Translate

Tuesday, 1 September 2009

GUGURKAN IDENTITI KAUM DALAM BORANG DAN DOKUMEN : SATU LANGKAH MENOLAK FITRAH KEJADIAN ALLAH S.W.T

1. Terdapat cadangan daripada pemimpin negara untuk memansuhkan ruangan identiti kaum dan bangsa dalam borang-borang rasmi kerajaan dan juga dokumen-dokumen yang berkaitan dengan sesuatu permintaan untuk menzahirkan identiti kaum/bangsa. Adakah ianya boleh menyelesaikan matlamat penyatuan 1Malaysia dan juga menyelesaikan masalah perkauman di negara ini..?

2. Jika kita merujuk kepada firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, yang bermaksud: "Hai manusia! SEsungguhnya Kami menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal, sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu".

3. Jelas kepada kita bahawa kejadian manusia dari jenis lelaki dan wanita dan kemudiannya terbahagi kepada beberapa suku, puak, bangsa dan keturunan ataupun warna kulit adalah merupakan satu ciptaan Allah yang Maha Agong dan Maha Berkuasa. Kenapa kita ingin menyembunyikan identiti kaum dan juga bangsa kita, sedangkan inilah satu keunikan yang Allah jadikan manusia di muka bumi ini. Yang salahnya ialah apabila kita menjadikan bangsa dan kaum itu sebagai sebab bagi kita untuk melakukan kezaliman terhadap pihak lain yang tidak sebangsa dan sekaum dengan kita.

4. Dah jelas bahawa tujuan Allah jadikan semuanya ini adalah supaya kita saling kenal mengenal antara satu sama lain, saling hormat menghormati dan juga saling memahami akan budaya, adat resam dan juga kepercayaan masing-masing. Bagaimanapun Allah memberi kelebihan dan juga kepujian kepada mereka yang beriman dan bertaqwa. Memang semua manusia ini sama dari segi hak, kejadian dan juga dari segi hak asasinya menurut hukum dunia dan juga Piagam hak Asasi manusia. Namun, seseorang muslim dan mukmin itu lebih diutamakan oleh Allah dari segi haknya untuk mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat. Hanya seseorang yang menjadi muslim dan mukmin sahaja yang layak mendapat gelaran serta pangkat taqwa di sisi Allah.

5. Kita tidak boleh menyamaratakan sahaja semua umat dan masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk mengecapi nikmat dan juga peluang-peluang yang ada dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia. Perkara 160, Perlembagaan Malaysia telah meletakkan tafsiran bangsa 'Melayu' secara khusus sebagai seorang yang mesti bertutur bahasa melayu, mengamalkan adat istiadat dan resam kehidupan melayu dan paling penting melayu ini diikat dengan kekuatan imannya iaitu mestilah beragama Islam. Di sinilah letaknya kelebihan dan juga keistimewaan bangsa Melayu berbanding dengan kaum-kaum lain. Melayu itu mesti beragama Islam. Kalau kita menggugurkan identiti bangsa 'Melayu' ini dalam dokumen ataupun borang permohonan kerja dan sebagainya, bererti kita telah menggugurkan identiti keislaman itu dalam jiwa Melayu sejak turun temurun lebih 700 tahun lalu. Ini kita kena pertahankan.

6. Kita boleh bertolak ansur dengan kaum-kaum lain dari segi menggugurkan identiti kaum ini dalam borang-borang mereka dan juga sijil kelahiran mereka. Ini kerana dalam Perlembagaan Negara, status bangsa Cina dan India tidak dinyatakan secara tuntas bahawa mereka mesti beragama hindu ataupun Buddha. Sebab itu, kaum Cina dan India ini yang beragama Buddha, Tao dan Hindu boleh saja pada bila-bila masa menukar agamanya kepada agama kristian ataupun Islam. Kalau nak digugurkan pernyataan mengenai kaum ini, maka saya cadangkan ianya hanya dilaksanakan kepada kaum India dan Cina sahaja. Ini kerana hanya kedua-dua kaum ini sahaja yang banyak membawa masalah kepada integrasi nasional di negara ini. Orang Melayu sentiasa bersikap terbuka, dan tak pernahpun orang Melayu mempertikaikan asal usul dan juga kedudukan mereka di negara ini. Dengan menggugurkan perkataan kaum Cina dan India dalam surat beranak, dan juga dokumen-dokumen rasmi kerajaan, barulah golongan ini tidak sembrono lagi berlagak dan bercakap seolah-olah seperti mereka berada di India dan di negara China.

