Translate

Monday, 17 November 2008

PERLUKAH CONTOHI AS?

JIKA BENAR-BENAR ANDA SEORANG BERJIWA MELAYU ; SILA BACA ARTIKEL INI SAMPAI TAMAT..!


Oleh : DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
Naib Presiden, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA)

1. SETELAH mendengar dan membaca dolak-dalih Datuk Tan Lian Hoe yang menyalahkan wartawan (Utusan Malaysia terutamanya) dan orang lain kerana memutar-belitkan kenyataannya sebelum ini, saya terus terpanggil untuk terus menulis. Apatah lagi isu pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus (Dasar Ekonomi Baru) masih belum reda setelah berkali-kali ia disarankan oleh MCA, DAP dan Gerakan agar ia dihapuskan.

2. Terbaru, timbul pula cerita lama yang secara sengaja dibangkitkan semula oleh ketiga-tiga parti politik Cina ini. Mereka mahukan negara kita meniru atau mencontohi trend yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) yang memilih Barack Hussein Obama, seorang pemimpin berkulit hitam menjadi Presiden negara tersebut, memecah tembok perkauman antara kulit putih dan kulit hitam selama lebih 200 tahun. MCA, DAP dan Gerakan mahukan negara kita turut memecah tembok perkauman ini dengan melantik bukan Melayu sebagai ketua negara atau ketua syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) atau kerajaan negeri.

3. Apa yang saya lihat, kerajaan telah banyak membuka ruang dan peluang sebegini, cuma saya belum melihat respons syarikat-syarikat yang diterajui oleh bukan Melayu membuka ruang dan peluang kepada orang Melayu. Kalau adapun hanyalah sebagai syarat untuk mengaburi mata orang Melayu sahaja atau melariskan perniagaan mereka dalam sektor makanan dan perkhidmatan. Lebih menyedihkan lagi ada yang tidak diberikan kesempatan masa untuk bersembahyang dan solat Jumaat.

4. Permainan politik ini membuatkan saya teringat kepada kata-kata bekas Presiden MCA, Tun Tan Cheng Lock yang meluahkan pandangannya terhadap seorang pemimpin Melayu seperti yang dinukilkan oleh teman seangkatannya, Thio Chan Bee. Chan Bee dalam artikel bertajuk The Foundation of Racial Harmony, merakamkan perbualan Cheng Lock dengan seorang pemimpin Melayu ketika MCA hendak ditubuhkan.

"Orang Cina sudah mempunyai kuasa ekonomi manakala orang Melayu mempunyai kuasa politik. Jika orang Cina menolong orang Melayu membantu meningkatkan status ekonominya, sudah pasti orang Melayu akan berkongsi kuasa politik dengan orang Cina. Jika orang Cina mahu memberikan kerjasama dengan orang Melayu, orang Melayu pasti mengalu-alukan kerjasama itu. Sebaliknya, jika orang Cina bertekad untuk menentang orang Melayu, sudah tentu secara spontan orang Melayu akan membalas tindakan tersebut".

5. Mendengar sahaja kata-kata itu, Cheng Lock berasa gembira dan mengumumkan penubuhan MCA dengan matlamat utama untuk menggalakkan dan mengekalkan hubungan harmoni antara kaum di Malaya. Asas hubungan kerjasama telah disepakati (Bulletin MCA, The Guardian. Vol 2. June 2006: 5). Dengan tertubuhnya MCA juga, semakin ramai orang Cina tidak dihantar balik ke negeri asal mereka di China.

6. Inilah bentuk pakatan politik yang dikatakan telah berjaya menyatukan kaum Melayu-Cina ketika itu. Orang Melayu berpegang kepada prinsip more power more say, manakala orang Cina dengan budaya more money more say. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama, amat optimis dengan formula ini dan pernah meluahkan kata-kata yang sama, let Malay handle the power, the Chinese take care of the business (Comber, 2007). Tunku juga merasakan formula ini akan membawa kejayaan kepada Tanah Melayu dan ia perlu dikekalkan.

7. Kenyataan ini turut diperakui oleh Comber (2007: xxii) yang memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969 yang menyebut bahawa "Orang- orang Melayu telah memperolehi kuasa politik untuk diri mereka sendiri. Orang- orang Cina dan India telah memenangi kuasa ekonomi."

8. Namun, keadaan berlaku sebaliknya. 'Formula' Tunku ini semakin meretakkan hubungan baik antara Cina-Melayu kerana orang Cina tidak mahu mematuhi perkara yang telah dipersetujui itu. Orang-orang Cina lebih terpengaruh dengan kempen Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh PAP sebelum itu yakni konsep sama rasa dan sama rata. Setelah ekonomi dikuasai, PAP juga mahukan jawatan tertinggi negara turut dibuka kepada mereka, termasuk jawatan Perdana Menteri.

Kebaikan

9. 'Formula' Tunku ini ditentang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Dr. Mahathir mengkritik secara terbuka terhadap Tunku Abdul Rahman dengan melabelkan Tunku sebagai Chinese lover. Penguasaan kuasa ekonomi dan kuasa politik mengikut garis kaum ini tidak akan mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak, malah akan merumitkan lagi keadaan pada masa akan datang.

10. Hari ini, apa yang nyata, formula ini tidak boleh diterima pakai. Keadaan sudah jauh berubah dan jauh berbeza. Menurut Lee Boon Kok (temubual, 8 Januari 2007), kata-kata biarlah orang Melayu memegang kuasa politik dan orang Cina, memegangkan kuasa ekonomi sudah tidak relevan lagi. Orang Cina mahu lebih daripada itu. Mereka bukan hanya mahukan kuasa ekonomi, tetapi juga kuasa politik. Dengan adanya kuasa politik, barulah kegiatan ekonomi boleh berkembang dan berjalan dengan lancar.

