Translate

Sunday, 4 September 2011

AL-QURAN DIJADIKAN PENGESAT NAJIS OLEH KOMUNIS

1. SERANGAN bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Balai Polis Bukit Kepong, 35 kilometer dari Muar, jam 4.30 pagi pada 25 Februari 1950, adalah sangat berkesan dalam sejarah negara.

2. Serangan itu memperlihatkan kegigihan dan kecekalan anggota polis yang begitu kecil jumlahnya iaitu 20 orang bersama enam Pengawal Kampung (Home Guards) mempertahankan maruah sebuah institusi yang melambangkan keselamatan dan kedaulatan negara dan masyarakat. Mereka memang menjadi sasaran Parti Komunis Malaya yang meletakkan Rejimen 3 dan 4 untuk bergerak dan menguasai Johor. Serangan yang melibatkan 180-200 orang anggota Malayan Races Liberation Army (MRLA), PKM itu telah diketuai oleh Mat Indera. Dalam serangan itu Sarjan Jamil Mohd Noh, Ketua Balai telah mengetuai anak buahnya untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong, Balai Penghulu dan Berek Kelamin Polis daripada ditawan oleh komunis. Mereka tidak mahu menyerah kalah walaupun dipujuk oleh Mat Indera melalui isteri seorang anggota polis yang dapat ditangkapnya di berek kelamin.

3. Mereka tidak berganjak daripada lubang-lubang kubu pertahanan mereka walaupun seorang demi seorang anggota polis itu tercedera dan tertewas oleh peluru komunis yang datang seperti hujan menimpa bumi. Mereka berjuang selama enam jam tanpa mengira keselamatan nyawa mereka. Ada juga isteri-isteri polis yang cuba melawan membela kematian suami mereka. Namun, kudrat mereka tidak seberapa. Kekejaman komunis mengatasi segala-galanya. Mereka bukan sahaja membakar kompleks balai polis itu menjadi debu, tetapi sanggup membaling seorang anggota polis yang cedera ke dalam api yang sedang membara. Tiga orang isteri polis juga dihumban ke dalam api tanpa belas kasihan. Ada yang terpaksa berpelukan ketakutan menunggu kematian yang menyeksakan itu. Seorang kanak-kanak juga menjadi mangsa kekejaman komunis. Mereka rentong seperti arang. Hanya Yusof Rono, seorang anggota polis yang cedera parah dapat melepaskan diri untuk meminta bantuan. Dato’ Onn Ja’afar, Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, yang telah melawat kawasan itu menyifatkan pertahanan anggota-anggota Balai Polis itu adalah sebagai sesuatu tindakan yang sangat `determined and heroic’. Seramai 25 orang yang terkorban mempertahankan Balai Polis itu; 19 orang anggota polis dan 6 orang pengawal kampuong. Bagi Mat Indera dan PKM, ini adalah satu kejayaan besar. Mat Indera tidak rasa bersalah walaupun mereka yang dibunuh dan dibakar hidup-hidup adalah sebangsa dan seagama dengannya.

4. Mengapa Mat Indera berada dalam PKM dan terlibat dalam Peristiwa Bukit Kepong? Jika disusuri sejarah politik negara, PKM telah menjalankan satu dasar Malayan United Front iaitu satu dasar yang telah diputuskan sebelum 1948 lagi. Dalam dasar ini, PKM akan cuba menyebarkan pengaruh dan ideologi komunis kepada semua bangsa di Tanah Melayu. PKM yang ditubuhkan pada 1927/1930, selama ini hanya mendapat sokongan daripada satu bangsa sahaja sedangkan orang India dan Melayu terutamanya tidak ramai menjadi anggotanya.

5. Untuk mencapai tujuan ini, anggota PKM telah meresap masuk dan menubuhkan kesatuan sekerja, parti-parti politik serta badan-badan masyarakat yang lain. Malah mereka juga menyamar dengan nama orang Melayu dan menggelarkan dirinya sebagai Haji seperti Cheng Nan yang menyamar sebagai Haji Hashim dan bergaul dengan masyarakat Melayu di Pahang. Malah untuk menunjukkan imej kerjasama bangsa itu, Musa Ahmad, seorang kelulusan sekolah agama rakyat telah dilantik sebagai Pengerusi PKM. Beliau kemudian digantikan oleh Abdullah C.D. apabila Musa bermastautin di China. Namun, mereka adalah boneka kerana Chin Peng adalah pemegang dasar PKM.