7. Untuk bangsa Melayu dan juga kaum-kaum bumiputera lain di Sabah dan Sarawak, maka adalah ditegaskan bahawa identiti ini perlu dikekalkan dan dinyatakan secara jelas dalam setiap borang dan juga dokumen penting seperti Sijil kelahiran. Inilah identiti kita yang mesti dipertahankan.

8. Apa yang kita bimbangkan nanti ialah, jika hari ini kita boleh menggugurkan identiti kaum dan bangsa dalam surat-surat dan dokumen rasmi, maka suatu hari nanti puak-puak dari golongan pondan dan bapok ( mak Nyah) juga akan menuntut supaya identiti perempuan dan lelaki dihapuskan dalam borang. Ini kerana mereka ini mempunyai fizikal lelaki tetapi hati dan perasaan keperempuanan. Wajarlah identiti lelaki dan perempuan juga dihapuskan bagi tujuan menjaga hati kaum mak nyah ni. Akhirnya nanti, akan berlakulah perkahwinan antara lelaki dan lelaki dan wanita dengan wanita kerana sudah tidak ada lagi identiti jantina dalam dokumen pengenalan diri dan borang nikah. Kiamatlah dunia bang..!

Sunday, 30 August 2009

MIMPI SELEPAS SOLAT TAHAJJUD- DATIN SERI ROSMAH MOHON PETUNJUK DAN BIMBINGAN


1. Sudah 8 malam Ramadhan berlalu, tetapi saya tak pernah bermimpi yang seindah dan seasing ini. Alhamdulillah pada malam kesembilan Ramadhan (malam tadi ) dinihari Ahad, saya telah bermimpi selepas selesai menunaikan solat Tahajut. Selesai solat sunat tahajud dan solat sunat hajat pada jam 3.30 pagi, saya tidur semula sebelum tiba waktu subuh.

2. Dalam masa tidur saya antara jam 3.30 pagi - 5.00 pagi, saya telah bermimpi yang begitu asing bagi saya. Mimpinya bermula di sini, saya dan isteri saya (zakiah Yunus) telah berkunjung ke Rumah Dato' Seri Dr. Rais Yatim untuk menemui isteri beliau Datin Seri Masnah Ahmad. Entah macam mana Datin Masnah telah membuka bicaranya dengan memohon pada saya agar sudilah kiranya jika saya dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri YAB. Perdana Menteri. Kemudian, sayapun telah dipertemukan oleh Datin masnah dengan datin Rosmah mansor.

3. Alangkah terkejutnya saya bila mendapati datin Seri Rosmah Mansor telah menitiskan air mata di hadapan saya dan menangis teresak-esak. Saya hanya memerhatikan sahaja dan menunggu apakah kata-kata yang keluar dari mulut. Dalam hati sayapun berbisik dan berkata-kata: ' Apakah ini Datin Seri Rosmah mansor.?'

4. Lalu beliau membuka bicaranya dengan memohon jasa baik saya agar dapat membimbingnya dan juga menunjukkannya jalan yang diredhai Allah dan menasihatkannya bagaimana untuk menjadi seorang wanita muslimah yang solehah. Sayapun menjawab bahawa saya bukan orang yang layak untuk membimbing beliau dan sayapun belum tentu lagi menjadi seorang muslim yang lebih baik daripada beliau. Lalu beliau dan datin Masnah merayu sekali lagi pada saya bahawa beliau berniat ikhlas dan benar-benar dahagakan ilmu agama dan juga ingin memperpetulkan amalan ibadahnya kepada Allah s.w.t.