11. Orang Cina tidak akan berhenti menuntut dan mendesak selagi tidak wujud konsep sama rata dan sama rasa. Melalui sistem perkongsian kuasa dengan dalam Barisan Nasional (BN), kuasa juga mereka telah perolehi, tetapi mereka terus meminta lebih kuasa. DAP terus membangkitkan bahawa jawatan Menteri Kewangan, malah jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, perlu dibuka kepada orang Cina. Begitu juga desakan jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam.

12. Orang Cina terus mendesak agar jawatan-jawatan ini diberikan kepada mereka selain dibolot daripada orang Melayu. Pendek kata, apa yang dirasai oleh orang Melayu, mesti juga dirasai oleh orang Cina. Inilah sifat kiasu atau mahu sentiasa menang yang mula bersarang pada generasi hari ini. Sifat kiasu ini adalah baik jika digunakan pada tempatnya yang betul. Tetapi dalam konteks yang berlaku masa kini, sifat ini berlaku dalam keadaan yang amat menakutkan. Sekadar mempunyai kuasa ekonomi tidak cukup, ia mesti disertai dengan kuasa politik, barulah boleh mendapat segala-galanya.

13. Saya tidak menafikan sumbangan orang Cina terhadap perkembangan ekonomi negara kita. Tanpa orang Cina, Malaysia tidak seperti adanya pada hari ini. Jika dicabut semua bangunan orang Cina di Kuala Lumpur sahaja, kita dapat lihat bagaimana hodohnya wajah Kuala Lumpur seolah-olah seperti berada pada zaman pra-merdeka. Saya fikir semua orang mengakui bahawa orang Cina telah memberikan sumbangan yang begitu besar terhadap perkembangan dan kegiatan ekonomi negara ini.

14. Namun, apa yang saya persoal adalah yang melampaui batas seperti kaduk naik junjung atau seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Lihatlah realiti sejarah dan keadaan sebenarnya Malaysia. Kita perlu ingat, keadaan di AS berlainan dengan keadaan kita. Begitulah juga dengan sejarahnya. Malaysia bukan AS dan AS bukan Malaysia. Mengambil contoh AS, adalah pemikiran ultra kiasu yang bahaya dalam politik di Malaysia. Inilah akibatnya apabila masih ramai warganegara buta sejarah, seperti mana yang disebut oleh Lian Hoe.

15. Lian Hoe yang tampil mempertahankan diri, mengatakan bahawa mereka yang mempolitikkan ucapannya sebagai buta sejarah dan mempunyai mentaliti kelas ketiga. Selaku seorang pengkaji, saya terus mencari biodata Lian Hoe untuk melihat kepakaran bidang beliau. Setelah diselidiki maka barulah saya tahu bahawa beliau memiliki ijazah pengajian Melayu daripada Universiti Malaya, pernah menjadi guru dan penolong kanan sekolah sebelum bergiat secara aktif dalam politik. Bermakna beliau bukanlah pakar bidang sejarah.

Sejarah

16. Seorang pakar adalah mereka yang mengkhusus dalam bidang diceburi dengan mendapat ijazah sarjana dan doktor falsafah. Apatah lagi bidang antara bahasa Melayu dan sejarah agak jauh berbeza. Trend buta sejarah atau sengaja membutakan sejarah mula berleluasa dalam masyarakat bukan Melayu hari ini. Dunia sudah terbalik. Golongan pakar bercakap sesuatu di luar kepakarannya. Manakala yang pakar tidak bercakap tentang kepakarannya. Ini yang disebutkan sebagai pakar atau profesor kangkung. Budaya merujuk pakar sudah tidak berlaku lagi.

17. Hari ini, semua orang mahu mendapatkan keuntungan politik dan menjadi jaguh, maka bercakaplah mereka walaupun terkeluar daripada bidang mereka. Dengan harapan, mudah-mudahan apa yang dikeluarkan itu dapat menambah undi dan terus memegang kuasa. Keadaan menjadi semakin buruk apabila ia disokong oleh sistem pendidikan perkauman yang tidak banyak membantu mencelikkan mereka yang buta sejarah.

18. Apa yang wujud adalah, yang buta sejarah terus menjadi buta. Manakala yang tidak buta, buat-buat buta, sehingga menjadikan kenyataan-kenyataan yang dihamburkan amat pahit untuk diterima oleh mereka yang faham sejarah. Apatah lagi dalam kes Lian Hoe (Gerakan), Low Tiong Lai (MCA) dan Lim Kit Siang (DAP), yang saya fikir sengaja membutakan sejarah.

19. Semua ini berlaku disebabkan kita gagal melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasional yang tinggi. Apa yang ada hari ini ialah rakyat yang mempunyai semangat perkauman yang amat menebal. Ini disebabkan oleh sistem pendidikan perkauman yang terus- menerus dibiarkan terasing daripada arus perdana.

20. Secara umumnya, terdapat dua jenis kumpulan bukan Melayu di negara ini berasaskan pendidikan perkauman. Dalam hal ini, saya hanya mengambil contoh kumpulan orang Cina sahaja yang mewakili 26 peratus keseluruhan penduduk, yakni berjumlah 6.5 juta orang, selaku majoriti kedua terbesar. Kumpulan pertama orang Cina, mewakili 85-90 peratus, berlatar belakangkan perkauman Cina, berpegang kepada tiga rukun, menyertai pertubuhan-pertubuhan Cina, bersekolah Cina dan membaca/mendengar/menonton media Cina. Rata-rata berpendapat bahawa hanya sekolah Cina sahaja yang dapat mengekalkan kecinaan mereka. Kumpulan ini kebanyakan tidak bergantung kepada kerajaan. Mereka banyak berdikari dengan menjalankan perniagaan persendirian.

