Translate

Monday, 23 June 2008

KETUANAN MELAYU-ISLAM

KONTRAK SOSIAL SEBAGAI ASAS
PEMBENTUKAN NEGARA ISLAM MALAYSIA

Oleh:
SHAMSUDDIN MONER EL-ASKAREY - Pengarah PISPEM

Pengenalan

Sejarah telah merakamkan bahawa kedatangan agama Islam ke rantau ini (Tanah Melayu) yang kini dinamakan Malaysia adalah melalui ahli perniagaan Arab yang menyebarkannya melalui lisan dengan sifat sopan santun mereka berkomunikasi dengan penduduk tempat. Dakwah Islam yang masuk ke rantau ini bukannnya melalui kekerasan dan peperangan. Penduduk tempatan telah menerima Islam secara aman serta sukarela tanpa ugutan dan hasutan. Mereka terpengaruh dan terpikat dengan cara ahli-ahli perniagaan Arab itu menyebarkan agama Islam secara hkmah dan bijaksana.

Pengaruh dakwah asal yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab itu sangat mendalam kesannya sehingga Sultan Melayu yang memerintah Melaka pada masa itu telah dengan rela hati memeluk Islam dan diikuti seterusnya oleh rakyat jelata. Peristiwa Sultan Melaka memeluk agama Islam sangat penting dirakamkan di sini kerana ia telah memenuhi ciri-ciri sebagai sebuah negara Islam kerana sejak dari itu Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka adalah merupakan sebuah kerajan Islam di Nusantara ini yang mengamalkan undang-undang Islam di dalam pemerintahannya.

Sejak dari itu, negeri-negeri di Tanah Melayu tidak pernah menukar identitinya sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem perundangan dan pemerintahan Islam sekalipun ianya pernah dijajah selama hampir 500 tahun bermula dengan Portugis ( 1511 ), Belanda ( 1641 ), Inggeris (1824), Jepun ( 1941-1945 ) dan dijajah oleh Inggeris semula pada 1945 hinggalah negara ini merdeka dari British pada 31 hb Ogos 1957. Penjajah hanya berjaya menjajah negara ini secara fizikal dan juga ekonomi sahaja, sedangkan aqidah dan juga syariat Islam di negara ini tidak pernah diganggu-gugat dan berjaya dipertahankan oleh umat Islam.

Kemerdekaan Malaya pada ketika itu bukanlah melalui peperangan dengan pihak British tetapi melalui perbincangan dan rundingan dengan pihak penjajah dan dalam masa yang sama umat Islam Melayu pada ketika itu telah mengadakan kerjasama serta permuafakatan dengan bangsa-bangsa lain iaitu Cina dan India untuk memperjuangkan kemerdekaan bagi mentadbir negara ini secara perkongsian kuasa. Ini dilakukan melalui ’Kontrak Sosial’, sepertimana juga Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu hendak mendirikan sebuah negara Islam di Madinah telah mengadakan perjanjian dan juga persetiaan murni dengan masyarakat bukan Islam di sana dengan ’Piagam Madinah’.
Perkongsian Kuasa di Malaysia

Prof Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim dalam Kertas Kerjanya bertajuk “Prinsip-Prinsip Perlembagaan Islam dan Perundangan” yang dibentangkan di IKIM, Kuala Lumpur pada tahun 1999 berpendapat bahawa :

“Al-Quran dan Sunnah tidak meletakkan Perlembagaan yang terperinci untuk diikuti oleh orang-orang Islam pada masa ini. Akan tetapi terdapat beberapa prinsip yang disebutkan yang boleh memberi panduan kepada orang-orang Islam untuk memilih sistem yang terbaik bagi aturan politik bagi masyarakat dan zaman mereka “ 1

Sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu, undang-undang Islam adalah undang-undang negara di Malaysia. Mazhab yang diikuti ialah Mazhab Syafie. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang Tanah Melayu sekiranya British tidak masuk campur dan menahannya. 2

Setelah mencapai kemerdekaan negara dari British pada 31 Ogos 1957, orang Melayu yang menjadi pribumi kepada negara ini telah berkongsi kuasa dengan lain-lain kaum yang sebelumnya menjadi pendatang ( imigran ) dari China dan India. Melalui perkongsian kuasa ini, maka lahirlah sebuah kerajaan Perikatan yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama iaitu UMNO, MCA dan MIC untuk mengambil alih pemerintahan negara ini secara rasmi dari pihak British. Kuasa pemerintahan ini telah diperolehi daripada mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum pertama negara pada tahun 1955.