5. Melihatkan kesungguhan dan juga keikhlasan yang lahir dari raut wajahnya, maka sayapun menjawab dengan penuh tertib dan secara terhormat dengan mengatakan bahawa Insya Allah saya akan bantu sekadar yang mampu dan sekadar ilmu yang ada pada saya. Lepas tu, saya terjaga dari tidur dan jam menunjukkan jam 5.00 pagi. Lantas saya mengucapkan 'astaghfirullahil'azim'. Dan terus termenung sejenak memikir serta mengingatkan semula kronologi mimpi saya sebentar tadi. Demikianlah, sedikit pengalaman mimpi saya yang benar-benar berlaku dalam tidur saya pada tengah malam tadi, Wallahi, wabillahi, watallahi. Ia semuanya adalah mimpi yang mungkin ada maslahah dan juga rahsia di sebalik mimpi tersebut. Atau mungkin mimpi ini hanya mainan tidur sahaja yang tidak membawa apa-apa dalam kehidupan realiti. Semoga Allah memberi rahmat dan keampunan ke atas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

6. Mungkin ada di kalangan sahabat-sahabat yang membaca blog ini yang mempunyai tok-tok guru yang boleh mentafsir serta mentadbirkan mimpi saya ini. Ataupun mungkin ada yang boleh mentafsirkannya secara objektif dan positif. Sama-samalah kita berkongsi menerusi ruangan komen di bawah ini. Wassalam.

Thursday, 27 August 2009

PENANGGUHAN HUKUMAN SEBAT KARTIKIA: BUKTI BN KHASNYA KDN TAK SERIUS

1. Saya amat terkejut bila mendapat berita dan juga pengumuman dan juga kenyataan di dada-dada akhbar bahawa pelaksanaan hukuman sebat kepada Kartika terpaksa ditangguhkan kerana Penjara kajang tidak mempunyai jurusebat yang pakar dalam mengendalikan hukuman sebat yang melibatkan kes jenayah syariah.

2. Bukankah enakmen jenayah syariah ni dahpun digubal lebih 10 tahun yang lalu dan kebanyakan negeri-negeri di dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri dan Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan ada memberi kuasa dan peruntukan kepada mahkamah syariah negeri untuk mengenakan hukuman sebat 6 kali sebatan.

3. Yang hairan dan yang kesalnya saya, selama ini tidak ada penyelarasan ke antara mahkamah syariah dan juga penjara-penjara yang dibawah pentadbiran KDN ni..? kalau nak diluluskan hukuman sebatan sebanyak 6 kali sebat bagi kes jenayah syariah, sepatutnya kerajaan persekutuan menerusi KDN dan Jabatan penjara perlu membuat persiapan untuk melatih dan melantik jurusebat kes jenayah syariah di Penjara Kajang ataupun di mana-mana penjara yang boleh menjalankan hukuman ini. Hai, susah sangat ke nak melatih, melantik dan juga melaksanakan hukuman sebat ni. Ini baru kes 6 sebatan. Sedangkan kes yang lebih besar daripada ini seperti hukuman gantung sampai matipun boleh dikendalikan oleh Penjara Kajang. Ini kes cipotpun tak boleh nak selesai.

4. Yang hairannya, kerajaan kita ni mampu pula melatih dan melahirkan 2 orang angkasawan negara hingga dihantar training ke Russia selama lebih setahun hanya semata-mata untuk naik ke angkasa lepas. rasanya beratus-ratus juta juga kerajaan membelanjakan wang untuk tujuan ini.

5. Tapi, bila sampai soal nak mendapatkan tukang sebat kes syariah ni, lain pula ceritanya. langsung tak ada seorangpun di kalangan kakitangan perkihmatan awam yang lebih sejuta di negara ini yang mampu melakukannya. jawabnya, ialah mereka yang memegang jawatan dan juga yang bertanggung jawab dalam hal ehwal ini tidak begitu konsen (prihatin) dengan pelaksanaan hukuman sebat kes syariah ini. Mereka hanya meluluskan undang-undang dan peraturan Islam secara sambil lewa dan melepaskan batuk di tangga. Bila dah kecoh seluruh negara, barulah terbongkar rahsia yang selama ini tiada persiapan rapi dari segi pelaksanaannya.

