, aqliyah (intelektual) dan juga material. Sebab itulah Allah telah mempersiapkan manusia sejak Nabi Adam dijadikan-Nya untuk memikul tanggungjawab khilafah dan amanat taklif (tugas-tugas keagamaan) dengan suatu beban dan amanat yang berat di dunia ini, hingga al-Quran mengungkapkannya dengan sebuah gambaran menakjubkan seperti firman-Nya :


إنا عرضنا الأمانة على السماوات والارض والجبال فأبين أن يحملنها وأشفقن منها وحملها الإنسان إنه كان ظلوما جهولا (72)

Bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat (melaksanakan tugas-tugas keagamaan ) kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil”. 12

Hanya makhluk yang bernama manusia sahaja yang sanggup memikul amanat untuk memakmurkan bumi ini seperti yang dikehendaki oleh Allah berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Walaupun manusia itu disifatkan sebagai zalim dan jahil , tetapi sifat kemanusiaan yang ada dalam naluri manusia itu sendiri menjadikannya makhluk yang dimuliakan Allah di dunia ini untuk melaksanakan tugas khilafah.

Seiring dengan matlamat manusia itu hidup di dunia ini untuk mengabdikan diri kepada Allah ( hablun minallah), dalam masa yang sama manusia itu dipertanggungjawabkan untuk menjaga hubungan baik sesama manusia (hablun minannas). Ini bermakna bahawa konsep pengabdian diri kepada Tuhan (Rabbaniyyah) tidak akan sempurna tanpa adanya ciri-ciri kemanusiaan (insaniyah) dalam kehidupan manusia. Kenyataan ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t. :


ضربت عليهم الذلة أين ما ثقفوا إلا بحبل من الله وحبل من الناس

Bermaksud : “ Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia ..”13

Sebab itulah jika perhatikan kelima-lima Rukun Islam yang menjadi pegangan dan teras kepada keislaman seseorang muslim itu mencakupi perkara-perkara pokok yang bersangkutan dengan menjaga hubungan dengan Allah ( Rabbaniyyah ) dan juga menjaga hubungan dengan manusia (insaniyyah ) .

Rukun Islam yang pertama - mengucap Dua Kalimah Syahadat; ianya suatu tuntutan asasi yang bersangkutan dengan keimanan dan juga perkara pokok di dalam menentukan seseorang manusia itu tunduk dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Hal ini bersangkutan dengan Rabbaniyyah.

Rukun Islam yang kedua- menunaikan solat (sembahyang ) lima waktu sehari semalam ; juga menjuruskan kepada tugas manusia muslim di dunia ini agar sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah melalui ibadah khusus seperti yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Rukun Islam yang Ketiga dan keempat – berpuasa di bulan Ramadhan dan juga menunaikan zakat ; ianya menjurus pula kepada tanggungjawab manusia itu untuk prihatin kepada tanggungjawab sosialnya sesama manusia bagi melaksanakan tugas yang kedua iaitu menjaga hubungan baik sesama manusia. Dengan berpuasa, manusia yang hidup dalam serba kemewahan dan tidak pernah kelaparan akan insaf dan sedar betapa susahnya saudara mereka yang fakir dan miskin hidup dalam kemelaratan di merata penjuru alam ini. Begitu juga dengan ibadah zakat, manusia yang berkemampuan dan memiliki harta yang lebih dari keperluan biasa akan mengeluarkan sebahagian daripada wang dan hartanya sebagai zakat dan sedekah untuk membantu golongan fakir dan miskin. Ini semua merupakan satu tanggungjawab sosial yang memerlukan seseorang itu memiliki sifat kemanusiaan ( insaniyyah ). Jika tiada ciri-ciri insaniyyah ini dalam segala tindak tanduk kehidupan harian mereka, maka Allah mengumpamakan mereka itu sebagai pendusta agama. Firman Allah s.w.t :


أرءيت الذي يكذب بالدين (1) فذالك الذي يدع اليتيم (2) ولا يحض على طعام المسكين (3)

Bermaksud : “ Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama ?. Itulah orang yang mengherdik anak yatim. Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin”. 14