Inilah keunikan negara Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam di rantau ini. Rakyatnya terdiri dari berbagai kaum, keturunan dan berbagai agama. Rakyatnya menganuti beberapa fahaman agama dan mengamalkan tradisi dan kebudayaan yang berbeza. Meskipun demikian, Perkara 3 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di dalam menjelaskan konsep pengkongsian kuasa ini menjelaskan bahawa : “ Malaysia menolak konsep asimilasi kaum kerana percaya ia tidak mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama dalam sesebuah negara, sebaliknya kerajaan berpegang teguh kepada prinsip integrasi yang terbukti berjaya membawa keharmonian dan kemakmuran kepada masyarakat Islam dan penganut agama lain. Kerajaan tidak pernah memaksa kaum tertentu supaya menukar identiti, nama, agama dan budaya mereka untuk diasimilasikan mengikut kaum majoriti. Paksaan juga tidak dilakukan terhadap sesuatu kaum dalam aspek pakaian dan pendidikan terutama menghadkan kepada satu aliran sekolah sahaja. Kita tidak pernah paksa mereka (rakyat pelbagai kaum) buat apa yang tidak sesuai dan selari dengan mereka . Inilah rahsia kejayaan Malaysia yang rakyatnya semakin kukuh perpaduan mereka. Malaysia yang didiami hampir 25 juta penduduk pelbagai kaum dan etnik dengan majoriti Melayu, Cina dan India sering disifatkan oleh negara luar sebagai contoh negara yang berjaya mengekalkan perpaduan dan kestabilan. Menerusi dasar perkongsian kuasa sejak negara mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957, rakyat Malaysia hidup secara aman dan harmoni “. 3

Ini menzahirkan kepada kita bahawa Agama Islam merupakan agama rasmi bagi Malaysia, di samping agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Untuk meletakkan Islam sebagai agama rasmi di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya digubal hasil dari persetujuan yang telah dicapai antara penduduk berlainan agama dan kaum di Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri dari kalangan bangsa Melayu, Cina dan India di atas asas Kontrak Sosial sewaktu menuntut kemerdekaan negara pada tahun 1957. Menerusi Kontrak Sosial berkenaan maka ketiga-tiga kaum yang terbesar di negara ini yang terdiri daripada pertubuhan UMNO ( Melayu ), MCA ( Cina ) dan MIC (India) telah membentuk sebuah pakatan politik , iaitu Parti Perikatan pada tahun 1955 bagi menyertai Pilihanraya Umum ke arah perkongsian kuasa bagi membentuk sebuah kerajaan yang berdaulat dan merdeka dari kuasa British.

Perkongsian Kuasa antara parti politik Melayu Islam yang terdiri dari UMNO dengan parti-parti politik yang bukan Islam seperti MCA dan MIC sejak tahun 1955 hingga kini adalah tidak bercanggah dengan nas al-Quran, seperti firman Allah s.w.t. :

لاينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم ، إن الله يحب المقسطين

Bermaksud: “Allah tidak melarang kamu melakukan keadilan dan kebaikan terhadap orang yang bukan Islam yang tidak memusuhi kamu dan tidak menghalau kamu dari kampung halaman kamu,sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil “ 4

Kerjasama dan pakatan umat Islam di Malaysia dengan kaum Cina dan India ini juga adalah selari dan mencontohi sirah Nabi Muhammad S.A.W yang telah membentuk kerjasama dengan Auz dan Khazraj serta kaum Yahudi dan Nasara di Madinah menerusi Piagam Madinah bagi membentuk sebuah negara Islam Madinah.

Di atas prinsip pakatan dan perkongsian kuasa inilah maka umat Islam di Malaysia yang parti siasah UMNO menjadi tunggaknya, telah mentadbir dan memerintah negara ini bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin dari kalangan parti-parti bukan Islam seperti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti bagi mengelakkan berlakunya ketidakpuasan hati dan huru hara di dalam negara. Prinsip ini jelas sekali tidak bertentangan dengan nas syarak seperti firman Allah s.w.t. :

لايتخذ المؤمنون الكافرين أوليأء من دون المؤمنين، ومن يفعل ذلك فليس من الله في شيء إلا أن تتقوا منهم تقاة ويحذركم الله نفسه وإلى الله المصير

Bermaksud :” Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin/teman) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah Kecuali kerana (siasah) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diriNya (siksaNya). Dan Hanya kepada Allah kembalimu “. 5

Perkongsian Kuasa antara umat Islam dan juga lain-lain kaum yang bukan beragama Islam di Malaysia adalah berasaskan kepada siasah syar’iyah dan ‘maslahah ammah’ bagi mengelakkan daripada berlakunya peperangan dan rusuhan kaum yang boleh membantutkan usaha ke arah mewujudkan sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Status Malaysia Sebagai Negara Islam

Status Malaysia sebagai sebuah negara Islam ini tidak akan terjejas, sekalipun Malaysia dipandang sebagai sebuah negara sekular di sisi ahli-ahli perundangan Barat dan beberapa orang tokoh ulama dari kalangan parti pembangkang di negara ini. Hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam sebenarnya turut diperakui oleh sebahagian pakar perundangan moden yang membuat kajian dan penilaian secara ikhlas dan jujur. Yang Arif Datuk Hashim Yeop A.Sani dalam kajiannya mengenai Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Malaysia secara sah bolehlah mengisytiharkan negara ini sebagai sebuah negara Islam walaupun pada hakikatnya ia adalah sebuah negara ‘sekular’ dan tidak semua undang-undangnya diasaskan kepada hukum-hukum Islam.

Mempertikaikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam bermakna meletakkan kedudukannya dalam salah satu daripada dua jenis negara kafir yang dinyatakan di atas. Jika ini berlaku, maka kesannya amat besar sekali kepada masa depan umat Islam kerana ianya membawa erti bahawa umat Islam tidak wajib mempertahankan negara ini daripada pencerobohan musuh negara jika berlaku sebarang ancaman dan serangan musuh Islam dari dalam dan luar negara.

