Translate

Thursday, 10 July 2008

ETIKA AHLI UMNO ( PANDUAN PEMILIHAN UMNO 2008 )

ETIKA AHLI UMNO

PERKARA 1

1. Mukadimah

1.1 Bahawasanya bagi memelihara kekuatan dan maruah UMNO daripada sebarang anasir salahlaku dan kemungkaran;

1.2 Bahawasanya bagi menguatkan keazaman memperjuangkan martabat dan maruah bangsa melalui wadah UMNO dengan terus memperkukuhkan dan memberikan semangat perjuangan menentang Rasuah/Sogokan Politik;

1.3 Bahawasanya bagi menghendaki Ahli UMNO mentaati Perlembagaan dan Peraturan UMNO sepenuhnya, bagi membanteras segala bentuk penyelewengan, salahlaku, penyalahgunaan kuasa dan penggunaan wang serta gejala negative yang boleh meluntur dan melemahkan UMNO;

1.4 Maka dengan itu, menurut kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO, Majlis Tertinggi membuat tataetika Ahli UMNO ini seperti tersebut di bawah.

PERKARA 2

2. Tafsiran

2.1 Dalam Tataetika Ahli ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:-

2.1.1 “Ejen” ertinya Ahli-Ahli parti atau mana-mana orang perseorangan atau kumpulan yang digunakan sebagai pengantara bagi melakukan apa-apa salahlaku di bawah tataetika Ahli UMNO ini untuk kepentingan Ahli itu;

2.1.2 “Tempoh Pemilihan” ertinya waktu yang bermula enam (6) bulan sebelum tempoh proses pemilihan yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi di semua peringkat parti yang berkenaan sehinggalah enam (6) bulan selepas tamat pemilihan tersebut. Tanpa menjejaskan apa-apa maksud di atas, perbuatan-perbuatan yang dilakukan sebelum atau selepas Tempoh Pemilihan itu akan diambilkira untuk menentukan niat perlakuan itu ;

2.1.3 “Balasan” termasuklah apa-apa pemberian termasuk wang ringgit, saham-saham, konsesi, hadiah, pakej percutian, makanan/jamuan, tambang, gelaran / anugerah dan perkara-perkara lain yang dinyatakan di dalam Tataetika ini.

2.2 Jika berbangkit sebarang perselisihan di atas tafsiran Tataetika Ahli UMNO ini yang dibuat di bawah kuatkuasa Majlis Tertinggi UMNO, maka tafsiran yang diberikan oleh Majlis Tertinggi UMNO adalah muktamad.

2.3 Senarai contoh-contoh yang terkandung di dalam Tataetika Ahli UMNO ini adalah hanya sebagai penerangan lanjut dan tidaklah boleh dianggap sebagai menghadkan jenis-jenis salahlaku.

PERKARA 3

3. Kesetiaan

3.1 Sebagai tambahan dan bukan menghadkan Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO, semua Ahli-Ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan :-

3.1.1 Patuh kepada Perlembagaan dan tataetika Ahli ;

3.1.2 Mengikut perintah-perintah parti;

3.1.3 Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti (termasuk keputusan disiplin parti);

3.1.4 Menjalankan dasar-dasar parti;

3.1.5 Menjaga rahsia-rahsia parti;

3.1.6 Memelihara nama baik dan maruah parti;

3.1.7 Menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib bersesuaian dengan tanggungjawab sebagai Ahli UMNO.

Contoh:

(a) Ahli mempertikaikan atau mengkritik keputusan Lembaga Disiplin secara terbuka tanpa mengikut saluran parti yang sedia ada;

(b) Ahli enggan memohon maaf dan tidak hadir apabila dipanggil atau diminta menjelaskan mengapa tindakan disiplin tidak patut diambil terhadap Ahli tersebut oleh Lembaga Disiplin;

(c) Tidak menjaga nama baik dan maruah parti dengan bergaduh atau tumbuk-menumbuk antara Ahli di sesuatu mesyuarat bahagian/cawangan atau apa jua mesyuarat yang lain;

(d) Menjadi calon pembangkang, pencadang atau penyokong borang pencalonan atau melakukan perbuatan yang boleh ditafsir telah menyokong calon parti lawan;

(e) Membawa hal ehwal parti ke mahkamah;

(f) Mengkritik pemimpin-pemimpin parti tanpa melalui saluran yang betul/sedia ada; atau

(g) Mengeluarkan kenyataan-kenyataan dan mengkritik keputusan-keputusan parti di dalam media cetak dan elektronik yang mengakibatkan parti dilihat rendah.

PERKARA 4

4. Pengaruh Tidak Wajar

Ahli parti adalah dilarang pada setiap masa secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui pihak lain bagi dirinya, melakukan, menggunakan manipulasi atau tiupuhelah bagi menghalang, memaksa, mengancam, mendorong, mengganggu atau mendesak seseorang Ahli UMNO yang lain melakukan sesuatu atau tidak menjalankan tugasnya atau menghalang perlaksanaan haknya di dalam parti dengan bebas atau menafikan hak seseorang Ahli.

Contoh:

(a) Jika seseorang Ahli tidak mengundi mana-mana pihak tertentu, tiada bantuan akan diberikan kepada beliau;

(b) Jika seseorang Ahli enggan mengundi mana-mana pihak tertentu, beliau tidak akan dilantik kepada mana-mana jawatan.

PERKARA 5

5. Salahlaku

Ahli parti dilarang daripada melakukan perkara-perkara berikut :

5.1 Rasuah / Sogokan Politik

5.1.1 Menyalahgunakan apa jua kuasa secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya dengan tujuan mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

Contoh:

(a) Menggunakan kedudukan atau kuasanya secara salah dengan membuat janji-janji memberi pangkat, anugerah / gelaran, peluang perniagaan, bagi mendapatkan undi.

5.1.2 Memberi, meminjam, meminta, atau bersetuju untuk memberi atau meminjam atau meminta, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai untuk seseorang Ahli atau untuk seseorang yang lain, dengan tujuan mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

Contoh :

(a) Memberi wang atau imbuhan untuk tidak menyokong atau mengundi pihak lawan atau pihak lain;

(b) Mengguna wang untuk mendapatkan undi.

5.1.3 Memberi atau menerima atau membenarkan Ahli keluarganya atau mana-mana orang untuk memberi atau menerima bagi pihaknya, secara langsung atau secara tidak langsung, kepada atau daripada mana-mana Ahli UMNO yang lain apa-apa jua hadiah, benda atau faedah sama ada secara zahir atau sebaliknya bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.

Contoh:

Menerima sebarang bentuk hadiah atau benda sebagai imbuhan misalnya:-

· Tambang percuma,

· Kemudahan perjalanan,

· Perkhidmatan,

· Saham-saham,

· Konsesi,

· Kontrak,

· Hiburan,

· Gelaran atau anugerah.

5.2 Mengguna Kekerasan dan Ugutan

Mengguna atau mengancam untuk mengguna apa-apa jua bentuk kekerasan sama ada secara fizikal atau bukan fizikal, paksaan, ugutan atau halangan secara langsung atau tidak langsung, dengan sendirinya atau melalui seseorang lain bagi pihaknya, dengan tujuan untuk membawa atau mengakibatkan kecacatan, kerosakan atau kerugian ke atas mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa mana-mana Ahli UMNO atau keluarga agar mengundi atau tidak mengundi mana-mana Ahli UMNO lain dalam mana-mana Pemilihan parti.

Contoh :

(a) Mengancam dan terlibat dengan pergaduhan, bertumbuk, membaling objek atau seumpamanya;

(b) Mengguna ugutan untuk tidak memberi peruntukan dan projek kepada suatu pihak;

(c) Mengancam untuk menarikbalik perlantikan ke sesuatu jawatan.