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah memerintahkan kepada hamba-Nya agar membelanjakan sebahagian daripada hartanya untuk membantu anak-anak yatim dan juga memberi makan kepada fakir miskin. Tanpa menunaikan tanggungjawab sosial ini maka Allah menempelak hamba-Nya yang hanya menumpukan ibadah ketuhanan semata-mata sebagai pendusta agama. Mereka tampak seperti tunduk dan patuh kepada perintah Allah dalam aspek Rabbaniyyah (melaksanakan tugas keagamaan seperti sembahyang, berpuasa dan menunaikan Haji di Mekah), tetapi dalam aspek Insaniyyah mereka kesampingkan seolah-olah ianya tiada hubungan langsung dengan ajaran Islam dan perintah Allah . Pendusta agama di sini juga memberi bermaksud bahawa ianya sama seorang yang munafiq.

Manakala Rukun Islam yang kelima pula, iaitu menunaikan Haji ke Baitullah ( Mekah ) merupakan satu manifestasi kepada pengabdian diri manusia itu kepada penciptanya ( Allah ) dan juga pengintegrasian antara menjaga hubungan dengan Allah dan juga menjaga hubungan sesama manusia. Di sanalah manusia itu akan insaf dan sedar bahawa perlunya kesatuan dan perpaduan sesama umat di dunia ini tidak kira sama ada mereka dari bangsa apa, dari negara mana, maupun dari fahaman mazhab serta fahaman politik. Semuanya adalah satu dan perlu dipertautkan. Kenyataan ini sama-sama dihayati oleh mereka yang berhimpun (wukuf ) di Padang Arafah ketika menunaikan Ibadah Haji.

Jelas kepada kita bahawa amalan-amalan yang dituntut oleh Allah menerusi ibadah-ibadah khusus seperti yang terkandung dalam Kelima-Lima Rukun Islam, merupakan gabungan antara tuntutan Rabbaniyyah dan Insaniyyah . Di sinilah terletaknya keindahan dan keistimewaan ajaran Islam itu yang mencakupi persoalan Rabbaniyyah (Ketuhanan) dan persoalan Insaniyyah ( Kemanusiaan ).

3. Syumul ( Universal ).

Islam adalah risalah untuk semua zaman dan generasi, bukan risalah yang terbatas oleh masa tertentu ataupun umat tertentu. Dengan berbagai dimensi dan jangkauan jauh terkandung di dalam ajarannya, syumul (universal) adalah termasuk karakteristik yang membedakan Islam dari segala sesuatu yang diketahui manusia dari agama-agama, filsafat-filsafat dan mashab-mashab (aliran-aliran). Kesyumulan Islam itu meliputi semua zaman, kehidupan dan eksistensi (keberadaan) manusia.

Tidak diragukan lagi bahawa Islam itu adalah risalah untuk masa akan datang dan juga ianya sebagai kesinambungan daripada risalah-risalah yang diturunkan oleh Allah kepada umat-umat yang terdahulu. Dasar-dasar akidah dan juga akhlak yang terkandung di dalam ajarannya adalah risalah setiap Nabi yang diutus oleh Allah dan juga risalah setiap Kitab Suci yang terkandung dalam ajaran Nabi-Nabi terdahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Islam juga adalah risalah yang syumul (universal), yang berbicara kepada seluruh ummat, suku kaum dan bangsa di dunia ini yang meliputi semua status sosial. Islam bukan risalah bagi bangsa tertentu yang mendakwa bahawa mereka sajalah merupakan bangsa yang dipilih Allah yang mana semua bangsa di dunia ini harus tunduk kepada kekuasaannya. Islam juga bukan risalah untuk daerah (wilayah) tertentu, bahkan ianya melewati batas sempadan geografi dan bahasa. Kenyataan ini terkandung dalam firman Allah s.w.t. :

وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين (107)

Bermaksud: ”Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam ” 15

Firman-Nya lagi :

قل يأيها النَاس إني سول الله إليكم جميعا...