21. Manakala selebihnya mewakili kumpulan kedua, 10-15 peratus, adalah kumpulan yang mendapat pendidikan Inggeris yang tidak mendapat pendidikan Cina. Kebanyakan mereka ada yang beragama Kristian, Cina Peranakan dan menyertai kelab Lions dan Rotary. Kumpulan kedua ini banyak mensosialisasikan diri mereka dengan persekitaran Melayu, berbanding majoriti kumpulan satu hanya mensosialisasikan diri mereka dengan kelompok Cina sahaja.

22. Melalui kajian yang saya lakukan, kebanyakan di kalangan mereka langsung tidak mempunyai kawan berbangsa Melayu, apatah lagi untuk bergaul antara satu sama lain. Pendek kata majoriti hidup dalam kepompong dan tempurung mereka sahaja. Proses sosialisasi itu telah berlaku sekian lama dalam kesemua bidang, ekonomi, politik, sosial, media dan sebagainya.

23. Akibatnya, kita hanya berjaya melahirkan rakyat yang hidup dalam kepompong perkauman, hanya meletakkan kepentingan bangsa atau etnik di hadapan, dengan mengenepikan kepentingan nasional.\Tidakkah sepatutnya dalam sebuah negara berbilang kaum, kepentingan nasional mesti diletakkan di hadapan berbanding dengan kepentingan etnik?

Bersambung esok

Sunday, 16 November 2008

PERISYTIHARAN PRIBUMI PERKASA 16 NOV 2008

Pada 16 hb Nov 2008 , jam 0.800 pagi - 1.00 tengahari di Memorial Tun Hussein Onn, Bukit Perdana, Kuala Lumpur ; saya telah berkesempatan menghadiri satu majlis Wacana Perkasa anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA ) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia. Ucaptama wacana ini telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia. Di akhir wacana ini, satu deklarasi yang dinamakan PERISYTIHARAN PERKASA MENGENAI HAK-HAK PRIBUMI DALAM PERLEMBAGAAN telah disepakati. Teks kepada Pengisytiharan tersebut adalah seperti berikut:

BISMILLAHIR-RAHMANIR-RAHIM.

1) MENGINSAFI BAHAWA kelangsungan dan kejayaan Persekutuan Malaysia akan sentiasa bergantung kepada kejayaan sebenar usaha-usaha pengisian Kedaulatan Melayu dan Pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia;

2) MENYEDARI BAHAWA sebarang usaha untuk menafikan kedudukan, kuasa, wibawa, kepentingan dan peranan Kedaulatan Melayu dan Pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia akan menghasilkan ketidaktentuan kepimpinan negara dan amalan politik yang tidak terarah danb lemah;

3) MENYEDARI BAHAWA ancaman-ancaman terhadap kelangsungan dan kejayaan Persekutuan Malaysia yang berteraskan kepada Kedaulatan Melayu dan pribumi, telah dan sedang berlaku dengan hebat, tersusun dan menyeluruh, yang menuntut perjuangan dan tindakan-tindakan penentangan dari bangsa Melayu dan pribumi, serta masyarakat terbanyak;

4) MENGETAHUI BAHAWA kaum bukan Melayu di Malaysia memiliki jaminan hak dan kepentingan sah pada tahap paling tinggi di bawah perlindungan Seri PadukanBaginda Yang DiPertuan Agong;

MAKA dengan berpandu kepada fakta-fakta yang benar, bukti-bukti sejarah dan bukti-bukti terkini dan hujah-hujah yang sah, KAMI Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dengan kerjasama Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang bersidang pada hari ini, 16 November 2008 bersamaan 18 Dzulkaedah 1429H, dalam wacana Hak-Hak Pribumi dalam Perlembagaan di Auditorium Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, dengan tegas dan lantang menyatakan bahawa :

SATU - MENGGESA pihak kerajaan (persekutuan dan negeri ) agar sentiasa mendapatkan restu dan perkenan DYMM Raja-Raja Melayu bagi apa jua tindakan pentadbiran yang menyentuh atau berkaitan dengan hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Pribumi di Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain;

KEDUA - MENGGESA semua pihak supaya menghormati semangat perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan yang secara langsung atau tidak langsung menjejas dan menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Di atas semangat yang sama, kami menuntut dilaksanakan penggunaan sepenuhnya Bahasa Melayu dalam urusan perundangan dan kehakiman negara;

KETIGA - MENGINGATKAN bahawa peruntukkan asas perlembagaan adalah suatu piagam yang tidak boleh sama sekali di ubah, dipinda, dibuang, dimansuh atau dicabar secara sewenang-wenangnya. Ini kerana peruntukkan-peruntukkan asas tersebut bukan sekadar suatu dokumen undang-undang, tetapi ia mencatatkan dan melambangkan semangat permuafakatan dan kerjasama pelbagai pihak dan kepentingan;

KEEMPAT - MENCADANGKAN agar kedudukan tanah rezab Melayu dan regimen askar Melayu dimasukkan di bawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan kepada perkara 159 Fasal (5) dan perkaras 10 fasal (4). Ini berdasarkan hakikat bahawa perlembagaan adalah suatu piagam yang di dalamnya terjamin maktub struktur asas Negara bangsa Malaysia ;

KELIMA - PERCAYA bahawa faham ketuanan Melayu sering disalah tafsir sedangkan ianya adalah satu hakikat sejarah bahawa orang Melayu dan pribumi lainnya adalah tuan rumah asal negara ini. Pembuktian mengenai faham ketuanan ini secara langsung telah dilambangkan melalui institusi Raja-Raja Melayu melalui ketuanan berhemah seperti yang terjamin maktub di dalam perlembagaan persekutuan. Justeru, itulah seluruh peruntukkan dalam perlembagaan Raja Melayu dan pribumi tidak boleh dipertikaikan;