5.3 Penerbitan dan Penggunaan Media Massa Elektronik Atau Internet

Menerbit, menyiar atau menulis apa-apa risalah, majalah, makallah, buku atau lain-lain karya secara langsung atau tidak langsung, yang mempunyai unsur-unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana-mana Ahli parti yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan untuk mengelirukan seseorang berkenaan Ahli UMNO yang lain, mempengaruhi atau mendapat undi atau sokongan bagi pihaknya atau orang lain dalam mana-mana Pemilihan parti.

Contoh:

(a) Menulis dalam apa juga media cetak atau elektronik terhadap mana-mana calon yang akan bertanding;

(b) Membuat sebarang poster atau kad nama yang menunjukkan janji-janji dan sebagainya;

(c) Mencela atau memfitnah mana-mana Ahli dengan tujuan untuk memburukkan namanya supaya Ahli tidak mengundi Ahli yang difitnah tersebut;

(d) Membuat aduan bertulis, tuduhan, tohmahan, kenyataan atau apajua bentuk penulisan atau lisan dengan pengetahuan bahawa ianya adalah palsu atau tidak berasas.

5.4 Fitnah

Mana-mana Ahli yang mengeluarkan sesuatu kenyataan tentang seseorang Ahli yang lain yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindarinya atau mengelaknya maka telah melakukan perbuatan fitnah di bawah Perkara 5.7 tataetika ini yang boleh mengakibatkan Ahli tersebut diambil tindakan disiplin.

5.5 Ejen, Pelobi, Pengurus Kempen atau Perayu Undi

5.5.1 bagi peringkat majlis tertinggi, kecuali untuk majlis penerangan dan / atau kempen yang dianjurkan di bawah seliaan Ibu Pejabat UMNO malaysia, Ahli-Ahli parti dilarang daripada berkempem bagi pihak dirinya dan / atau menjadikan dirinya sebagai ajen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak mana-mana calon untuk mana-mana peringkat Pemilihan parti.

5.5.2 Bagi peringkat Bahagian, kecuali untuk majlis penerangan dan / atau kempen yang dianjurkan di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri masing-masing, Ahli-Ahli parti dilarang daripada berkempen bagi pihak dirinya dan / atau menjadikan dirinya sebagai ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak mana-mana calon untuk mana-mana peringkat Pemilihan parti.

Contoh :

(a) Mengguna ejen, pelobi, syarikat pengurus kempen, untuk berkempen bagi mana-mana calon; walaupun begitu, calon-calon dibenar berkempen di perhimpunan yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Negeri bagi tujuan berkempen.

5.6 Majlis dan Pertemuan

5.6.1 Kecuali untuk perhimpunan, pertemuan atau majlis yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan / atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan Negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahli-Ahli parti dilarang di dalam Tempoh Pemilihan menganjurkan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebarang perhimpunan, pertemuan jamuan atau apa-apa majlis yang membabitkan Ahli-ahli bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana calon bagi mendorong seseorang Ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana Pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain bagi mana-mana peringkat Pemilihan parti.

Contoh :

(a) Calon menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh atau dihadiri Ahli-Ahli UMNO dan berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen bagi pihaknya sendiri.

(b) Ahli UMNO menghadiri atau menganjurkan kenduri majlis kahwin, majlis tahlil atau majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh atau dihadiri Ahli-ahli UMNO dan berucap bagi tujuan meraih undi dan berkempen bagi pihak lain bagi mana-mana peringkat pemilihan parti.

5.7 Majlis Tertinggi berkuasa menetapkan dari masa ke semasa bentuk dan jenis penyalahgunaan kuasa, wang, sogokan dan sebagainya yang dimaksudkan di dalam sub-perkara 5.1 hingga 5.6 di atas.

PERKARA 6

6. Derma / Bantuan Kepada Parti

6.1 Ahli-ahli parti adalah dilarang, s ama ada secara langsung atau tidak langsung, memberi sebarang bentuk derma, bantuan atau peruntukan atas kapasiti persendirian atau melalui orang lain dengan tujuan untuk mendapatkan undi atau sokongan atau mempengaruhi Ahli di dalam mana-mana pemilhan parti bagi pihak sendiri atau bagi pihak lain.

6.2 mana-mana Ahli yang ingin memberi derma atau sebarang bentuk pemberian lain hendaklah disalurkan menerusi Majlis Tertinggi atau Badan Perhubungan Negeri yang berkenaan.

6.3 Mana-mana pemberian yang tidak melalui saluran yang tersebut dalam Perkara 6.2 adalah dianggap sebagai melanggar Perkara 6.1

Contoh :

(a) mana-mana Ahli menerima wang yang dikatakan duit minyak atau sedekah setelah menghadiri suatu majlis kempen anjuran badan Perhubungan UMNO Negeri tanpa menyebutkan penderma berkenaan dan Ahli itu akan mengambil bahagian dalam Perwakilan, Ahli itu dianggap telah melanggar Perkawa 6.1

PERKARA 7

7. Pernyataan Akhbar atau Awam

7.1 Ahli-ahli parti dilarang, samada secara langsung atau tidak langsung, membuat apa-apa pernyataan akhbar atau awam secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara sekalipun dan / atau menyebarkan pernyataan akhbar atau awam berhubungan dengan apa-apa dasar atau keputusan Parti termasuk keputusan disiplin parti yang boleh merosakkan imej dan keluhuran keputusan parti.

7.2 Mana-mana Ahli parti yang melanggar Perkara 7.1 Tataetika Ahli ini boleh dikenakan mana-mana satu hukuman di bawah fasal 20.9 Perlembagaan UMNO kerana menghina parti.

Contoh :

(a) Ahli A mempertikaikan keputusan-keputusan Majlis Tertinggi parti, Ahli A di sini melakukan perbuatan menghina parti.

(b) Ahli A mempertikaikan dan membuat kenyataan akhbar tentang prosiding disiplin parti dengan menuduh keputusan tak adil. Ahli A di sini melakukan perbuatan menghina parti.

PERKARA 8

8. Tingkahlaku Sewaktu Menjawat Jawatan Dalam Parti

8.1 Tingkahlaku Sewaktu Menjalankan Pentadbiran Parti

8.1.1 Ahli-ahli parti yang memegang sebarang jawatan dalam parti adalah dilarang sama sekali daripada menyalahgunakan apa jua kuasa atau apa-apa yang bersamaan dengannya yang ada pada mereka bagi tujuan persendirian di dalam menjalankan pentadbiran parti dan hendaklah sentiasa menjalankan dasar-dasar parti.

Contoh :

(a) Tidak mahu menerima permohonan Ahli baru di peringkat cawangan / Bahagian ;

(b) Tidak mahu menerima yuran Ahli;

(c) Memberi projek atau sumbangan kewangan secara terpilih dan pilih kasih dan tidak meliputi semua cawangan;

(d) Tidak jujur dan telus dalam menjalankan hal ehwal kewangan (seperti menggunakan wang parti dan wang peribadi dianggap serupa );

(e) Memindahkan Ahli ke Bahagian lain tanpa Ahli sendiri itu sendiri yang memohon atau bersetuju;

(f) Tidak menerima Ahli berpindah ke bahagian atau cawangan lain;

(g) Tidak memberitahu Majlis Tertinggi jika telahjatuh muflis atau gugur jawatan;

(h) Tidak mahu memanggil mesyuarat walaupun korum telah mencukupi kerana kepentingan dirinya sendiri atau pihak lain.

8.2 Tingkahlaku Sewaktu Menjalankan Mesyuarat Parti

8.2.1 Ahli-ahli parti yang diberikan kuasa menjalankan mesyuarat di perhimpunan tahunan Cawangan, Bahagian atau Majlis Tertinggi adalah dilarang daripada menyalahgunakan apa jua kuasa atau apa-apa yang bersamaan dengannya yang ada pada mereka dengan tujuan bagi manfaat pihak sendiri atau bagi pihak lain dan hendaklah sentiasa menjalankan dasar-dasar parti dan mengikut perintah-perintah parti.