6. Mat Indera dan ramai orang Melayu pada masa itu terpengaruh dengan dasar ini. PKM telah membakar semangat mereka dengan perasaan anti–kolonial dan anti-kuasa Barat. British yang menguasai Persekutuan Tanah Melayu dilihat sebagai penjajah yang mengeksploitasi ekonomi negara. Manakala Raja-Raja Melayu dan pembesar Melayu yang memimpin UMNO dilihat sebagai penyokong British. Ini kerana PKM telah gagal untuk mendapat perhatian British selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1948. Sebelum itu PKM telah bekerjasama dengan British untuk menentang pihak Jepun di antara tahun 1942-1945. Ramai anggota Komunis telah diberi penghargaan oleh British. Chin Peng diberi gelaran Sir oleh British. PKM juga menyokong rancangan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada April 1946. Ini kerana Malayan Union bersifat kesatuan dan republik serta menjadi tanah jajahan takluk British. Kerakyatan juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang lahir di tanah jajahan takluk British. Rancangan Malayan Union ini dianggap progresif kerana tamadun Melayu yang terbina sejak 1273 atau 1400 dengan Kesultanan Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain akan terhapus. Seluruh Tanah Melayu akan dikenal sebagai Malayan Union dan diperintah oleh Gabenor yang dilantik oleh Raja England dan Wales. Ketuanan Melayu yang berpaksikan Raja Melayu akan termusnah sama sekali.

7. Ini dibantah oleh Raja-Raja Melayu dan orang Melayu yang menyatukan diri mereka dalam kongres Melayu 1946 yang menubuhkan United Malays National Organization (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). Raja-Raja Melayu dan UMNO berunding selama dua tahun sebelum British bersetuju menarik Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. British menolak Perlembagaan Rakyat cadangan PKM dan sekutunya. Inilah puncanya PKM berdendam dengan British dan memeranginya pada 1948. Orang Melayu iaitu Raja-Raja Melayu dan UMNO menjadi musuhnya. Mereka dilihat sebagai penyokong British yang melangsungkan penjajahan dan tidak memberi kemerdekaan. Walaupun pada masa itu British telah mula memberi semula kuasa pentadbiran negeri kepada Menteri Besar dan ketua-ketua jabatan kerajaan yang dilantik oleh Sultan negeri masing-masing. British hanya berjawatan sebagai Penasihat British sahaja.

8. Orang Melayu memang menolak PKM kerana serik dengan kekejaman yang dilakukannya selama 13 hari semasa mengisi kekosongan pemerintahan Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah. Kekosongan itu telah membolehkan PKM keluar daripada hutan dan menguasai balai polis dan bandar-bandar serta menunjukkan kekuasaannya. Dengan senjata yang canggih, Bintang Tiga PKM menghukum penduduk kampung yang dikatakan bersubahat dengan Jepun atau melakukan kesalahan kepada mereka. Ramai Tok Guru, imam, bekas-bekas pekerja pejabat Jepun dan orang biasa yang telah ditangkap dan dibunuh. Banyak rumah yang dibakar diwaktu malam ketika penghuninya tidur nyenyak di dalamnya. Masjid-masjid juga dicemari dan al-Quran dijadikan pengesat najisnya. Ada orang Melayu yang dikurung dalam bakul keranjang mengangkat babi. Mereka di seksa, ditikam dan dikelar serta disepak seperti bola. Ada yang ditanam hidup-hidup dengan kepalanya di atas tanah untuk disepak seperti bola. Ada yang dibawa masuk ke hutan tanpa berita sehingga kini. Kekejaman komunis itu memang tidak terperikan. Ini menyebabkan kebangkitan beberapa pemimpin Melayu yang membalasnya seperti Kiai Salleh di Batu Pahat dan Cikgu Latif di Negeri Sembilan. Pergaduhan orang Melayu dengan PKM juga berlaku di Perak dan Pahang.