KEENAM - MENGUSULKAN agar beberapa peruntukkan khas perlu diadakan dan dilindungi di bawah perlembagaan bagi memelihara dan memajukan kedudukan dan kepentingan golongan yang daif dan miskin secara saksama tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama;

KETUJUH - MENGGESA agar semua rakyat, terutamanya generasi muda serta pemimpin semua peringkat, wajib memahami isi kandungan serta peranan perlembagaan dalam menjamin ketenteraman dan keharmonian Malaysia sebagai sebuah Negara bangsa. Untuk itu kerajaan pusat dan negeri harus mewajibkan kefahaman ini kepada kumpulan sasar melalui sistem pendidikan atau kursus-kursus khas seperti pusat latihan khidmat Negara ;

KELAPAN - MENGGESA agar semua parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar mengakui dan menerima peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan hak-hak keistimewaan kaum melayu dan bumiputra serta kepentingan-kepentingan sah kaum lain serta tidak mengeksploitasi peruntukan di atas bagi maksud-maksud sempit sehingga menggugat keharmonian dan kestabilan Negara bangsa.

Menginsafi dan menyedari bahawa perjuangan mempertahankan yang hak dan benar dan memperkasakan Kedaulatan melayu dan pribumi memerlukan beberapa tindakan segera, maka KAMI mengesyorkan :

(i) Supaya dirangka dan dilaksanakan satu program raksasa memberi pendidikan dan memasyarakatkan, berdasarkan kumpulan sasaran yang ditetapkan akan kedudukan, kuasa, wibawa, kepentingan dan peranan Kedaulatan melayu dan pribumi dalam proses kenegaraan dan amalan masyarakat Malaysia, di mana Institusi Raja-Raja Melayu mohon Menjungjung Kasih akan berperanan sebagai Penaung dan Penasihat;

(ii) Supaya diambil tindakan menyusun kurikulum program pemasyarakatan ini secara lengkap dan kaedah penyampaiannya ditentukan supaya berkesan ditahap di mana kumpulan sasaran berupaya menjiwainya;

(iii) Supaya disusun strategi yang menyeluruh dan bertindak secara bijaksana dan berkesan bagi mengalahkan peperangan psikologi dan saraf, usaha-usaha halus dan terang-terangan penghakisan dan pengkhianatan terhadap asas-asas, struktur-struktur dan kekuatan Kedaulatan Melayu;

(iv) Menggesa pihak yang bertanggungjawab agar merangka pelan-pelan dan jangkamasa tindakan serta pengukuran kejayaan terhadap usaha-usaha memperkasakan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan pribumi serta mendapatkan pandangan dan maklum balas dari Duli-Duli Yang Maha MUlia Raja-Raja Melayu selaku Penaung dan Penasihat, dan melaksanakan semua pelan-pelan tindakan ini sehingga berjaya.


KUALA LUMPUR
16 November 2008/ 18 Dzulkaedah 1429H


Thursday, 13 November 2008

TAZKIRAH JUMAAT : 7 SEBAB MENJADI PUNCA HASAD DENGKI

IMAM AL-GHAZALI TELAH MERUMUSKAN BAHAWA TERDAPAT 7 SEBAB MENGAPA TIMBULNYA SIFAT HASAD DENGKI DALAM DIRI MANUSIA, IAITU :

PERTAMA : Perseteruan Dan Kebencian - ianya merupakan sebab yang paling kuat dan paling jelas. Seseorang yang disakiti kerana suatu sebab tertentu, ataupun yang tidak disetujui oleh orang lain di dalam sesuatu hal yang bercanggah dengan kehendak peribadinya, maka perasaan marah akan mengatasi kesabaran di dalam dirinya sehingga boleh mencetuskan perseteruan dan kebencian. Orang yang sedemikian akan merasa gembira apabila apa sahaja kesusahan atau bencana yang menimpa ke atas diri orang yang dimarahi dan dibencinya, sebaliknya dia akan rasa berdukacita dan bersedih jika orang yang dimusuhinya mendapat nikmat dan kesenangan. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud :

"Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya..."
( Surah Ali Imran : Ayat 120 )

KEDUA : Bangga dengan Kedudukan dan Kemuliaan - iaitu terasa begitu berat dalam hatinya atau terasa begitu sakit dalam hatinya dengan sebab orang lain lebih atas darinya. Jika ada di antara mereka yang setaraf dengannya mendapat sesuatu yang lebih darinya, sama ada tentang pangkat atau ilmu pengetahuan ataupun harta kekayaan, maka dia merasa bimbang kalau-kalau teman setarafnya itu bersikap angkuh atau takbur ke atas dirinya. Dia rela kalau temannya itu terus berada dalam keadaan atau kedudukan yang sama taraf dengan dirinya, sebaliknya tidak rela kalau temannya itu lebih mengatasi darinya.

KETIGA : Angkuh (Takbur ) - angkuh serta meninggi diri dengan memperkecil-kecilkan apa yang dimiliki oleh orang lain dan mengharapkan agar orang lain yang diperlekehkannya itu terus mengikut serta menuruti kehendaknya. Beliau sentiasa bimbang dan takut jika orang lain yang diperkecilkannya itu tidak lagi menurut ataupun mengikut segala kehendak hatinya. Sifat hasad yang berpunca daripada takbur ini adalah suatu sifat yang dipunyai oleh kebanyakan orang bangsawan Arab Jahiliah.

KEEMPAT : Ta'ajub - rasa ta'ajub atau rasa hairan dengan kenikmatan, kemuliaan dan kelebihan yang ada pada diri. Boleh juga disebut sebagai bangga diri, tetapi tidak sampai kepada tahap angkuh dan sombong. Orang yang sedemikian akan sentiasa menceritakan kebaikan dirinya di khalayak ramai dan suka orang lain membodek serta memuji dirinya ( suka diampu ). Akan lahir rasa sakit dalam hatinya jika ada orang memuji orang lain yang lebih baik darinya.