Bermaksud : ” Katakanlah , hai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua ...” 16

Firman Allah s.w.t dalam ayat lain :

تبارك الذي نزَل الفرقان على عبده ليكون للعالمين نذيرا (1)

Bermaksud : ”Maha Suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hamba-Nya , agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam”17

Islam juga adalah risalah bagi manusia dalam ruang lingkup untuk menjadikan diri mereka sebagai insan yang kamil (sempurna). Ianya memberi perhatian terhadap pembangunan modal insan sama ada dari segi pembangunan kerohanian , emosi, mental dan jasmani. Keempat-empat elemen ini menjadi ciri-ciri kesyumulan ajaran Islam itu berbanding dengan agama-agama lain ciptaan manusia di dunia ini.

Menyentuh tentang sistem dan peraturan hidup pula, ajaran Islam itu meliputi ajaran-ajaran serta peraturan-peraturan hidup yang mencakupi persoalan-persoalan aqidah, syariah dan akhlak.

i. Aqidah. Ia merupakan persoalan yang menyentuh tentang hubungan manusia dengan Tuhan dari segi keimanan dan juga keyakinan kepada perkara-perkara ghaib, azab kubur, dosa pahala, hari pembalasan akhirat, syurga neraka dan juga segala perkara yang bersangkutan dengan ’as-sam’iyyat’.

ii. Syariah. Perkara-perkara yang berhubungkait dengan persoalan syariat pula adalah lambang dan syiar kepada keislaman seseorang manusia itu dengan amanaln-amalan zahirnya yang dibuktikan dalam amalan hidup hariannya yang melibatkan hubungan sesama manusia dan makhluk. Ianya meliputi perkara-perkara berikut :

· Ibadah – merangkumi ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat , haji dan amalan-amalan sunat yang menjadi pelengkap kepada ibadah-ibadah fardu berkenaan.

· Muamalat – merangkumi perkara-perkara kehidupan harian manusia seperti jual beli, hutang piutang, gadaian, pinjaman , perbankan dan sebagainya.

· Ahwal Syakhsiah – merangkumi persoalan kekeluargaan seperti pertunangan, perkahwinan, nafkah, perceraian/talak, iddah, hak penjagaan anak (hadhanah) , poligami , pembahagian harta pusaka dan sebagainya.

· Perundangan dan Kehakiman – merangkumi pelaksanaan undang-undang sivil dan syarak yang berkaitan dengan Jinayah (Hudud ,Qisas , Ta’zir). Termasuk juga persoalan mengenai pendakwaan, persaksian, pembelaan dan juga hukuman-hukuman.

· Pertahanan dan Keselamatan – merangkumi soal kewajipan jihad mempertahankan tanahair, hubungan diplomatik antarabangsa dan antara agama , persenjataan, ketenteraan dan sebagainya.

· Politik dan siasah – yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, pemilihan ketua negara , persoalan mengenai sistem syura dan juga tentang konsep perkongsian kuasa antara muslim dengan non muslim.

iii. Akhlak . Ianya berkaitan dengan sifat yang lahir dari dalam lubuk jiwa manusia itu secara fitrah dan naluri semulajadi. Seperti berakhlak dengan jujur, ikhlas, amanah, beradab sopan, budi pekerti , berbudaya luhur dan mengamalkan disiplin diri dengan nilai-nlai murni yang universal dalam kehidupan harian sama di hadapan manusia maupun di belakang pandangan manusia.

Inilah di antara ciri-ciri kesyumulan Islam itu yang mana aspek akidah, syariah dan akhlak saling berkait dan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Manusia tidak boleh memisahkan salah satu darinya kerana ketiga-tiga perkara pokok ini adalah tunjang kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

4. Al-Wasthiyyah ( Keseimbangan ).

Al-wasthiyyah atau dengan ungkapan lainnya, at-tawazun (keseimbangan) adalah merupakan keseimbangan di antara dua jalan atau dua arah yang saling berhadapan atau bertentangan, di mana salah satu daripada dua keadaan tadi tidak boleh menentukan arahnya sendiri tanpa mengambil kira faktor kecenderungan arah yang satu lagi. Contoh-contoh dua arah serta kehendak yang saling bertentangan adalah seperti:

· Ruhhiyah (spiritual) dengan maddiyah (material).

· Fardiyah (individu ) dengan jama’iyah (kolektif/kumpulan ).

· Waqi’iyah (kontekstual ) dengan mitsaliyyah

( idealisme ).