6. Susah-susah sangat, saya cadangkan Penjara Kajang supaya melantik JUrusebat Sambilan (part time) untuk melaksanakan perintah hukuman sebat ni. sayapun sanggup menjadi salah seorang penyebat profesional sambilan. Bukan susah sangat nak melaksanakannya. Nak seribu daya, tak nak seribu dalil. Bila dah jadi kecoh macam ni, mulalah kita menyalahkan UndangUndang Islam yang tidak adil dan tidak efektif dan lebih menyedihkan bila ada pula yang menyalahkan mahkamah Syariah yang tidak cekap. Yang lagi dahsyat dan yang lagi tak masuk akal ialah bila ada pula Menteri yang jaga wanita ni, mempersoalkan hukuman ini kerana ianya dianggap sebagai satu diskriminasi kepada kaum wanita

Apa nak jadi, apa nak jadi, sampai sekarang hukum hudud tak laksana lagi..! Apa nak jadi..!

Sunday, 23 August 2009

TAZKIRAH RAMADHAN HARI KE-2 : KENALI IBLIS (BHG 2)

1. Bagaimana dengan pengalaman anda mengharungi hari pertama ramadhan pada hari semalam. Sempat ke bersolat tarawikh malam tadi. Saya yakin bahawa kebanyakannya dapat melalui hari pertama ramadhan dengan penuh keinsafan dan kebanyakan surau dan masjid penuh sesak dengan jemaah. Ini menandakan bahawa iblis dan syaitan telah berjaya kita kekang dan ikatnya dengan kemas.

2. Namun begitu, ramai yang bersemangat berbuka puasa, kemudian solat tarawikh dan seterusnya bangun tengah malam untuk bersahur tetapi akhirnya kecundang dengan Iblis apabila berhadapan dengan panggilan Ilahi di waktu Subuh. Waktu Subuh ni nampaknya amat ramai yang kecundang dan Iblis berpeluang mempengaruhi kita. Ini kerana Iblis dan syaitan akan mengikat dan menyelimutkan manusia dengan sekemas-kemasnya ketika manusia tidur. Iblis akan mengikat manusia dengan 3 tali ikatan. Inilah antara sebab yang menyebabkan manusia rasa malas dan letih untuk bangun pagi bersolat subuh. Memang Iblis suka kita untuk bangun sahur dan dia tak akan ganggu kita ketika sahur. Ini kerana Iblis mencari peluang untuk makan bersama-sama orang yang tidak membaca 'Bismillah'. Dengan makan sahur bersama orang yang tidak membaca bismillah ini, Iblispun dapat mengalas perutnya pada siang hari untuk mengganggu manusia yang berpuasa daripada jauh dan secara bisikan. Sebab itu kita rasa begitu ringan badan dan tulang sera bersemangat bangun sahur. Tapi, berapa ramai di kalangan kita yang ambil kesempatan untuk berwuduk dan tunaikan solat tahajjud semasa bangun sahur ni. Di sinilah terletaknya kelemahan kita kerana lebih mengejar makanan jasad (makan sahur) daripada mendahulukan makanan ruh (solat tahajud).

3. Sebagai panduan kepada kita yang berpuasa di bulan Ramadhan ni supaya mudah untuk bangun solat Subuh, maka di sini saya perturunkan beberapa garis panduan dan juga petua bagaimana nak menghalang hasutan Iblis di subuh hari. Sebelum tidur hendaklah kita berwuduk terlebih dahulu dan kalau ada masa bacalah Surah Al-Mulk. Semasa di tempat tidur, angkat tangan seperti berdoa dan baca al-fatihah, ayat kursi dan 3 Kul (Kul huwallah, Kul A'uzubirabil Falaq dan Kul a'uzubirabbinnas ), kemudian tiup pada tangan dan gosoklah ke seluruh anggota tubuh agar Iblis dan syaitan tak ganggu kita.