Sebagai memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, maka bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad di dalam ucapan perasmiannya pada Mesyuarat Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Kuala Lumpur pada 29 hb September 2001 telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam. 12

Ada dua perkara penting yang tersirat di sebalik pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam , di mana dalam suasana dunia baru sahaja digemparkan dengan ‘Tragedi 11 September 2001’ ( 911 ). Dalam keadaan di mana dunia telah mengecam umat Islam sebagai pengganas (terrorist) dan puak ekstrem serta membawa imej militan kerana serangan berani mati dari rangkaian ‘Al-Qaeda’ meletupkan Washington Trade Centre (WTC) dalam sekelip mata. Imej umat Islam telah tercemar dengan tragedi ini.

Dua perkara penting yang tersirat di sebalik pengisytiharan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama. Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu ingin menzahirkan serta memperlihatkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang progresif dan mengamalkan prinsip toleransi antara kaum serta agama dan tidak pernah menyokong sebarang tindakan keganasan dan ekstremis agama. Ini dapat dibuktikan dengan sistem perkongsian kuasa antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini sejak merdeka tahun 1957 hingga kini, di mana kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh orang Islam tidak pernah melakukan penganiayaan serta kezaliman kepada penganut agama-agama lain dan begitulah sebaliknya.

Kedua. Pendekatan Islam yang dibawa serta diamalkan di Malaysia adalah pendekatan yang sederhana dan tidak melampau. Semua kaum dan penganut dari berbagai agama di negara ini tidak pernah menyatakan kebimbangannya kepada apa sahaja dasar-dasar Islam ataupun sebarang program yang bermatlamat untuk memperkasakan pembangunan umat Islam secara terancang dan terbuka. Ini jelas terbukti apabila pengisytiharan Perdana Menteri pada ketika itu yang mengesahkan Malaysia adalah sebuah negara Islam telah dilakukan di hadapan pemimpin-pemimpin bukan Islam dalam perhimpunan Parti Gerakan Rakyat Malaysia iaitu sebuah parti politik kaum Cina yang bukan beragama Islam. Tiada bantahan dan juga tentangan daripada parti-parti kaum lain yang bukan beragama Islam di atas pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Ini disebabkan kerana mereka yang bukan beragama Islam selama ini amat selesa dan hidup dalam aman dan harmoni di bawah pemerintahan kerajaan Islam yang dipimpin oleh UMNO, iaitu parti politik Melayu yang memperjuangkan Islam secara sederhana dan pragmatik.

Sheikh Al-Azhar, Dr Mohammad Sayed Tantawi ketika datang ke Malaysia untuk menghadiri Multaqa Ulama Sedunia di Putrajaya pada 10 Julai 2003, iaitu sewaktu ditemubual oleh wartawan selepas mengadakan kunjung hormat dengan Perdana Menteri Malaysia, memperakui bahawa :

“Malaysia merupakan contoh bagi negara Islam lain kerana Malaysia mengamalkan ajaran sebenar Islam. Sudah tentu Malaysia merupakan negara Islam contoh. Lihat sahaja pembangunannya yang amat pesat dan rakyatnya juga berpegang kepada ajaran sebenar Islam dengan aman dan damai tanpa rusuhan dan huru hara. Ini adalah ciri-ciri negara Islam kerana Islam adalah agama yang memajukan, bukannya memundurkan umatnya” 13

Dr Mohammad Sayed Tantawi menjelaskan lagi bahawa negara Islam lain harus mencontohi Malaysia dalam usaha memajukan umat Islam di negara masing-masing. Islam juga tidak suka kepada penceroboh dan orang-orang yang memerangi orang lain. Islam menyuruh pengikutnya tahu akan haknya, sama ada hak itu bersangkutan dengan agama atau keduniaan. Pada waktu yang sama, mereka tidak boleh menceroboh. Allah tidak suka kepada orang yang memerangi dan menceroboh hak orang lain.

Hasil daripada penjelasan Dr Mohammad Sayed Tantawi di atas yang dengan secara tegas menyatakan bahawa Islam adalah agama yang memajukan, bukannya memundurkan umatnya , maka dari sinilah lahirnya satu konsep dan pendekatan baru di Malaysia iaitu “Pendekatan Islam Hadhari”. Satu pendekatan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju, progresif serta berperadaban ataupun bertamadun. Konsep Islam Hadhari inilah kemudiannya di perbahas serta diperbincangkan secara terbuka di kalangan pemimpin-pemimpin politik dari kalangan Islam dan bukan Islam, kakitangan kerajaan serta para cendekiawan Islam yang akhirnya Islam Hadhari telah dijadikan sebagai manifesto Pilihanraya Umum Malaysia ke-11, pada bulan Mac 2004.

Inilah hasrat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang baru (selepas Tun DR Mahathir Mohamad) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam contoh terutama kepada negara-negara Islam yang lain dengan ciri-ciri rakyat yang kuat bekerja, gigih, berfikir dan sentiasa berusaha menjadikan negara ini maju, berjaya, cemerlang, aman makmur serta diampuni Allah s.w.t. sebagaimana yang telah digambarkan oleh Allah di dalam al-Quran, seperti firman-Nya:

لقد كان لسباء في مسكنهم ءاية جناتان عن يمين وشمال، كلوا من رزق ربكم واشكروا له بلدة طيبة ورب غفور.