Contoh :

(a) menjalankan mesyuarat tanpa notis yang munasabah;

(b) tidak menjalankan mesyuarat mengikut peraturan mesyuarat;

(c) menjalankan mesyuarat tidak cukup korum;

(d) menjalankan mesyuarat di tempat yang tidak ditetapkan ( contohnya di dalam bas dan di luar kawasan );

(e) menjalankan mesyuarat dengan cukup korum dengan hanya Ahli terpilih sahaja;

(f) berkempen sewaktu membuka majlis atau perasmian bagi calon-calon tertentu;

(g) menghalang hak mana-mana Ahli menghadiri mesyuarat (contoh Ahli ada resit membayar yuran tetapi tidak ada nama dalam senarai cawangan ) ;

(h) menukar agenda mesyuarat tanpa mendapat persetujuan Ahli mesyuarat;(contoh; pengundian dilakukan apabila ramai Ahli meninggalkan majlis) ;

(i) membuat minit mesyuarat palsu sedangkan mesyuarat tidak pun dijalankan (wujudnya cawangan hantu).

PERKARA 9

9. Bahan Bukti

Mana-mana Ahli yang merasakan bahawa hak mereka telah dinafikan di dalam apa juga keadaan bolehlah mengadu kepada Majlis Tertinggi atau Badan Perhubungan Negeri atau Lembaga Disiplin supaya hak mereka dapat didengar dan diadili dengan mengemukakan bahan-bahan bukti yang munasabah seperti saksi-saksi, bahan-bahan bercetak atau elektronik atau apa juga bahan yang lain yang menyokong aduan mereka tersebut.

PERKARA 10

10. Anggapan Kebersalahan Pihak Ketiga

10.1 Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah melanggar mana-mana peruntukan Tataetika Ahli UMNO ini, maka Lembaga Disiplin UMNO bolehlah menganggap, setelah ia berpuashati daripada keterangan-keterangan dan / atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan / atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.

10.2
Bilamana seseorang pengadu yang telah membuat aduan dan / atau saksi yang telah memberikan keterangannya di dalam perbicaraan prosiding Lembaga Disiplin menarik balik aduannya atau keterangan asalnya, maka Lembaga Disiplin UMNO boleh, setelah ia berpuashati bahawa aduan atau keterangan itu adalah benar, menganggap pengadu itu atau saksi itu telah menarik balik aduan atau keterangan tersebut dengan adanya imbuhan, ganjaran atau janji berbentuk material oleh tertuduh dan melakukan kesalahan menerima imbuhan, ganjaran atau janji berbentuk material daripada tertuduh dan kedua-dua pengadu / saksi atau tertuduh itu bolehlah dihukum mengikut peruntukan tataetika Ahli ini.

PERKARA 11

11. Hukuman

11.1 Mana-mana Ahli yang didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO ini bolehlah dikenakan mana-mana hukuman seperti yang termaktub di dalam Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

PERKARA 12

12. Pindaan

12.1 Majlis Tertinggi berkuasa meminda Tataetika ini dari semasa ke semasa.



( VERSI 2008 – Dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Pada 27 Mac 2008 )

Wednesday, 9 July 2008

Islam Hadhari : Pendekatan Pembangunan dan Kesederhanaan

Islam Hadhari : Suatu Pendekatan Pembangunan

Dan Kesederhanaan

Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah . Hal ini bukanlah satu perkara yang baru kerana agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah ‘Hadhari’ telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya ‘Al-Muqaddimah’ dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah ‘hadhara’ yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual.

Sebab itulah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menjelaskan dengan jujur dan telus tentang konsep dan falsafah Islam Hadhari ini dengan mengutarakan bahawa:

Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas – kepada fundamental. Asas dan fundamental menurut yang terkandung dalam al-Quran dan Hadith yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas- jika difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas aqidah”.

Islam Hadhari’ sebenarnya satu pendekatan baru yang berkonsepkan kepada kemajuan dan pembangunan yang seimbang antara keperluan fizikal dan rohani (dunia dan akhirat) dalam usaha untuk membina semula keagungan tamadun umat Islam dalam era globalisasi masa kini. Ianya berasaskan kepada prinsip ‘Siasah Syar’iyyah’ dalam ruang lingkup menjaga dan memartabatkan kelima-lima Maqasid As-Syariah : Memelihara kesucian agama, memelihara kemuliaan akal, menjaga kesejahteraan nyawa, menjaga hak pemilikan harta dan menjaga kemurnian keturunan. Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kini ialah dengan menjadikan pendekatan Islam Hadhari sebagai keutamaan ( aulawiyat ) di dalam pengurusan dan pembangunan negara.

Justeru , dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan Islam Hadhari maka pembangunan negara harus dicanai ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat. Inilah apa yang hendak diaplikasikan oleh Perdana Menteri yang terkandung di dalam ucapan dasarnya ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO ke-55 iaitu:

Islam Hadhari memberi penekanan kepada pembangunan – pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan . Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik. . Pembanguanan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global”

Sesungguhnya dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan kita adalah amat konsisten dalam hal membina tamadun ini. Sejak kita mula merdeka hinggalah ke hari ini, berbagai-bagai dasar telah digubal dan dilaksanakan dengan mengambil kira strategi memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat. Antara dasar-dasar utama seperti Dasar Pendidikan, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pertanian, Dasar Penswastaan, Dasar Sains dan Teknologi, Dasar Kependudukan, Dasar Belia dan banyak lagi semuanya mempunyai matlamat yang sama untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat. Demikian juga dalam hal-hal pentadbiran dan pengurusan, seperti Dasar Bersih, Cekap dan Amanah, Penerapan Nilai-Nilai Islam, Kepimpinan Melalui Teladan dan TQM, telah menjelaskan betapa kerajaan amat prihatin terhadap hal pentadbiran yang berkesan. Ini semua telah menjadi asas dan ramuan yang amat penting ke arah merealisasikan hasrat kita mencapai matlamat bernegara berasaskan konsep Islam Hadhari.

Dalam hubungan ini, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO menjelaskan bahawa : “Sebagai parti yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam dan memastikan umat Islam tanpa tergelincir akidahnya serta dapat menghadapi cabaran dan realiti semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang diwarisi dapat dikaitkan dengan bentuk dan corak pembangunan mengikut masa – mengikut tempat “. Ini adalah sebahagian daripada konsep dan falsafah Islam Hadhari dalam usaha kepimpinan negara untuk memajukan umat Islam di Malaysia ini agar berkeupayaan berhadapan dengan cabaran dan realiti semasa dalam pembangunan negara menjelang tahun 2020.

Kejayaan UMNO yang menjadi tunjang kepada kerajaan Malaysia adalah kejayaan perjuangan yang mengamalkan kesederhanaan – perjuangan yang mengutamakan kemajuan. Perjuangan yang insaf dan sedar bahawa umat Islam perlu menjadi umat yang maju. Untuk maju, umat Islam perlu mencipta kejayaan di dunia ini di samping membekalkan diri untuk menghadapi alam akhirat.

UMNO memilih pendekatan yang tidak mengamalkan kekerasan. Di sebaliknya, kekuatan UMNO terbukti dilandaskan kepada pendekatan perjuangan penuh berhikmah ( bil-hikmah ). Perjuangan yang berasaskan tamadun bangsa yang mementingkan kebijaksanaan akal dan pemikiran rasional. Perjuangan berpandukan budi pekerti tinggi dan jiwa yang tenang. Ianya selaras dengan firman Allah s.w.t. :

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن ، إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين.

Bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk” ( Al-Quran - Surah an-Nahl : Ayat 125 )

Tuesday, 8 July 2008

Kes Liwat Anwar: Mahkamah atau Mubahalah?

1. Minggu lepas, Mufti Perlis DR. Mohd Asri Zainul Abidin telah mencadangkan agar Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan (mangsa liwat) membuat satu ikrar sumpah menerusi kaedah 'mubahalah'. Dalam masa yang sama pihak polis masih lagi menyiasat kes tuduhan liwat ini ke atas saksi-saksi yang boleh membantu keterangan Mohd Saiful Bukhari dan juga membantu pihak polis di dalam menentukan sama ada kes tuduhan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim ini ada 'prima fasy'.