KELIMA : Bimbang dan Takut Cita-Cita Tak Tercapai - perasaan ini terkhusus bagi mereka yang saling berlumba untuk merebut satu tujuan atau cita-cita yang yang sama, seperti adik-beradik yang berhasad dengki sesama mereka bagi mendapatkan kepercayaan bapanya. Perasaan ini juga banyak terdapat di kalangan orang-orang politik yang sentiasa bersaing untuk mendapatkan pengaruh daripada pemimpin atasan. Jika sampai ke tahap orang lain itu boleh menyekat cita-cita ataupun menghalang matlamatnya, maka hasad dengki akan menguasai dirinya bagi membolehkan dirinya berjaya dan pesaingnya gagal.

KEENAM : Gilakan nama dan Kemasyhuran dalam Bidang-Bidang tertentu - seperti seseorang yang bercita-cita untuk mencapai kejayaan atau untuk menjadi juara dan jaguh dalam satu-satu bidang tertentu yang tidak ada tandingannya, ataupun yang berusaha agar rekodnya tidak dapat ditandingi oleh orang lain dengan tujuan supaya dirinya sentiasa disanjungi dan dipuja oleh orang ramai. Orang yang sedemikan, jika mendengar berita tentang terdapatnya orang lain yang mampu menandingi serta mengatasinya maka akan sakitlah hatinya. Ianya lebih suka jika pencabarnya itu diragut maut atau hilang keistimewaan yang dinikmatinya, supaya dia kekal sebagai juara tanpa ada tandingan atau saingan.

KETUJUH : Busuk Hati - hasad yang berpunca daripada busuk hati ini payah untuk dirawat kerana sifat busuk hati ini semacam sudah sebati dalam dirinya. Orang yang hasad kerana busuk hati adalah seorang yang paling bakhil, kerana ia beranggapan bahawa orang lain yang mendapat kelebihan darinya itu telah meragut sesuatu dari miliknya, sedangkan apa yang diperolehi oleh orang lain itu adalah datangnya dari milik Allah. Orang ini cukup bakhil dan busuk hatinya kerana apa yang hendak diberi oleh Allah kepada orang lainpun beliau sanggup mempertikaikan Allah kerana memberi kenikmatan kepada orang lain.

KESIMPULAN : Jika dalam diri kita bermaharajalela hawa nafsu yang berpunca daripada ketujuh-tujuh sebab ini, maka akan lahirlah perasaan hasad dengki dan khianat dalam diri kita. Jika ianya tidak dapat dihindarkan ataupun kita tidak berusaha untuk menepisnya keluar dari dalam hati kita, maka hasad dengki dan khianat ini akan sebati dalam darah daging kita. Justeru, cara merawatnya supaya sifat hasad dengki ini terhindar dalam diri kita ialah dengan kita melakukan tindakan-tindakan positif yang bertentang dengan maksud ketujuh-tujuh punca kejahatan yang disebutkan di atas.


Wednesday, 12 November 2008

KAJIAN HIS : 301,000 MELAYU BERPENDAPATAN KURANG RM 1,000

1. PENYIASATAN PENDAPATAN ISI RUMAH (HIS) TAHUN 2007 OLEH JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA MENDAPATI SEJUMLAH 301,000 ORANG PENDUDUK ISI RUMAH MELAYU DARIPADA JUMLAH 496,500 ORANG PENDUDUK DI NEGARA INI MEMPEROLEHI PENDAPATAN KURANG RM 1,000 SEBULAN, IAITU PALING RAMAI BERBANDING DENGAN KAUM CINA DAN INDIA. IANYA MENUNJUKKAN JUMLAH PERATUSAN SEBANYAK 60.6 PERATUS. KAUM CINA BERJUMLAH 50,900 (10.3 %), KAUM INDIA BERJUMLAH 29,300 (5.8 %). PERANGKAAN TERPERINCI BAGI JUMLAH PENDAPATAN MENGIKUT KAUM ADALAH SEPERTI DI BAWAH :

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) Jabatan Perangkaan Malaysia 2007

PENDAPATAN

MELAYU

CINA

INDIA

Bawah RM 1,000

301,000

50,900

29,300

RM 1,001 – RM 2,000

976,500

338,300

125,300

RM 2,001 – RM 3,000

614,700

300,800

121,500

RM 3,001 – RM 4,000

380,500

234,700

73,300

RM 4,001 – RM 5,000

254,700

166,600

44,800

RM 5,001 – RM 10,000

419,200

368,400

76,800

RM 10,001 – RM 20,000

85,700

118,700

23,400

Melebihi RM 20,000

16,500

27,900

3,600


2. BAGAIMANAPUN, BAGI PENDAPATAN ANTARA RM 10,001 - RM 20,000 DAN JUGA PENDAPATAN YANG MELEBIHI RM 20,000 SEBULAN ; KAUM CINA TELAH MENDAHULUI LAIN-LAIN KAUM DI NEGARA INI. MELAYU HANYA BERJUMLAH 102,200 , KAUM CINA BERJUMLAH 146,600 DAN INDIA BERJUMLAH 27,000.

3. Justeru, mana-mana pemimpin UMNO masa kini yang bakal diberi amanah untuk memimpin negara ke arah menjadikan malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 nanti, maka fokusnya haruslah memperkasakan agenda untuk meningkatkan ekonomi umat melayu agar setanding dengan kaum cina yang jauh lebih maju taraf ekonominya . Perdana menteri kita terdiri dari kalangan orang Melayu, begitu juga dengan menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar dan seluruh ketua-ketua jabatan kerajaan di negara ini dikuasai 90 peratusnya oleh kaum melayu.