· Tsabat (konsisten ) dengan taghayyur (perubahan ).

Pengertian dari tawazun (keseimbangan) di antara kedua arah seperti dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan di atas adalah ianya saling memberi hak dan juga keperluan yang sepatutnya akan hak yang bertentangan tadi sehingga ianya dapat memenuhi tuntutan secara adil dan saksama tanpa berlakunya penyimpangan. Dalam erti kata lain, ianya suatu keseimbangan yang selamat dari kekurangan atau berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara di dalam melaksanakan syariat Islam.

Karakteristik dari sudut al-wasthiyyah ini diibaratkan juga sebagai batu sempadan bagi membezakan antara ajaran syariat Islam dengan ajaran agama-agama lain ciptaan manusia di dunia ini. Allah mengisyaratkan dalam firman-Nya :

وكذالك جعلناكم أمَة وسطا لَتكونوا شهدآء على الناس ويكون الرسول عليكم شهيداً

Bermaksud : “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), ummat pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan)mu”. 18

Apa yang dimaksudkan dengan konsep ‘ummatan wasyatan’ (ummat pertengahan) di dalam ayat di atas adalah umat Nabi Muhammad s.a.w yang melaksanakan perintah Allah berdasarkan kepada ketentuan-ketentuan hukum-Nya dan juga berasaskan kepada keseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani, individu dan masyarakat, fizikal dan mental serta keseimbangan antara keperluan duniawi dan ukhrawi.

Al-wasthiyyah ataupun tawazun ini juga boleh disimpulkan dengan ciri-ciri khusus seperti berikut :

· Al-Wasthiyah Bermakna Adil. Iaitu duduk di pertengahan antara dua sisi yang berlawanan, yang mana ianya tidak condong ataupun cenderung kepada salah satu keadaan yang bertentangan. Dengan kata lain, adil di dalam memberi hak masing-masing tanpa mengurangi atau melebihkan antara kedua pihak. Seperti firman Allah s.w.t di dalam ayat di atas ( Surah Al-Baqarah ; Ayat 143 ).

· Al-Wasthiyyah Bermakna Istiqamah . Bererti istiqamah dari manhaj yang jauh dari kecenderungan dan penyimpangan , yang disebut di dalam al-Quran sebagai manhaj ’shirathal mustaqim’ . Seperti firman Allah s.w.t :

إهدنا الصراط المستقيم (6) صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولآالضَالَين (7)

Bermaksud : “(Ya Allah) tunjukkan kami ke jalan yang lurus. Iaitu jalan mereka yang Engkau beri nikmat, bukan (jalan) mereka yang engkau murkai dan bukan pula jalan mereka yang tersesat”. 19

Nabi Muhammad s.a.w. telah memberikan contoh bahawa mereka yang dimurkai oleh Alah ialah orang-orang Yahudi dan yang termasuk golongan kaum tersesat itu adalah orang-orang Nasrani. Orang-orang Yahudi telah melampaui batas dengan terlalu banyak membunuh para Nabi yang diutus Allah kepada kaumnya, Bani Israel. Manakala orang-orang Nasrani pula terlalu berlebihan di dalam mengagungkan Nabi sehingga menjadikan Nabi sebagai Tuhan. Dari segi amalan di dunia pula, orang Yahudi terlalu berlebihan di dalam mengharamkan sesuatu perkara, sedangkan orang Nasrani pula terlalu berlebih-lebihan di dalam menghalal serta mengharuskan sesuatu perkara.

· Al-Wasthiyyah Sebagai Bukti Kebaikan. Ianya sebagai bukti untuk menjelaskan ataupun menyatakan sesuatu yang terpilih dan juga terbaik. Kata-kata pujangga Arab : ” Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan”. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah , Ayat 143 di mana Ibnu Kathir telah mentafsirkan kalimah ”Ummatan Wasathan” di dalam ayat ini sebagai ummat yang terpilih dan terbaik.