2. Ada yang menyokong pandangan daripada Mufti Perlis ini agar sipetuduh dan juga orang yang kena tuduh dalam kes liwat ini melakukan mubahalah agar kes ini dapat diselesaikan.Namun terdapat juga di antara tokoh-tokoh agamawan serta ulama di negara ini yang berpendapat bahawa mubahalah ini tak perlu. Antaranya yang berpendapat sedemikian ialah Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria, Ketua Pengarah JAKIM dan yang terbaru ialah Tuan Guru HJ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dalam kenyataan di Utusan Malaysia hari ini, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan bahawa mubahalah tidak perlu dilakukan sekarang kerana ianya adalah jalan penyelesaian yang terakhir sekali kerana kes ini masih dalam siasatan dan ianya perlulah melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Jika proses mahkamah menjadi buntu, barulah mencari jalan terakhir dengan dilakukan proses mubahalah.

3. Saya amat bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Nik Abd Aziz ini, kerana ianya adalah bertepatan dengan prinsip-prinsip Kanun Prosedur Jenayah Di Dalam Islam. Ini kerana sebahagian ulamak Fiqh telah mengkategorikan kes liwat ini sebagai kes ta'zir dan bukannya kes hudud (had). Dalam kes yang berkaitan dengan hudud Zina, maka syarat 4 orang saksi yang adil (shahadah) adalah diperlukan bagi mendakwa serta mensabitkan sesuatu kesalahan zina itu. Tidak seperti di dalam kes liwat yang mana ianya adalah termasuk dalam kes jenayah ta'zir. Empat orang shahadah tidak menjadi syarat mutlak di dalam pensabitan kes. Sama juga seperti dalam kes rogol, mana ada saksi yang pernah nampak mangsa rogol dirogol oleh perogol. Yang berlaku selama ini adalah mangsa rogol akan membuat laporan perubatan dan kemudiannya melaporkan kejadian rogol itu kepada polis. Ini bermakna bahawa kes liwat ini sama sahaja prosedur pendakwaan dan juga kaedah-kaedah pembuktiannya kes-kes rogol yang berlaku di negara ini.

4. Kalau kita nak berpegang kepada dakwaan Anwar Ibrahim dan juga para penyokong ta'asubnya yang bertegas bahawa perlu ada empat orang saksi untuk mensabitkan tuduhan liwat ke atasnya, maka semua kes-kes rogol yang diadili di mahkamah sivil selama ini adalah tidak sah kerana telah menghukum pesalah rogol yang semua kes ini tiada didatangkan empat orang saksi. Akibatnya, selepas ini akan ramailah wanita-wanita muslimah di negara ini yang akan dirogol oleh kaum lelaki dan juga berlakunya 'haruan makan anak' (sumbang mahram) yang mana ke semua kes ini akan terlepas begitu sahaja tanpa pembelaan kepada simangsa kerana ketiadaan empat orang saksi.

5. Sebenarnya, ramai yang terkeliru dengan syarat empat orang saksi ini. Ulama mazhab yang Empat telah sepakat mengatakan bahawa syarat empat saksi ini hanya diperlukan untuk mensabitkan hukuman hudud sahaja. Jika tidak cukup empat orang saksi maka seseorang yang dituduh melakukan jenayah ini boleh didakwa di bawah undang-undang ta'zir. Di mana dalam kes-kes ta'zir, syahadah tidak menjadi syarat mutlak. Pembuktian juga boleh dilakukan dengan adanya 'Qarinah', iaitu bukti-bukti lain yang boleh diterima pakai secara sainstifik seperti ujian DNA, cap jari dan sebagainya. Umpamanya dalam kes rogol yang berlaku sebelum ini, iaitu seorang pemandu Bas Kilang telah merogol seorang pekerja kilang di dalam bas yang dipandunya. Dalam bas berkenaan tiada seorang saksipun yang ada dan ternampak. Tetapi, ada bukti daripada majikannya bahawa pada masa kejadian itu BAS Kilang berkenaan dipandu oleh perogol berkenaan dan siperogol tidak dapat membuktikan bahawa pada masa kejadian itu beliau berada ditempat lain. Kalau nak pakai empat orang saksi dalam kes ini, maka terlepaslah sipemandu bas tadi, dan mangsa rogol tadi tidak dapat pembelaan yang seadilnya.

6. Berbalik kepada kes tuduhan liwat ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim, benarlah seperti yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz bahawa Anwar perlu menjalani proses keadialan dan penghakiman di mahkamah terlebih dahulu bagi membuktikan dianya tidak berasalah. Mubahalah tidak perlu didahulukan buat masa ini. Kita serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan selanjutnya. Janganlah lagi ada di kalangan kita yang terlampau emosi dengan mendakwa bahawa ada konspirasi pihak kerajaan di dalam kes ini. Contohilah sikap profesional yang telah diutarakan oleh Tok Guru Nik Aziz. Dalam hal ini saya amat tabik dan sanjung pendapat Tok Guru kerana beliau telah memberikan pandangan tanpa berasaskan kepada sentimen politik. Alllahu Akbar..Allahu Akbar...Allahu Akbar...

Monday, 30 June 2008

Manhaj Islam Hadhari Dalam Pembangunan Modal Insan

MANHAJ ISLAM HADHARI

DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Oleh : Shamsuddin Moner El-Askary- PISPEM

Pendahuluan

Gagasan Islam Hadhari adalah suatu pendekatan untuk memberikan orientasi ketamadunan terhadap Islam itu sendiri. Ialam sebagai agama yang syumul didukung oleh umatnya dengan pelbagai orientasi. Ada yang menghubungkan Islam sebagai suatu pendekatan tasawuf. Ada juga yang mengambil pendekatan ’tablighi’ dan ’siyasi’ atau politk dalam memberikan erti terhadap Islam. Ada yang memahami Islam secara liberal sehingga hilang integriti kesyamilannya. Dan ramai juga mengambil pendekatan haraki atau gerakan yang menekankan perubahan menerusi jendela dakwah dan tarbiyyah.

Selepas peristiwa 11 September 2001, landskap politik kuasa-kuasa Barat mengambil perubahan radikal terhadap umat Islam. ‘Islamiphobia’ menjadi isu sehingga Islam dikaitkan dengan ‘terrorism’ , ‘radicalism’ dan ‘fundamentalism’ dan label-label yang negative yang menyebabkan serangan terhadap Islam dan umat berlaku dalam keadaan yang tidak adil. Globalisasi yang menjadi pemangkin kepada proses pemBaratan semacam sedang melakukan ‘cultural cleaning’ di mana-mana. Instrumen globalisasi menyuburkan tamadun kebendaan Barat sekalipun menghasilkan masyarakat hedonistik yang bercanggah dengan nilai-nilai fitrah. 1

Justeru, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang strategik dengan cuba mengungkapkan kembali Islam dalam ertikata yang luas mencakupi aspek-aspek utama seperti pendekatan membangun negara maju, pemerintahan yang adil, masyarakat yang berjiwa bebas, penguasaan ilmu pengetahuan, kualiti hidup yang tinggi, keutuhan nilai dan moral awam, ketangkasan pertahanan negara. Semua langkah ini dilakukan dengan memperkenalkan satu pendekatan yang komprehensif dan holistik iaitu ’Pendekatan Islam Hadhari’ bagi memacu pembangunan Modal Insan untuk mempastikan Malaysia menjadi sebuah negara Islam maju menjelang tahun 2020.

Islam Hadhari ini nantinya tidak hanya merupakan slogan dan retorika sempit kerana faktor kuasa dan politik, tetapi ianya menjadi agenda utama untuk menterjemahkan nilai-nilai ’rabbaniyyah’ dan pengungkapan akhlak dalam ertikata yang luas dan bijaksana bagi memartabatkan semula kegemilangan tamadun umat Islam di alaf baru ini.