Bermaksud: “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebuh di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya. Negeri kamu ini adalah negeri yang baik, aman dan makmur dan Tuhan kamu adalah maha pengampun” 14

Kedaulatan Islam Dalam Perlembagaan Malaysia

Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada 29 hb September 2001 bukanlah sebagai satu ucapan kosong yang tidak mempunyai asas. Bukanlah mudah untuk seseorang pemimpin Islam di dunia ini untuk mengisytiharkan bahawa negaranya adalah sebuah negara Islam, apatah lagi seperti Malaysia ini yang jumlah nisbah penduduk Islam dengan bukan Islamnya dalam lingkungan nisbah 60:40 ( Islam 60% berbanding dengan bukan Islam 40 %). Apakah kekuatan yang ada pada umat Islam di Malaysia sehingga pemimpinnya berani mengisytiharkan negara ini sebagai sebuah negara Islam dan tidak sebagai sebuah negara’ sekular’ seperti yang diperakui oleh sesetengah pihak ?

Kekuatan yang dimaksudkan itu adalah bersandarkan kepada beberapa peruntukan undang-undang di dalam Perlembagaan Malaysia yang menzahirkannya secara telus dan terbuka bahawa Malaysia memenuhi ciri-ciri sebagai sebuah negara Islam. Lihat semula perbincangan mengenai ciri-ciri ataupun takrif sebuah negara Islam, sebagaimana pendapat Sheikh Muhammad Abu Zuhrah, Muhammad bin Hasan As-Syaibani serta Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buti di dalam perbincangan kita sebelum ini.

Antara kekuatan-kekuatan peruntukan di sisi Perlembagaan Malaysia yang mengukuhkan kedudukan Malaysia secara rasmi sebagai sebuah negara Islam adalah seperti berikut :

1. Ketua Negara Malaysia di bawah Perlembagaan.

Perkara 32 (1) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa Ketua Negara adalah seorang yang beragama Islam.

“ Maka hendaklah ada seorang kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang diPertuan Agong “ 15

Yang di Pertuan Agong ialah seorang Raja Melayu yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk tempoh lima tahun menerusi Sistem Raja Berperlembagaan. Kedudukan Yang di Pertuan Agong seakan-akan Baginda Queen di England. Kedudukannya boleh dikatakan di antara kedudukan seorang raja dengan seorang presiden. Ini bermakna bahawa Ketua Negara bagi Malaysia ialah seorang yang beragama Islam iaitu dari kalangan sembilan orang Sultan dan Raja-Raja Melayu.

2. Tanggungjawab dan Peranan Utama Ketua Negara.

Tanggongjawab dan peranan utama Ketua Negara Malaysia, iaitu Yang DiPertuan Agong yang diberi kuasa pemerintahan di bawah Perlembagaan adalah memelihara kesucian agama Islam. Perkara ini terkandung di dalam Ikrar Sumpah Jawatannya sebagaimana yang telah dikehendaki di dalam Perkara 37 , Jadual Keempat , seperti berikut :

“ Kami …………………….ibni ………………Yang DiPertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan : Wallahi; Wabillahi; Watallahi; Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia…Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa ugama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri “. 16

Oleh kerana semua orang Melayu di negara ini beragama Islam, maka semua Raja yang memerintah menjadi ketua agama Islam bagi negeri masing-masing, termasuk Yang di Pertuan Agong yang menjadi Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak beraja dan bersultan. Lantaran itulah maka seseorang yang dilantik sebagai Yang di Pertuan Agong akan berikrar untuk mempertahankan serta menjaga kesucian agama Islam sebagaimana di peruntukkan dalam Perkara 37, Jadual Keempat di atas.

Kerana itu UMNO sebuah parti umat Islam (Melayu) di negara ini memastikan bahawa Islam dan umat Islam senantiasa dilindungi. Atas kesedaran tersebut, UMNO ketika terlibat secara langsung menggubal Perlembagaan Persekutuan, memasukkan artikel-artikel tertentu mengenai Islam dan meletakkan Islam di bawah naungan bidang kuasa Ketua Negara dan Ketua Negeri. 17

3. Kuasa Pemerintahan Negara.

Kuasa ini diperuntukkan kepada Yang Dipertuan Agong, yang semestinya orang Melayu Islam di kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu , dan tidak kepada mana-mana pemimpin yang bukan Islam. Kuasa pemerintahan ini diperuntukkan dalam Perkara 39 Perlembagaan Malaysia :

“Kuasa pemerintahan bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang DiPertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, TETAPI Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang-orang lain” 18

Bagaimanapun, Yang di Pertuan Agong selaku Ketua Negara akan melantik seorang Perdana Menteri untuk melaksanakan tugas pemerintahan negara ini berasaskan kepada Sistem Demokrasi Berparlimen. Rakyat diberi kuasa untuk memilih sesebuah kerajaan menerusi mandat Pilihanraya Umum yang diadakan setiap 5 tahun sekali. Mana-mana parti yang menang majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat ) , maka pengerusi parti berkenaan akan dilantik oleh Yang di Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri bagi menjalankan tugas pemerintahan bagi pihak Yang di Pertuan Agong selaku Ketua Negara.