4. Habis..! kenapa kaum Melayu masih ketinggalan jauh dari sudut memperolehi pendapatan isi rumah berbanding dengan kaum cina. Nak bersaing menguasai ekonomi negara ini memang jauh sekali lah..! Sekarangpun hanya mencapai setakat 18 peratus penguasaan ekonomi di negara tanah air sendiri. Jadi, mana-mana pemimpin yang ingin menawarkan diri sebagai MT UMNO, kepimpinan tertinggi Exco Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO wajiblah menjadikan agenda memperkasa ekonomi umat Melayu dan Islam sebagai suatu jihad dalam perjuangan mereka nanti.

5. Kepada ahli-ahli UMNO serta para perwakilan UMNO yang telah terpilih sebagai wakil UMNO Bahagian masing-masing ke Perhimpunan Agung UMNO pada Bulan Mac tahun 2009 nanti, anda adalah dinasihatkan agar memilih pemimpin yang bersih, berakhlak mulia, mempunyai daya juang untuk membela nasib bangsa Melayu dan mempunyai nilai-nilai agama serta kerohanian yang tinggi. Janganlah memilih pemimpin yang rasuah dan tidak bermoral. Bagaimana kita nak memberi amanah kepada para pemimpin bagi menjaga kepentingan Melayu dan Islam suatu masa nanti, jika pemimpin ini terdiri dari kalangan mereka yang rasuah dan tidak bermoral..? KITA KENA BERANI BERUBAH..!

Monday, 10 November 2008

RAIS YATIM ANAK DIDIK TUN RAZAK

1. Seramai 8 orang tokoh pemimpin UMNO telahpun layak untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada Pemilihan Agung UMNO Mac 2009 nanti. Mereka ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ( Johor ), Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Perak), Dato' Seri Mohd Khaled Nordin (Johor), Dato' Mohd Shafei Afdhal (Sabah), Datuk Seri Syed Hamid Albar (Johor), Tan Sri Mohd Isa Samad ( N.Sembilan), Dato' Seri Dr. Rais Yatim (N.Sembilan)dan Dato' Seri Dr Jamaluddin Jarjis (Pahang).

2. Siapakah tiga orang dari kalangan 8 orang calon-calon Naib Presiden ini akan menjadi pilihan para perwakilan UMNO pada bulan Mac tahun 2009 nanti. 6 orang daripada calon-calon ini adalah berjawatan Menteri dan terdapat 2 orang merupakan bekas Menteri ( Dato' Seri JJ dan Tan Sri Isa Samad ). Jika perwakilan memilih mengikut keutamaan daripada kalangan mereka yang berjawatan Menteri dan sentimen mewakili negeri dan wilayah, maka terdapat 4 orang tokoh yang menjadi pilihan iaitu :

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein ( Johor )
Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ( Perak )
Datuk Seri Dr. Rais Yatim ( Negeri Sembilan )
Dato' Seri Mohd Shafei Afdhal ( Sabah )

3. Ramai generasi muda dalam UMNO hari ini yang tidak mengenali 'track record' ke semua calon-calon ini. Salah seorang calon Naib Presiden ini iaitu Datuk Seri Dr. Rais Yatim adalah satu-satunya Menteri Kanan hari ini yang paling lama sekali berkhidmat di dalam Kerajaan BN. Bermula pada tahun 1974 sebagai Setiausaha Parlimen, 1976 sebagai Timbalan Menteri, 1978 sebagai Menteri Besar, 1982 - 1987 sebagai Menteri Penuh dan dilantik semula sebagai Menteri Penuh pada tahun 1999 hingga kini. Ini bermakna bahawa beliau telah berkhidmat di bawah kepimpinan 4 orang Perdana Menteri , iaitu pada zaman Allahyarham Tun Razak, Tun Hussein Onn ,Tun Dr. Mahathir, Dato' Seri Abdullah . Insya Allah pada bulan Mac tahun 2009 nanti, Datuk Seri Dr. Rais Yatim akan berkhidmat pula dibawah Perdana Menteri yang baru YAB Dato' Sri Mohd Naib Razak. Ini bermakna bahawa beliau telah dan akan berkhidmat di bawah 5 orang Perdana Menteri Malaysia. Beliau hanya tidak berkesempatan berkhidmat di bawah kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman seorang sahaja.

4. Bayangkan kehebatan Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang boleh bertahan dalam politik UMNO sejak tahun 1974 hingga kini. Berbanding beliau dengan Perdana Menteri hari ini ( Pak Lah) yang bermula karier politinya pada tahun 1978 dan begitu juga dengan Dato' Seri Mohd Najib yang memulakan karier politiknya pada tahun 1976, ternyata bahawa Datuk Seri Dr Rais lebih 'senior' daripada mereka berdua. Kalau di Singapura, sudah tentu Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah dilantik sebagai Menteri Mentor sepertimana bekas Presiden Singapura, Lee Kuan Yew.

5. Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebenarnya adalah anak didik Allahyarham Tun Razak. Beliau adalah satu-satunya tokoh muda yang diberi kepercayaan oleh Tun Razak untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1974 di Parlimen Jelebu dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan. Pada masa itu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang Pengarah Belia di Kementerian berkenaan.

6. Sekarang Allah telah menentukan bahawa seorang tokoh muda yang dididik oleh Tun Razak pada tahun 1974, kini akan menjadi orang penting dalam kabinet YAB Dato' Seri Mohd Najib Razak pada bulan Mac 2009 nanti. Amat tepat sekali jika para perwakilan UMNO di seluruh negara memilih Dato' Seri Dr. Rais Yatim sebagai salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden di dalam Pemilihan UMNO Mac tahun depan. Ini kerana pengalaman beliau bersama Allahyarham Tun Razak sejak tahun 1974 dahulu boleh digunakan oleh beliau untuk memperkasakan UMNO dan perjuangan memartabatkan perjuangan Melayu di bawah kepimpinan anak kepada Allahyarham Tun Razak iaitu Dato' Sri Mohd Najib.

