Translate

Thursday 21 May 2009

SATU MALAYSIA-SELARAS DENGAN PIAGAM MADINAH?

Sirah Rasululah Menjadi Pedoman

Apakah asas dan juga teras kepada gagasan ‘Satu Malaysia’ yang dikemukakan oleh Dato’ Sri Najib Razak ? Adakah ianya bersumberkan Syariah ataupun berkiblatkan kepada ideologi DAP?

Mungkin ramai yang tidak peka dengan ucapan Dato’ Sri Najib ketika berucap merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 24 Mac 2009. Di sini saya ingin mengimbas kembali ucapan tersebut, katanya: “Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sinar ketamadunan”.

Dalam ucapannya di majlis tersebut juga, beliau telah menceritakan sirah Rasulullah semasa hijrah tentang bagaimana baginda telah menyatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu.

Seterusnya Dato’ Sri Najib menghuraikan antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa itu, antaranya adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai “al-falah”.

Lantaran itu, maka dalam ucapan penggulungan Persidangan Agung UMNO pada 28 Mac 2009, Dato’ Sri Najib yang baru mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada persidangan tersebut telah berikrar dan beriltizam di hadapan Perwakilan UMNO bahawa beliau akan mendaulatkan agenda Islam serta mempertingkatkan penghayatan dan pelaksanaannya di semua sudut, termasuk rohani, ekonomi, sosial, mahupun budaya hidup. Tegasnya lagi, usaha untuk mengembangkan syiar Islam tidak akan pernah kunjung padam dan akan teruskan perjuangan untuk mendaulatkan agama Islam.

Inilah ikrar dan juga iltizam seorang Presiden sebuah pertubuhan siasah Islam yang terbesar di negara ini untuk meletakkan kepentingan Islam dan maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi sebagaimana yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam memimpin serta membimbing umatnya mencapai kejayaan ”al-falah”; hasanah di dunia dan hasanah di akhirat.

Perkara sama ini juga telah diperjelas dan diperteguhkan oleh Dato’ Sri Najib di hadapan pegawai kerajaan dan penjawat awam dalam ucapan perdananya di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-10, 28 April yang lalu, katanya : ”Dalam hal konsep rakyat didahulukan ini, marilah kita merenung sirah Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang agung, betapa Baginda dengan prihatinnya meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir riwayat baginda, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku, umatku’.

Selanjutnya, selaku Perdana Menteri yang baru, Dato’ Sri Najib mengajak dan menyeru seluruh kakitangan perkhidmatan awam agar mengambil pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan penyayang kepada seluruh umat dalam mengangkat kepentingan rakyat dalam khidmat masing-masing.

Seperti apa yang diungkapkan oleh Dato’ Sri Najib kepada Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sebelum ini (24 April 2009-Dewan Merdeka, PWTC) iaitu, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah daripada sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin bekerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.

Adalah jelas dan meyakinkan kita bahawa konsep ’Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang digagaskan oleh Dato’ Sri Najib adalah satu gagasan dan juga falsafah yang bersumberkan kepada sirah Rasulullah . Bersesuaian dan bertepatan dengan risalah Islam dan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah yang mana Islam itu untuk ’rahmatan lil-alamain’ ( rahmat sekelian alam).