4. Harus diingat bahawa Iblis masih berpeluang mengikat tubuh badan kita dengan 3 simpulan ikatan semasa kita tidur. UNtuk mebuka 3 tali ikatan yang telah disimpulkan oleh Syaitan ini ketika tersedar di waktu subuh - maka bacalah 'Bismillah' dan ucaplah 'alhamdulillah'. Insya Allah tali ikatan pertama akan terbuka. Untuk membuka tali ikatan kedua, maka kita kena berwudhuk dan seterusnya untuk membuka tali ikatan ketiga maka kita kena tunaikan solat subuh. Dengan cara ini sahaja ikatan tali yang diikat oleh Iblis pada tubuh badan kita dapat dibuka dan diuraikan.

5. Itulah sebabnya mereka yang liat untuk bangun subuh adalah terdiri dari kalangan mereka yang telah diikat kemas oleh Iblis dan Syaitan. Bagaimana kita nak menentang nafsu syahwat di siang hari bulan Ramadhan jika sejak awal-awal lagi kita sudah dikuasai oleh Iblis diwaktu subuh. Semoga tuan/puan dapat mengamalkan petua dan panduan ini.

SUMBER RUJUKAN : MENGENALI MAKHLUK ALLAH BERGELAR JIN - Tulisan Ustaz Dato' HJ Ismail Kamus, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd, cetakan Pertama 2006.

Saturday, 22 August 2009

PENTING UNTUK MENGENALI BIODATA IBLIS SUPAYA KITA SELAMAT DI BULAN RAMADHAN

1. Selamat berpuasa dan selamat melipatgandakan ibadah di bulan yang penuh berkah ini. Semua sudah sedia maklum bahawa iblis dan syaitan dibelenggu (dirantai dan diikat) oleh Allah di sepanjang bulan Ramadhan ini supaya mereka tidak boleh mengganggu orang yang berpuasa. Kenapa masih terdapat lagi maksiat di bulan Ramadhan sedangkan iblis dan syaitan telah dibelenggu dan dirantai..?

2. Sebenarnya kita kena kenal dahulu biodata iblis dan syaitan ni. Baru kita boleh menjauhkan diri daripadanya. Jika kita tak kenal sifat-sifat dan juga karakternya maka kita akan tersilap langkah dan mungkin kita telah berkawan dengan syaitan tanpa disedari. Di sini saya akan perturunkan siapakah makhluk yang dinamakan Iblis dan syaitan ini untuk renungan bersama :

BIODATA IBLIS

1. Nama Asal : Azazil
2. Nama glamour : Iblis
3. Bangsa : Jin
4. Keluarga : JIn, Syaitan dan Taghut.
5. Kediaman Rasmi : Neraka Jahannam.
6. Pangkat/Gelaran :
Fasik Darjah Pertama
7. Agama : Kufur.
8. Tugas : Profesor dan Tuan Guru di fakulti
kemungkaran dan maksiat.
9. Tempoh khidmat : Sampai Khiamat.
10. Modal : Angan-Angan.
11. Pejabat : Pasar dan Shoping Kompleks.
12. Sahabat : Munafiq
13. Pakaian : Fesyen tak menutup aurat.
14. Sumber Rezeki : Harta yang haram.
15. Wawasan : Mengkafirkan semua manusia.
16. Makanan kegemaran : Daging bangkai
daripada umpat dan cela.
17. Pasangan Hidup : Orang yang minum arak,
berzina, berjudi dan menyembah berhala.
18. Kepakaran : Menjanjikan manusia dengan
kefakiran dan kemiskinan.
19. Perkara yang menyedihkan : Bila seorang
mukmin banyak sujud kepada Allah.
20. Hobi masa lapang : Mengapi-apikan suami
isteri supaya bergaduh dan bercerai.
21. Kelemahan : Bila manusia berpuasa dan
sentiasa berzikir kepada Allah.