· Al-Wasthiyyah Mencerminkan Keamanan. Ianya mencerminkan sebuah tempat yang aman, jauh dari ancaman bahaya dan kekacauan. Daerah yang terpencil biasanya sering terdedah kepada ancaman binatang buas dan juga lanun. Manakala daerah di kota-kota besar biasanya sering diancam dengan jenayah rompak dan juga pembunuhan. Sebaliknya daerah yang pertengahan, berada di antara tempat terpencil dan juga kota ; kebiasaannya lebih selesa dan aman berbanding dengan kedua-dua daerah yang bertentangan di atas.

· Al-Wasthiyyah Adalah Bukti Kekuatan. Sebagai bukti kekuatan, di mana pada kebiasaannya daerah yang paling tengah biasanya akan dijadikan markas (pusat) kekuatan bagi sesuatu misi dan agenda penting. Sama juga seperti umur pertengahan antara kanak-kanak dan juga umur dewasa . Umur dalam usia dikatakan peringkat pemuda adalah suatu zaman di mana manusia itu memiliki segala kekuatan sama fizikal maupun mental.

· Al-Wasthiyyah Adalah Pusat Kesatuan. Pusat daerah selalu berada di tengah-tengah. Setiap garis yang dating dari sekelilingnya akan bertemu di titik pertengahan. Di sinilah kebiasaannya diadakan pusat bandar, pusat pelabuhan , tempat pertemuan dan juga berbagai perkara lagi yang menjadi pusat kesaatuan untuk pelbagai aktiviti sosial, pendidikan, perdagangan dan sebagainya.

Demikianlah antara konsep wasthiyyah (keseimbangan) yang menjadi antara karakteristik Islam yang unggul, di mana ianya dapat membedakan keistimewaan ajaran Islam berbanding dengan ajaran-ajaran agama ciptaan manusia di dunia ini. Karakteristik keseimbangan inilah yang diperakui oleh Islam untuk memberi hak-hak individu dan juga masyarakat untuk menjalani kehidupan di dunia ini tanpa mengurang dan juga melebihkan kepentingan antara keperluan individu dan kolektif (jama’iyyah ).

5. Al-Waqi’iyyah ( Kontekstual ).

Al-Waqi’iyyah yang dimaksudkan di sini adalah mengakui realiti alam ini sebagai suatu hakikat yang faktual dan sesuatu yang realistik. Mengakui realiti manusia sebagai makhluk yang mempunyai kombinasi penciptaan. Kejadian manusia itu adalah tiupan ruh Allah di balik jasad materialnya dari tanah dan juga dari unsur samawi (langit) dan ardhi(bumi). Islam juga mengakui realiti manusia yang terdiri dari lelaki dan wanita yang masing-masing mempunyai proses pembentukan, kecenderungan dan tugas tersendiri di dalam membangunkan masyarakat.

Oleh sebab itu, al-waqi’iyyah dalam Islam adalah al-waqi’iyyah al-mithaliyah ( kontekstual yang tidak mengabaikan idealisme ). Konsep Islam dalam masalah ini dapat menyelamatkan segala tindakan serta keputusan yang berlebih-lebihan di dalam mencapai sesuatu kesempurnaan (idealieme). Dalam erti kata lain, sesuatu idealisme itu seharusnya dilakukan dalam ruang lingkup realiti semasa dan kemampuan sebenar ( al-waqi’iyyah). Seperti firman Allah s.w.t :

لا يكلف الله نفسا إلا وسعها...

Bermaksud : “Allah tidak membebani seseorang (jiwa) kecuali sesuai dengan kemampuannya”. 20

Sebagai contoh, kefardhuan menunaikan ibadah sembahyang lima waktu sehari semalam, tidak dalam keadaan sakit, musafir dan peperangan ataupun berlaku bencana alam. Tanggungjawab seorang muslim itu secara idealis wajib menunaikan sembahyang lima waktu dalam apa keadaan dan situasi sekalipun. Namun begitu, atas dasar fitrah manusia yang lemah dan mungkin ada keperluan lain yang mendesak dalam kehidupan harian seperti bermusafir, maka Allah telah memberi keringanan untuk solat secara duduk dan berbaring bagi mereka yang sakit serta uzur. Dan dibolehkan sembahyang secara Qasar dan jama’ bagi orang yang bermusafir. Ini memberi gambaran bahawa al-waqi’iyyah ( realiti semasa ) itu di ambil perhitungan oleh Syariat Islam bagi membolehkan seseorang itu melaksanakan sesuatu perkara walaupun tidak secara ideal.