Manhaj Ataupun Pendekatan Semasa

Berasaskan kepada apa yang ada pada hari ini, terdapat berbagai-bagai pendekatan yang berbeza yang biasa digunakan. Bagaimanapun, pendekatan-pendekatan ini berkait mengait antara satu sama lain, sehingga dalam sesetengah keadaan amat sukar sekali untuk membezakannya. Pendekatan-pendekatan tersebut adalah seperti berikut :

1. Pendekatan Politik – ia merupakan pendekatan paling popular sekali di dunia Islam sekarang. Tonggak kepada pendekatan ini ialah kekuasaan politik yang menjadi matlamat kepadanya dan yang menjadi kayu ukur bagi menilai sama ada sesuatu kerja itu berjaya atau sebaliknya.

2. Pendekatan Pemikiran – pendekatan ini berasaskan kepada pandangan bahawa pemikiranlah yang merupakan punca utama krisis yang dialami oleh umat Islam dewasa ini, baik di bidang politik, ekonomi mahupun sosial.

Berasaskan kepada pendekatan ini, krisis pemikiran berlaku sama ada kerana adanya keadaan yang tidak menentu dalam memilih asas-asas pemikiran itu sendiri atau metod bagaimana ia digunakan, atau oleh kedua-duanya sekali. Krisis ini boleh dilihat pada tidak adanya pandangan atau wawasan yang jelas, tidak ada keunggulan intelektual dan perimbangan emosi, kegoyahan konsep berfikir, kecelaruan pendidikan dan sebagainya. 2

3. Pendekatan Intelektual – bermaksud bahawa perjuangan intelektual ke arah pembentukan semula corak politik. Pendekatan ini berasaskan kepercayaan bahawa setiap penganalisaan yang mendalam terhadap krisis yang menyeluruh yang dihadapi umat Islam sekarang akan membawa kepada suatu kesimpulan bahawa aspek akal dan intelektual perlu diberi keutamaan, sama ada dalam memahami krisis itu sendiri atau dalam mencari cara atau kaedah untuk mencapai pembaharuan politik, ekonomi dan sosial bagi mengatasi krisis berkenaan. Mengikut pendekatan ini lagi, perubahan yang hakiki dan menyeluruh hanya boleh dicapai melalui usaha memperbaharui mentaliti masyarakat Islam. Bagaimanapun, ini bukan bererti menafikan semua sekali peranan politik, Cuma suatu usaha untuk meletakkan politik itu sendiri atas landasan intelektual. 3

Walaupun nampaknya ada persamaan antara pendekatan ini dan pendekatan pemikiran, iaitu dari segi memberi keutamaan kepada dimensi fikiran dan intelektual dalam mentafsir krisis umat Islam yang menyeluruh itu, namun kedua-duanya berbeza dari segi titik tolak, penumpuan serta objektif di sebalik operasi pemikiran berkenaan.

Selain daripada itu, pendekatan intelektual ini memberi pandangan yang lebih kepada nilai-nilai akal (aqli) yang diutamakan apabila bertentangan dengan nilai-nilai wahyu (naqli), atas alasan bahawa nilai-nilai naqli sebenarnya berperanan membantu nilai-nilai aqli dalam memberi khidmat kepada kepentingan umum. Selain itu, pendekatan pemikiran tidak mengambil kira politik sebagai satu faktor perubahan.

4. Pendekatan Akidah – pendekatan ini bertolak daripada kepercayaan bahawa sebab kepada krisis yang dihadapi oleh umat Islam sekarang ialah penyelewengan akidah mereka ini. Bagaimanapun, dalam mengatasi masalah berkenaan para pendokong pendekatan ini berusaha mentafsir kembali konsep akidah berasaskan kefahaman tertentu yang banyak menumpukan kepada masalah-masalah cabang dan bukannya kepada prinsip yang menyeluruh. 4

5. Pendekatan Dakwah – iaitu pendekatan yang berasaskan metod tabligh, dakwah dan tazkirah. Pendekatan ini lebih bersifat reaksi terhadap tekanan politik dalam arena kerja-kerja keislaman.

6. Pendekatan Ketamadunan atau Hadhari – pendekatan ini menumpukan perhatian kepada pokok pangkal cabaran yang dihadapi oleh umat Islam sekarang, dan berasaskan dengan mentafsir rahsia kemundurannya yang menyeluruh itu dalam penilaian bahawa ia sesuatu yang rumit dan mempunyai beberapa dimensi.

Secara teorinya pendekatan ini merangkumi semua pendekatan lain di atas. Bagaimanapun, dalam realitinya setiap pendekatan berkenaan diberi ruang yang sesuai dengan saiz masing-masing yang sebenar. Matlamatnya ialah untuk membina satu rangkaian pendekatan yang bersepadu atau suatu idea yang komprehensif yang mampu menentukan jenis kesan timbal-balik antara pendekatan-pendekatan itu sendiri, dan jenis hubungan antaranya dalam realiti yang sebenar ke arah menyelesaikan krisis berkenaan berasaskan usaha yang menyeluruh dan berbagai-bagai dimensi.

Pendekatan ini dinamakan dengan Pendekatan Islam Hadhari kerana inilah satu pendekatan yang komprehensif dan holistik yang mana Malaysia ketika ini menjadi pelopor dan juga penggerak ke arah menjadikannya sebagai model untuk negara-negara Islam lain di dunia masa kini. Ianya diutarakan untuk diimplimentasikan dalam sistem pentadbiran Negara bagi mengatasi kemelut dan juga persepsi masyarakat dunia terhadap umat Islam selama ini dengan persepsi yang negatif. Justeru, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah perlu bagi meneliti semula pelbagai pendekatan dan kaedah untuk diperkemaskan supaya lebih seimbang dan menyeluruh, merangkumi pembangunan prasarana dan pembangunan ekonomi, diperkukuhkan dengan pembangunan manusia melalui program pendidikan yang komprehensif, diperlengkapkan pula dengan program pembangunan rohani untuk menyemai nilai-nilai murni bagi menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian masyarakat Islam di Malaysia.

Pedoman Al-Quran Dalam Pembangunan Insan

Manhaj ataupun pendekatan yang digariskan oleh al-Quran sebagai pedoman kepada manusia untuk membangunkan Modal Insan adalah bergantung kepada sejauh mana pengetahuan manusia terhadap tiga elemen penting yang harus dibangunkan, iaitu hakikat manusia itu sendiri, kehidupannya dan alam semesta.

Pertama - Manusia : Apa yang dimaksudkan dengan manusia atau kewujudan manusia dalam konteks ini ialah asal usul kejadiannya dari segi jasmani, akal, pemikiran , nuraninya (jiwa ) dan potensi yang ada pada diri mereka yang dianugerahkan oleh Allah. Hakikat bagi diri manusia itu terbina di atas dua perkara, iaitu kehinaan dan kemuliaan. Perbahasan lanjut mengenai kedua-dua hakikat ini adalah seperti berikut :

a. Asal Usul Kejadian (Rendah/Hina). Manusia adalah makhluk yang diciptakan daripada bahan yang rendah (hina). Asal usul kejadiannya adalah daripada tanah. Jalinan zuriatnya berasal daripada air yang hina. Keadaan manusia jika dikurniakan umur yang panjang akan kembali kepada usia tua ganyut sehingga menyebabkannya tidak mengerti apa-apa (nyanyuk) , walaupun sebelum ini dia memiliki kekuatan jasmani dan juga memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Ayat-ayat berikut dapat menjelaskan hakikat kejadian manusia, iaitu:

فلينظر الإنسان ممّ خلق . خلق من مّاءٍ دافق . يخرج من بين

الصٌّلب والتّرآئب .