7. Hanya YB Datuk Seri Dr. Rais Yatim seorang sahaja di kalangan 8 orang calon-calon Naib Presiden yang layak bertanding pada bulan Mac tahun depan yang merupakan Menteri paling kanan dan senior. Kita kena memanfaatkan pengalaman serta kebolehan beliau agar dapat menyumbang buah fikiran secara efektif dan berkesan sebagai salah seorang Naib Presiden di bawah kepimpinan Dato' Sri Mohd Najib nanti. Amat rugi jika UMNO tidak memilih pemimpin yang banyak pengalaman seperti Dato' Seri Dr. Rais Yatim demi untuk meremajakan semula UMNO dan memperkukuhkan semula keyakinan rakyat kepada UMNO.

8. Dua orang calon Naib Presiden lagi tu, pandai-pandailah kita membuat keputusan bagi memilih tokoh yang benar-benar boleh membawa perubahan serta menjiwai kehendak golongan muda dan juga bertepatan dengan selera golongan yang inginkan nilai-nilai kekuatan agama dalam kepimpinan UMNO masa kini dan masa depan..

Friday, 7 November 2008

HAWA NAFSU DAN KESAN BURUKNYA

TAZKIRAH JUMAAT UNTUK DIRI SAYA DAN SIDANG PEMBACA..!

1. Jika dicari asal makna 'hawa' dalam bahawa Arab maka ia merujuk kepada pengertian 'suka' ataupun 'cinta'. Menurut ahli bahasa, 'hawa' ialah kesukaan manusia kepada sesuatu yang dapat menggembirakan serta memenangkan hatinya. Sedangkan 'nafsu' ianya merupakan suatu dorongan dalaman yang menjadi fitrah jiwa manusia untuk mencapai pelbagai jenis keinginan dan keseronokan di dalam kehidupannya.

2. Firman Allah s.w.t, bermaksud :
" Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini; iaitu kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)."
( Surah Ali Imran : Ayat 14 )

3. Hikmah Allah menciptakan nafsu keinginan dalam diri manusia ialah dengan tujuan untuk mendorong manusia mendapatkan apa juga perkara yang menjadi kemaslahatan dirinya atau kesinambungan zuriatnya. Keadaan nafsu yang menginginkan pelbagai perkara ini bukanlah satu kesalahan. Yang dicela dan salah ialah jika seseorang itu berusaha untuk mendapatkan keinginannya menerusi jalan yang tidak disyariatkan, atau menyebabkannya berpaling daripada mentaati perintah Allah s.w.t.

4. Imam al-Ghazali rahimahullah pernah berkata: " Sesungguhnya hawa nafsu ialah suatu bentuk keinginan yang tidak terpuji. Adapun keinginan yang terpuji adalah datangnya daripada panduan Allah s.w.t, yakni kekuatan ataupun dorongan yang menyebabkan manusia mahu menggerakkan dirinya untuk mendapat sesuatu perkara yang bermanfaat, sama ada untuk dirinya, keturunannya ataupun kedua-duanya sekali".

5. Rasulullah s.a.w menerusi hadisnya telah mengkategorikan kehendak hawa nafsu yang buruk ini kepada salah satu daripada tiga perkara yang membinasakan seseorang, iaitu :

" Ada Tiga perkara yang membinasakan, iaitu bakhil yang dituruti, hawa nafsu yang dituruti, dan kekaguman seseorang kepada dirinya. Dan ada tiga perkara pula yang membebaskan: takut kepada Allah dalam keadaan bersunyi-sunyi atau terang-terangan, berniat untuk menjadi fakir dan kaya, dan kalimat yang benar bagi orang yang marah atau suka".
( Riwayat Baihaqi )

6. Menerusi hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga sifat mazmumah (tercela) yang mesti kita singkirkan dalam diri kita dan terdapat tiga pula sifat mahmudah (terpuji ) yang mesti menjadi pakaian dan juga amalan dalam kehidupan kita. Ketiga-tiga sifat mazmumah yang tercela itu ialah sifat bakhil yang melampaui batas, terlalu menuruti tuntutan hawa nafsu sehingga menjadikan nafsu sebagai Tuhan dalam segala tindak tanduk kita, dan terlalu kagum ('ujub ) dengan kehebatan dan juga pangkat darejat yang ada pada diri kita sehingga sampai ke tahap bongkak dan takabbur seperti Iblis.

7. Di samping itu, Rasulullah s.a.w di dalam hadis di atas telah memberi panduan kepada kita agar menghiasi diri kita dengan tiga sifat terpuji seperti berikut: iaitu takut untuk melakukan kemungkaran dan taat melaksanakan perintah Allah sama ada di hadapan manusia ataupun ketika bersendirian, bersifat 'qana'ah ataupun berpada dengan apa sahaja pemberian Allah dan berazam untuk menjadi senang dan kaya demi untuk berbakti kepada agama Allah, dan seterusnya menyampaikan nasihat serta pandangan yang baik dan benar samada pihak yang menerimanya suka ataupun tidak suka dengan nasihat yang diberi. Inilah tiga prinsip yang boleh menyelamatkan diri kita daripada keburukan hawa nafsu di dunia ini.

8 Khalifah yang terkenal adil, Umar bin Abdul Aziz berkata : " Janganlah menjadi pengikut kebenaran hanya apabila sesuai dengan selera hawa nafsumu dan menentang kebenaran jika ia tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsumu, kerana engkau tidak akan mendapat pahala dari melakukan kebenaran dengan cara seperti itu; sedangkan engkau tetap diseksa (berdosa) dengan menentangnya kerana kedua-duanya dianggap sebagai amal yang mengikut kehendak hawa nafsu".