Al-Quran juga menafikan setiap keberatan dalam syariat sebagaimana menafikan kesulitan dan ketidakmampuan. Dan pada saat yang sama menetapkan keringanan dan kemudahan. Allah s.w.t berfirman, ketika Dia memberikan rukhsah dalam ibadah puasa bagi yang sakit dan musafir :

...ومن كان مريضا أو على سفر فعدة مَن أيَام أخر يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر ...

Bermaksud : “…dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain, Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran…” 21

6. Al-Wudhuh ( Jelas ).

Al-Wudhuh (jelas) ini dipaparkan sama ada yang berhubungan dengan usul dan qawaid, atau yang berhubungan dengan mashadir (sumber hukum) dan manabi’ (tempat pengambilan hukum) , atau yang berhubungan dengan sasaran dan tujuan, atau yang berhubungan dengan manhaj dan wasilah (prasarana). Penjelasan lanjut mengenai ciri-ciri al-wudhuh seperti yang dinyatakan di atas adalah seperti berikut :

· Al-Wudhuh (kejelasan ) dalam Usul dan Qawaid Islamiyah. Fenomena al-wudhuh yang pertama dalam Islam adalah perkara-perkara pokok yang bersangkutan dengan akidah, ibadah dan akhlak. Perkara yang bersangkutan dengan asas akidah, seperti firman Allah s.w.t :

قل يأهل الكتاب تعالوا إلى كلمة سواء بيننا وبينكم ألاَ نعبد إلا الله ولا نشرك به شيئا ولا يتخذ بعضا أربابا من دون الله ...

Bermaksud : “ Katakanlah : “ hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecual Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah...” 22

Perkara yang bersangkutan dengan asas ibadah pula seperti Hadis Nabi s.a.w :

بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وصوم رمضان وحج البيت من استطاع إليه سبيلا .

Bermaksud : “ Dibangunkan Islam itu di atas lima perkara : Syahadat, bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, menegakkan solat, menunaikan zakat, puasa di bulan Ramadhan dan haji ke Baitullah bagi yang mampu “.

(Hadis, Riwayat : Muttafaq ‘Alaih)


· Wudhuh - Kejelasan Sumber-Sumber Hukumnya. Sumber pertama hukum Islam itu adalah jelas bersumberkan daripada al-Quran dan yang keduanya ialah bersumberkan as-Sunnah ataupun Hadis Nabi Muhamad s.a.w. Firman Allah s.w.t. :

ونزَلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين .

Bermaksud : “Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri”. 23

Rasulullah s.a.w di dalam mengutarakan sumber hukum yang kedua daripada sumber as-Sunnahnya pula bersabda : ”Kamu sekalian harus berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafaur-rasyidin yang mendapat petunjuk setelahku, gigitlah erat-erat dengan gigi gerahammu (peganglah kuat-kuat)”.


· Wudhuh – Kejelasan Dalam Hal Sasaran dan Tujuan. Kejelasan dalam sasaran dan tujuan Islam itu sendiri adalah jelas dan nyata bagi manusia di dunia ini iaitu untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan (kesesatan ) kepada keadaan yang bercahaya ( kebenaran ), iaitu cahaya yang menerangi jiwa dan kehidupan. Seperti firman Allah s.w.t :

الر. كتاب أنزلناه إليك لتخرج الناس من الظلمات إلى النور بإذن ربهم إلى صراط العزيز الحميد .

Bermaksud : “Alif, laam raa. (ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) supaya kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang maha Perkasa lagi maha terpuji “. 24

Pentafsiran mengenai cahaya yang terang benderang di dalam ayat di atas terkandung maksudnya dalam Surah al-Ashr , ayat 1-3 : “ Demi masa. Sesunggunguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh serta nasihat menasihati dengan kebenaran (al-haq) dan kesabaran “. ( al-Quran, Surah al-Ashr : Ayat 1-3 ).