9. Namun, bukan semua orang Melayu melihat kekejaman KOmunis. Mereka yang inginkan kuasa politik tetap bersekongkol dengan PKM. Golongan ini menolak Fiudalisme dan mahukan kemerdekaan seperti kebanyakan negara-negara Asia Tenggara, terutamanya Indonesia yang telah mendapat kemerdekaan dengan menentang Belanda pada 1945. Pengaruh Indonesia ke atas orang Melayu di dalam bidang persuratan dan politik memang tidak dapat dinafikan. Malah ada yang telah menubuhkan cawangan parti politik Indonesia di Tanah Melayu seperti Ibrahim Haji Yaakob, yang mendakwa telah menubuhkan cawangan Partai Nasional Indonesia (PNI) di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), semasa beliau belajar di sana. Malah beliau telah bekerjasama dengan Presiden Sukarno untuk merdeka bersama Indonesia pada 15 Ogos 1945 di bawah tajaan politik berkuasa tentera Jepun. Beliau telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan kemudiannya Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) untuk menunjukkan minatnya untuk merdeka dalam Indonesia Raya atau dipanggilnya Melayu Raya. Beliau kemudian mendapat perlindungan politik dan menjadi orang penting di Indonesia di bawah pemerintahan Presiden Sukarno. Beliau kemudian bersama-sama terlibat untuk mengganyang Malaysia di bawah pemerintahan Presiden itu pada tahun 1963.

10. PKM melihat ada ruang untuk membawa orang Melayu bersamanya menentang British. Mengikut Ahmad Boestamam sendiri dalam bukunya, bahawa PKM telah datang berjumpa dengannya untuk memberi bantuan modal bagi menjadikan akhbar Suara Rakyat itu sebagai bahan propaganda menentang British. Beberapa ketika kemudian PKM telah meminta Ahmad Boestamam menubuhkan sebuah parti sosialis khas untuk orang Melayu; namun Ahmad Boestamam mencadangkan parti tu dinamakan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) supaya ia mudah diterima oleh orang Melayu. Parti itu ditubuhkan sempena sambutan genap setahun kemerdekaan Indonesia dicapai. Bendera Indonesia 'Sang Saka Merah Putih' dan lagu Indonesia Raya menjadi jata rasminya. Parti itu dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, seorang anggota Parti KOmunis Indomesia (PKI).

11. Ahmad Boestamam kemudian menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang menggunakan slogan "Merdeka Dengan Darah". SEbuah bahagian wanita ditubuhkan dengan nama Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh, isteri Ahmad Boestamam. Barisan Tani Malaya (BATAS) dan Barisan Buruh Malaya juga ditubuhkan. Ke semua ini kemudian bergabung dalam Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Mereka bekerjasama rapat dengan PKM (1946-1948) untuk menentang British dan UMNO yang sedang berunding untuk menubuhkan sebuah Persekutuan Tanah Melayu bagi mendapatkan semula negeri dan kedudukan politik seperti sebelum 1941. Kalau dahulu Ibrahim Yaakob bekerjasama dengan Jepun untuk merdeka bersama Indonesia, tetapi kini sebilangan kecil orang Melayu yang masih memperjuangkan Melayu Raya/ Indonesia Raya, bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya untuk mendapat kedudukan dan kuasa politik.

12. Mat Indera termasuk dalam kumpulan ini. Beliau percaya bahawa British itu penjajah. Beliau dengan itu menjadi anggota API dan sama-sama bergerak di bawah payung PUTERA dan PKM. Apabila British mengisytiharkan Darurat pada JUn 1948, semua parti itu terharam. Anggota PKMM, API, AWAS, BATAS dan Barisan Buruh Malaya yang menjadi anggota PUTERA, dengan itu memilih untuk ikut sama berjuang dengan PKM secara gerila di dalam hutan. PKM menubuhkan Rejimen 10 Khas untuk orang Melayu yang bergerak bersamanya. Abdullah C.D. menjadi ketuanya dan pusat gerakannya di Temerloh, Pahang. Di anggarkan seramai 300 orang termasuk wanita menjadi anggotanya. Ini termasuklah Manap Jepun, Wan Ali, Wahi Annuar, Shamsiah Fakeh, Ibrahim Chik dan ramai lagi. Ahmad Boestamam telah ditahan lebih awal manakala DR. Burhanuddin bergerak di Singapura. Pada bulan Disember 1950, Dr. Burhanuddin terlibat dalam kes Natrah dan dipenjarakan selama beberapa tahun di Singapura oleh British. Ternyata Mat Indera dan kumpulannya telah menjadi anggota dan penyokong PKM yang mengangkat senjata untuk menegakkan ideologi komunisme. Mereka menjadi kuda tunggangan KOmunis.