4. Kuasa Ketenteraan.

Untuk mengukuhkan kedudukan Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara yang memiliki kuasa pemerintahan serta kedaulatan, dan bagi mempastikan ugama Islam tetap terpelihara sebagai ugama rasmi negara, maka Perkara 41 Perlembagaan Malaysia telah memperuntukkan bahawa Yang Dipertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera:

“Yang DiPertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan “ 19

Dengan kuasa yang telah diperuntukkan kepada Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Negara Malaysia seperti yang dinyatakan di atas, ianya memang bertepatan sekali dengan takrif negara Islam yang telah dikemukakan oleh Sheikh Muhammad Abu Zuhrah : Negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam dalam mana kekuatan dan pertahanannya berada di tangan umat Islam.

Jelas kepada kita bahawa kuasa pemerintahan dan juga kuasa ketenteraan dari segi menjaga keselamatan dan pertahanan negara seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia adalah terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong. Sebagai seorang yang memegang amanah untuk menjaga kesucian agama Islam, maka sudah tentulah Yang Dipertuan Agong dari semasa ke semasa akan melantik Ketua Polis Negara serta Ketua Panglima Angkatan Tentera bagi menjaga keselamatan dan keamanan negara di kalangan pemimpin-pemimpin beragama Islam berbanding dengan kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam. Ini bermakna bahawa kuasa pertahanan dan keselamatan negara akan terus berada di tangan umat Islam. Inilah hakikat sebenarnya mengapa Malaysia diiktiraf oleh Persidangan Negara-Negara Islam ( OIC ) sebagai sebuah negara Islam.

Islam Sebagai Agama Persekutuan

Di permulaan Kertas Kerja ini telah dijelaskan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan (Negara). Ianya sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia, iaitu :

“Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan” 20

Meletakkan Islam sebagai ugama yang tertinggi di dalam Perlembagaan Negara dan dalam masa yang sama membenarkan kaum-kaum lain mengamalkan agama masing-masing adalah selari dengan Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu menegakkan negara Islam Madinah.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad di persidangan Pemerintahan Dalam Masyarakat Majmuk di Institut Kefahaman Islam Malaysia ( IKIM ), Kuala Lumpur pada 17 Ogos 1995, menyatakan bahawa:

“Malaysia adalah negara majmuk dengan penduduk dan rakyat yang menganuti berbagai-bagai agama. Kerajaan Malaysia diterajui oleh orang Islam, bahkan Malaysia mengiktiraf Agama Islam sebagai Agama Rasmi “ 21

Masyarakat majmuk ialah satu masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum, budaya, agama dan bahasa yang menjadi penduduk bagi sesebuah negara. Mereka bercampur ataupun berintegrasi antara satu dengan lain dengan harmoni. Ianya menggambarkan komposisi penduduknya yang terdiri dari pelbagai kaum, budaya, agama, bahasa dengan setiap kaum mengekalkan warisan dan identiti masing-masing tanpa diasimilasikan kepada sesuatu kelompok kaum ataupun agama yang dominan.

Pengiktirafan Islam sebagai Agama bagi negara dalam realiti (waqi’e) masyarakat majmuk di Malaysia, bukanlah hanya sekadar untuk upacara-upacara keagamaan, perayaan dan kera’ian semata-mata, tetapi ianya berkait dengan soal-soal akidah dan syariat. Walaupun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai tetapi Perkara 11 (4) Perlembagaan Malaysia telah dengan jelasnya menyatakan tentang pengawalan dan sekatan ke atas penganut-penganut dari ajaran agama lain daripada menyebarkan fahaman agama mereka di kalangan umat Islam, iaitu :

“Undang-undang negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam “ 22

Untuk memperkukuhkan lagi kedudukan ugama Islam tetap terpelihara sebagai ugama tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia dan juga menjadi tunggak kepada pemerintahan negara, maka Perkara 38 Perlembagaan Malaysia telah mengiktiraf penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu dari kalangan sembilan orang Raja ataupun Sultan, dengan tugas dan fungsinya adalah untuk mengawal apa-apa iktikad dan juga perkembangan dakwah Islam di negara ini. Perkara 38 (2) telah secara jelas memperuntukkan bahawa:

“ Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan tugas-tugasnya bagi (b) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan “ 23

Ini bermakna bahawa Perlembagaan Malaysia di bawah peruntukan berkenaan telah memberi kuasa mutlak kepada Majlis Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama Islam untuk menyekat sebarang upacara keagamaan dari agama-agama lain yang boleh menjejaskan keharmonian umat Islam dan juga kemurnian Islam sebagai ugama rasmi di negara ini.

Disebabkan Islam telah diiktiraf sebagai agama negara di dalam Perlembagaan, maka ianya menzahirkan kepada kita bahawa majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Memandangkan bangsa Melayu merupakan penduduk asal yang sejak turun temurun lagi berketurunan Islam (sejak Parameswara memeluk Islam di Melaka pada tahun 1414 Masihi ), dan bagi menjamin dominasi penganut agama Islam dari kalangan kaum Melayu di negara ini terus kekal akidahnya sebagai seorang yang beragama Islam, maka Perkara 160 Perlembagaan Malaysia telah menetapkan seseorang yang berbangsa Melayu mestilah beragama Islam, iaitu :

“Melayu ertinya seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu “ 24

Berdasarkan kepada tafsiran ini, membuktikan kepada kita bahawa Perlembagaan Malaysia telah dengan secara undang-undang menetapkan bahawa setiap orang Melayu itu mesti menganut agama Islam. Sekiranya ada di kalangan orang Melayu yang berhasrat untuk menganut agama selain daripada Islam, maka ianya tidak boleh diterima di sisi undang-undang dan kalau berlaku proses pertukaran agama oleh seseorang yang berbangsa Melayu kepada agama selain dari Islam, maka dari segi undang-undangnya orang Melayu berkenaan tidak boleh diiktiraf sebagai seorang yang berketurunan Melayu. Ini sebagai satu kawalan undang-undang bagi mencegah bangsa Melayu Islam daripada menukar akidahnya ke agama lain. Tidak ada satu negara Islampun di dunia ini yang berjaya seperti Malaysia memperuntukkan di dalam Perlembagaan Negaranya bahawa bangsanya itu mesti beragama Islam, kecuali Malaysia.