Syarat pertama bagi seseorang manusia itu untuk mendapat cahaya dan sinaran di dalam kehidupannya di dunia ini ialah dengan keteguhan keimanan. Kedua, dengan cara melakukan amal soleh dan kebajikan. Ketiga, dengan cara nasihat menasihati sesama manusia dalam perkara-perkara kebenaran demi untuk menjaga kemaslahatan masyarakat. Dan yang keempat, ialah berpesan-pesan dalam perkara kesabaran kerana Allah itu sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar.


· Wudhuh – Kejelasan Manhaj dan Jalan Penyelesaian. Islam mempunyai keistimewaan dalam hal penentuan dari segi kejelasan manhaj dan juga kaedah untuk merealisasikan sesuatu perkara yang diperintah oleh Allah s.w.t. Seperti perintah untuk melaksanakan sesuatu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t seperti solat lima waktu, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan fardhu haji ke Mekah.

Ibadah-ibadah ini telah difardhukan Allah s.w.t dengan menjelaskan kepada hambanya tentang hikmah dan tujuan utama ianya difardhukan. Kefardhuan solat; menjelaskan bahawa ianya boleh mencegah seseorang itu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Kefardhuan ibadah puasa; ianya dapat melahirkan keinsafan diri tentang betapa lapar dan dahaganya golongan fakir miskin serta dapat mengawal nafsu daripada dikuasai oleh syaitan. Kefardhuan mengeluarkan zakat; dapat mengikis sifat bakhil dan juga dapat menyelesaikan masalah ekonomi umat Islam bagi membantu golongan fakir miskin. Kefardhuan ibadah haji ; ianya sebagai manifestasi kepada perpaduan umat Islam seluruh dunia. Ke semua tuntutan ibadah yang difardhukan oleh Allah s.w.t ini adalah jelas ( wudhuh ) dari segi manhaj dan juga jalan penyelesaiannya.

Semuanya ini harus dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t, kerana niat adalah rahsia kepada penerimaan oleh Allah dalam sesuatu amalan kebajikan itu. Firman Allah s.w.t:

وما امروا الا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء

”Padahal mereka tidaklah diperintah kecuali supaya menyembah Allah dengan ikhlas kepada-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama dengan lurus” 25

7. Keseimbangan Antara Tathawwur (Transformasi ) dan Tsabat ( Konsistensi ).

Keseimbangan antara Tathawwur (Transformasi) dan Tsabat (Konsistensi) ini hanya ada di dalam risalah Islamiyah dan tidak akan terdapat dalam syariat samawi ataupun karya manusia yang lainnya. Risalah samawiyah, umumnya lebih menekankan pada masalah tsabat, bahkan terkadang cenderung pada kebekuan ataupun statik. Namun, Islam yang merupakan rislah terakhir dari Allah telah menganugerahkan keistimewaan ini kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. dengan unsur-unsur penyatuan antara tathawwur (tranformasi) dan tsabat (konsistensi ). Di sinilah terletaknya ciri-ciri murunah (fleksibeliti) yang terkandung di dalam ajaran Islam. Ada ketika Islam berpandangan tegas dalam sesuatu hal, tetapi dalam pada itu ada kelonggaran dan juga pengecualiannya dalam situasi-situasi tertentu. Seperti larangan Allah kepada hamba-Nya untuk tidak melantik pemimpin-pemimpin dari kalangan bukan Islam dalam urusan mereka, firman Allah s.w.t :


لا يتَخذ المؤمنون الكافرين أوليآء من دون المؤمنين ومن يفعل ذالك فليس من الله في شيء إلا أن تتقوا منهم تقاة

Bermaksud : ” Janganlah orang-orang mukmin menjadikan orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin/pelindung) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Barangsiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. ” 26

Ayat di atas menjelaskan bahawa orang Mukmin diharamkan melantik pemimpin-pemimpin ataupun wali di kalangan orang-orang kafir. Hukum ini menampakkan ciri-ciri tsabat (konsistensi) yang terdapat di dalam ajaran Islam. Namun demikian, di sana terdapat suatu pengecualian ataupun rukhsah yang membolehkan orang Mukmin itu mengangkat ataupun melantik orang-orang kafir sebagai pemimpin mereka atas dasar muslihat untuk memelihara diri dari sesuatu perkara yang ditakuti akan berlaku ke atas diri mereka. Pengecualian dan juga rukhsah ini adalah merupakan ciri-ciri tathawwur (tranformasi) yang diberi keringanan kepada orang Mukmin untuk melantik orang-orang kafir sebagai pemimpin mereka.