13. Kebangkitan sejata PKM itu telah ditentang oleh tenaga-tenaga muda anak-anak kampung yang bekerja sebagai POlis, Polis Khas (Special Constable) dan Polis Simpanan. Mereka menyahut seruan untuk menjaga keselamatan dan keamanan Persekutuan Tanah Melayu. Mereka sanggup menggadai nyawa untuk memburu pengganas komunis di hutan belantara walaupun gaji yang diterima sangat kecil. Seramai 161, 281 orang anggota Polis yang terlibat dalam penentangan terhadap pengganas komunis itu. Asakar Melayu juga memainkan peranan yang penting dalam usaha mengatasi ancaman komunis itu. Tiga Batalion telah ditubuhkan untuk menentang komunis dalam Darurat 1948-1960. Bersama-sama dengan pasukan anggota KOmanwel yang lain (British, Australia, New Zealand, Fiji, Gurkha dan Afrika), Askar Melayu dan pasukan Polis tempatan telah menentang sejumlah 12,500 pengganas komunis yang mengangkat senjata itu. Operasi ketenteraan British dan orang tempatan itu di samping tindakan-tindakan lain, telah berjaya memburu komunis sehingga akhirnya mereka terpaksa beroperasi kebanyakannya di sempadan Persekutuan Tanah Melayu dan Thailand pada 1953, menandakan kekuatan PKM dan penyokong-penyokongnya (Rejimen 10) telah dapat di atasi. Mat Indera kemudian dapat ditumpaskan oleh Askar Gurkha.

14. Pada tahun 1963/1967, PKM bangkit bagi kali kedua. Parti itu bekerjasama dengan PKI untuk mengganyang Malaysia. Di dalam negara pula, PAS pimpinan DR. Burhanuddin dan Parti Rakyat Malaya pimpinan Ahmad Boestamam sama-sama menentang penubuhan Malaysia di atas dasar Malaysia adalah neo-kolonialisme dan agenda blok Barat. Revolusi Brunei di bawah A.M. Azahari telah diadakan bagi menentang penubuhan Malaysia. Bagaimanapun, Malaysia terus dibina dan PKM dan PKI gagal untuk mendapat kuasa politik. Dalam Peristiwa 13 Mei 1969 sekali lagi menunjukkan campurtangan PKM melalui kerjasamanya dalam parti-parti politk ekstrim yang membangkitkan isu-isu perkauman dan sensitif. Ia mengambil peluang untuk mendapatkan kuasa politik secara kekerasan. Persitiwa 13 Mei telah menyaksikan pertumpahan darah antara kaum di Kuala Lumpur; beratus-ratus orang awam terkorban akibat rasa marah yang tidak terkawal. Pihak tentera dan polis serta komando sekali lagi bertugas menjaga keamanan negara.

15. INi bermakna PKM dan para penyokongnya termasuk Mat Indera tidak berhenti-henti cuba menegakkan ideologinya, dengan menggunakan kekerasan senjata untuk mendapat kuasa politik. Mereka yang mempertahankan keamanan itu adalah anggota polis dan tentera yang bekerja keras bergadai nyawa untuk kesejahteraan masyarakat terbanyak. Dengan kegigihan mereka memburu komunis di hutan belantara, maka ancaman pengganas komunis itu dapat diatasi. Kedaulatan dan kemerdekaan negara dapat dipertahankan. Apakah mereka pembelot bangsa.? Adakah patut Mat Indera dianggap pejuang apabila dia sanggup bersekongkol dengan komunis dan membiarkan bangsanya dan agamanya dimusnahkan? Mengapa pula orang seperti Mat Sabu sanggup mengagungkan penjenayah dan tidak berterima kasih kepada mereka yang telah berjuang menegakkan keamanan sehingga beliau mampu untuk menjadi wakil rakyat pada hari ini? Janganlah memesongkan sejarah dan menghina bangsa demi kepentingan politik peribadi..


Oleh,

Prof Datuk DR. Ramlah Adam

Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi

Universiti Teknologi MARA