Bagi mempastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara, dan kehidupan dunia mereka mendapat keredhaan Allah, maka sudah tentulah ianya memerlukan kepada satu institusi agama dan sistem pendidikan Islam yang berperanan secara berkesan dan berterusan . Ini adalah kerana risalah dan dakwah Islam itu tidak akan mampu dihayati dengan sebaik mungkin oleh umat Islam tanpa adanya kemudahan-kemudahan pendidikan serta suatu sistem yang teratur di bawah pengawalan dan pengurusan negara secara rasmi. Justeru itu, Perkara 12 (2) telah memperuntukkan hak dan juga keistimewaan kepada umat Islam di Malaysia bagi memenuhi tuntutan akhirat dan keperluan rohani , iaitu:

“…adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyelenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan yang diperlukan bagi maksud berkenaan “ 25

Sesuai dengan ugama Islam sebagai agama rasmi negara, maka sudah tentulah negara ini memerlukan rakyatnya dari kalangan umat Islam yang benar-benar berilmu dan menghayati Islam secara total agar mereka menjadi bangsa dan umat yang berkualiti. Peruntukan Perkara 12 (2) ini telah memberi ruang yang seluas-luasnya bagi kerajaan Malaysia yang diterajui oleh pemimpin yang beragama Islam untuk mengisi keperluan mental dan rohani umat Islam dengan menubuhkan institusi-institusi Islam seperti berikut :

a. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ).
b. Institut Kefahaman Islam Malaysia ( IKIM ).
c. Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia ( YADIM ).
d. Lembaga Tabung Haji.
e. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM )
f. Kolej Universiti Islam Malaysia ( KUIM ).
g. Bank Islam Malaysia Berhad.
h. Syarikat Takaful Insuran Malaysia.
i. Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT ).
j. Beberapa buah Fakulti Pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Awam dan banyak lagi institusi pengajian Islam peringkat sekolah Menengah, Kolej dan Universiti.

Banyak lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan institusi-institusi Islam dan juga program-program dakwah Islam yang digerakkan secara rasmi dan sah secara besar-besaran dan terbuka oleh kerajaan Malaysia, yang mana semuanya dibiayai dengan menggunakan wang Perbendaharaan Negara. Keistimewaan ini tidak dapat dinikmati dan dirasai oleh penganut dari kalangan agama-agama lain, kerana inilah hakikat sebenarnya Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum yang berlainan agama sewaktu Malaysia mencapai kemerdekaan dahulu – mereka semuanya mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara. Inilah bukti bahawa prinsip-prinsip Islam serta kedaulatan Islam itu sendiri memang diktiraf oleh semua bangsa dan agama di negara ini.

Prof Dr Tariq Ramadan dari Islamic Study Universiti of Fribourg, Geneva, ketika membentangkan kertas kerjanya di Multaqa Ulama Sedunia di Putrajaya, Malaysia pada 10 – 12 Julai 2003, berpendapat bahawa :

“Saya lihat Malaysia dalam proses membentuk sebuah model negara Islam dengan caranya tersendiri. Bagi saya sebahagian besar daripada asasnya adalah tepat. Sesetengah daripada peraturan Islam telahpun dilaksanakan dan digunapakai. Apa yang perlu dilakukan kini ialah usaha untuk memperbaharui aspek-aspek tertentu berdasarkan kepada keutamaan (aulawiyat). 26

Sumber Hukum dan Sistem Perundangan

Umumnya berpendapat bahawa Perlembagaan Malaysia tidak berasaskan kepada al-Quran dan Hadith. Ini kerana ianya telah digubal oleh Suruhanjaya Reid (British) yang diketua oleh Lord Reid, seorang yang bukan beragama Islam. Tidak kedapatan satu peruntukanpun yang meletakkan al-Quran dan Hadith sebagai sumber asas dalam pelaksanaan hukum dan perundangan di Malaysia. Tambahan pula Perkara 4 (1) Perlembagaan Malaysia telah secara jelas menafikan hukum Allah sebagai undang-undang tertinggi, iaitu :

“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu” 27

Jika dilihat dan difahami secara negatif , memanglah fasal ini telah menafikan ketinggian hukum Allah. Sebaliknya menurut Prof Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, jika kita berfikir secara positif dalam keadaan negara kita sudah mencapai kemerdekaan maka hukum dan undang-undang Islam yang bersumberkan al-Quran dan Hadith boleh diamalkan di negara kita ini kerana undang-undang Islam bukannya dicipta selepas merdeka, tetapi Hukum dan undang-undang Islam telahpun wujud sejak zaman kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.. Tidak timbul masalah pertentangan antara undang-undang Islam dengan peruntukan Perkara 4 (1). 28