Ciri-ciri tathawwur ini juga terdapat dalam ayat lain seperti firman Allah s.w.t :

لاينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم, إن الله يحب المقسطين.

Bermaksud: “Allah tidak melarang kamu melakukan keadilan dan kebaikan terhadap orang yang bukan Islam yang tidak memusuhi kamu dan tidak menghalau kamu dari kampung halaman kamu,sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil“.27

Sebaliknya pula dalam ayat yang lain, dalam bentuk tsabatnya pula ( konsistensi), Allah s.w.t. telah memberi penegasan dan larangan kepada orang-orang Mukmin supaya tidak melaksanakan kebaikan dan keadilan terhadap orang-orang bukan Islam yang memusuhi Islam. Firman Allah s.w.t. :

إنما ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم في الدين وأخرجوكم من دياركم وظهروا على إخراجكم أن تولَوهم ومن يتولَهم فأولئك هم الظالمون .

Bermaksud : “Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. 28

Kesimpulan

Inilah keistimewaan yang ada pada ajaran Islam , yang mana dengan adanya kefahaman serta penghayatan tentang ciri-ciri keistimewan Islam seperti yang diperjelaskan dalam Ketujuh-tujuh Karakteristik Islam ini akan memberi panduan kepada setiap individu muslim di negara ini menonjolkan karakteristik Islam ini dalam kehidupan harian mereka. Kalau rakyat di negara ini sudah maju dan berjaya memahami serta menghayati ketujuh-tujuh Karakteristik Islam ini, maka tertolaklah segala tohmahan dan pandangan serong masyarakat dunia selama ini yang mengatakan bahawa umat Islam itu mundur, miskin dan ’terorist’. Usaha ini merupakan satu ’Jihad’ yang besar bagi Malaysia selaku sebuah negara Islam contoh di dunia masa kini.


7 Faisal @ Ahmad Faisal b. Abd. Hamid dan Wan Adli bin Wan Ramli , Islam Hadhari dari Perspektif Intelektual Muslim, terbitan Akedemi Pengajian Islam UM, 2006, hlm. 1

8 Lihat Dr. Yusuf al-Qardhawi ,Karakteristik Islam-Kajian Analitik (terjemahan ), Risalah Gusti, Surabaya , 1995.

9 Al-Quran : Surah al-Dzariyat, Ayat 56 – 58 .

10 Al-Quran : Surah an-Nisa’ , Ayat 174 .

11 Al-Quran : Surah al-An’aam , Ayat 115 .

12 Al-Quran : Surah al-Ahzab , Ayat 72 .

13 Al-Quran : Surah Ali Imran, Ayat 112 .

14 Al-Quran : Surah al-Maa’uun , Ayat 1-3.

15 Al-Quran : Surah al-Anbiyaa, Ayat 107.

16 Al-Quran : Surah al-A’raaf , Ayat 158 .

17 Al-Quran : Surah al-Furqaan , Ayat 1.

18 Al-Quran : Surah al-Baqarah, Ayat 143 .

19 Al-Quran : Surah Al-Fatihah, Ayat 6 – 7 .

20 Al-Quran : Surah Al-Baqarah, Ayat 286.

21 Al-Quran : Surah Al-Baqarah , Ayat 185 .

22 Al-Quran : Surah Ali Imran , Ayat 64 .

23 Al-Quran : Surah an-Nahl, Ayat 89 .

24 Al-Quran : Surah Ibrahim , Ayat 1 .

25 Al-Quran : Surah al-Baiyinah , Ayat 5.

26 Al-Quran : Surah Ali Imran , Ayat 28 .

27 Al-Quran : Surah al-Mumtahanah, Ayat 8.

28 Al-Quran : Surah al-Mumtahanah , Ayat 9 .

1 comment:

Non Punya said...

Asslkm... Tulisannya sangat bagus dan saya sedang mencari materinya karena bukunya sudah tdk terbit lagi, apakah boleh kirim ke blog utk mengisi blog saya atau kirim ke email saya. Sukron