3. Demikianlah di antara karakter dan juga sebahagian daripada profil Iblis dan syaitan yang dapat saya senaraikan untuk panduan tuan/puan sekelian. Sebenarnya Iblis dan syaitan ni tidak dirantai secara fizikal dan zahir, tetapi ianya dirantai secara batin dan amalan ibadat yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan. Iblis dan Syaitan akan lemah dan kurang berupaya untuk mempengaruhi kita dalam keadaan lapar menerusi ibadah puasa. Itu sebabnya rasulullah saw menyuruhkan membaca bismillah terlebih dahulu sebelum kita makan dan memulakan sebarang pekerjaan. Kalau kita menjamah makanan tanpa membaca bismilllah maka iblis dan syaitan akan tumpang semangkuk dan mendapat tenaga tambahan untuk mengganggu kita.

Hari kedua puasa esok, saya akan sambung lagi perbincangan mengenai Iblis dan syaitan ini untuk panduan kita bersama bagi melawan dan menundukkannya di bulan puasa ini. Wassalam

Monday, 17 August 2009

UNDI UMNO TAK MASUK SYURGA = UNDI PAS TAK MASUK KE NERAKA..?

1. Isu undi dan isu syurga dan neraka sudah mula dimainkan semula oleh PAS di Pilihanraya kecil Permatang pasir, Pulau pinang. Ianya dipukul canang dan dipalu semula oleh Mursyidul AMPAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau telah membuat kenyataan di Pengkalan pasir dalam ceramahnya bahawa mana-mana pengundi yang memberi undi kepada calon UMNO tidak akan masuk ke syurga. Betul ke begitu..? Sayapun tak pasti sama ada benar atau tidak kenyataan ini dikeluarkan oleh Mursyidul AMPAS.

2. Kalau begitulah pendapat beliau, maka pengundi yang mengundi UMNO dan PAS dalam pilihanraya kecil ini nanti sama sahaja hukumnya iaitu yang mengundi UMNO tak masuk ke syurga dan yang mengundi PAS tak masuk ke neraka.

3. Dalam isu ini saya amat bersetuju dengan pendapat Nik Aziz dan bijak berpolitik dan licik di dalam melontarkan sesuatu isu yang berkaitan dengan hukum politik. Memang benar, lagi benar dan sungguh benar bahawa orang yang mengundi UMNO tak masuk Syurga. Ini kerana Syurga itu hanya dikhaskan kepada orang-orang yang telah mati dan setelah dibangkitkan di akhirat kelak, iaitu setelah dunia ini khiamat dan dihancurkan oleh Allah untuk digantikan dengan alam akhirat.

4. Sebab itulah buat masa ini sesiapapun dari kalangan penyokong, ahli dan pengundi yang mengundi UMNO tak akan masuk ke syurga. Manusia yang pernah duduk dalam syurga hanya Nabi Adam dan hawa, tetapi kemudiannya dilontarkan ke dunia kerana atas hasutan Iblis laknatullah. Orang PAS pun tak boleh masuk syurga buat masa sekarang kerana belum masa lagi pintu syurga tu dibuka kepada manusia. Kena tunggu dulu hari perhitungan di padang mahsyar nanti, barulah kita tahu siapa dia yang layak masuk ke syurga.

5. Bagaimanapun, kita boleh menempah tempat dan juga tiket untuk ke syurga dengan syarat bahawa kita mesti muslim dengan mengucap kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu Haji ke Mekah bagi yang berkemampuan. Sesiapa yang melaksanakan kelima-lima rukun islam ini maka mereka telah menempah tiket ke syurga. Tidak di syaratkan kepada seseorang itu kena masuk UMNO ataupun PAS. Orang Cina kafir dan hindu kafirpun ada yang mengundi UMNO dan juga ramai juga mereka ini yang memberi undi serta sokongan kepada PAS. Macamana cina kafir dan hindu ini boleh masuk syurga dengan mengundi PAS?