Maksudnya: ”(setelah mengetahui yang sedemikian), maka hendaklah manusia memikirkan daripada apa dia diciptakan. Dia diciptakan daripada air (mani) yang memancut ( ke dalam rahim) – yang keluar dari ’tulang sulbi’ lelaki dan ’tulang dada’ perempuan”.

( Al-Quran : Surah at-Taariq , Ayat 5 – 7 )

إنا خلقنا الإنسان من نّطفةٍ أمشاج نّبتليه فجعلنآه سميعا بصير .

Bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya daripada air mani yang bercampur (daripada pati benih lelaki dan perempuan) serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan; oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat”

( Al-Quran : Surah al-Insan , Ayat 2 )

b. Keistimewaan dan Kelebihan. Manusia adalah makhluk yang dimuliakan ke atas seluruh makhluk lain di dunia ini. Manusia pertama di dunia ini iaitu Nabi Adam a.s telah dimuliakan oleh Allah berbanding para malaikat dan makhluk-makhluk lain dengan melantiknya menjawat jawatan khalifah di muka bumi. Firman Allah s.w.t :

وإذقال ربّك للملآئكة إنّي جاعل في الأرض خليفة

Bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat;” Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.

( Al-Quran : Surah al-Baqarah , Ayat 30 )

ولقد كرّمنا بني ءادم وحملناهم في البرّ والبحر ورزقناهم من

الطيّبات وفضّلناهم على كثير ممّن خلقنا تفضيلا .

Bermaksud: ”Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di lautan; dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk lain yang telah Kami ciptakan”

Berdasarkan kepada ayat-ayat ini maka sepatutnya kita bertanya bagaimanakah kedua-dua hakikat ini, iaitu sifat lemah yang ada pada diri manusia dan keistimewaannya sebagai khalifah berbanding dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini boleh bergabung dalam satu hakikat kejadian manusia ? Sebenarnya bukan dengan kemampuan dan kehendak manusia yang mengadakan sifat-sifat itu. Semua sifat semulajadi dan keistimewaan ini datangnya daripada Allah s.w.t. Walaupun manusia itu berasal daripada tanah yang rendah martabatnya, kemudian daripada air mani yang hina, namun Allah menghendaki makhluk yang pada mulanya serba lemah ini untuk menjalankan misi memakmurkan muka bumi. Maka untuk tujuan itu Allah membekalkan kepada manusia bakat-bakat yang luar biasa serta menjadikan mereka istimewa dengan sifat-sifat yang tidak terdapat pada makhluk yang lain di muka bumi ini.

Allah mengurniakan kepada manusia akal, pemikiran, tenaga dan kekuatan serta keinginan untuk memiliki dan menguasai benda-benda lain yang diciptakan oleh Allah di bumi ini. Kelebihan ini terjelma dalam setiap diri manusia bagi mempermudahkannya untuk menguasai kebanyakan haiwan dan makhluk-makhluk lain. Dengan sifat-sifat ini juga akan mempermudahkan mereka melaksanakan peranan sebagai khalifah serta pemakmur alam semesta ini. Lantaran itu mereka berupaya mewujudkan tamadun manusia yang unggul. Hal ini diperjelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

هوأنشأكم من الأرض واستعمركم فيها

Bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya” ( Al-Quran : Surah Hud , Ayat 60 )


Jadi, manusia dari segi hakikat dirinya adalah hamba milik Allah yang berasal daripada sifatnya yang lemah dan akan berakhir pula dengan lemah. Akan tetapi disebabkan oleh risalah ketuhanan (rububiyah dan uluhiyah) yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, maka manusia dapat memiliki sifat-sifat yang luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada diri mereka.
Dengan itu mereka layak untuk diangkat martabat dan dimuliakan, asalkan mereka menggunakan sifat-sifat itu dengan cara yang betul. Sifat-sifat inilah yang menjadi pergantungan sama ada kedudukan manusia itu diangkat martabatnya dan dimuliakan. Penggunaan sifat-sifat ini dengan cara yang betul disebut sebagai amanah, seperti firman Allah s.w.t :


إنا عرضنا الأمانة على السّماوات والأرض والجبال فأبين أن يحملنها وأشفقن منها وحملها الإنسان إنه كان ظلومًا جهولا .

Bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan (pada ketika) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia itu adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan” (Al-Quran : Surah al-Ahzab , Ayat 72)

Mengapakah al-Quran memfokuskan hakikat kejadian manusia itu kepada dua sifat bertentangan ini ? Dalam satu hakikat yang asal, manusia itu disedarkan oleh Allah tentang unsur-unsur kejadiannya yang lemah dan hina, dan dalam masa yang sama iaitu hakikat yang sebaliknya pula Allah mengurniakan manusia suatu keistimewaan dan kelebihan yang tiada tandingannya berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Sebenarnya, manusia yang mampu membina tamadun unggul di dunia ini ialah manusia yang dididik melalui dua hakikat ini secara serentak.

Sebaliknya orang yang hidup hanya melihat kepada sifat lemah dan rendah dirinya (kehinaan) semata-mata tentunya akan terus merasa lemah sehingga menjadikan dia mangsa kepada penindas yang angkuh. Akibatnya, sukarlah baginya untuk melakukan sesuatu kerja atau memberikan perkhidmatan kemanusiaan seperti yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepadanya. Dengan sifat kelemahan dan kehinaan ini semata-mata, dia tidak akan memberikan apa-apa sumbangan untuk memakmurkan muka bumi dan membangunkan tamadun manusia seperti yang diharapkan oleh Allah s.w.t.

Begitu juga jika manusia itu hanya mengetahui bahawa dia adalah makhluk yang istimewa dan dimuliakan oleh Allah tanpa menginsafi tentang sifat-sifat kelemahan dan kehinaan yang ada pada dirinya. Ini akan menyebabkan dirinya merasa begitu berkuasa terhadap semua makhluk yang ada di sekitarnya dan akan terus mabuk dengan keegoan sifat-sifat kemuliaannya. Akhirnya, dia akan bertindak sebagai penguasa mutlak tanpa memperdulikan kekuasaan Allah s.w.t dan dengan sewenang-wenangnya akan melakukan kerosakan serta kebinasaan terhadap makhluk-makhluk lain yang lemah daripadanya.

Tegasnya, manusia yang tidak peka dengan himpunan hakikat kedua-dua sifat hina dan mulia ini, lazimnya akan melakukan salah satu daripada dua perkara berikut, iaitu:

(1) Sama ada bersikap melampau dan membesar diri terhadap orang lain dengan sifat kemuliaan dan keistimewaan yang ada pada dirinya, jika ada peluang berbuat demikian. Ataupun,

(2) Akan terjebak dalam perasaan hina dan rendah diri terhadap orang lain jika tidak mendapat peluang ataupun putus harapan di dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

Inilah kedua-dua sifat dan juga sikap yang memusnahkan tamadun manusia seperti yang kita lihat dalam lipatan sejarah silam. Bumi ini tidak pernah berlaku kerosakan pada mana-manapun kerana faktor-faktor semulajadinya. Tidak juga oleh perbuatan binatang. Tetapi kerosakan yang terjadi di bumi sehingga menimbulkan bala bencana kerana disebabkan oleh kedua-dua perkara ini. Satu pihak menyimpang kea rah sikap meninggi diri dan menindas, sementara satu pihak lagi terlalu mengalah dan merasa hina diri. Lantaran itu hilanglah sikap kerjasama antara sesama mereka, lalu menyemarakkan api kebencian yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan pembunuhan.

Kedua – Kehidupan: Kehidupan yang dimaksudkan di sini ialah umur yang dimiliki oleh manusia, iaitu bagaimana manusia menjalani kehidupan sehariannya. Seperti yang diketahui perkara yang paling utama bagi manusia dalam dunia ini ialah persoalan umurnya, iaitu kehidupan yang dikecapinya sepanjang hayat. Sebarang usaha yang dilakukan oleh manusia sama ada mencari rezeki, membina rumah, memakai pakaian yang cantik-cantik atau menikimati hidangan makanan yang lazat, semuanya itu dilakukan demi untuk kesenangan di dalam kehidupannya.