Berpandukan kepada pendapat ini, jika kita menganalisis dan berfikir secara positif dan mengambil faedah daripada kemerdekaan negara kita sehingga terbentuknya Perlembagaan Malaysia, sudah tentu kita akan merasa kagum, hormat dan berterima kasih kepada Perdana Menteri pertama pada ketika itu, Almarhum Tunku Abd Rahman Putera Al-Haj serta beberapa orang negarawan dan cerdik pandai UMNO termasuk Allahyarham Tun Abd Razak Hussein (Perdana Menteri Malaysia Kedua) , yang telah sama-sama dengan Suruhanjaya Reid (British ) menggubal dan mempersetujui rupa bentuk perlembagaan negara digunapakai hingga kini. Ini adalah kerana kebanyakan daripada fasal-fasal yang termaktub di dalam Perlembagaan tersebut boleh dimanfaatkan serta digunapakai untuk melaksanakan Sistem Perundangan Islam di negara ini secara beransur-ansur dan juga secara ‘bil-hikmah’ dalam suasana masyarakat majmuk dan juga pada ketika itu tidak ada sebuah negara Islampun di dunia ini ( yang komposisi kaum dan penganut agama di dalam negara sama seperti Malaysia – masyarakat majmuk ) yang boleh dijadikan sebagai model oleh Malaysia untuk menggubal Perlembagaan Negara dan Sistem Perundangan.

Sebenarnya Perlembagaan Malaysia bukanlah dicipta dan digubal oleh Lord Reid secara bersendirian. UMNO selaku pertubuhan siasah yang menjaga kepentingan agama Islam serta bangsa Melayu telahpun terlebih dahulu membuat memorandum dan juga syarat-syarat perlu untuk dimasukkan beberapa peruntukan mengenai hukum dan perundangan Islam di dalam Perlembagaan Malaysia. Beberapa orang tokoh hakim Islam dari Pakistan juga telah diminta pandangan dan juga pengalamannya oleh UMNO ketika ianya digubal dahulu agar kedudukan Islam tidak dipinggirkan dan diketepikan di dalam Perlembagaan Malaysia.

Ruang yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam di negara ini bagi melaksanakan hukum-hukum dan sistem perundangan Islam secara beransur-ansur adalah melalui peruntukan khusus di bawah Perkara 74 (2) Jadual Kesembilan, Perlembagaan Malaysia. Peruntukan ini telah dengan jelasnya memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk melaksanakan hukum Islam dalam ruang lingkup yang sangat luas dan umum, bergantung kepada kemampuan dan juga keadaan semasa. Petikan asal peruntukan berkenaan adalah seperti berikut :

“Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; wakaf Islam dan ta’arif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, ke semuanya sekali dalam negeri; adat istiadat Melayu, zakat fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan cara bagi mahkamah-mahkamah syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini; tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan ; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam; menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan Adat Istiadat Melayu “ 29

Menerusi Senarai Kedua, Jadul Kesembilan ini jelaslah kepada kita bahawa Perlembagaan Malaysia telah memberi ruang yang seluas-luasnya kepada umat Islam di Malaysia untuk melaksanakan hukum-hukum Islam yang mencakupi akidah, akhlak, adat, ibadah, muamalah, munakahat ( ahwal syakhsiah ), dan juga hukum-hukum yang berkaitan dengan jinayah takzir. Cuma hukum jinayah yang melibatkan hukuman had ( Hudud ) sahaja yang masih belum mampu dilaksanakan , kerana ianya perlukan kepada cara dan kaedah yang bijaksana serta berkemampuan, iaitu umat Islam mesti mempunyai kuasa pemerintahan yang mutlak.

Ini tidak bermakna bahawa ketiadaan peruntukan undang-undang dan hukuman had di dalam Perlembagaan Negara dan kegagalan kerajaan untuk melaksanakannya akan menafikan bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam. Prof Dr Mohammad Hashim Kamali berpendapat bahawa sebenarnya hudud adalah sebahagian atau salah satu aspek hukum syariah. Islam diasaskan oleh lima perkara, iaitu akidah dengan mengucap dua kalimah syahadah, mengerjakan solah, zakat, puasa dan haji. Lima ini adalah tiang agama Islam. Sebenarnya hudud itu tiada yang lain hanyalah soal hukuman. Malah, Nabi Muhammad sendiri dalam hadithnya meminta supaya dielakkan atau menghentikan hukuman yang berbentuk keras dan berat, terutama jika wujud elemen yang meragukan. 30

PENUTUP

Berdasarkan kepada kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan juga dari segi kekuatan politik pemerintahannya dengan sistem Pengkongsian Kuasa serta kedudukan Islam yang begitu kukuh di dalam Perlembagaan Negara serta sistem perundangannya yang berasaskan kepada Kontrak Sosial, maka kesungguhan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memperkenalkan ‘Konsep Islam Hadhari’ di dalam sistem pemerintahan dan pengurusan negara masa kini adalah amat bertepatan sekali. Di atas kekuatan dan juga kemantapan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh masa kini, maka Islam Hadhari dapat diterima dan dihayati oleh semua lapisan kaum, agama dan etnik di negara ini tanpa berlakunya salah faham dan kecurigaan terhadap umat Islam.