6. Kesimpulannya, orang yang mengundi UMNO memang belum pasti lagi masuk ke syurga dan orang cina kafir dan hindu yang mengundi PAS sudah tentu mereka ni adalah bakal masuk ke dalam neraka dan jadi bahan bakaran api neraka. Orang Islam yang tak keluar mengundi dalam pilihanrayapun boleh masuk syurga.

BEGINILAH CETEKNYA HUJAH DAN PEMIKIRAN
MURSYIDUL AMPAS

Friday, 14 August 2009

KENANGAN MENGUSIK JIWA BERSAMA UST. ASRI RABBANI

1. Al-fatihah buat arwah Ust Asri Ibrahim. Saya amat terkejut dengan berita kematian beliau akibat serangan sakit jantung pada hari semalam. Terima kasih banyak atas berita yang disampaikan oleh kawan beliau Ust Ahmad Shukri (YADIM) kepada saya pada jam 11.30 pagi semalam. Masa tu saya dalam perjalanan ke KLIA untuk pergi ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menghadiri forum perdana sempena Festival KOnvokesyen UniMAP Ke-4.

ASRI RABBANI & EL-ASKAREY
Saya bersama Ust Asri sewaktu majlis raptai penuh untuk persembahan di Majlis pelancaran Bulan Dakwah Kebangsaan pada 19 Feb 2009 di PICC, Putrajaya.

2. Ust Shukri pula mendapat berita daripada sahabat baiknya Amy Search pada pagi semalam. sebaik sahaja beliau mendapat telefon daripada Amy Search, maka Ust Shukripun terus menelefon saya. Hampir 1 minit saya terkedu dan bersedih di atas pemergian Allahyarham Ust Asri. Apa yang menyedihkan saya ialah kerana saya tidak berkesempatan untuk menziarahi jenazah beliau dan bersama-sama rakan-rakan lain menyembahyangkan jenayahnya. Saya terpaksa ke Perlis kerana majlis sudah diatur.

3. Saya amat terkilan dan rasa dukacita juga kerana tidak berkesempatan untuk merakamkan lagu Bulan Dakwah yang dicadangkan dinyanyikan oleh Ust Asri dan Kumpulan Rabbani. Sebelum ini saya selaku Ketua Sekretariat Bulan Dakwah telah mengaturkan gandingan persembahan Rabbani dan Amy Search sempena dengan sambulan Bulan Dakwah Kebangsaan yang telah diadakan pada bulan Feb dan Mac lalu. Kali terakhir saya bertemu dan bersama-sama dengan Ust Asri, Rabbani bersama-sama dengan Amy Search ialah pada 1 Mac 2009 yang lalu ketika kami mengaturkan pertunjukan khas Rabbani & Amy di Majlis Pelancaran Bulan Dakwah Negeri Kelantan yang dihadiri oleh Al-Sultan Kelantan dan Tuan Guru Nik Aziz.

4. Saya sempat berbual dan berbincang dengan Allahyarham Ust Asri tentang cadangan saya untuk menjadikan lagu tema bulan Dakwah " Wahdah Pemangkin Khaira Ummah" sebagai lagu yang akan dirakamkan oleh Rabbani dalam albumnya jika dipersetujui nanti. Pada dasarnya beliau bersetuju. Malangnya kami tak sempat nak berbincang dengan lebih lanjut tentang bila lagu bulan dakwah ni nak dirakamkan serta dinyanyikan oleh Rabbani. Dengan pemergian Allahyarham, maka hasrat dan juga cadangan saya untuk menjadikan lagu bulan dakwah sebagai lagu yang didendangkan oleh Ust Asri tidak kesampaian.

5. Apapun, semuanya telah ditakdirkan oleh Allah yang beliau terpaksa menemui Allah dengan selamatnya. Yang penting, saya mendoakan ruhnya dirahmati oleh Allah. Satu kehilangan besar buat negara kerana beliau adalah di antara pelopor dan juga penggerak kepada muzik nasyid kontemporari di negara ini yang telah menarik minat anak-anak remaja kepada lagu-lagu irama nashid sekitar pertengahan tahun 1990-an hingga kini.