9. Justeru, untuk mengelakkan hawa nafsu kita daripada bersekongkol dengan Iblis dan Syaitan ke arah menjerumuskan diri kita ke lembah kebinasaan dan keburukan, maka kita perlu menerima tunjuk ajar dan juga nasihat oleh diri kita sendiri menerusi 'HATI" dan "TELINGA" yang Allah anugerahkan kepada setiap insan di dunia ini. Hati inilah yang sepatutnya menjadi raja dan juga Penasihat kepada diri kita dan TELINGA untuk menyaring segala maklumat yang kita terima bagi menangkis segala bisikan jahat hawa nafsu dan memberi pedoman kepada kita untuk menuruti akal dan keimanan kita berpandukan kepada wahyu Ilahi. Firman Allah s.w.t, bermaksud :

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai HATI yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai TELINGA yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada".
( Surah al-Haj : Ayat 46 )

SEMOGA SAYA DAN SIDANG PEMBACA SEKELIAN TERMASUK DALAM GOLONGAN HAMBA-HAMBA ALLAH YANG MEMILIKI HATI YANG TIDAK BUTA TERHADAP TAUFIQ DAN HIDAYAH ALLAH S.W.T.

Wednesday, 5 November 2008

PULAPOL : PELANGAI MEMBANGUN 2020

1. Al Hamdulillah...DUN Pelangai di Daerah Bentong akan menjadi kawasan membangun dan maju menjelang tahun 2020. Inilah tuah dan juga keberkatan para penduduk di kawasan DUN Pelangai apabila ADUN yang mewakili mereka adalah seorang Menteri Besar Pahang dan Ahli Parlimen mereka ( Parlimen Bentong ) adalah seorang Menteri di Pusat.

2. Pengumuman yang dibuat oleh YAB Dato' Sri Adnan Yaakob, Ketua UMNO Bahagian Bentong selaku ADUN Pelangai ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO Bentong pada 2 November yang lalu tentang kelulusan pembinaan sebuah kompleks Pusat Latihan Polis ( PULAPOL ) yang terbesar di negara ini, telah membuatkan rakyat di kawasan DUN Pelangai merasa cukup bertuah dan berpuas hati.

3. Dengan pembinaan kompleks PULAPOL ini nanti yang melibatkan kawasan seluas 1000 ekar di kawasan Simpang Pelangai, maka ianya akan membawa pulangan penjanaan ekonomi serta industri-industri sokongan yang berkaitan dengannya di kawasan berkenaan. Sudah tentulah jalan utama dari Karak ke Pelangai dan terus ke Kuala Pilah akan di"up gred" (naik taraf ) dan ianya akan memajukan kawasan-kawasan sekitarnya.

4. Tercapailah impian rakyat Pelangai selama ini yang inginkan kemajuan di kawasan mereka kerana Pelangai merupakan satu-satunya kawasan DUN yang diwakili oleh wakil rakyat daripada UMNO. Pelangai tidak akan dapat projek besar seperti pembinaan Kompleks PULAPOL ini jika wakil rakyatnya bukan Menteri Besar. Inilah tuah dan rezeki orang Pelangai kerana mendapat pemimpin kawasannya bertaraf Menteri Besar. Dalam masa yang sama wakil rakyat Parlimennya juga adalah seorang Menteri yang mewakili MCA di Pusat. Bolehlah pula mereka desak pula Ahli Parlimen mereka untuk merancang apa-apa projek kerajaan pusat yang boleh dibangunkan di kawasan DUN Pelangai.

5. Orang Pelangai kena bersiap sedia daripada sekarang untuk merebut peluang ekonomi menerusi Pelangai Maju dan Membangun menjelang 2020 nanti. Perlu ada di kalangan anak-anak tempatan yang berkeupayaan untuk membuka bengkel-bengkel servise kereta dan motosikal. Begitu juga dengan peluang untuk membuka sebuah stesyen Minyak dan Mini Market, kedai dobi, kedai jahitan (taylor), kedai menjual peralatan pakaian latihan Polis, membekal makanan basah dan kering serta pelbagai jenis perniagaan serta perusahaan kecil yang bakal dijana menerusi pembinaan kompleks ini nanti.

6. Di samping itu, kompleks PULAPOL ini nanti bakal menyediakan peluang-peuang pekerjaan kepada anak-anak Pelangai dan di daerah Bentong. Sama ada peluang pekerjaan semasa proses pembinaannya, lebih-lebih lagi peluang pekerjaan sebagai pekerja-pekerja sokongan di dalam kompleks PULAPOL itu setelah ianya beroperasi nanti.

7. Janganlah nanti orang-orang di Pelangai hanya menjadi pemerhati dan hanya mampu melihat sahaja pembangunan yang ada tanpa mengambil kesempatan dan peluang yang ada. Kita tak mahu orang-orang di Pelangai ni hanya sibuk dan berdegar-degar inginkan pembangunan di kawasan mereka. Macam-macam yang mereka minta dan desak pihak kerajaan untuk memajukan tempat mereka. Tapi, bila dah sampai projek dan pembangunan di Pelangai, mereka hanya melihat dan masih lagi hidup dengan cara lama dan pada takuk yang lama. Siapa yang salah dalam hal ini nanti. Jadi, anak-anak muda di Pelangai hari ini perlu berubah dan tukarlah minda agar menjadi golongan masyarakat yang berminda kelas pertama.

8. Kita doakan agar YAB Dato' Sri Adnan Yaakob, ADUN Pelangai akan kekal sebagai Menteri Besar Pahang untuk sepenggal lagi bagi meneruskan agenda pembangunan Pelangai Membangun dan Maju menjelang tahun 2020.