Konsep dan Falsafah Islam Hadhari yang telah digariskan oleh kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah tidak tergelincir dan lari daripada landasan undang-undang serta Perlembagaan Malaysia yang kita perbahaskan di dalam Kertas Kerja ini. Perlembagaan Malaysia telah dengan jelasnya meletakkan Islam sebagai asas kepada pemerintahan Negara ini.



Shamsuddin Moner El-Askarey
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Tel : 013- 346 4005


1 Ahmad Mohamed Ibrahim, dalam Kertas Kerjanya bertajuk “Prinsip-Prinsip Perlembagaan Islam dan Perundangan” yang dibentangkan di IKIM, Kuala Lumpur pada tahun 1999.
2 Ahmad Mohamed Ibrahim dan Ahilemah Joned,Sistem Undang-Undang Islam di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka , Kuala Lumpur, 1985, hlm. 48
3 Mohd Najib Tun Abd Razak, (Ucapan Perasmian) Karnival Sukaneka Perpaduan Balik Pulau, Pulau Pinang, 25 Disember 2004.
4 Al-Quran , Surah al-Mumtahanah: 60 : Ayat 8
5 Al-Quran, Surah Ali Imran ; 3 : Ayat 28
12 Utusan Malaysia , 30 September 2001
13 Utusan Malaysia , 11 Julai 2003.
14 Al-Quran , Surah Saba’ : 34 : Ayat 15.
15 Perlembagaan Malaysia, Perkara 32 (1).
16 Perlembagan Malaysia, Perkara 37.
17 Abdullah Ahmad Badawi , Persidangan Agung UMNO Ke-55 ( ucapan perasmian) pada 23 September 2004.
18 Perlembagan Malaysia, Perkara 39.
19 Perlembagaan Malaysia, Perkara 42.
20 Perlembagaan Malaysia. Perkara 3 (1)
21 Mahathir Mohamad, Ucapan Dasar di Persidangan pemerintahan Dalam Masyarakat majmuk , di Institut Kefahaman Islam (IKIM), Kuala Lumpur, 17 hb Ogos 1995.
22 Perlembagaan Malaysia, Perkara 11 (4)
23 Perlembagaan Malaysia, Perkara 38.
24 Perlembagaan Malaysia., Perkara 160.
25 Perlembagaan Malaysia., Perkara 12 (2)
26 Utusan Malaysia , 20 Julai 2003
27 Perlembagaan Malaysia, Perkara 4 (1)
28 Lihat Kertas Kerja Prof Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim bertajuk “ Prinsip-Prinsip Perlembagaan Islam dan Perundangan” yang dibentangkan di IKIM, Kuala Lumpur pada tahun 1999.
29 Perlembagaan Malaysia , Perkara 74 (2) : Jadual Kesembilan.
30 Utusan Malaysia , temubual dengan Prof Dr. Hashim Kamali , 20 Februari 2002.

2 comments:

SHAMSUDDIN MONER EL-ASKAREY said...

Hidup Melayu...melayu padu ummah maju
Saya mengalu-alukan dan menjemput tuan-tuan ke program "DISKUSI MEMPERKASA KETUANAN MELAYU"
PADA 28 JUN 2008 (SABTU)- 9.00am - 1.00pm.
DI KOLEJ TEKNOLOGI ISLAM ANTARABANGSA MELAKA (KTIM)

Anonymous said...

assalamualaikum Tuan Shamsuddin,

Saya sangat tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Tuan di dalam
blog tuan. Sebenarnya saya ada beberapa persoalan yang inginkan
penjelasan dari pihak Tuan.

1. Boleh tak tuan terangkan dengan jelas apakah sebenarnya sumber yang
digunapakai oleh Nabi s.a.w semasa memerintah Madinah dahulu. Adakah
ada persamaan dengan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan
Malaysia yang digunapakai pada hari ini.

2. Di dalam artikel tuan, ada dinyatakan bahawa tidak timbul masalah pertentangan antara undang-undang Islam dengan peruntukan Perkara 4(1). Melalui pembacaan saya, didapati peruntukan ini memberi implikasi
yang sangat besar kepada sistem perundangan Malaysia. Beberapa kes undang-undang telah menunjukkan hakim memegang teguh dengan peruntukan 4(1) ini mengatasi Al-Quran dan Sunnah.
Saya juga berpandangan bahawa akan timbul percanggahan sekiranya
Kerajaan Kelantan ingin melaksanakan undang-undang Islam (hudud)dengan adanya peruntukan 4(1) ini.

3. Penjenamaan Islam Hadhari. Didapati pihak yang tidak
bertanggungjawab telah mengekploitasi istilah yang digunapakai. Soalan
saya, adakah tanpa konsep Islam Hadhari, Malaysia akan mundur.
Kebanyakan orang kampung seperti saya akan berpendapat bahawa
pembangunan tetap wujud semasa pemerintahan Tun Mahathir walaupun pada masa tersebut kami belum kenal apa itu Islam Hadhari.

Sekian, terima kasih.
Insya Allah, saya akan sentiasa mengikuti blog tuan yang dibincangkan
secara ilmiah beserta rujukan fakta, tidak seperti kebanyakan blog yang mengkritis mengikut perasaan semata-mata. Tahniah.

Yang benar,
Student lagi