Sesungguhnya ada hikmah tersendiri apabila Allah menjadikan sikap manusia yang sayangkan umur serta kehidupannya itu sebagai suatu fitrah. Ini kerana umur adalah modal yang paling bernilai dan berharga bagi seseorang itu untuk membangunkan serta memakmurkan bumi Allah ini. Allahlah yang menghendaki manusia hidup di dunia ini dan juga menikmati segala kesenangan serta kemewahan yang disediakan-Nya untuk menguji siapakah di antara hamba-hamba-Nya yang benar-benar taat serta bersyukur dan juga ingkar kepada perintah-Nya. Firman Allah s.w.t :

ولكم في الأرض مستقرُّ ومتاع إلى حين .

Bermaksud: “ Dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati) (Al-Quran : Surah al-A’raaf , Ayat 24 )

وهوالّذي أحياكم ثمّ يميتكم ثمّ يحييكم إنّ الإنسان لكفور .

Bermaksud : “Dan Dial ah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur”.

(Al-Quran : Surah al-Hajj , Ayat 66.

Oleh hal yang demikian, manusia itu haruslah sedar bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara sahaja dan kehidupan yang kekal abadi ialah di akhirat. Inilah yang seharusnya disedari dan dihayati oleh setiap insan di dalam keghairahanya mengecapi kesenangan hidup di dunia ini. Firman Allah s.w.t :

وما هذه الحياة الدّنيا إلاّ لهو وّلعب وإن الدّار الأخرة لهي الحيوان

لو كانوا يعلمون .

Bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya sekiranya mereka mengetahui”

( Al-Quran : Surah al-Ankabut , Ayat 64 ).

Perhatikanlah betapa rendah dan naifnya kehidupan dunia yang kita lalui ini jika kita tidak bersyukur dan tidak berbuat sesuatu untuk bekalan di hari akhirat. Ianya hanya diibaratkan oleh Allah sebagai permainan dan senda gurau yang bersifat sementara. Sebagai hamba Allah yang bersyukur, kita seharusnya membuka minda dan insaf tentang keutamaan yang perlu kita lakukan di sepanjang umur kita di dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Pembangunan Modal Insan yang sepatutnya diterapkan ke dalam setiap jiwa insan di dunia ini mestilah berteraskan kepada ketauhidan kepada Allah ( Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ). Seperti firman Allah s.w.t :

قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله ربّ العالمين

Bermaksud: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam “.

(Al-Quran : Surah al-An’am , Ayat 162)

Sungguhpun dunia ini hanya sementara dan diibaratkan oleh Allah sebagai permainan dan gurauan, namun Allah s.w.t memberi kelebihan kepada manusia di dalam aspek yang lain jika manusia tahu bersyukur dan menggunakan nikmat dunia ini dengan mengikut hukum dan ketentuan Allah. Sebenarnya di dalam al-Quran banyak sekali ayat-ayat yang membangkitkan semangat orang-orang mukmin supaya beramal soleh di dunia ini supaya mereka diberi nikmat kehidupan yang baik oleh Allah di muka bumi ini. Firman Allah :

Bermaksud: ”Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik”

( Al-Quran : Surah an-Nahl , Ayat 97 )

Begitu juga Allah s.w.t memperingatkan kita supaya tidak mengabaikan ataupun melupakan habuan serta nikmat dunia yang dianugerahi-Nya kepada kita di dunia ini seperti firman-Nya :

ولا تنس نصيبك من الدّنيا وأحسن كما أحسن الله إليك .

Bermaksud: “Dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu” ( Al-Quran : Surah al-Qasas , Ayat 77 )

Allah s.w.t juga menyeru manusia supaya mempertahankan kehidupan dan keamanan di dunia ini daripada segala pecerobohan dan kemusnahan. Ini bermakna bahawa walaupun dunia ini dianggap oleh Allah sebagai tidak penting, hanya sekadar permainan dan gurauan tetapi sebagai hamba-Nya kita mesti memerah seganap keupayaan untuk menyelamatkan kehidupan makhluk di dunia ini daripada sebarang bahaya dan bencana. Firman Allah s.w.t :

ولا تبغ الفساد في الارض إن الله لا يحب المفسدين .

Bermaksud: ”Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan” ( Al-Quran : Surah al-Qasas , Ayat 77)

Tegasnya, Allah s.w.t tidak membataskan pentakrifan kehidupan manusia di dunia ini dari satu segi sahaja (permainan dan gurauan). Malah Allah s.w.t memberi penghormatan sehingga menganugerahkan kemuliaan dan juga keistimewaan kepada manusia yang hidup di dunia ini dengan kehidupan yang baik sekiranya mereka bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah.

Ketiga - Alam Semesta : Ialah segala unit alam yang ada di muka bumi ini yang dipergunakan oleh manusia sebagai alat untuk menjalani kehidupan mereka.

Kesimpulan: Sekalipun manusia mengetahui hakikat kepentingan ketiga-tiga elemen ini untuk dijana bagi membangunkan Modal Insan di muka bumi milik Allah ini, namun usaha dan kesungguhan mereka untuk mencari jalan pembersihan jiwa adalah merupakan syarat asasi yang melayakkan diri mereka untuk membentuk tamadun yang berteraskan kepada pembangunan Modal Insan. Firman Allah s.w.t :

ومن تزكّى فإنما يتزكّى لنفسه وإلى الله المصير .

Bermaksud :”Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali” ( Al-Quran : Surah Faatir , Ayat 18 )

Pembersihan jiwa merupakan satu syarat asasi di dalam usaha untuk membangunkan Modal Insan kerana dengannya seseorang itu akan memikul tanggungjawab dengan setulus hati dan pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Sekiranya jiwa manusia itu kotor dengan segala perkara maksiat dan bergelumang dengan hawa nafsu yang tercela, maka jiwa yang rosak ini boleh mendorong berlakunya kerosakan dan kemusnahan kepada manusia lain serta alam semesta ini.

Ini bererti bahawa Allah tidak mewajibkan sesuatu suruhan dan juga hukum yang berkaitan hak-Nya seperti solat, puasa, haji dan seumpamanya melainkan dengan tujuan membersihkan jiwa orang mukmin daripada segala sifat yang keji dan tercela. Apabila jiwa manusia itu telah dihiasi dengan sifat-sifat yang mahmudah (terpuji), barulah akal dan juga pemikiran manusia itu telah terbina dengan sifat-sifat kemanusiaannya yang akan mendorong dirinya untuk melakukan kebaikan sesama insan, sesama makhluk dan juga kepada alam semesta ini. Tegasnya, usaha dan juga pendekatan ke arah membangunkan Modal Insan haruslah berteraskan kepada pembersihan hati dan jiwa ( tazkiah al-nafs ).



1 Lihat Sidek Baba (2004), Cabaran dan Harapan Dalam Penerapan islam Hadhari,(Kertas Kerja di Seminar Antarabangsa Islam Hadhari anjuran Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada 24-25 November 2004.

2 Taha Jabir al-‘Alwani, Khawatir Fi al-Azmah al-Fikriyah Wa al- Ma’zaq al-Hadhari Li al-Ummah al-Islamiyah, Virginia: al-Ma’had al-Alami Li al-Fikr al-Islami , 1989, hlm. 150.

3 Salahuddu al-Jursyi, al-Muqaddimah al-Nazariyah Li al-Islamiyin al-Muttaqaddimin, Dar al-Barq , 1987, hlm. 76.

4 Lihat Hisham Ja’far, al-‘Amal al-Islami Baina al-Tarh al-Siasi Wa al-Tarh al-Hadhari, dlm. Wazurat al-Auqaf, hlm. 227-228.

Wednesday, 25 June 2008

KEWAJIBAN MENTA’ATI PEMERINTAH

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan dua Ahli Parlimen BN Sabah yang menganggotai Parti SAPP iaitu YB Datuk Eric Majimbun ( Sepanggar ) dan YB Datuk Dr Chua Soon Bui ( Tawau ) telah membuat pengumuman rasmi bahawa ‘ SAPP sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri. Mereka merancang dan bercadang untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Siapakah Yong Teck Lee dan Parti Maju Sabah ( SAPP ) yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi? Sanggupkah wakil-wakil rakyat yang beragama Islam dari kalangan UMNO, PAS dan PKR untuk bersekongkol dengan seorang pemimpin cina yang jelas bukan beragama Islam dan juga sebuah parti yang jelas bukan berteraskan Melayu dan Islam . Kenapa pemimpin non-muslim (kafir) seperti Yong Teck Lee ingin menjatuhkan pemimpin Islam yang telah diberi mandat dan juga bai’ah oleh rakyat Negara ini melalui sistem demokrasi dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu ?

Alhamdulillah pada tahun 1994, Yong Teck Lee telah membantu UMNO di Sabah bagi menggulingkan kerajaan PBS yang pro-kristian. Beliau telah keluar daripada PBS dan telah menubuhkan Parti Baru iaitu SAPP . Tindakan beliau ini telah mengakibatkan kerajaan Pairin Kitingan yang memusuhi Islam di Sabah telah tumbang. Tindakan beliau ini memang patut disokong dan dipuji pada ketika itu kerana beliau telah membantu orang melayu dan Islam di Sabah menumbangkan empayar kerajaan Kristian yang dipimpin oleh Pairin. Tapi, sekarang Pairin telah rujuk semula ke dalam BN dan tidak lagi mengambil pendekatan memusuhi UMNO dan Islam.

Apa dah jadi kali ini ? Yong Teck Lee bertindak seperti jaguh bagi kaum cina di Sabah dan juga mungkin jaguh bagi semua kaum cina untuk menjatuhkan seorang pemimpin Melayu Islam dari kalangan UMNO, iaitu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Lagaknya sama seperti Lee Kuan Yew , bekas Perdana Menteri Singapura yang memusuhi kepimpinan Melayu dan Islam pada suatu ketika dahulu.

Kepada Pemimpin-pemimpin Melayu Islam dari kalangan UMNO, PKR dan PAS yang bergelar Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat; sayugia saya ingin menasihatkan mereka tentang firman Allah s.w.t :

لايتخذ المؤمنون الكافرين أوليأء من دون المؤمنين، ومن يفعل ذلك فليس من الله في شيء إلا أن تتقوا منهم تقاة ويحذركم الله نفسه وإلى الله المصير

Bermaksud :” Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin/teman) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah Kecuali kerana (siasah) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diriNya (siksaNya). Dan Hanya kepada Allah kembalimu “. ( Al-Quran, Surah Ali Imran : Ayat 28 )

Peringatan yang dinyatakan oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya dalam ayat di atas adalah amat jelas sekali supaya setiap orang mukmin jangan sekali-kali menjadikan orang kafir sebagai pemimpin dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Sanggupkah kita mendengar serta mengikut telunjuk seorang pemimpin kafir seperti Yong Teck Lee demi untuk menjatuhkan seorang pemimpin (ulil amri) yang beragama Islam separti Pak Lah. Insaf dan sedarlah bahawa Allah memperingatkan bahawa mana-mana orang mukmin yang melakukannya, maka mereka akan terlepas daripadaa pertolongan serta rahmat-Nya.

Renunglah hadis ini : ” Wajib ke atas setiap muslim dengar dan taat kepada pemerintah sama ada pemerintah itu ia suka atau ia tidak suka, selama ia tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat, maka apabila ia diperintahkan melakukan maksiat, janganlah ia dengar dan taat ” ( Riwayat Bukhari )

Pernahkah Pak Lah menyuruh rakyat Malaysia, khasnya orang Islam di negara ini untuk melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah ? Janganlah kerana harga barang naik, minyak petrol dan diesel naik maka menyebabkan kita menderhaka kepada pemerintah dan ulil amri. Ingatlah akan hadis berikut :

Hendaklah kamu dengar dan taat kepadaa pemerintah dalam keadaan menyusahkan dan menyenangkan kamu, dalam keadaan kamu suka atau kamu tidak suka, dan dalam keadaan mereka membolot harta kekayaan dengan membelakangkan kamu ” ( Riwayat Muslim ).

Jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w telah memberi garis panduan kepada kita bagaimana akhlak kita sebagai rakyat kepada pemerintah. Sama ada kita suka ataupun tidak kepada pemerintah yang telah dipilih oleh rakyat, maka kita wakib patuh dan taat kepada kepimpinan seseorang pemerintah itu. Tegasnya, Pak Lah yang telah diberi watikah sebagai Perdana Menteri oleh SPB Yang DiPertuan Agong hendaklah ditaati dan sesiapa yang melakukan sebarang usaha penentangan terhadapnya dianggap sebagai penderhaka ( bughat ).

Kalau ada di kalangan wakil rakyat UMNO, PAS dan juga PKR yang bersekongkol dengan agenda jahat SAPP yang didalangai oleh seorang pemimpin parti cina yang anti kepimpinan Islam ini maka jelaslah bahawa golongan yang menyokong usul undi tidak percaya di Parlimen nanti adalah sebagai puak pelampau ( bughat ). Janganlah kita mengikut telunjuk orang kafir sebagaimana pemimpin-pemimpin di dunia Arab yang telah menyokong dan bersekongkol dengan George W.W. Bush (Amerika) dan Tony Blair ( Britain) semasa menggulingkan Saddam Hussein di Iraq. Renunglah..!

SHAMSUDDIN MONER EL-ASKARY

Tuesday, 24 June 2008

PROGRAM "DISKUSI MEMPERKASA KETUANAN MELAYU"

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menerusi Bahagian Sukarelawan Al-Falah YADIM akan menganjurkan program siri jelajah “Diskusi Memperkasa Ketuanan Melayu” bagi memberi penjelasan dan juga berdailog dengan masyarakat setempat tentang pentingnya perpaduan Melayu-Islam dan mempertahankan ketuanan Melayu.

(Gambar - dari kiri Datuk A. Aziz Deraman, Prof. Dr. Idris Zakaria, Dr. Zubir Harun dan Datuk Rahim Bakar- Mantan Menteri Besar Pahang semasa program "Diskusi Memperkasa Ketuanan Melayu" yang diadakan di Bentong Pahang pada 8 Jun 2008).

Siri Jelajah Program "Diskusi Memperkasa Ketuanan Melayu" yang pertama telah diadakan pada 17 Mei 2008, bertempat di Dewan Besar IKIM Kuala Lumpur dan mendapat sambutan yang agak menggalakkan dengan kehadiran lebih 400 orang peserta dari sekitar Lembah Klang. Manakala siri yang ke-2 pula telah diadakan di Dewan Sultan Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong pada 8 Jun 2008 yang juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 600 orang dari pelbagai golongan dari sekitar Daerah Bentong, Pahang.

Sehubungan dengan itu, Bahagian Sukarelawan Al-Falah YADIM amat berbesar hati menjemput tuan-tuan/puan-puan yang berada negeri Melaka dan sekitarnya untuk hadir menjayakan program siri jelajah "Diskusi Memperkasa Ketuanan Melayu" yang seterusnya. Program tersebut bakal diadakan sebagaimana maklumat berikut :

Tempat : Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM)
Kampus Utama,Batu 28,
Kuala Sungai Baru, 78200 Melaka.

Tarikh : 28 Jun 2008 ( Sabtu )

Masa : 9.00 pg – 1.00 ptg

Ahli Panel i. YBhg. Datuk Mohd Nakhaie Hj. Ahmad -YDP YADIM

ii. YBhg. Datuk A. Aziz Bin Deraman -Mantan KP DBP

iii. YBhg. Profesor Dr. Idris Zakaria - UKM

YBhg. Dato’ Shamsul Najmi B. Samsuddin (Selaku Moderator)